Ucapan Bajet Tahun 2008

From Wikisource
Jump to: navigation, search
Ucapan ini disampaikan oleh Dato' Seri Abdullah bin Hj. Ahmad Badawi, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia ketika membentang Rang Undang-Undang Perbekalan (2008) di Dewan Rakyat pada 7 September 2007.

Tuan Yang DiPertua,

Saya mohon mencadangkan supaya suatu Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2008 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua.

Contents

Pendahuluan[edit]

Bismillahir Rahmanir Rahim

2. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan izin dan kurnia-Nya, saya dapat membentangkan Bajet Negara bagi tahun 2008 di Dewan yang mulia ini. Tahun 2007 ini merupakan tahun yang amat besar ertinya kepada kita semua kerana kita sama-sama menyambut ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara. Bajet 2008 adalah Bajet pertama dalam kita melangkah masuk fasa 50 tahun kedua sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

3. Dalam lima dekad pertama kemerdekaan, negara telah mencapai kemajuan yang membanggakan dalam suasana aman dan damai. Dalam kita menyusun langkah untuk 50 tahun seterusnya, adalah penting untuk kita memanfaatkan sepenuhnya kepelbagaian yang wujud di negara kita untuk terus dibina satu kekuatan agar kita teguh bersatu bergerak mencapai matlamat menjadi sebuah negara maju.

4. Kualiti hidup rakyat hari ini telah jauh bertambah baik berbanding dengan lima puluh tahun yang lalu. Pendapatan per kapita telah meningkat sebanyak 26 kali ganda daripada 790 ringgit pada tahun 1957 kepada 20,840 ringgit pada tahun 2006. Lima puluh tahun dahulu, lebih separuh rakyat di negara ini hidup dalam kedaifan dan kemiskinan, kini kadar kemiskinan telah berjaya dikurangkan di bawah enam peratus.

5. Dalam tempoh 50 tahun, negara berjaya mencapai pertumbuhan ekonomi yang amat membanggakan, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan peningkatan 6.3 peratus setahun. Pertumbuhan ini dicapai dalam suasana inflasi yang rendah dan guna tenaga penuh. Dalam tempoh lima dekad, negara telah menghadapi beberapa krisis. Namun, dengan gandingan padu antara kepimpinan dan rakyat, kita berjaya meletakkan semula ekonomi negara di atas landasan yang kukuh. Pertumbuhan ekonomi dijangka terus mantap, dengan pertumbuhan bagi tahun 2007 pada paras 6 peratus.

6. Asas ekonomi terus bertambah kukuh. Semenjak 1998, akaun semasa imbangan pembayaran negara telah mencatat lebihan selama sembilan tahun berturut-turut. Pada tahun 2006, lebihan akaun semasa adalah 16.8 peratus daripada Keluaran Negara Kasar. Kadar tabungan negara terus kekal tinggi pada tahap 37 peratus daripada KDNK. Kemasukan pelaburan langsung asing terus mapan. Kita telah berjaya membina kemudahan infrastruktur bertaraf dunia berupaya menampung pembangunan perindustrian negara.

Bajet 2008[edit]

7. Tahun 2008 merupakan tahun ketiga pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan yang berteraskan Misi Nasional, seperti berikut:

Pertama: Meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi;
Kedua: Meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama;
Ketiga: Menangani masalah ketidakseimbangan sosioekonomi secara membina dan produktif;
Keempat: Meningkatkan tahap dan kemapanan kualiti hidup; dan
Kelima: Mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan.

8. Bajet 2008 bertemakan Bersama Membina Negara dan Menikmati Kemakmuran, mencerminkan hasrat Kerajaan untuk mempastikan kekayaan negara terus berkembang dan dapat dinikmati oleh semua rakyat. Hanya dengan ini, kemajuan negara akan menjadi lebih bermakna, dengan semua rakyat hidup dalam harmoni.

9. Dengan itu, Bajet ini akan memberi tumpuan kepada tiga strategi utama:

Pertama: Mempertingkat daya saing negara;
Kedua: Memperkasa pembangunan modal insan; dan
Ketiga: Menjamin kesejahteraan rakyat.

Strategi Pertama: Mempertingkat Daya Saing Negara[edit]

Menyediakan Persekitaran Kondusif Bagi Pelaburan Swasta[edit]

10. Pelaburan swasta terus menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negara. Alhamdulillah, aktiviti pelaburan swasta dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan semakin rancak, dengan kadar pertumbuhan tujuh peratus pada tahun 2006, berbanding dengan kadar 1.2 peratus setahun sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kelapan. Pertumbuhan pelaburan swasta dijangka mencapai 7.1 peratus tahun ini, satu kadar yang memberangsangkan. Kerajaan yakin momentum pertumbuhan ini akan terus meningkat pada tahun-tahun akan datang.

Dasar Cukai Yang Kompetitif[edit]

11. Kerajaan bertekad untuk menggalak pertumbuhan pelaburan swasta dengan menyediakan persekitaran kondusif. Satu langkah penting ke arah ini ialah dengan mempastikan cukai korporat terus kompetitif. Sistem cukai korporat masa ini berasaskan sistem imputasi. Di bawah sistem imputasi, cukai dikenakan ke atas keuntungan di peringkat syarikat dan sekali lagi ke atas dividen di peringkat pemegang saham, setelah mengambil kira cukai yang dibayar syarikat. Oleh itu, sistem ini melibatkan kos pentadbiran yang signifikan untuk mempastikan pematuhan terhadap cukai yang perlu dibayar di setiap peringkat.

12. Untuk menjadikan pentadbiran cukai korporat lebih cekap dan mudah, Kerajaan akan melaksanakan sistem cukai single-tier, berkuatkuasa mulai tahun taksiran 2008. Di bawah sistem single-tier, keuntungan hanya dikenakan cukai di peringkat syarikat, manakala dividen yang diterima dikecualikan daripada cukai. Dengan sistem single-tier, dividen dapat dibayar dengan lebih mudah. Tempoh peralihan bagi sistem baru ini ialah enam tahun untuk mempastikan kelicinan pelaksanaan.

13. Semasa pembentangan Bajet 2007 tahun lalu, saya telah mengumumkan pengurangan cukai korporat daripada 28 peratus kepada 27 peratus bagi tahun 2007 dan 26 peratus bagi tahun 2008. Bagi meningkatkan lagi daya saing negara dan mempercepatkan pertumbuhan pelaburan swasta, saya mencadangkan kadar cukai korporat terus dikurangkan kepada 25 peratus pada tahun 2009. Saya yakin langkah ini akan memberi kesan limpahan ke atas pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. Dengan kadar cukai korporat yang lebih rendah dan pengenalan sistem single-tier, lebih banyak dividen dapat diagihkan kepada pemegang saham.

Penambahbaikan Sistem Penyampaian Perkhidmatan Awam[edit]

14. Perkhidmatan awam yang efisien adalah kriteria penting dalam menyediakan persekitaran kondusif bagi menarik pelabur swasta. Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah bagi mempastikan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam, termasuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH). Pasukan ini, yang terdiri daripada wakil sektor awam dan sektor swasta, menumpu kepada aspek-aspek yang dapat meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam serta menambah baik daya saing negara. Saya gembira dalam enam bulan pertama penubuhan PEMUDAH, beberapa penambahbaikan telah pun dilaksanakan. Antaranya:

Pertama: Memendekkan tempoh pembayaran balik cukai pendapatan dari enam bulan ke 14 hingga 30 hari bagi penghantaran menerusi sistem e-filing;
Kedua: Meluluskan pendaftaran perniagaan baru dengan serta merta berbanding tiga hari sebelum ini; dan
Ketiga: Mempercepatkan tempoh kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar dari tiga bulan ke lima minggu.

15. Penglibatan secara langsung sektor swasta dalam PEMUDAH telah membolehkan penyelesaian dan penambahbaikan sistem penyampaian yang lebih berkesan. Antara cadangan yang dikemukakan oleh PEMUDAH ialah langkah untuk mempercepatkan urusan pindah milik hartanah. Selaras dengan cadangan ini, saya ingin mengumumkan bahawa mulai 1 Januari 2008, taksiran duti setem boleh dibuat berdasarkan penilaian pihak swasta. Dengan ini, proses pindah milik boleh diteruskan sementara menunggu penilaian muktamad Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.

16. PEMUDAH juga sedang mengkaji prosedur pengeluaran lesen dan permit perniagaan dengan tujuan untuk mengurangkan bilangannya dan memendekkan tempoh pemprosesan melalui ICT. Usaha ini akan bermula dengan lesen serta permit bagi sektor pembuatan dan perhotelan. Selain itu, bilangan borang yang digunakan oleh jabatan kerajaan akan dikurangkan. Sebagai langkah permulaan, Jabatan Kastam akan menggabungkan 16 borang kastam kepada empat borang berkuatkuasa 1 Januari 2008.

17. Penglibatan sektor swasta dalam pelaksanaan Sistem Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) telah menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam. Dalam perkara ini, Kerajaan telah menggunakan prinsip akauntabiliti dan saling mempercayai bagi mengiktiraf sijil pengesahan yang dikeluarkan oleh profesional swasta. Memandangkan tanggungjawab lebih besar golongan profesional, dan bagi melindungi kepentingan pengguna, Kerajaan mencadangkan potongan cukai diberikan ke atas premium insurans indemniti profesional. Selain itu, untuk meningkatkan akauntabiliti, Kerajaan mencadangkan semua perkhidmatan profesional dan juru perunding adalah tertakluk kepada cukai perkhidmatan.

