Page:Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.pdf/53

From Wikisource
Jump to navigation Jump to search
This page has been validated.
53
Universiti dan Kolej Universiti



Fakulti, Sekolah, Pusat, Akademi, Institut


18. (1) Universiti hendaklah dibahagikan kepada beberapa Fakulti, Sekolah, Pusat Akademi dan Institut mengikut namanya masing-masing sebagaimana yang ditetapkan oleh Statut.

(1A) Universiti boleh, selepas berunding dengan Jawatankuasa Pengajian, menubuhkan jabatan atau unit atau badan lain berkenaan dengan sesuatu Fakulti, Sekolah, Pusat, Akademi dan Institut.

(2) Sesuatu Fakulti, Sekolah, Pusat, Akademi dan Institut hendaklah bertanggungjawab kepada Senat atas penyusunan pengajaran dalam mata pelajaran mengenai pengajian dalam bidang kuasa Fakulti, Sekolah, Pusat, Akademi dan Institut itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, dan boleh menjalankan apa-apa tugas lain sebagaimana yang diberikan kepadanya oleh Statut, Kaedah atau Peraturan.

(3) Naib Canselor hendaklah, selepas berunding dengan kakitangan akademik setiap Fakulti, melantik seorang Dekan bagi tiap-tiap satu Fakulti dan sekurang-kurangnya seorang Timbalan Dekan. Lembaga hendaklah dimaklumkan tentang pelantikan itu secepat yang mungkin. Dekan itu hendaklah menjadi pengerusi Fakulti itu dan hendaklah menjalankan apa-apa fungsi lain sebagaimana yang diberikan kepadanya oleh Statut, Kaedah-Kaedah atau Peraturan; dan jika Dekan tidak berupaya menjalankan kewajipan jawatannya oleh sebab bercuti atau apa-apa sebab lain, adalah sah bagi Timbalan Dekan atau mana-mana pegawai kanan lain yang dilantik oleh Naib Canselor untuk menjalankan kewajipan Dekan itu selama tempoh Dekan itu tidak berupaya menjalankan kewajipan jawatannya.

(4) Naib Canselor hendaklah, selepas berunding dengan kakitangan akademik setiap Sekolah, Pusat, Akademi dan Institut, mempunyai kuasa untuk melantik seseorang sebagai ketua sesuatu Sekolah, Pusat, Akademi dan Institut dan ketua itu hendaklah diberi gelaran sebagaimana yang ditetapkan oleh Statut, Kaedah-Kaedah atau Peraturan; dan jika ketua sesuatu Sekolah, Pusat, Akademi dan Institut tidak berupaya menjalankan kewajipannya oleh sebab bercuti atau apa-apa sebab lain, Naib Canselor boleh, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Statut, melantik mana-mana orang untuk menjalankan kewajipan itu selama tempoh ketua itu tidak berupaya menjalankan kewajipannya.

(5) Seseorang Dekan, seseorang Timbalan Dekan atau ketua sesuatu Sekolah, Pusat, Akademi dan Institut yang dilantik di bawah subseksyen (3) atau (4) mengikut mana-mana yang berkenaan, hendaklah dilantik selama tempoh tidak lebih daripada empat tahun, tetapi adalah layak dilantik semula.

(6) Walau apa pun subseksyen (5), Naib Canselor boleh, jika difikirkannya patut, membatalkan apa-apa pelantikan yang dibuat di bawah subseksyen (3) atau (4) pada bila-bila masa dalam tempoh pelantikan itu.