Perutusan Upacara Menandatangani Perjanjian Penubuhan Putrajaya

From Wikisource
Jump to: navigation, search


Ucapan oleh: Dato' Seri Dr. Mahathir bin Mohamad.
Tempat  : Pejabat Perdana Menteri, Kuala Lumpur
Tarikh  : 20 Julai 1995
Tajuk  : Upacara Menandatangani Perjanjian Penubuhan Putrajaya.


Syukur alhamdulillah, berkat kemakmuran yang dikecapi oleh negara selama ini, satu lagi lembaran sejarah tercipta apabila Kerajaan membuat keputusan untuk membangunkan Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang baru di Daerah Sepang, Selangor.

2. Keputusan Kerajaan ini sebenarnya telah dibuat pada 2 Jun 1993 apabila Jemaah Menteri bersetuju untuk memindahkan pejabat-pejabat Kerajaan Persekutuan yang pada masa ini berselerak di sana sini di sekitar ibu negara ke satu kawasan lain di mana perancangan pembangunannya dapat dibuat dengan lebih teratur dan berkesan.

3. Beberapa faktor utama telah mendorong pihak Kerajaan untuk membuat keputusan tersebut.

4. Kuala Lumpur, ibukota Malaysia, adalah sebuah bandaraya yang telah berkembang pesat dan mencapai pelbagai kemajuan. Walaupun ia dibangun sejak dahulu lagi sebagai pusat pentadbiran, hari ini ia sudah menjadi pusat dagangan yang terbesar di Malaysia. Dalam pada itu ia masih perlu berlumba dan bersaing dengan ibukota- ibukota negara-negara jiran untuk menarik lebih banyak syarikat dagangan yang besar mendirikan `regional headquarters' mereka di sini.


5. Memandangkan bahawa Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan mempunyai kawasan yang terhad, adalah sukar baginya membesar untuk memberi tempat dan keselesaan kepada aktiviti-aktiviti komersil yang semakin rancak. Kualiti hidup di Kuala Lumpur juga akan menurun jika ia terlalu sesak dengan bangunan-bangunan dan kenderaan- kenderaan.


6. Aktiviti komersil tidak mudah dipindah-pindah kerana ini adalah bidang swasta. Lagipun Kerajaan berpendapat tumpuan kepada Kuala Lumpur oleh syarikat-syarikat gergasi adalah penting jika ianya hendak mendapat pengiktirafan oleh dunia antarabangsa sebagai satu daripada bandar dagangan terkemuka di Asia.


7. Sebaliknya Kerajaan lebih mudah membuat keputusan berkenaan dengan lokasi pejabat-pejabatnya. Pada masa ini pejabat-pejabat Kerajaan Pusat berkecamuk di banyak lokasi di Kuala Lumpur. Dan banyak pula daripada pejabat ini disewa daripada swasta. Dengan itu kementerian-kementerian umpamanya terpaksa berkongsi ruang dengan penyewa-penyewa lain. Dengan sensitifnya urusan-urusan Kerajaan, keadaan ini tidaklah begitu baik.


8. Pada tahun 1993, setelah beberapa tahun perbincangan, Kabinet membuat keputusan untuk memindahkan beberapa aktiviti pentadbirannya ke satu pusat khas. Keputusan juga dibuat untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai ibukota dagangan atau `commercial capital' bagi Malaysia.


9. Daripada beberapa tempat yang dikaji dan ditinjau di Selangor, Negeri Sembilan dan Perak, Kerajaan telah memilih Perang Besar kerana ianya dekat dengan Kuala Lumpur dan terletak di antara Kuala Lumpur dengan Lapangan Terbang yang baru di Sepang, dengan jarak yang lebih kurang sama.


10. Perancangan yang teliti telah dibuat oleh satu konsortium empat belas arkitek Malaysia dengan diketuai oleh arkitek Jabatan Kerja Raya. Ibukota pentadbiran ini dirancang untuk menjadi sebahagian daripada `Multimedia Super Corridor' yang menyambungi lapangan terbang antarabangsa baru di Selatan dan Kuala Lumpur di Utara dengan mempunyai semua kemudahan yang tercanggih dan terkini.


11. Pembiayaan projek ini tidak akan membebankan negara kerana cara-cara `financing' yang tertentu akan digunakan. Sebahagian daripada wang yang diperlukan sudah pun diadakan kerana beberapa projek bangunan Kerajaan di Kuala Lumpur telah ditangguh untuk dibina di Pusat Pentadbiran baru ini.


12. Pembinaan Pusat Pentadbiran ini adalah juga satu pelaburan yang besar oleh Kerajaan Pusat dan akan membawa banyak manfaat kepada Kawasan Perang Besar dan sekitarnya. Bersama dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang ia akan membawa pembangunan yang pesat kepada wilayah yang terpencil ini. Hari ini pun penduduk berdekatan sudah menikmati banyak rahmat.


13. Memandangkan bahawa Putrajaya adalah sebahagian dari ibukota sebuah negara maka Kerajaan berpendapat ianya eloklah diberi nama yang ada kaitan dengan sejarah Malaysia yang merdeka. Dengan itu pusat pentadbiran Malaysia ini diberi nama Putrajaya bagi mengingati Bapa Malaysia, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia yang pertama.


14. Justeru itu, pada hari ini, 20 Julai 1995 bersamaan 22 Safar 1416, segala hasrat Kerajaan ini akan dimetrikan di Upacara Menandatangani Perjanjian Berhubung Dengan Penubuhan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya di antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Selangor. Perjanjian ini juga merupakan satu detik sejarah yang mana persetujuan yang dicapai mengikut Fasa (8) perkara 83 Perlembagaan Persekutuan, akan membolehkan Putrajaya di dalam Daerah Sepang di Negeri Selangor diwujudkan sebagai satu kawasan Pihak Berkuasa Tempatan dan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang baru.


15. Melalui perjanjian ini juga satu perbadanan yang diberi nama Perbadanan Putrajaya akan ditubuhkan di bawah Akta Parlimen untuk mentadbir dan menguruskan segala usaha pembangunan serta perkara-perkara yang berkaitan bagi pihak Kerajaan Persekutuan. Perbadanan Putrajaya akan mempunyai fungsi-fungsi eksekutif, tanah, pembangunan, protokol dan fungsi-fungsi pihak berkuasa tempatan bagi memastikan Putrajaya dapat dibangunkan selaras dengan hasrat dan aspirasi Kerajaan untuk menjadikannya bandaraya terunggul serta mencapai matlamat Wawasan 2020.


16. Segala usaha untuk memakmurkan negara memerlukan pengorbanan serta penggemblengan tenaga yang menyeluruh. Untuk itu, Kerajaan Persekutuan merakamkan terima kasih yang tidak terhingga serta sembah takzim kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah Alhaj, Sultan Selangor Darul Ehsan, atas kesudian Baginda untuk memperkenankan perjanjian ini dimetrikan. Kerajaan Persekutuan juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor serta seluruh rakyatnya atas segala kerjasama serta kerelaan berkongsi pelbagai kenikmatan yang bakal wujud dengan termetrinya perjanjian ini serta terbangunnya Putrajaya.


17. Sesungguhnya, majlis yang penuh makna ini adalah satu ukiran sejarah yang akan merealisasikan pembangunan Putrajaya sebagai antara kemuncak pencapaian negara menjelang abad ke-21 dan ini adalah bertepatan dengan usaha Kerajaan ke arah memenuhi Wawasan 2020.


Sumber[edit]