Memudahkan Kemasukan Pekerja Berkemahiran Tinggi[edit]

18. Mutu modal insan, terutamanya golongan profesional dan berkemahiran, adalah faktor kritikal bagi menarik pelaburan yang berkualiti. Dengan itu, di samping memperkasa modal insan tempatan, Kerajaan akan menggalak dan memudahkan kemasukan pekerja asing berkemahiran yang akan menambah nilai kepada ekonomi negara. Untuk ini, Jabatan Imigresen akan memendekkan tempoh memproses permit kerja kepada tujuh hari untuk pekerja berkemahiran berbanding dengan 14 hari sebelum ini.

19. Jabatan Imigresen juga akan memperkenalkan satu kategori visa baru bagi ahli perniagaan dan profesional asing yang mempunyai tempoh sah lebih panjang. Di samping itu, ciri-ciri lain bagi memudahkan proses kemasukan akan diperkenalkan. Semua langkah ini akan berkuatkuasa 1 Januari 2008.

20. Bilangan syarikat multinasional yang menubuhkan pejabat serantau di Malaysia kian meningkat. Mereka memerlukan kakitangan yang berkemahiran tinggi untuk kerap berulang alik ke negara ini. Adalah penting kemasukan mereka ke negara ini dipermudahkan. Oleh yang demikian, mulai 1 januari 2008, proses mendapatkan pas lawatan profesional bagi pekerja berpengetahuan akan dipercepatkan dengan membolehkan permohonan dibuat di pejabat kedutaan dan konsulat Malaysia di luar negara.

21. Kerajaan telah pun memperkenalkan multiple entry visa (MEV) bagi warganegara China dan India. Pada masa ini, visa tersebut hanya boleh dipohon di negara asal mereka. Kerajaan telah membuat keputusan supaya warganegara China dan India dibenarkan memohon MEV dari mana-mana tempat mereka bermastautin atau bekerja. Sebagai permulaan, kemudahan ini akan diperkenalkan di pusat kewangan antarabangsa, seperti New York, London, Hong Kong dan Singapura, berkuatkuasa 1 Januari 2008.

Meningkatkan Daya Saing Pasaran Modal[edit]

22. Pasaran modal negara telah berkembang pesat dan merupakan antara sumber modal yang penting bagi sektor korporat. Perkembangan pesat ini telah menyumbang kepada peningkatan keyakinan pelabur, terutamanya pelabur asing. Keyakinan ini jelas dicerminkan oleh prestasi Bursa Malaysia. Indeks Komposit Kuala Lumpur melonjak semenjak awal tahun ini, dan mencecah 1,299 mata pada 6 September 2007. Nilai pasaran modal juga telah mencapai satu trilion ringgit. Kini, pasaran modal negara merupakan antara pasaran modal yang terbesar dan aktif di Asia Tenggara.

23. Antara faktor yang menyumbang kepada prestasi pasaran saham ialah kejayaan Program Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). Modal pasaran 45 syarikat GLC telah meningkat sebanyak 129 bilion ringgit iaitu peningkatan sebanyak 61 peratus semenjak Program Transformasi GLC yang telah saya lancarkan pada Mei 2004. Transformasi GLC menghasilkan faedah kepada pelbagai pihak, termasuk pelanggan, pekerja, pembekal, komuniti perniagaan Bumiputera serta Kerajaan. Syarikat sektor swasta lain juga telah berjaya melalui proses transformasi masing-masing. Dalam melangkah ke tahun 2020, saya yakin beberapa syarikat swasta, termasuk GLC, akan muncul sebagai juara serantau, setanding dengan syarikat bertaraf dunia.

Memperkukuh Tadbir Urus Korporat[edit]

24. Tadbir urus korporat yang baik merupakan asas keyakinan pelabur terhadap pasaran modal negara. Saya mengalu-alukan tindakan tegas Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam menangani beberapa kes penyelewengan perakaunan sektor korporat. Semua pihak perlu melipat gandakan usaha bagi memantapkan lagi tahap tadbir urus korporat. Ke arah ini, Kerajaan akan menubuhkan Lembaga Pengawasan Perakaunan Syarikat Awam di bawah kawal selia SC. Lembaga ini akan bertanggungjawab untuk mengawas juruaudit syarikat awam ke arah meningkatkan mutu dan kesahihan audit ke atas penyata kewangan syarikat awam.

25. Selain itu, Kod Tadbir Urus Korporat sedang dipinda untuk meningkatkan kualiti lembaga pengarah syarikat awam tersenarai dengan menetapkan kriteria kelayakan pengarah, jawatankuasa audit dan audit dalaman syarikat awam tersenarai. Pindaan ini akan berkuatkuasa pada 1 Oktober 2007. Untuk meningkatkan tadbir urus jawatankuasa audit, pengarah eksekutif tidak dibenar menganggotainya. Di samping itu, penubuhan fungsi audit dalaman yang efektif diwajibkan bagi semua syarikat tersenarai. Lembaga Pengarah perlu mempastikan skop tanggungjawab, seperti yang ditetapkan oleh SC, dilaksanakan oleh audit dalaman dengan berkesan.

26. Bagi syarikat dan syarikat perantara yang menunjukkan tahap tadbir urus yang tinggi, SC akan memberi status ‘laluan hijau’. Ini termasuk proses kelulusan yang lebih cepat bagi cadangan korporat mereka serta memanjangkan tempoh lesen daripada satu tahun kepada tiga tahun bagi perantara kewangan di peringkat syarikat dan dua tahun bagi individu.

Menggalakkan Penggabungan dan Pengambilalihan[edit]

27. Kerajaan berhasrat untuk meningkatkan kualiti syarikat tersenarai di Bursa Malaysia. Untuk itu, pengecualian duti setem telah diberi ke atas surat cara penggabungan dan pengambilalihan (M&A) syarikat tersenarai yang diluluskan oleh SC sehingga 31 Disember 2007. Bagi menggalakkan lebih banyak syarikat tersenarai melaksanakan M&A, pengecualian ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2010.

28. Kini terdapat lebih daripada seribu vendor dalam sektor petroleum dan gas yang dilesenkan oleh PETRONAS. Walau bagaimanapun, kebanyakannya hanya tertumpu kepada pasaran domestik. Syarikat-syarikat tersebut perlu bergabung untuk menjadi lebih besar dan berdaya saing di peringkat global. Oleh itu, Kerajaan mencadangkan pengecualian duti setem diberi ke atas semua surat cara bagi penggabungan syarikat vendor PETRONAS yang dilaksanakan sebelum 31 Disember 2010.

Syarikat Pengurusan Pelaburan[edit]

29. Bagi menggalakkan industri pengurusan pelaburan, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan:

Pertama: Syarikat pengurusan dana dan syarikat pengurusan REITs dibenar mempunyai pegangan asing sehingga 70 peratus, dengan syarat pegangan Bumiputera tidak kurang daripada 30 peratus; dan
Kedua: SC akan memudahkan proses pelesenan serta segala urusan di antara pemohon dengan jabatan kerajaan yang lain bagi mempercepatkan proses penubuhan operasi syarikat pengurusan dana di Malaysia.

Struktur Komisen Yang Berdaya Saing[edit]

30. Untuk meningkatkan penyertaan pelabur runcit secara langsung dalam dagangan saham dan bagi menggalakkan penggunaan teknologi dalam pasaran modal, kadar komisen bagi dagangan internet dan transaksi tunai secara upfront boleh dirundingkan sepenuhnya. Langkah ini akan mengurangkan lagi kadar komisen. Di samping itu, yuran penjelasan akan dikurangkan daripada 0.04 peratus kepada 0.03 peratus, dengan yuran maksimum sebanyak seribu ringgit. Caj minima bagi transaksi pembrokeran ditetapkan pada kadar baru 40 ringgit bagi setiap transaksi. Langkah-langkah ini akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2008. Menjadikan Malaysia Pusat Kewangan Islam Antarabangsa

31. Selaras dengan objektif Malaysia International Islamic Financial Centre (MIFC) untuk menjadikan Malaysia sebuah pusat kewangan Islam antarabangsa, Kerajaan akan memperkenalkan beberapa langkah, seperti berikut:

Pertama: Membenarkan syarikat pengurusan dana Islam memiliki sehingga 100 peratus pegangan asing;
Kedua: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menyalurkan dana sebanyak 7 bilion ringgit untuk diuruskan oleh syarikat pengurusan dana Islam;
Ketiga: Membenarkan keseluruhan aset yang diuruskan oleh syarikat pengurusan dana Islam dilaburkan di luar negara; dan
Keempat: Memberi pengecualian cukai pendapatan kepada syarikat pengurusan dana ke atas semua pendapatan fi yang diterima berkaitan aktiviti pengurusan dana Islam sehingga tahun taksiran 2016.

32. Dalam konteks membangunkan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa, penyertaan pakar terkemuka antarabangsa di semua bidang kewangan Islam adalah penting. Dengan itu, Kerajaan mencadangkan pengecualian cukai pendapatan diberi kepada juru perunding bukan pemastautin yang mempunyai kepakaran dalam kewangan Islam.

