Ucapan Lee Hsien Loong, Rapat Umum Hari Kebangsaan 2019

From Wikisource
Jump to navigation Jump to search
Rapat Umum Hari Kebangsaan 2019

Saudara saudari sekalian, Selamat Hari Kebangsaan!

Tahun ini, kita memperingati 200 Tahun Singapura. Saya gembira melihat banyak kumpulan masyarakat menganjurkan pelbagai aktiviti untuk mengimbas kembali kekayaan sejarah negara kita sepanjang beberapa abad. Sebagai contoh, April lalu, kumpulan Pentas Karyawan, Politeknik Republik mempersembahkan “Kurun Yang Hilang”, kisah tentang Kerajaan Singapura pada abad ke-14. Pada Oktober ini, akan datang, Taman Warisan Melayu juga akan mengadakan satu pesta dan pameran khas yang menceritakan kepelbagaian asal usul masyarakat Melayu.

Orang Melayu tiba secara beramai-ramai di Singapura sejak kedatangan Stamford Raffles. Mereka termasuklah Orang Laut, orang Melayu dari Johor dan Riau, orang Minang, Bugis, orang Jawa, Bawean, serta orang Arab dari Yaman dan sebahagian orang dari India.

Ini dia gambar sebuah keluarga Bawean pada awal abad ke-20 dengan pakaian tradisional mereka. Dikenali sebagai orang Boyan, mereka berasal dari Pulau Bawean di Jawa Timur. Orang Bawean sangat akrab dan dahulu, tinggal berkelompok di pondok-pondok, seperti di kawasan Rochor dan Tanjong Pagar. Kini, orang Bawean sudah sebati menjadi sebahagian daripada orang Melayu dan Singapura. Begitu juga dengan suku kaum lain.

Pertalian budaya dan sejarah anda dengan negara-negara jiran kita membolehkan Singapura memahami dan menjalin hubungan baik dengan mereka. Pada masa yang sama, pengaruh anda ke atas masyarakat Singapura, membantu kita mencorak dengan jelas identiti nasional kita, sebagai sebuah negara berbilang kaum di Asia Tenggara. Sepanjang waktu itu, orang Melayu Singapura berjaya membina identiti yang tersendiri, berbeza daripada orang Melayu lain di rantau ini dan masyarakat Islam lain di dunia. Dari pertuturan sahaja, anda boleh kenal, ah, ini orang Melayu Singapura!

Identiti ini didorong beberapa nilai murni. Baru-baru ini, Menteri Masagos menyebutnya sebagai tiga K – Kewarganegaraan, Kemahiran dan Keperibadian. Malam ini, saya akan sentuh tentang dua K:

  1. Kemahiran, iaitu kesedaran tentang peri pentingnya pendidikan bagi meningkatkan masyarakat Melayu; dan
  2. Keperibadian, iaitu bagaimana Islam diamalkan dalam konteks masyarakat majmuk Singapura.

Pendidikan[edit]

Pertama, kemahiran atau pendidikan. Hasil daripada penekanan terhadap pendidikan, kemajuan orang Melayu semakin ketara. Generasi demi generasi, kita lihat kian ramai orang Melayu berkelayakan lebih tinggi, dengan pekerjaan yang lebih baik, serta mutu hidup yang lebih makmur dan bermakna. Bak kata peribahasa, sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit. Malah semakin menjadi gunung!

Banyak contoh yang boleh saya sebutkan. Misalnya, seperti dalam gambar tahun 2007 ini. Jadi kita semua nampak muda, ya! Penerima Anugerah Mendaki yang lulus dengan ijazah kepujian kelas pertama, hanya 7 orang sahaja. Tetapi, lihat gambar ini yang diambil tahun lalu pula. Jumlahnya lebih 70 orang! Jadi, dalam masa 10 tahun sahaja, jumlahnya melonjak naik 10 kali ganda! Syabas masyarakat Melayu!

Terbukti generasi muda Melayu cemerlang dan kini memegang peranan penting dalam masyarakat. Di kalangan mereka, ada yang merupakan penerima biasiswa seperti CE MUIS, Mufti dan timbalan masing-masing.

