Page:Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.pdf/46

From Wikisource
Jump to navigation Jump to search
This page has been validated.
46
AKTA 30
Undang-Undang Malaysia


sama ada dari dalam atau luar Universiti; had jawatan dan syarat lain perkhidmatan seseorang Timbalan Naib Canselor hendaklah ditetapkan oleh Menteri selepas berunding dengan Naib Canselor, dan Universiti hendaklah terikat dengannya.

(9) Jika bagi sesuatu tempoh yang lama Naib Canselor tidak berupaya oleh sebab sakit, cuti atau apa-apa sebab lain untuk menjalankan mana-mana daripada fungsi jawatannya, Timbalan Naib Canselor atau, jika ada lebih daripada seorang Timbalan Naib Canselor, mana-mana seorang daripada mereka sebagaimana yang dinamakan oleh Menteri hendaklah menjalankan fungsi itu; dan jika sekiranya Timbalan Naib Canselor atau semua Timbalan Naib Canselor (jika lebih daripada seorang) tidak ada atau hilang upaya, Menteri hendaklah membuat apa-apa perkiraan sementara sebagaimana yang difikirkannya patut bagi penjalanan fungsi itu.


Ketua Kampus Cawangan


9A. (1) Jika terdapat suatu Kampus Cawangan, maka hendaklah ada seorang ketua Kampus Cawangan yang hendaklah dilantik oleh Menteri, selepas berunding dengan Naib Canselor.

(2) Ketua Kampus Cawangan boleh dikenali dengan apa-apa nama lain sebagaimana yang ditetapkan oleh Menteri.

(3) Tempoh jawatan dan syarat lain perkhidmatan ketua Kampus Cawangan hendaklah ditentukan oleh Menteri, selepas berunding dengan Naib Canselor.

(4) Ketua Kampus Cawangan hendaklah menjadi pegawai eksekutif, pegawai pentadbiran dan pegawai akademik utama Kampus Cawangan itu dan hendaklah melaksanakan fungsinya dan menunaikan kewajipannya di bawah arahan dan kawalan Naib Canselor.


Pendaftar, Bursar, Ketua Pustakawan dan Penasihat Undang-Undang


10. (1) Seorang Pendaftar, Bursar, Ketua Pustakawan dan Penasihat Undang-Undang hendaklah berkhidmat sebagai pegawai sepenuh masa Universiti dan yang mempunyai kuasa dan kewajipan sebagaimana yang ditetapkan oleh Statut.

(1A) Jawatan Pendaftar, Bursar, Ketua Pustakawan dan Penasihat Undang-Undang boleh dikenali dengan apa-apa nama lain sebagaimana yang ditentukan oleh Lembaga.

(2) Pendaftar, Bursar, Ketua Pustakawan dan Penasihat Undang-Undang hendaklah dilantik oleh Lembaga mengikut nasihat Jawatankuasa Pemilih.

(3) Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini, syarat pelantikan Pendaftar, Bursar, Ketua Pustakawan dan Penasihat Undang-Undang hendaklah ditentukan oleh Lembaga.