Page:Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.pdf/44

From Wikisource
Jump to navigation Jump to search
This page has been validated.
44
AKTA 30
Undang-Undang Malaysia


(2) Meterai perbadanan Universiti hendaklah disimpan dalam jagaan Naib Canselor.

(3) Meterai perbadanan Universiti tidak boleh dicapkan pada apa-apa jua surat cara kecuali di hadapan—

(a) Naib Canselor; dan
(b) seorang lagi ahli Lembaga,


yang hendaklah menandatangani surat cara itu sebagai tanda menunjukkan meterai itu dicapkan di hadapan mereka dan tandatangan itu adalah menjadi keterangan yang cukup bahawa meterai itu telah dicapkan dengan sempurna dan sepatutnya dan bahawa meterai itu adalah meterai Universiti yang sah.

(3A) Jika surat cara yang disebut dalam subseksyen (3) ialah skrol suatu ijazah, diploma, sijil atau kepujian akademik lain, meterai perbadanan Universiti hendaklah dicapkan padanya di hadapan Naib Canselor dan seorang pegawai kanan yang diberi kuasa oleh Naib Canselor.

(4) Meterai Universiti hendaklah diberi pengiktirafan rasmi dan kehakiman.

(5) Apa-apa suratan atau surat cara yang (jika disempurnakan oleh seseorang yang bukan suatu pertubuhan perbadanan) tidak dikehendaki dimeteraikan boleh disempurnakan dengan cara yang demikian itu oleh Universiti dengan syarat bahawa suratan atau surat cara itu hendaklah disempurnakan bagi pihak Universiti oleh seorang pegawai atau mana-mana orang yang diberi kuasa secara am atau khas oleh Lembaga.


BAHAGIAN II

PEGAWAI UNIVERSITI


Canselor


7. (1) Seorang Canselor hendaklah menjadi Ketua Universiti dan hendaklah mempengerusikan mana-mana Konvokesyen apabila menghadirinya dan hendaklah mempunyai apa-apa kuasa lain dan melaksanakan apa-apa kewajipan lain yang diberikan atau dikenakan ke atasnya oleh Perlembagaan ini atau mana-mana Statut, Kaedah atau Peraturan.

(2) Canselor hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Menteri, selama sesuatu tempoh tidak lebih daripada tujuh tahun sebagaimana yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong.

(3) Canselor boleh, dengan mengutus surat yang ditandatanganinya kepada Yang di-Pertuan Agong, meletakkan jawatannya, atau dia boleh dipecat oleh Yang di-Pertuan Agong.