Page:Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.pdf/54

From Wikisource
Jump to navigation Jump to search
This page has been validated.
54
AKTA 30
Undang-Undang Malaysia



Jawatankuasa Pengajian


19. Suatu Jawatankuasa Pengajian boleh dilantik oleh Senat bagi salah satu maksud yang berikut:

(a) untuk menguruskan perkara mengenai mana-mana Fakulti, Sekolah, Pusat, Akademi dan Institut; dan
(b) untuk menimbangkan cadangan yang dirujukkan kepadanya oleh Senat bagi penubuhan Fakulti, Sekolah, Pusat, Akademi dan Institut yang baru, dan dalam mana-mana satu hal, Jawatankuasa Pengajian hendaklah membuat laporan mengenainya kepada Fakulti, Sekolah, Pusat, Akademi, Institut, atau kepada Senat, mengikut kehendak keadaan.


Jawatankuasa Pemilih


20. (1) Jawatankuasa Pemilih bagi maksud pelantikan ke sesuatu Kerusi dan pelantikan atau kenaikan pangkat ke jawatan profesor kanan, profesor dan pegawai disebut dalam seksyen 10 hendaklah terdiri daripada—

(a) Naib Canselor yang hendaklah menjadi pengerusi;
(b) dua ahli Lembaga yang dilantik oleh Lembaga;
(c) Dekan Fakulti atau Ketua Sekolah, Pusat, Akademi atau Institut yang baginya Kerusi itu diuntukkan; dan
(d) dua ahli Senat yang dilantik oleh Senat.

(2) Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam subseksyen (3) Jawatankuasa Pemilih hendaklah dipanggil bermesyuarat oleh Naib Canselor dan mesyuarat itu hendaklah dipengerusikan oleh Naib Canselor.

(3) Apabila dibuat keputusan untuk mengisi sesuatu jawatan kecuali jawatan bagi sesuatu Kerusi dan pelantikan atau kenaikan pangkat ke jawatan profesor kanan, profesor dan pegawai disebut dalam seksyen 10, Lembaga boleh, atas syor Naib Canselor, melantik Jawatankuasa Pemilih yang berlainan bagi pelantikan yang berlainan dan Jawatankuasa Pemilih yang dipanggil bermesyuarat bagi maksud itu hendaklah dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor yang bertanggungjawab bagi hal ehwal akademik, atau, jika dia tidak ada, oleh seorang ahli yang dipilih oleh ahli yang hadir dalam mesyuarat itu.

(4) Jika Timbalan Naib Canselor tidak menjadi ahli Jawantankuasa Pemilih, bagi maksud mesyuarat yang dipengerusikannya di bawah subseksyen (3) dan bagi maksud keputusan yang dibuat dalam mesyuarat itu, dia hendaklah disifatkan sebagai seorang ahli Jawatankuasa Pemilih.