Page:Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.pdf/43

From Wikisource
Jump to navigation Jump to search
This page has been proofread.
43
Universiti dan Kolej Universiti


(11) Sehingga suatu meterai diadakan oleh perbadanan di bawah subseksyen (9) suatu cap yang mengandungi nama perbadanan melingkungi huruf “UNIVERSITI...” boleh digunakan sebagai meterai perbadanannya.

(12) Meterai perbadanan, atau cap yang disebut dalam subseksyen (11) hendaklah disimpan dalam jagaan mana-mana orang yang diarahkan oleh perbadanan dan hendaklah disahkan oleh orang itu.

(13) Segala surat ikatan, dokumen dan surat cara lain yang berupa sebagai telah dimeteraikan dengan meterai itu, yang disahkan sebagaimana yang diperuntukkan dalam subseksyen (12) hendaklah disifatkan telah disempurnakan dengan sah sehingga dibuktikan sebaliknya.

(14) Apa-apa dokumen atau surat cara yang jika disempurnakan oleh seseorang yang bukan suatu pertubuhan perbadanan tidak dikehendaki dimeteraikan boleh disempurnakan dengan cara yang serupa oleh perbadanan; dan dokumen atau surat cara itu boleh disempurnakan bagi pihak perbadanan oleh mana-mana pegawai atau pekerja perbadanan yang diberi kuasa secara am atau khas oleh perbadanan bagi maksud itu.

(15) Meterai tiap-tiap perbadanan hendaklah diberi pengiktirafan rasmi dan kehakiman.


Perjalanan pengajian, dsb., bersama-sama, dsb., dengan mana-mana Universiti


4C. Universiti boleh, dengan kelulusan Menteri, menjalankan apa-apa kursus pengajian atau program latihan secara bersesama atau dengan bersama-sama, gabungan, usaha sama atau selainnya, dengan mana-mana Universiti atau institusi pelajaran tinggi atau institusi pelajaran atau organisasi lain di dalam atau di luar Malaysia.


Pembezaan kerana ras dan kepercayaan dilarang


5. Tertakluk kepada Perkara 153 Perlembagaan Pesekutuan, keanggotaan Universiti, sama ada sebagai pegawai, guru atau pelajar, adalah terbuka kepada semua orang tidak kira jantina, ras, agama, bangsa atau kelas; dan tiada apa-apa ujian mengenai kepercayaan atau penganutan agama boleh dilakukan atau diadakan untuk mengehakkan seseorang menjadi anggota atau untuk mengurniakan kepada seseorang apa-apa ijazah atau diploma Universiti, dan juga tiada apa-apa jua fellowship, biasiswa, bantuan, dermasiswa, pingat, hadiah atau kepujian atau kurniaan lain boleh dihadkan kepada orang daripada sesuatu ras, agama, bangsa atau kelas yang tertentu jika belanja baginya dibayar daripada wang am Universiti.


Meterai Universiti


6. (1) Meterai perbadanan Universiti adalah meterai yang diluluskan oleh Canselor atas syor Lembaga dan dengan cara diluluskan demikian itu juga meterai itu boleh dari semasa ke semasa dipecahkan, ditukar, diubah dan dibuat baru.