Menggalakkan Pelaburan Dari Timur Tengah[edit]

33. Untuk menarik pelaburan dari Timur Tengah, Kerajaan telah menyediakan insentif cukai bagi syarikat broker saham sedia ada untuk mewujudkan anak syarikat pembrokeran Islam. Bagi meneruskan usaha menggalakkan aliran masuk pelaburan dari Timur Tengah ke Malaysia, tiga lesen baru broker saham akan ditawarkan kepada syarikat terkemuka yang boleh menarik dana dan menjadi perantara bagi aliran perniagaan dan urus niaga dari Timur Tengah.

Industri Takaful[edit]

34. Industri takaful yang diwujudkan semenjak tahun 1985, telah berkembang dan kini mempunyai aset bernilai 7.6 bilion ringgit. Untuk meningkatkan lagi perniagaan Takaful, Kerajaan mencadangkan untuk menambah baik layanan cukai, termasuk membenarkan potongan cukai ke atas perkongsian keuntungan yang diagihkan.

Meningkatkan Daya Saing Labuan Sebagai Pusat Kewangan Luar Pesisir[edit]

35. Dalam menghadapi persekitaran global yang lebih kompetitif, Kerajaan perlu mempastikan Pusat Kewangan Antarabangsa Luar Pesisir Labuan terus berdaya saing. Para pelabur di Labuan menjalankan pelbagai perkhidmatan kewangan dan memerlukan layanan cukai yang lebih fleksibel. Dengan ini, Kerajaan mencadangkan syarikat luar pesisir Labuan diberi pilihan untuk dikenakan cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, sebagai tambahan kepada pilihan semasa.

Merangsang Sektor Hartanah[edit]

36. Untuk menggalakkan sektor pembinaan hartanah, saya telah mengumumkan barubaru ini pengecualian cukai keuntungan harta tanah. Bagi terus mempergiatkan sektor hartanah, terutamanya perumahan, Kerajaan mencadangkan pengecualian 50 peratus duti setem diberi ke atas surat cara pindah milik bagi sebuah rumah yang tidak melebihi 250,000 ringgit seunit. Langkah ini akan mengurangkan kos pembelian sebuah rumah sehingga 2,000 ringgit.

37. Kerajaan berusaha untuk terus meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam sektor hartanah. Untuk ini, Pelaburan Hartanah Bumiputera Berhad (PHBB) telah memperoleh beberapa hartanah di lokasi strategik untuk dibangunkan sebagai projek komersil bernilai tinggi. Antara projek komersil ialah Penang Sentral yang merupakan projek terminal pengangkutan dan logistik bersepadu di Wilayah Ekonomi Koridor Utara. Di samping itu, satu dana permulaan bernilai 400 juta ringgit telah diwujudkan oleh PHBB bagi meningkatkan pelaburan hartanah Bumiputera di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).

38. Dalam Bajet 2007, dana pelaburan strategik WPI telah ditubuhkan dengan peruntukan permulaan sebanyak 200 juta ringgit, sebagai pemangkin pelaburan baru dalam sektor keutamaan di WPI. Dana ini telah berjaya mendapat komitmen sektor swasta untuk melabur lebih satu bilion ringgit untuk projek pendidikan, seperti universiti swasta. Kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak 100 juta ringgit, terutamanya untuk menarik pelaburan berkaitan perkhidmatan kesihatan.

Sektor Pertanian[edit]

39. Teras utama pembangunan sektor pertanian ialah untuk menjadikan sektor ini salah satu sumber utama pertumbuhan ekonomi negara. Untuk tujuan ini, sebanyak 6.5 bilion ringgit diperuntukkan bagi sektor pertanian. Antara program yang akan dilaksanakan ialah meningkatkan pengeluaran padi, menggalakkan penanaman florikultur, herba dan rempah ratus. Bagi sub sektor perikanan, peruntukan disediakan untuk meningkatkan hasil tangkapan ikan dan pengeluaran produk industri perikanan serta membangunkan industri akuakultur di bawah 39 projek berimpak tinggi. Peruntukan juga disediakan untuk pembangunan industri ternakan haiwan.

40. Di samping itu, beberapa sumber pertumbuhan baru dalam sektor pertanian telah dikenal pasti untuk dimajukan, seperti projek perintis pemprosesan minyak kelapa dara (virgin coconut oil), pengkomersilan produk nira nipah dan penternakan baka Kambing Boer. Peruntukan juga akan disediakan bagi projek perintis penghasilan baja organik, penanaman menggunakan teknik penggabungan pembajaan dan pengairan serta pelaksanaan mekanisasi dan automasi untuk pekebun kecil.

Sektor Bioteknologi[edit]

41. Bioteknologi akan terus dibangunkan melalui penyediaan infrastruktur dan kemudahan teknologi bagi memupuk keusahawanan dan penyertaan aktif sektor swasta. Bagi tujuan ini, sebanyak 236 juta ringgit disediakan dalam Bajet 2008. Antara projek yang akan dilaksanakan ialah perolehan teknologi, pembangunan pusat penyelidikan biodiversiti dan pusat komersialisasi bioteknologi, serta penyelidikan kompaun anti kanser. Dalam usaha terus menggalakkan kerjasama antara syarikat bioteknologi dan universiti tempatan, syarikat berstatus Bionexus dibenar menggunakan makmal dan kemudahan penyelidikan di pusat-pusat universiti tempatan. Dengan ini, keupayaan kemudahan dan makmal penyelidikan di universiti tempatan dapat dioptimumkan.

Sektor ICT[edit]

42. Inisiatif Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia telah masuk ke tahun kesebelas pelaksanaannya. Industri ICT tempatan semakin matang dan berjaya. Sebahagian besar syarikat ICT tempatan berstatus MSC Malaysia mempunyai produk dan perkhidmatan bertaraf dunia dan telah bersedia untuk memasarkannya di pasaran global. Kerajaan akan menyokong usaha ini dengan mempergiatkan aktiviti pemasaran antarabangsa untuk membolehkan syarikat MSC Malaysia tempatan memperoleh lebih banyak projek antarabangsa.

43. Dalam usaha memperhebatkan lagi promosi MSC Malaysia di persada antarabangsa, Kerajaan akan menganjurkan Minggu ICT Dunia di Kuala Lumpur pada Mei 2008. Pelbagai persidangan dan ekspo ICT bertaraf antarabangsa akan berlangsung, termasuk persidangan World Congress on IT 2008, persidangan United Nations Global Alliance on ICT for Development dan Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa MSC. Lebih lima ribu peserta antarabangsa dan tempatan dijangka mengambil bahagian dalam kesemua program tersebut. Adalah diharapkan lebih banyak syarikat ICT antarabangsa akan melabur dan bekerjasama dengan syarikat tempatan.

44. Pelbagai langkah akan diambil untuk menambah lagi daya tarikan Cyberjaya sebagai Bandar Siber utama yang dapat terus menarik syarikat teknologi bertaraf dunia. Ini termasuk pembinaan sekolah antarabangsa dan perumahan mampu milik serta mempertingkatkan tahap keselamatan di Cyberjaya.

Sektor Pelancongan[edit]

45. Program Tahun Melawat Malaysia 2007 telah berjaya menarik lebih ramai pelancong. Sehingga Jun, seramai 10.7 juta pelancong telah melawat Malaysia berbanding dengan 8.6 juta pelancong dalam tempoh yang sama tahun 2006. Ini adalah pencapaian yang cemerlang. Untuk meningkatkan lagi daya tarikan negara sebagai destinasi pelancongan utama, Kerajaan memperuntukkan 858 juta ringgit bagi pelaksanaan pelbagai program, termasuk penyediaan dan peningkatan kemudahan pelancongan serta mempelbagaikan produk pelancongan. Peruntukan sebanyak 22 juta ringgit disediakan untuk meningkatkan aktiviti homestay bagi 47 buah kampung terpilih. Di samping itu, pembangunan projek ekopelancongan akan dilaksanakan untuk menjana pendapatan penduduk luar bandar dan masyarakat Orang Asli.

Menggalakkan Perkembangan Perusahaan Kecil Dan Sederhana[edit]

46. Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dikenal pasti sebagai peneraju penting pertumbuhan ekonomi negara. Kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif untuk membangunkan sektor ini. Kerajaan sedar PKS mungkin menghadapi kesukaran aliran tunai pada peringkat awal penubuhan. Bagi mengurangkan beban ini, Kerajaan mencadangkan syarikat PKS diberi fleksibiliti membayar cukai pada akhir tahun kewangan dan bukannya secara ansuran bulanan. Kelonggaran ini adalah untuk tempoh dua tahun mulai tarikh syarikat memulakan operasi.

Strategi Kedua: Memperkasa Pembangunan Modal Insan[edit]

Tuan Yang DiPertua,

47. Modal insan berkualiti adalah antara faktor terpenting dalam mempastikan Malaysia mencapai matlamat menjadi sebuah negara maju. Oleh itu, aspek kualiti pendidikan dan latihan terus diberi penekanan.

Memperkasa Sekolah Rendah dan Menengah[edit]

48. Sejumlah 30 bilion ringgit disediakan bagi Kementerian Pelajaran. Peruntukan ini turut merangkumi pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, termasuk Program Sekolah Cemerlang, memartabat profesion keguruan dan merapatkan jurang pendidikan di antara bandar dan luar bandar. Untuk meningkatkan lagi kualiti dan prestasi sekolah, 60 buah sekolah kluster akan diwujudkan dalam tahun 2008. Peruntukan berjumlah 500 ribu ringgit akan diberi bagi setiap sekolah kluster untuk tujuan aktiviti kokurikulum, latihan dan pembelian peralatan pembelajaran.

