Page:Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.pdf/42

From Wikisource
Jump to navigation Jump to search
This page has been proofread.
42
AKTA 30
Undang-Undang Malaysia


(4) Lembaga boleh, dengan kelulusan Menteri selepas berunding dengan Menteri Kewangan, mengarahkan mana-mana perbadanan yang ditubuhkan olehnya digulung dan dibubarkan.

(5) Apabila mana-mana perbadanan dibubarkan di bawah subseksyen (4), aset perbadanan itu hendaklah dipindahkan hakmiliknya kepada dan diletakhakkan pada Universiti selepas dijelaskan segala tanggungannya.

(6) Penggulungan sesuatu perbadanan di bawah subseksyen (4) hendaklah dijalankan mengikut apa-apa cara yang ditetapkan oleh Lembaga melalui peraturan-peraturan.

(7) Peraturan-peraturan yang dibuat di bawah seksyen ini hendaklah disiarkan dalam Warta.

(8) Tiap-tiap Perbadanan yang ditubuhkan di bawah perenggan 4A(1)(c)

(a) hendaklah menjadi suatu pertubuhan perbadanan dengan apa-apa nama yang diberikan oleh Lembaga kepada perbadanan itu;
(b) hendaklah kekal turun-temurun;
(c) hendaklah mempunyai meterai perbadanan;
(d) boleh membawa guaman dan dibawa guaman atas nama perbadanannya;
(e) boleh membuat kontrak;
(f) boleh memegang, dan membuat apa-apa urusan mengenai atau dengan, apa-apa harta alih atau tak alih; dan
(g) boleh membuat segala perkara dan benda lain yang bersampingan atau berkaitan dengan sesuatu pertubuhan perbadanan yang tidak tak konsisten dengan Perlembagaan ini, tertakluk kepada apa-apa sekatan atau batasan yang dinyatakan oleh Lembaga dalam setiap hal.

(9) Tiap-tiap perbadanan hendaklah mempunyai suatu meterai perbadanan yang mengandungi apa-apa tanda yang ditentukan oleh perbadanan dengan kelulusan Lembaga.

(10) Meterai perbadanan itu boleh dari semasa ke semasa dipecahkan, ditukar, diubah atau dibuat baru oleh perbadanan, sebagaimana yang difikirkan patut oleh perbadanan dengan kelulusan Lembaga.