Dan tahun ini, seorang anak Melayu, Muhammad Dhafer Muhammad Faishal, dianugerahkan Biasiswa Presiden. Dhafer bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga berjiwa masyarakat. Pada masa lapangnya, Dhafer melakukan kerja sukarela. Ini Dhafer ketika membantu adik-adik di Rumah Kanak-Kanak Pertapis dengan kerja sekolah mereka. Kepada Dhafer sekeluarga, termasuk bapanya, SPS Faishal Ibrahim, tahniah! Dan datuknya juga, ya.

Lebih ramai ibu bapa Melayu kini sedar perlunya menghantar anak-anak bagi pendidikan prasekolah kerana ia memberi mereka permulaan yang baik sebelum melangkah ke sekolah rendah. Dan semakin ramai ibu bapa Melayu bersama anak-anak mereka, menyertai program KMM, atau KelasMateMatika@CC anjuran M3. Akan tetapi, lebih baik lagi jika ibu bapa mula menghantar anak mereka bagi pendidikan prasekolah pada usia yang lebih awal, seperti 3 atau 4 tahun. Kami telah memperbaiki mutu pendidikan prasekolah dan memastikan kos kekal berpatutan. Sebenarnya, dengan sokongan Pemerintah, yuran tajaka dan tadika sepenuh hari bagi anak dari keluarga kurang mampu, boleh serendah $3 sahaja! $3 sebulan ya, bukan sehari.

Kami akan memastikan juga bahawa pendidikan prasekolah kekal dimampui oleh keluarga bergaji pertengahan. Saya akan berkongsi lebih lanjut dalam ucapan Bahasa Inggeris saya sebentar lagi.

Pelajar Melayu juga menunjukkan keputusan yang lebih baik sepanjang persekolahan mereka. Lebih ramai anak Melayu kini meraih diploma dan ijazah sarjana muda. Ada pula yang meningkatkan kemahiran selepas tamat ITE atau politeknik. Ini membantu mereka maju meniti tangga kerjaya, dan memberi mereka pilihan kerja yang lebih luas.

Contohnya, Mohammad Abdillah, dalam gambar ini. Dua kali, Abdillah gagal peperiksaan PSLE. Beliau kemudian belajar di Sekolah Northlight. Pada hari pertamanya di Northlight, ketika ditanya guru-guru tentang cita-citanya, Abdillah menjawab “Pereka”. “Designer”. Sebenarnya, jauh di lubuk hatinya, Abdillah tidak yakin boleh mencapai impiannya. Tetapi dengan galakan guru-guru, beliau cemerlang di Northlight dan kemudian ke ITE untuk belajar animasi. Di ITE, Abdillah juga cemerlang dan melangkah ke Politeknik Nanyang di mana beliau lulus dengan diploma dalam bidang motion graphics. Mari kita lihat petikan montaj karya-karya Abdillah. Menarik sekali! Saya yakin Abdillah akan menjadi seorang pereka grafik yang berjaya. Syabas Abdillah!

Abdillah tidak sendirian. Ramai lagi lulusan ITE yang meningkatkan diri mereka. Ini sangat penting, kerana permintaan bagi pekerja dengan kemahiran dan pengetahuan yang lebih tinggi, terus meningkat. Di kalangan pelajar ITE, 7 daripada setiap 10 lulusan Nitec kini melanjutkan pendidikan sepanjang kerjaya mereka. Perangkaan ini sangat baik, tetapi lebih baik lagi jika ia 10 dalam 10! Kementerian Pendidikan akan umumkan lebih banyak peluang bagi pelajar ITE meningkatkan diri.

Secara amnya, lebih ramai pelajar kini layak masuk ke politeknik dan universiti. Dan ramai daripada mereka bukan dari keluarga senang. Oleh itu, kami akan pastikan bahawa yuran politeknik dan universiti, dimampui pelajar seberapa mungkin, lebih-lebih lagi bagi pelajar dari keluarga kurang mampu. Saya akan terangkan lebih lanjut dalam ucapan Bahasa Inggeris nanti.

Agama[edit]

Satu lagi tunggak masyarakat Melayu ialah pegangan agama anda. Islam adalah antara agama yang ulung di dunia. Ia menekankan kedamaian dan menjadi agama kepada hampir dua bilion umat di seluruh dunia. Masyarakat Islam di negara-negara dunia mengamalkan Islam mengikut sejarah dan tradisi masing-masing.

Dalam masyarakat majmuk Singapura, Islam diamalkan dengan semangat saling menghormati, toleransi serta bersikap inklusif. Asatizah kita berperanan penting dalam memupuk masyarakat Islam Singapura yang progresif ini.