Pendidikan Percuma Untuk Semua[edit]

49. Kerajaan komited melaksanakan langkah progresif untuk meningkatkan akses dan mengurangkan kos pendidikan. Pada tahun lalu, saya telah mengumumkan pemansuhan yuran peperiksaan PMR, SPM dan STPM. Sebagai tambahan, saya ingin mengumumkan yuran peperiksaan bagi Sijil Tinggi Agama Malaysia akan dimansuhkan. Dengan itu, yang tinggal hanya yuran tahunan sekolah rendah dan menengah. Saya juga sukacita mengumumkan, mulai tahun 2008, yuran sekolah ini turut dimansuhkan.

50. Saya juga ingin mengumumkan bahawa bermula sesi persekolahan tahun hadapan, Skim Pinjaman Buku Teks akan diperluaskan kepada semua pelajar tanpa mengira pendapatan isi rumah dan bilangan anak yang layak. Peluasan Skim ini akan memberi manfaat kepada 5.7 juta pelajar berbanding 4.5 juta pelajar pada masa ini. Dengan langkah-langkah ini, pendidikan di negara ini adalah seratus peratus percuma.

51. Penyertaan pelajar secara aktif dalam kegiatan ko-kurikulum, seperti badan beruniform, persatuan dan kelab serta sukan, adalah penting dalam membantu pembentukan sahsiah dan membina kualiti kepimpinan pelajar. Bagi mempastikan bahawa setiap pelajar mendapat peluang untuk melibatkan diri di dalam aktiviti kokurikulum beruniform, Kerajaan akan memberi sepasang pakaian seragam percuma bagi satu kegiatan kepada pelajar sekolah daripada keluarga yang berpendapatan isi rumah seribu ringgit sebulan dan ke bawah.

Memartabatkan Profesion Keguruan[edit]

52. Untuk mengiktiraf peranan penting guru dan memartabatkan profesion keguruan, Kerajaan akan melaksanakan langkah-langkah berikut:

Pertama: Meningkatkan elaun guru pendidikan khas daripada 100 ringgit kepada 250 ringgit sebulan;
Kedua: menaikkan kadar elaun guru ganti berkelulusan ijazah daripada 85 ringgit kepada 150 ringgit sehari; dan
Ketiga: Menyediakan elaun sebanyak 60 ringgit sejam bagi lepasan ijazah dan 50 ringgit sejam bagi lepasan diploma kepada guru yang mengajar bahasa Cina dan Tamil di sekolah kebangsaan.

53. Guru-guru yang telah bersara masih berupaya menyumbang kepada bidang pendidikan. Pengetahuan dan pengalaman luas mereka harus dimanfaatkan sepenuhnya. Untuk ini, guru-guru pesara akan diambil untuk berkhidmat sebagai guru ganti dan tenaga pengajar untuk guru pelatih.

Peranan Badan Amal Dalam Pendidikan[edit]

54. Kerajaan menghargai usaha badan amanah dan pertubuhan amal yang membiayai dan mengurus dengan baik sebilangan sekolah rendah dan menengah. Bagi menyokong usaha tersebut, Kerajaan mencadangkan sekolah-sekolah ini diberikan pengecualian cukai pendapatan. Pengecualian ini akan memberi manfaat, khususnya kepada sekolah Cina dan Tamil serta sekolah agama.

Memantapkan Pengajian Tinggi[edit]

55. Pada 27 Ogos lalu, Pelan Strategik Pengajian Tinggi telah dilancarkan. Pelan tersebut bertujuan untuk mentransformasikan sektor pengajian tinggi negara bagi menghasilkan modal insan kelas pertama serta membangunkan institusi pengajian tinggi bertaraf dunia.

56. Sebanyak 12 bilion ringgit diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai projek dan program, antaranya:

Pertama: Meningkatkan aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan di empat buah Universiti Penyelidikan;
Kedua: Meningkatkan peruntukan kepada Universiti Teknologi MARA bagi mencapai sasaran 200,000 mahasiswa menjelang tahun 2010;
Ketiga: Menaik taraf serta memperluaskan Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Darul Iman dan Universiti Pertahanan; dan
Keempat: Menjenamakan semula kolej komuniti melalui penyediaan kursus di peringkat diploma, menubuhkan kolej komuniti baru dan menggiatkan kolaborasi dengan syarikat swasta.

57. Pada masa ini, lebih 90,000 orang pelajar yang ditaja oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan MARA di universiti tempatan. Walaupun begitu, masih terdapat kekurangan pelajar dalam beberapa bidang khusus. Oleh itu, Kerajaan akan meningkatkan jumlah pelajar Ijazah Pertama yang ditaja oleh JPA di universiti tempatan daripada lima ribu setahun kepada sepuluh ribu orang pelajar mulai 2008.

Kenaikan Kadar Biasiswa[edit]

58. Kerajaan sedar bahawa kos sara hidup pelajar telah meningkat. Oleh yang demikian, Kerajaan akan meningkatkan elaun sara hidup pelajar di semua peringkat pengajian tinggi tempatan, termasuk kursus persediaan dan kursus bahasa. Peningkatan elaun tersebut adalah di antara 23 peratus sehingga 84 peratus. Kadar baru ini berkuatkuasa mulai semester pertama sesi 2007. Lebih 90,000 pelajar akan mendapat manfaat daripada kenaikan ini.

59. Pada masa ini, Kerajaan menaja seramai 17,000 ribu pelajar di universiti luar negeri. Kerajaan telah pun meningkatkan elaun sara hidup di Australia, New Zealand, Mesir dan Korea Selatan pada tahun 2006. Kini, Kerajaan akan meningkatkan elaun sara hidup pelajar di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada sehingga 97 peratus, iaitu hampir dua kali ganda, berkuatkuasa September 2007.

Mempertingkatkan Program Latihan dan Kemahiran[edit]

60. Sejumlah dua bilion ringgit telah diperuntukkan kepada pelbagai agensi latihan kerajaan untuk meningkatkan bilangan dan kualiti pekerja terlatih selaras dengan keperluan pasaran. Daripada jumlah tersebut, 480 juta ringgit diperuntukkan untuk program latihan GiatMARA dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) serta latihan kemahiran di Institut Kemahiran Belia Negara.

61. Bagi meningkatkan kapasiti institusi latihan, 550 juta ringgit diperuntukkan untuk menaik taraf politeknik dan kolej komuniti. Sejumlah 750 juta ringgit pula diperuntukkan untuk membina sebuah Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di Taiping dan sebuah ILP di Marang. Peruntukan ini juga akan digunakan untuk menaik taraf ILP dan ADTEC di seluruh negara dan untuk membina lapan buah MRSM, empat buah IKM dan 28 pusat GiatMARA.

62. Skop Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) akan diperluaskan. Kelonggaran akan diberikan kepada syarikat untuk memilih program latihan dan pendidikan lanjutan kepada kakitangan. Bagi tujuan ini, Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad, 2001 akan dipinda untuk membolehkan majikan:

Pertama: Mendapat bantuan kewangan bagi melatih pekerjanya sehingga ke peringkat sarjana atau ijazah doktor falsafah, terutamanya dalam bidang teknologi baru dan teknologi tinggi;
Kedua: Mendapat bantuan kewangan bagi melatih pekerja walaupun majikan itu mempunyai tunggakan levi atau tunggakan faedah atas levi; dan
Ketiga: Menyediakan peluang latihan amali di premis mereka kepada pelajar universiti atau pelatih institusi latihan.

63. Bagi menampung kekurangan pekerja mahir dalam sektor pembinaan, penggunaan tabung Lembaga Kemajuan Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) akan dipertingkatkan. Untuk tujuan ini, CIDB akan melaksanakan Program Latihan Masterskills yang meliputi kemahiran dalam pengurusan dan pembinaan fizikal. Bagi tahun 2008, seramai 50 ribu pekerja dalam sektor pembinaan akan dilatih dalam program ini dengan kos berjumlah seratus juta ringgit.

Pembelajaran Sepanjang Hayat[edit]

64. Saya sering menekankan peri pentingnya untuk kita sentiasa menambah nilai pada diri. Bagi menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat di kalangan rakyat Malaysia, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai sehingga 5,000 ringgit ke atas yuran pengajian diperluaskan kepada semua bidang di peringkat pasca ijazah.

Penyelidikan, Pembangunan dan Pengkomersilan[edit]

65. Kerajaan akan mempergiatkan lagi aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan, terutamanya pengkomersilan penemuan R&D tempatan. Bagi tahun 2008, Dana Sains diperuntukkan 230 juta ringgit dan 300 juta ringgit disediakan untuk Dana Tekno. Selain itu, 546 juta ringgit disediakan bagi program R&D institusi penyelidikan. Untuk memudah dan mempercepatkan pengeluaran dana R&D pertanian, sejumlah 300 juta ringgit dipindahkan daripada baki siling Dana Sains dan Dana Tekno kepada Kementerian Pertanian.

