Page:Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.pdf/49

From Wikisource
Jump to navigation Jump to search
This page has been validated.
49
Universiti dan Kolej Universiti


(2) Seseorang ahli yang dilantik sebagai Pengerusi di bawah subseksyen (1) hendaklah, dalam tempoh dia menjalankan fungsi Pengerusi, di bawah seksyen ini, disifatkan sebagai Pengerusi.


Fungsi dan kuasa Lembaga


16. (1) Lembaga hendaklah menjadi badan yang mengelola, membuat dasar dan mengawasi Universiti, dan boleh menjalankan segala kuasa yang diberikan kepada Universiti kecuali setakat yang kuasa itu diberikan oleh Perlembagaan ini atau Statut, Kaedah-Kaedah dan Peraturan-Peraturan kepada Pihak Berkuasa, badan atau kepada pegawai lain Universiti.

(2) Tiada ketetapan boleh diluluskan oleh Lembaga berhubung dengan apa-apa perkara dalam kuasa Senat, tetapi Lembaga boleh menghantar pendapatnya kepada Senat mengenai apa-apa perkara dalam kuasa Senat, bagi pertimbangan Senat.

(3) Sebagai tambahan kepada fungsi dan kuasa di bawah subseksyen (1), Lembaga hendaklah—

(a) mengadakan perancangan pengawasan yang strategik yang bercirikan pendidikan dan misi Universiti;
(b) menggalakkan pengurusan yang cekap dan berkesan dan mengadakan kajian semula yang menyeluruh mengenai operasi Universiti;
(c) membangunkan hubungan dengan masyarakat, sektor korporat dan industri;
(d) memupuk hubungan global dan keantarabangsaan berhubung dengan pelajaran tinggi dan penyelidikan;
(e) memastikan pelaksanaan Perlembagaan, undang-undang dan dasar Universiti dan untuk memastikan bahawa tiap-tiap Pihak Berkuasa, Jawatankuasa, Pegawai atau jawatankuasa sentiasa bertindak menurut kuasanya dan bidang tugasnya.


Jawatankuasa Lembaga


16A. (1) Lembaga boleh menubuhkan apa-apa jawatankuasa yang didapatinya perlu atau suai manfaat untuk membantunya dalam melaksanakan fungsinya.

(2) Lembaga hendaklah memilih mana-mana ahlinya untuk menjadi pengerusi sesuatu jawatankuasa.

(3) Lembaga boleh melantik mana-mana orang untuk menjadi ahli sesuatu jawatankuasa.