Salah seorang asatizah dengan ciri-ciri ini ialah Ustaz Zahid Zin. Sebagai CEO Forum Belia Islam (MYF), beliau mengambil pendekatan segar dalam menganjurkan kelas-kelas agamanya. Ini termasuk mengundang orang bukan Islam untuk berkongsi perspektif dengan belia Islam. Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pernah mengambil bahagian dalam salah satu sesi begini.

Bukan setakat itu sahaja, Ustaz Zahid juga aktif menyertai kegiatan anjuran MESRA dan menjadi anggota Majlis Penasihat M3. Baru-baru ini, saudaranya, seorang bukan Muslim, meninggal dunia. Ustaz Zahid menziarahi keluarga saudaranya untuk memberi penghormatan terakhir. Upacara itu mengikut agama Buddha. Dalam catatannya di Facebook, Ustaz Zahid menulis bagaimana semua budaya dan kepercayaan mesti dihormati, dan pengalamannya itu merupakan detik berharga untuk beliau mengajar anak-anaknya. Sebenarnya, ia satu pengajaran untuk kita semua, tidak kira apa kepercayaan kita, atau umur kita.

Tahun lalu, Ustaz Zahid menerima Anugerah Belia Inspirasi MUIS50. Saya harap beliau akan terus menjadi sumber inspirasi kepada kita semua. Boleh, Ustaz Zahid? Tentu boleh!

Kita mahu golongan asatizah yang bermutu tinggi dan menjadi pemimpin yang konfiden pada masa depan. Dr Maliki Osman sedang mengetuai sebuah jawatankuasa bagi mengkaji cara-cara meningkatkan profesionalisme asatizah, sebagai lanjutan daripada Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS). Saya nanti-nantikan saranan mereka.

MUIS memainkan peranan penting dalam masyarakat Melayu/Islam Singapura. Tahun depan, MUIS akan melancarkan Sijil Pos Siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS). Kursus ini adalah bagi siswazah agama di luar negara apabila mereka pulang ke sini. Ini supaya mereka dilatih untuk menerapkan apa yang mereka pelajari dalam konteks Singapura. Kami juga berharap untuk meneroka pendekatan dan pedagogi baru dalam pengajaran dan pembelajaran Islam. Ini akan membantu dalam mencorak model untuk kolej Islam kita sendiri, yang bakal melatih generasi asatizah yang baru di Singapura.

Oleh kerana kejayaan kita dalam membina hubungan silang kaum dan agama, masyarakat Melayu/Islam di sini dikagumi sebagai contoh bagi masyarakat Islam minoriti di dunia. Baru-baru ini, kita menganjurkan Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Bersatu Padu (ICCS). Ulama dan ahli akademik kita berpeluang bertukar-tukar idea dengan rakan peserta dari negara asing. Persidangan ini adalah satu peringatan kepada diri kita sendiri, untuk cekal berusaha dalam mengukuhkan keharmonian agama kita, walaupun isu-isu kaum dan agama sering mencetuskan konflik yang serius dalam masyarakat lain.

Penutup[edit]

Saudara saudari sekalian, anda harus berbangga dengan segala pencapaian anda. Sepanjang beberapa abad, anda membina sebuah masyarakat yang kukuh dan memperkaya sejarah kita. Masyarakat Melayu telah berkembang maju seiring kemajuan Singapura. Sekarang, sebagai orang Melayu, anda berpegang teguh kepada identiti anda tersendiri. Pada masa yang sama, bersatu-padu dengan masyarakat lain dan memiliki naluri serta jati diri sebagai anak watan Singapura. Usaha memperingati dwiabad ini adalah peluang untuk kita semua mengiktiraf sumbangan orang Melayu kepada Singapura dan meraikan pencapaian anda. Saya yakin masyarakat Melayu akan bertambah maju, tahun demi tahun.

Pemerintah akan terus bersama anda, mendukung aspirasi anda menjadi Masyarakat Gemilang.

Terima kasih!

Sumber[edit]

Catatan[edit]

PM Lee Hsien Loong menyampaikan ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan beliau pada 18 Ogos 2019 di Institut Pendidikan Teknikal Kolej Pusat. PM berucap dalam bahasa Melayu dan Cina, diikuti dengan bahasa Inggeris.