66. Kerajaan akan terus menyokong aktiviti R&D dan pengkomersilan. Pada masa ini, pembahagian royalti pengkomersilan R&D adalah 50 peratus kepada institut penyelidikan dan baki 50 peratus dibahagi di antara institut penyelidikan dan penyelidik. Untuk menggalakkan lebih banyak aktiviti pengkomersilan serta untuk memberi insentif lebih baik kepada penyelidik, kadar pembayaran royalti kepada penyelidik ditingkatkan kepada 80 peratus dan baki 20 peratus kepada institut penyelidikan.

67. Pejabat Perlesenan Teknologi (TLO) telah ditubuhkan di institusi penyelidikan, seperti SIRIM dan Universiti Sains Malaysia. Pejabat ini didapati efektif dalam menyelaras kegiatan R&D serta perolehan paten. Oleh itu, lebih banyak pejabat TLO akan ditubuhkan di pusat penyelidikan dan universiti awam yang lain.

Pembangunan Modal Insan ICT[edit]

68. Bagi mempastikan bekalan tenaga kerja berkemahiran tinggi menepati permintaan industri ICT, Knowledge Workers Development Institute akan dibangunkan di Cyberjaya. Sebuah Pusat Animasi Digital MSC Malaysia juga akan diwujudkan di Cyberjaya untuk menyokong pembangunan industri animasi digital serta meningkatkan kepakaran tempatan dalam bidang tersebut.

Membangun Masyarakat Berpengetahuan[edit]

69. Selaras dengan usaha mewujudkan ekonomi berasaskan pengetahuan dan merapatkan jurang digital, satu sasaran utama Kerajaan adalah untuk mencapai kadar penembusan jalur lebar 50 peratus daripada isi rumah menjelang tahun 2010, berbanding dengan 12 peratus pada masa ini. Untuk itu, perkongsian awam dan swasta yang efektif adalah perlu untuk mempercepatkan pelaksanaan peluasan jalur lebar. Satu langkah yang akan dilaksanakan ialah menggalakkan pemaju menyediakan infrastruktur telekomunikasi di kawasan perumahan baru. Kerajaan juga akan meningkatkan pemantauan terhadap kemajuan penyedia perkhidmatan dalam memperluaskan aplikasi jalur lebar.

70. Kerajaan juga mencadangkan:

Pertama: Penyedia kemudahan rangkaian sambungan terakhir diberi Elaun Pelaburan 100 peratus ke atas perbelanjaan modal infrastruktur bagi perkhidmatan jalur lebar sehingga 31 Disember 2010;
Kedua: Pengecualian duti import dan cukai jualan diberikan ke atas peralatan jalur lebar dan peralatan capaian pengguna; dan
Ketiga: Potongan cukai diberi kepada majikan yang menyediakan manfaat komputer baru dan pembayaran langganan jalur lebar bagi kakitangan. Manfaat yang diterima oleh kakitangan juga diberi pengecualian cukai.

Strategi Ketiga: Menjamin Kesejahteraan Rakyat[edit]

Program Perumahan untuk Rakyat[edit]

71. Satu langkah penting bagi membantu golongan berpendapatan rendah menikmati taraf hidup yang lebih selesa ialah dengan menyediakan perumahan mampu milik yang mencukupi. Selaras dengan hasrat tersebut, Kerajaan akan mempergiatkan lagi program pembinaan rumah kos rendah dan kos sederhana.

72. Sejumlah 381 juta ringgit disediakan bagi melaksanakan perumahan rakyat kos rendah. Dari jumlah tersebut, 191 juta ringgit diperuntukkan bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) Disewa dan 190 juta ringgit bagi PPR Bersepadu. Pada masa ini, 12 ribu unit PPR Disewa dan 25 ribu unit PPR Bersepadu sedang dalam peringkat pelaksanaan.

73. Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan juga mempergiatkan pembinaan rumah bagi golongan berpendapatan rendah, seperti berikut:

Pertama: 6,000 unit di bawah Program Pemulihan Rumah Terbengkalai;
Kedua: 36,000 unit di bawah Program Perumahan Mampu Milik; dan
Ketiga: 4,000 unit di bawah Program Rumah Mesra Rakyat.

74. Kerajaan amat prihatin atas kesukaran golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap, seperti petani dan pengusaha kecil, mendapatkan pinjaman bank untuk membiayai pembelian rumah kos rendah dan sederhana. Ini termasuk mereka yang mempunyai keupayaan untuk membayar balik pinjaman perumahan tetapi tidak dapat menyediakan bukti pendapatan mereka. Dengan itu, Kerajaan akan menyediakan dana sebagai jaminan kepada bank untuk memberi pinjaman perumahan kepada golongan ini. Sebagai permulaan, 50 juta ringgit telah disediakan sebagai jaminan kepada Bank Simpanan Nasional dan Bank Islam Berhad, berkuatkuasa 1 Januari 2008. Kerajaan yakin kemudahan ini dapat membantu golongan berpendapatan rendah yang tidak mempunyai pendapatan tetap untuk memperoleh pinjaman perumahan.

75. Rumah merupakan aset terpenting. Lazimnya, nilai rumah bukan sahaja terus meningkat dalam jangka panjang, bahkan rumah merupakan jaminan kesejahteraan masa hadapan. Sebahagian besar daripada pendapatan bulanan rakyat dibelanjakan untuk bayaran bulanan pinjaman perumahan. Untuk meringankan beban ini, sukacita saya mengumumkan bahawa Kerajaan akan membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan baki dalam Akaun 2 setiap bulan untuk tujuan membantu pembayaran ansuran pinjaman perumahan. Setiap pencarum dibenarkan menggunakan kemudahan ini untuk membiayai pinjaman sebuah rumah, berkuatkuasa 1 Januari 2008.

76. Ini merupakan satu langkah penting yang akan memberi manfaat kepada kesemua lima juta pencarum aktif KWSP. Skim ini akan membolehkan pencarum memiliki rumah yang lebih selesa serta meringankan beban kewangan mereka. Skim ini akan membolehkan sebanyak 9.6 bilion ringgit setahun dikeluarkan oleh pencarum untuk membeli rumah.

77. Sebanyak 9,600 unit kuarters telah siap dibina di seluruh negara pada tahun 2007 untuk menyediakan perumahan yang mencukupi bagi kakitangan Kerajaan, manakala 13,000 unit lagi dijangka siap pada tahun 2008. Kerajaan memperuntukkan sebanyak 887 juta ringgit pada tahun 2008 untuk membina lebih banyak kuarters kakitangan awam di seluruh negara.

Pengangkutan Awam Yang Cekap[edit]

78. Kerajaan sedar bahawa sistem pengangkutan awam yang efisien dan selesa adalah penting, khasnya untuk golongan berpendapatan rendah. Sistem pengangkutan yang cekap juga perlu untuk mengatasi masalah kesesakan jalan raya dan meningkatkan produktiviti. Untuk ini, Kerajaan telah pun mengambil beberapa langkah untuk mewujudkan sistem pengangkutan awam yang komprehensif, termasuk rel dan bas, khususnya di bandar-bandar utama. Dalam tempoh empat tahun yang akan datang, sebanyak 12 bilion ringgit akan dibelanjakan untuk meningkatkan pengangkutan awam di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Untuk mengurangkan kesesakan jalan raya di Pulau Pinang, Lebuh Raya Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR) akan mula dilaksanakan secara tender dalam tempoh terdekat. Bandar-bandar utama lain akan turut disediakan dengan sistem pengangkutan awam yang selesa.

Pembangunan Seimbang[edit]

79. Satu agenda terpenting Kerajaan adalah untuk mempastikan pembangunan tersebar luas ke seluruh negara. Ke arah ini, pembangunan koridor ekonomi terus dipergiatkan, bermula dengan Wilayah Pembangunan Iskandar dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara. Saya bersyukur kedua-dua rancangan besar ini telah diterima baik oleh rakyat. Seterusnya, Wilayah Ekonomi Pantai Timur serta Koridor Sabah dan Koridor Sarawak akan dilancarkan dalam masa terdekat.

80. Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada usaha membangunkan negeri Sabah dan Sarawak. Sejumlah empat bilion ringgit disediakan untuk melaksanakan pelbagai projek bagi meningkatkan kualiti hidup di Sabah. Di antara projek utama ialah pembinaan Jalan Kota Marudu-Ranau, Jalan Lingkaran Utara Sandakan, menaik taraf Jalan Kota Belud-Langkon, perkhidmatan kesihatan luar bandar, kemudahan hospital, perumahan kos rendah, bekalan elektrik dan air serta menaik taraf jalan dan rel kereta api.

81. Sejumlah empat bilion ringgit diperuntukkan bagi pelaksanaan projek pembangunan di Sarawak. Antara projek utama adalah pembinaan Jalan Kota Samarahan - Gumpeh, menaik taraf Jalan Kuching - Sibu, perkhidmatan kesihatan luar bandar, Universiti Putra Malaysia, IKM Bintulu, projek bekalan air dan elektrik serta projek pembetungan dan projek gantian Jambatan Batang Lupar, Samarahan. Saya yakin projek-projek ini akan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat Sarawak.

82. Mulai tahun 2006, Kerajaan juga telah melaksanakan projek bekalan elektrik bagi sekolah-sekolah di negeri Sarawak dengan peruntukan satu bilion ringgit. Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun ini. Projek yang sama akan dilaksanakan di Sabah pada tahun 2008.

