Perlembagaan Persekutuan Malaysia/Negeri-Negeri, Agama dan Undang-Undang bagi Persekutuan

From Wikisource
Jump to: navigation, search

Perkara 1. Nama, Negeri-negeri dan wilayah-wilayah Persekutuan.

(1) Persekutuan dinamai Malaysia dalam bahasa Melayu dan dalam bahasa Inggeris.

(2) Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu.

(3) Tertakluk kepada Fasal (4), wilayah-wilayah bagi setiap Negeri yang disebut dalam Fasal (2) ialah wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri-Negeri itu sebaik sebelum Hari Malaysia.

(4) Wilayah bagi Negeri Selangor tidaklah termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang ditubuhkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1973 [Akta A206] dan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang ditubuhkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) 2001 [Akta A1095] dan wilayah bagi Negeri Sabah tidaklah termasuk Wilayah Persekutuan Labuan yang ditubuhkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1984 [Akta A585], dan kesemua Wilayah Persekutuan tersebut hendaklah menjadi wilayah-wilayah Persekutuan.

Perkara 2. Penerimaan masuk wilayah-wilayah baru ke dalam Persekutuan.

Parlimen boleh melalui undang-undang—

(a) menerima masuk Negeri-negeri lain ke dalam Persekutuan;
(b) mengubah sempadan mana-mana Negeri,

tetapi undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu Negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Negeri itu (yang dinyatakan melalui undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri itu) dan Majlis Raja-Raja.

Perkara 3. Agama bagi Persekutuan.

(1) Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.

(2) Di dalam tiap-tiap Negeri selain Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai Ketua agama Islam di Negerinya mengikut cara dan setakat yang diakui dan ditetapkan oleh Perlembagaan Negeri itu, dan, tertakluk kepada Perlembagaan itu, segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua agama Islam, tidaklah tersentuh dan tercacat; tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang berkenaan dengannya Majlis Raja-Raja telah bersetuju bahawa perbuatan, amalan atau upacara itu patut diperluas ke seluruh Persekutuan, setiap Raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua agama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya.

(3) Perlembagaan-Perlembagaan Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak hendaklah masing-masing membuat peruntukan bagi memberi Yang di-Pertuan Agong kedudukan sebagai Ketua agama Islam di Negeri itu.

(4) Tiada apa-apa jua dalam ini mengurangkan mana-mana peruntukan lain dalam Perlembagaan ini.

(5) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Ketua Agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan bagi maksud ini Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam dan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam.

Perkara 4. Undang-undang utama Persekutuan.

(1) Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.

(2) Kesahan mana-mana undang-undang tidak boleh dipersoalkan atas alasan bahawa—

(a) undang-undang itu mengenakan sekatan-sekatan ke atas hak yang disebut dalam Perkara 9(2) tetapi tidak berhubungan dengan perkara-perkara yang disebut dalam Perkara itu; atau
(b) undang-undang itu mengenakan mana-mana sekatan yang disebut dalam Perkara 10(2) tetapi sekatan-sekatan itu tidak disifatkan perlu atau suai manfaat oleh Parlimen bagi maksud-maksud yang disebut dalam Perkara itu.

(3) Kesahan mana-mana undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau Badan perundangan mana-mana Negeri tidak boleh dipersoalkan atas alasan bahawa undang-undang itu membuat peruntukan berkenaan dengan apa-apa perkara yang berkenaan dengannya Parlimen atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, Badan Perundangan Negeri itu tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang, kecuali dalam prosiding untuk mendapatkan suatu penetapan bahawa undang-undang itu adalah tidak sah atas alasan itu atau—

(a) jika undang-undang itu telah dibuat oleh Parlimen, dalam prosiding antara Persekutuan dengan satu atau beberapa Negeri;
(b) jika undang-undang itu telah dibuat oleh Badan Perundangan sesuatu Negeri, dalam prosiding antara Persekutuan dengan Negeri itu.

(4) Prosiding untuk mendapatkan penetapan bahawa sesuatu undang-undang adalah tidak sah atas alasan yang disebut dalam Fasal (3) (iaitu prosiding yang tidak termasuk dalam perenggan (a) atau (b) Fasal itu) tidak boleh dimulakan tanpa kebenaran hakim Mahkamah Persekutuan; dan Persekutuan berhak menjadi satu pihak dalam mana-mana prosiding itu, dan begitulah juga dengan mana-mana Negeri yang akan atau mungkin menjadi satu pihak dalam prosiding yang dibawa bagi maksud yang sama di bawah perenggan (a) atau (b) Fasal itu.