Page:Akta Hak Cipta 1987.pdf/20

From Wikisource
Jump to navigation Jump to search
This page has been validated.
20
AKTA 332
Undang-Undang Malaysia

mencukupi untuk memenuhi keperluan awam yang munasabah.

(2) Bagi maksud Akta ini, pertunjukan sesuatu karya sastera atau muzik dan pameran sesuatu karya seni tidak boleh dikira sebagai suatu penerbitan karya tersebut.

(3) Bagi maksud Akta ini, sesuatu penerbitan hendaklah disifatkan sebagai penerbitan pertama di Malaysia jika—

(a) karya atau persembahan itu mula-mulanya diterbitkan di Malaysia dan bukannya di tempat lain; atau

(b) karya atau persembahan itu mula-mulanya diterbitkan di tempat lain tetapi diterbitkan di Malaysia dalam masa tiga puluh hari dari penerbitan di tempat lain itu.

(4) Jika pada mulanya hanya sebahagian sahaja daripada sesuatu karya atau persembahan diterbitkan, maka bahagian itu hendaklah bagi maksud Akta ini disifatkan sebagai suatu karya berasingan atau persembahan berasingan, mengikut mana-mana yang berkenaan.


Pengawal, Timbalan Pengawal dan Penolong Pengawal

5. (1) Ketua Pengarah Perbadanan hendaklah menjadi Pengawal Hak Cipta.

(2) Menteri boleh melantik, atas apa-apa terma dan syarat yang ditentukan oleh Menteri, daripada kalangan mana-mana pegawai awam dan orang dalam penggajian Perbadanan, apa-apa bilangan *Timbalan Pengawal Hak Cipta, Penolong Pengawal Hak Cipta dan pegawai lain yang perlu bagi pentadbiran yang sepatutnya Akta ini, dan boleh membatalkan pelantikan mana-mana orang yang dilantik sedemikian atau disifatkan telah dilantik sedemikian di bawah subseksyen (3).


*CATATAN—Timbalan Pengawal Hak Cipta, Penolong Pengawal Hak Cipta dan pegawai lain yang dilantik oleh Perbadanan sebelum tarikh permulaan kuat kuasa Akta ini hendaklah disifatkan telah dilantik di bawah subseksyen 5(2) Akta Hak Cipta 1987 [Akta 332] ─lihat subseksyen 38(1) Akta Hak Cipta (Pindaan) 2012 [Akta A1420].