83. Bagi mempergiatkan aktiviti pelancongan di Sabah dan Sarawak, sejumlah 200 juta ringgit disediakan di bawah Tabung Infrastruktur Pelancongan yang diuruskan oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad. Keutamaan akan diberi kepada projek pelancongan yang memanfaatkan kekayaan semula jadi Sabah dan Sarawak.

84. Usaha akan terus diambil untuk meningkatkan pendapatan dan taraf hidup Bumiputera, termasuk kaum Iban, Bidayuh, Melanau dan Melayu di Sarawak serta kaum Kadazan-Dusun, Melayu, Bajau dan Murut di Sabah. Untuk tujuan ini, sebanyak 800 juta ringgit diperuntukkan bagi Sarawak dan Sabah. Di antara langkah yang akan dilaksanakan, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah, termasuk program perumahan, latihan kemahiran dan keusahawanan, projek bekalan elektrik dan air, jalan kampung dan pendidikan prasekolah.

Membasmi Kemiskinan Tegar[edit]

85. Kerajaan komited untuk menghapuskan kemiskinan tegar menjelang 2010. Selaras dengan ini, sejumlah 214 juta ringgit diperuntukkan bagi pelaksanaan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat untuk tujuan pembasmian kemiskinan. Kerajaan akan menekankan, antara lain, langkah-langkah untuk meningkatkan pendapatan isi rumah, memperkukuh pembangunan modal insan serta memberi bantuan perumahan kepada golongan miskin tegar. Di samping itu, sejumlah 117 juta ringgit diperuntukkan bagi melaksanakan Program Pengurangan Kemiskinan dan Program Lonjakan Mega. Program ini adalah pembangunan bersepadu untuk menjana pendapatan penduduk di kawasan kurang maju dan terpencil.

Kemiskinan Bandar[edit]

86. Langkah akan terus diambil untuk mengatasi kemiskinan bandar, termasuk pembinaan rumah kos rendah dengan bilangan yang mencukupi, penyediaan peluang pekerjaan serta pembaikan kemudahan dan pengangkutan awam. Bagi menggalakkan lebih ramai individu memulakan perniagaan sendiri, pelbagai program keusahawanan dan latihan kemahiran telah disediakan. Bagi tujuan ini, kemudahan sedia ada di kawasan bandar akan ditambah untuk menyediakan latihan bagi pelajar yang tercicir untuk membolehkan mereka mendapat pekerjaan, khasnya mereka yang tidak tamat persekolahan di peringkat PMR dan SPM. Dalam konteks ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan berjumlah 30 juta ringgit untuk NGO mengadakan program latihan yang bersesuaian bagi golongan pelajar tercicir, serta memperluaskan program Kolej Komuniti dan GiatMARA ke kawasan bandar.

Pembangunan Luar Bandar[edit]

87. Kerajaan bertekad untuk merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dengan luar bandar. Sehubungan ini, pelbagai program akan dilaksanakan untuk meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat desa melalui penyediaan prasarana asas, seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik. Di samping itu, usaha turut dilaksanakan untuk menyediakan kemudahan ICT di luar bandar. Pada tahun 2008, sebanyak 680 juta ringgit disediakan untuk pembinaan jalan luar bandar dan jalan kampung, 462 juta ringgit untuk projek bekalan air dan elektrik luar bandar, 70 juta ringgit untuk kemudahan sosial dan 15 juta ringgit bagi pendidikan ICT di luar bandar. Selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memperuntukkan 45 juta ringgit bagi melaksanakan projek SchoolNet untuk menyediakan perkhidmatan internet di sekolahsekolah.

Meningkatkan Taraf Hidup Masyarakat Orang Asli[edit]

88. Kerajaan komited untuk meningkatkan taraf kehidupan masyarakat Orang Asli. Ke arah ini, 170 juta ringgit diperuntukkan kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli untuk melaksanakan pelbagai program dan projek. Sejumlah 50 juta ringgit daripada peruntukan tersebut disediakan bagi Program Bantuan Rumah dan kemudahan sosial di kawasan penempatan Orang Asli.

Belia dan Sukan[edit]

89. Generasi muda harus dipupuk dengan kualiti kepimpinan dan sikap positif. Untuk tujuan ini, program belia dan sukan adalah penting dalam pembentukan peribadi. Sejumlah 984 juta ringgit diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan belia dan sukan, termasuk Program Rakan Muda. Sejumlah 677 juta ringgit disediakan bagi melatih seramai 110 ribu remaja di bawah Program Latihan Khidmat Negara. Untuk mempromosikan sukan di kalangan rakyat, sejumlah 217 juta ringgit disediakan untuk membiayai projek berkaitan sukan. Ini termasuk menaik taraf dan menyelenggarakan kompleks dan kemudahan sukan negeri serta kompleks sukan komuniti. Sebagai tambahan, untuk menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan rakyat, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai individu sehingga 300 ringgit setahun diberi ke atas pembelian peralatan sukan dan senaman.

Wanita, Keluarga dan Masyarakat[edit]

90. Kekuatan Malaysia turut terbina atas penyertaan wanita dalam pembangunan negara. Kebolehan dan keupayaan wanita telah digilap sepenuhnya tanpa diskriminasi. Status wanita di Malaysia dapat dibanggakan berbanding banyak negara. Wanita terus diberi peluang yang sama untuk menjawat jawatan penting. Kerajaan akan mempastikan bahawa bakat dan potensi wanita terus dimanfaatkan sepenuhnya.

91. Bagi tahun 2008, Kerajaan memperuntukkan 782 juta ringgit untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Antara program dan projek yang akan dilaksanakan merangkumi program pembangunan kapasiti dan kemahiran wanita, khususnya ibu tunggal, serta usaha mengimarah Rumah Nur.

92. Kerajaan akan menggalakkan kaum ibu untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di rumah. Ini akan memberi peluang pekerjaan bagi suri rumah di samping membolehkan lebih ramai wanita untuk menyertai pasaran kerja. Untuk tujuan ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan permulaan sebanyak sepuluh juta ringgit bagi membolehkan NGO memberi latihan kepada suri rumah mengenai kaedah penjagaan bayi dan kanak-kanak.

93. Pendidikan awal adalah penting dalam usaha membentuk kanak-kanak menjadi insan cemerlang. Untuk tujuan ini, program pendidikan pra-sekolah akan diperluaskan dengan membina sebanyak 280 buah TABIKA baru di seluruh negara dengan peruntukan 105 juta ringgit. Dengan ini, bilangan TABIKA akan bertambah kepada lebih 7,600 buah bagi menampung hampir 300 ribu kanak-kanak berumur di antara empat hingga enam tahun. Sejumlah 270 juta ringgit disediakan bagi pembayaran elaun kakitangan kontrak KEMAS dan 134 juta ringgit untuk makanan tambahan, geran per kapita serta program peningkatan kelayakan akademik guru TASKA dan TABIKA. Pada tahun 2008, tiga Pusat Anak Permata Negara akan beroperasi, menjadikan jumlah keseluruhan 15 pusat bagi membantu dan memudah cara proses pendidikan awal anak.

94. Untuk mengeratkan lagi hubungan kasih sayang antara suami dan isteri, serta menjamin kesejahteraan keluarga, Kerajaan mencadangkan pengecualian duti setem sepenuhnya diberi ke atas pindah milik hartanah daripada suami kepada isteri. Dalam keadaan di mana isteri hendak memindahkan hartanah kepada suami, pengecualian ini juga akan terpakai.

Menjamin Kebajikan Warga Emas[edit]

95. Ramai pesara bergantung kepada pendapatan daripada simpanan untuk keperluan kewangan mereka apabila tidak lagi bekerja. Untuk membantu golongan ini meningkatkan pulangan daripada simpanan mereka, bon bernilai dua bilion ringgit akan diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia untuk dilanggan oleh warga emas yang berumur 55 tahun dan ke atas yang tidak mempunyai pekerjaan tetap. Kadar maksimum bon yang boleh dilanggan adalah 50 ribu ringgit seorang dengan tempoh matang selama tiga tahun dengan kadar pulangan lima peratus. Penerbitan bon ini adalah lanjutan kepada bon-bon yang pernah diterbitkan bernilai 3.5 bilion ringgit.

96. Bagi mengurangkan beban kewangan warga emas yang miskin dan berkeperluan, Kerajaan akan menaikkan kadar bantuan mereka dari 200 ringgit sebulan kepada 300 ringgit sebulan berkuatkuasa 1 Januari 2008.

97. Jabatan Kebajikan Masyarakat mengendalikan sembilan buah Rumah Seri Kenangan di seluruh negara yang menyediakan kemudahan tempat tinggal untuk 2,000 warga emas. Di samping itu, terdapat 148 rumah warga emas yang dikendalikan oleh NGO menempatkan 3,700 warga emas. Untuk menambah kemudahan sedia ada, Kerajaan akan membantu NGO dengan memperuntukkan geran sepadan sejumlah 25 juta ringgit.

Bantuan Kebajikan Untuk Orang Kurang Upaya[edit]

98. Kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan masyarakat OKU. Untuk membantu mereka, Kerajaan akan:

Pertama: Menaikkan kadar elaun bulanan pekerja OKU kepada 300 ringgit daripada 200 ringgit;
Kedua: Memberi bantuan khas sebanyak 300 ringgit sebulan kepada penjaga OKU yang terlantar dan pesakit yang mengidap penyakit kronik; dan
Ketiga: Membenarkan potongan cukai kepada majikan ke atas kos pengubahsuaian tempat kerja bagi pekerja OKU untuk menggalakkan sektor swasta mengambil lebih ramai pekerja OKU.

99. Golongan OKU adalah sebahagian daripada tenaga kerja yang perlu turut digembleng supaya dapat sama-sama menyumbang kepada negara. Bagi sesetengah pekerjaan seperti pekerja di plaza tol, pemasang di kilang, telefonis dan beberapa jenis pekerjaan yang lain, golongan OKU seharusnya diberikan keutamaan untuk menyertainya. Oleh itu, saya menyeru pihak majikan agar memberi lebih banyak peluang kepada golongan ini.

Kesihatan Kunci Kecemerlangan[edit]

100. Kerajaan akan terus melaksanakan langkah bagi mempastikan semua rakyat dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang memuaskan. Untuk ini, sejumlah 13 bilion ringgit diperuntukkan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan hospital, memperoleh bekalan ubat dan menyediakan kemudahan peralatan kesihatan. Antara projek utama yang akan dilaksanakan pada tahun 2008 adalah pembinaan Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Ulu Kinta, Kolej Kejururawatan Kuala Pilah, Hospital Kluang, Hospital Tampin, Hospital Rehabilitasi Cheras, serta Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur.

101. Peruntukan bernilai 76 juta ringgit disediakan untuk memperkukuhkan kawalan penyakit berjangkit, perkhidmatan di unit rawatan rapi dan perkhidmatan dialisis di hospital kerajaan. Untuk mengatasi kekurangan jururawat, Kerajaan akan melatih lebih ramai jururawat di pusat latihan swasta.

102. Untuk mengekalkan Pegawai Pakar Perubatan Kerajaan di hospital atau klinik Kerajaan, Skim Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh (FPP) akan dilaksanakan di hospital. Pakar perubatan dibolehkan menerima sebahagian daripada bayaran yang dikenakan ke atas pesakit FPP, berkuatkuasa 1 Januari 2008.

103. Untuk menggalakkan sektor swasta melabur dalam kemudahan makmal bertaraf antarabangsa bagi tujuan menguji peralatan perubatan, Kerajaan mencadangkan galakan Taraf Perintis 100 peratus atau Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 60 peratus selama 5 tahun diberi kepada syarikat yang melabur dalam aktiviti berkenaan.

Menyemai Tanggungjawab Sosial Korporat[edit]

104. Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh semua syarikat swasta, terutamanya syarikat awam tersenarai (PLC). Kerajaan percaya bahawa syarikat yang terlibat dalam kegiatan CSR akan menikmati manfaat daripada usaha murni ini dalam jangka masa panjang, di samping memberi sumbangan ke arah kesejahteraan masyarakat.

105. Dalam Bajet 2007, Kerajaan telah mengumumkan bahawa semua syarikat PLC perlu menzahirkan aktiviti CSR sebagai sebahagian daripada laporan kewangan tahunan syarikat. Mulai tahun kewangan 2008, penzahiran penyata CSR perlu juga merangkumi komposisi guna tenaga syarikat dari segi kaum dan gender, serta program untuk membangunkan vendor tempatan dan Bumiputera. Kelebihan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum harus dimanfaatkan oleh syarikat swasta dengan mengambil kakitangan dari semua lapisan masyarakat.

106. Kerajaan sedar bahawa sektor swasta telah berjaya melaksanakan dengan berkesan beberapa projek CSR untuk meningkatkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah. Dengan itu, Kerajaan ingin menyokong usaha ini dengan menubuhkan satu dana CSR berjumlah 50 juta ringgit untuk membiayai bersama projek CSR yang wajar diberi bantuan pembiayaan Kerajaan. Ini termasuk membaik pulih rumah usang milik golongan miskin dan mewujudkan peluang pekerjaan.

107. Kerajaan menghargai usaha syarikat swasta yang kerap menyediakan kemudahan awam untuk memberi faedah besar kepada masyarakat setempat, seperti pembinaan jejantas dan taman permainan. Dengan itu, Kerajaan bercadang agar potongan cukai diberikan ke atas perbelanjaan bagi pelaburan sedemikian, sungguhpun kemudahan ini juga memberi faedah sampingan kepada syarikat berkenaan.

108. Program PINTAR telah dilancarkan bagi tujuan pengambilan sekolah angkat oleh GLC. Semasa melancarkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara di Perak, saya telah mengumumkan program PINTAR akan diperluaskan ke seluruh negara dengan melibatkan semua syarikat swasta. Bagi mempastikan kejayaan pelaksanaannya, Kementerian Kewangan akan menubuhkan urus setia tetap untuk menguruskan program PINTAR. Di antara inisiatif baru PINTAR yang akan dilaksanakan pada tahun 2008 ialah sumbangan komputer terpakai kepada sekolah angkat.

Keselamatan Awam[edit]

109. Keselamatan awam adalah prasyarat untuk menjana pertumbuhan ekonomi dan mempastikan kesejahteraan rakyat. Kerajaan komited untuk membanteras jenayah. Sejumlah enam bilion ringgit diperuntukkan kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi tahun 2008.

110. Kerajaan akan meningkatkan pengawasan polis, terutamanya di kawasan berisiko tinggi berlaku jenayah. Selaras dengan ini, keupayaan dan kecekapan PDRM akan dipertingkatkan dengan pengambilan 60,000 anggota polis baru dalam tempoh lima tahun. Pegawai penyiasat dan penolong pegawai penyiasat akan dibekalkan dengan tambahan 2,000 unit kereta nasional dan 1,600 komputer. Manakala, 1,900 motosikal disediakan untuk meningkatkan aktiviti pengawasan dan rondaan polis. Unit Bergerak Forensik PDRM juga akan ditubuhkan di setiap kontinjen polis.

111. Kerajaan akan memasang lebih banyak CCTV yang dihubungkan ke pusat kawalan Polis. Saya juga menyarankan supaya rakyat membantu polis dalam membanteras jenayah dengan memberi maklumat yang perlu, dan mengambil langkah untuk mengurangkan risiko berlakunya jenayah. Bagi menyokong sektor swasta mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan mereka, terutamanya di premis kilang, Elaun Modal Dipercepatkan yang boleh dituntut dalam tempoh satu tahun akan diberi ke atas pembelian alat kawalan dan keselamatan.

Memupuk Budaya Penyelenggaraan[edit]

112. Budaya penyelenggaraan yang baik perlu diamalkan sepenuhnya. Ini adalah penting bagi mengurangkan kos dan meningkatkan kecekapan penggunaan kemudahan awam. Untuk mencapai objektif ini, anjakan minda perlu di semua peringkat Kerajaan serta sektor swasta. Kita hanya akan mendapat manfaat sepenuhnya daripada kemudahan kelas pertama jika ia disertai dengan budaya penyelenggaraan yang juga kelas pertama.

113. Kerajaan akan terus mempastikan peruntukan penyelenggaraan awam digunakan dengan efisien dan efektif oleh agensi pelaksana. Peruntukan bagi penyelenggaraan terus ditambah. Untuk tahun 2008, sejumlah 9.7 bilion ringgit diperuntukkan bagi pelbagai jenis penyelenggaraan. Untuk mempastikan peruntukan ini dimanfaatkan sepenuhnya, Kementerian dan agensi tidak akan dibenarkan untuk membuat pindah peruntukan untuk membiayai aktiviti lain. Tindakan tegas akan diambil terhadap penjawat awam yang mengabaikan kerja-kerja penyelenggaraan.

Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air[edit]

114. Bekalan air bersih merupakan keperluan asas rakyat. Kerajaan telah berjaya meningkatkan liputan bekalan air di dalam negara. Kini, sebanyak 95 peratus rakyat mempunyai akses kepada bekalan air bersih, meningkat dua kali ganda berbanding dengan 48 peratus pada tahun 1970. Sungguhpun demikian, keperluan untuk menambah kapasiti bekalan air bersih kian meningkat. Oleh itu, Kerajaan telah memulakan penstrukturan semula industri perkhidmatan air supaya lebih bermutu dan mapan. Penstrukturan semula ini melibatkan, antara lain, pengambilalihan hutang kerajaan negeri berjumlah 7.6 bilion ringgit oleh Pengurusan Aset Air Berhad, sebuah syarikat milik Kerajaan Persekutuan. Saya yakin semua kerajaan negeri akan bekerjasama dalam usaha penstrukturan ini untuk sama-sama mempastikan skim ini berjalan lancar.

Pemeliharaan dan Pemuliharaan Alam Sekitar[edit]

115. Kerajaan komited untuk mempastikan keseimbangan antara pembangunan fizikal dan pemeliharaan alam sekitar. Fenomena perubahan iklim dan kejadian pencemaran menjadi cabaran besar di peringkat global dan serantau, baik bagi negara maju mahupun negara membangun. Perkara ini harus ditangani dengan tegas dan berani oleh setiap sektor dan setiap warga.

116. Sejumlah 1.1 bilion ringgit disediakan bagi projek tebatan banjir untuk mengurangkan kejadian banjir di seluruh negara. Ini termasuk projek tebatan banjir di Sungai Muda, Sungai Kelantan, Sungai Damansara, Sungai Prai dan Projek Mengatasi Banjir Kuala Lumpur. Peruntukan sebanyak 120 juta ringgit disediakan bagi program pemuliharaan dan pembersihan serta pengindahan sungai di seluruh negara.

117. Untuk terus menggalakkan penggunaan tenaga secara cekap dan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui, Kerajaan mencadangkan beberapa penambahbaikan ketara dari segi insentif cukai yang disediakan, termasuk Elaun Cukai Pelaburan ke atas perbelanjaan untuk penjimatan tenaga dan penjanaan sendiri tenaga boleh diperbaharui.

118. Malaysia mempunyai potensi untuk mendapat manfaat daripada pelaburan dalam projek pengurangan pelepasan gas green house yang menyumbang kepada pemanasan global. Di bawah Protokol Kyoto, syarikat yang berjaya mengurangkan pelepasan gas green house akan diberi sijil Certified Emission Reduction (CER) yang boleh diperdagangkan. Bagi menggalakkan syarikat menyertai projek ini, pendapatan yang diterima daripada perdagangan sijil CER diberi pengecualian cukai.

Memperkaya Kebudayaan, Kesenian dan Warisan[edit]

119. Malaysia kaya dengan budaya, seni dan warisan yang harus dihayati semua rakyat. Sejumlah 733 juta ringgit diperuntukkan bagi melaksanakan program kebudayaan, kesenian dan warisan. Di antara program yang akan dilaksanakan adalah untuk menaik taraf Perpustakaan Negara, program latihan serta khidmat nasihat kesenian dan kebudayaan di bawah Skim Penajaan Seni Budaya. Selain itu, peruntukan juga disediakan kepada FINAS serta Muzium Tekstil Negara.

Peranan Penting Perkhidmatan Awam[edit]

120. Kerajaan menghargai peranan penting anggota perkhidmatan awam dan akan terus memberi perhatian kepada prestasi dan kebajikan kakitangan awam. Saya telah mengumumkan kenaikan gaji kakitangan awam sebanyak 7.5 peratus hingga 42 peratus di samping penambahan COLA. Ini melibatkan tambahan perbelanjaan lapan bilion ringgit setahun. Saya yakin kenaikan gaji dan elaun ini akan mendorong kakitangan awam untuk mempertingkatkan produktiviti dan mutu kerja.

121. Dalam konteks globalisasi, usaha meningkatkan tahap prestasi perkhidmatan awam adalah kritikal untuk mengekalkan daya saing negara. Kerajaan telah berjaya dalam mentransformasikan GLC untuk mengamalkan budaya prestasi tinggi, termasuk penggunaan sistem indeks prestasi utama (KPI). Berikutan daripada kejayaan transformasi ini, sudah tiba masanya amalan terbaik dan budaya prestasi tinggi diguna pakai untuk meningkatkan lagi prestasi perkhidmatan awam.

122. Sebagai permulaan, Ketua Setiausaha semua kementerian dan Ketua Perkhidmatan akan ditawarkan skim kontrak selama tiga tahun, serta prestasi mereka akan diberi ganjaran berasaskan KPI. Kontrak ini ditawarkan kepada pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik dan pegawai perkhidmatan berkaitan yang sedang berkhidmat. Di samping mempastikan perkhidmatan cemerlang, tempoh kontrak selama tiga tahun akan memberi masa yang mencukupi untuk mereka merancang dan melaksanakan pelan dan projek dengan efektif. Skim ini akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2008. Saya yakin rakyat akan mendapat manfaat hasil daripada peningkatan keberkesanan perkhidmatan Kerajaan ini.

123. Untuk melicinkan urusan pentadbiran, Kerajaan telah melantik pegawai-pegawai Gred 41 secara kontrak untuk mengisi kekosongan jawatan. Adalah didapati bahawa ramai daripada pegawai ini menunjukkan prestasi kerja yang tinggi dan sesuai untuk dilantik secara tetap. Oleh itu, pegawai kontrak yang berprestasi tinggi yang diperakukan oleh ketua jabatan akan diberi keutamaan untuk diserap ke dalam perkhidmatan awam.

Peruntukan Bajet 2008[edit]

124. Perbelanjaan Kerajaan akan terus ditumpukan kepada membina kapasiti untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan melalui penyediaan infrastruktur, kemudahan awam, pendidikan, dan perkhidmatan sosial, termasuk kesihatan serta kebajikan rakyat. Dengan strategi dan program yang telah saya bentangkan, saya mencadangkan, sejumlah 176.9 bilion ringgit diperuntukkan bagi Bajet 2008, iaitu 10.9 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan tahun 2007. Daripada jumlah ini, 128.8 bilion ringgit adalah bagi Peruntukan Mengurus, manakala 48.1 bilion ringgit disediakan bagi Peruntukan Pembangunan.

125. Di bawah Peruntukan Mengurus, 64 bilion ringgit atau 49.6 peratus adalah bagi Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, 36.2 bilion ringgit untuk Emolumen, 25.5 bilion ringgit bagi Perkhidmatan dan Bekalan, 2.1 bilion ringgit untuk Pembelian Aset dan 1.13 bilion ringgit untuk perbelanjaan lain.

126. Bagi Peruntukan Pembangunan, bahagian terbesar 20.6 bilion ringgit ialah untuk sektor ekonomi yang terdiri daripada sektor pertanian, perindustrian dan infrastruktur. Sejumlah 15.6 bilion ringgit diperuntukkan kepada sektor sosial iaitu pendidikan, kesihatan dan perumahan. Sektor keselamatan menerima tujuh bilion ringgit sementara pentadbiran 2.9 bilion ringgit serta Simpanan Luar Jangka sebanyak dua bilion ringgit.

127. Matlamat Kerajaan adalah untuk mempastikan pertumbuhan ekonomi berterusan dan pada masa yang sama mengurangkan defisit fiskal secara progresif. Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan telah dapat dikurangkan dengan ketara daripada 5.5 peratus pada tahun 2000 kepada 3.3 peratus daripada KDNK pada tahun 2006. Pada tahun 2007, defisit dijangka terus dikurangkan kepada 3.2 peratus. Dalam hal ini, Kerajaan akan terus meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam pungutan hasil, dan pada masa yang sama, mempastikan pengurusan perbelanjaan secara berhemat. Kedudukan fiskal Kerajaan Persekutuan diunjurkan lebih baik dengan defisit dikurangkan lagi kepada paras 3.1 peratus pada tahun 2008.

Prospek Ekonomi[edit]

128. Persekitaran ekonomi dunia dan serantau dijangka lebih mencabar dan tidak menentu. Walaupun demikian, dengan dasar dan strategi Bajet 2008, Kerajaan yakin pertumbuhan ekonomi negara akan terus kukuh, dengan kadar peningkatan di antara 6 hingga 6.5 peratus pada tahun 2008. Pertumbuhan ini didorong oleh pelaburan dan penggunaan swasta serta penggunaan awam. Pelaburan swasta dijangka berkembang 9.5 peratus manakala penggunaan swasta pada kadar 7.9 peratus. Sementara itu, pendapatan per kapita dijangka meningkat sebanyak 6.8 peratus kepada 23,864 ringgit dan dari segi pariti kuasa beli bersamaan 14,206 dolar Amerika.

129. Sektor perkhidmatan dijangka berkembang 8.6 peratus, dipacu oleh aktiviti pelancongan, pengangkutan, kewangan dan perbankan, hartanah, pendidikan, kesihatan serta ICT. Pemulihan permintaan bagi keluaran elektrik dan elektronik dijangka dapat memberi sumbangan kepada pertumbuhan sektor pembuatan pada kadar 3.8 peratus. Sektor pembinaan, termasuk pembangunan hartanah, akan berkembang lebih cergas pada kadar 6.3 peratus berikutan peningkatan aktiviti kejuruteraan awam, hasil pelaksanaan projek Rancangan Malaysia Kesembilan. Sektor pertanian dijangka meningkat 3.5 peratus berikutan penekanan yang diberi kepada pengkomersilan sektor perladangan dan ternakan.

Penutup[edit]

Tuan Yang DiPertua,

130. Sesungguhnya, kita harus bersyukur dengan pencapaian pembangunan negara. Dengan usaha gigih dan permuafakatan pemimpin serta rakyat, Malaysia telah berjaya melangkah jauh, mencapai pembangunan pesat dan holistik dalam tempoh lima dekad. Pembangunan yang telah dicapai merangkumi pembinaan kapasiti melalui pelaburan dalam infrastruktur fizikal, pendidikan dan latihan serta kemudahan awam. Falsafah pembangunan kita yang menekankan pertumbuhan dengan pengagihan telah membolehkan semua rakyat bersama meraih manfaat daripada perkembangan pesat ekonomi negara.

131. Dengan landasan kukuh yang telah kita bina, kita yakin dapat mencipta kejayaan lebih besar ke arah mencapai Misi Nasional. Apabila Malaysia mencapai Wawasan 2020 dan menjadi sebuah negara maju, ianya akan merupakan satu lagi detik gemilang dalam sejarah pembangunan negara.

132. Marilah kita berdoa agar sentiasa diberi petunjuk dan hidayat oleh Allah s.w.t. dalam terus membina negara dan bersama menikmati kemakmuran di tahun-tahun akan datang.

Tuan Yang DiPertua,

Saya mohon mencadangkan.