Perlembagaan Persekutuan Malaysia/Badan Kehakiman

From Wikisource
Jump to: navigation, search

Perkara 121. Kuasa kehakiman Persekutuan.

(1) Maka hendaklah ada dua Mahkamah Tinggi yang setara bidang kuasa dan tarafnya, iaitu—

(a) satu di Negeri-Negeri Tanah Melayu, yang dikenali sebagai Mahkamah Tinggi di Malaya dan yang mempunyai pejabat pendaftarannya yang utama di mana-mana tempat di Negeri-Negeri Tanah Melayu yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong; dan
(b) satu di Negeri Sabah dan Sarawak, yang dikenali sebagai Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak dan yang mempunyai pejabat pendaftarannya yang utama di mana-mana tempat di Negeri Sabah dan Sarawak yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong;
(c) (Dimansuhkan),

dan mana-mana mahkamah bawahan yang diperuntukkan oleh undang-undang persekutuan dan Mahkamah Tinggi dan mahkamah bawahan itu hendaklah mempunyai apa-apa bidang kuasa dan kuasa yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang persekutuan.

(1A) Mahkamah yang disebut dalam Fasal (1) tidaklah mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah Syariah.

(1B) Maka hendaklah ada suatu Mahkamah yang dikenali sebagai Mahkamah Rayuan dan yang mempunyai pejabat pendaftarannya yang utama di mana-mana tempat yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong, dan Mahkamah Rayuan hendaklah mempunyai bidang kuasa yang berikut, iaitu—

(a) bidang kuasa untuk memutuskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi atau seseorang hakimnya (kecuali keputusan Mahkamah Tinggi yang diberikan oleh pendaftar atau pegawai lain Mahkamah itu dan yang boleh dirayukan kepada seorang hakim Mahkamah itu di bawah undang-undang persekutuan); dan
(b) apa-apa bidang kuasa lain yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang persekutuan.

(2) Maka hendaklah ada suatu mahkamah yang dikenali sebagai Mahkamah Persekutuan dan yang mempunyai pejabat pendaftarannya yang utama di mana-mana tempat yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong, dan Mahkamah Persekutuan hendaklah mempunyai bidang kuasa yang berikut, iaitu—

(a) bidang kuasa untuk memutuskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi atau seseorang hakimnya;
(b) apa-apa bidang kuasa asal atau runding yang dinyatakan dalam Perkara 128 dan 130; dan
(c) apa-apa bidang kuasa lain yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang persekutuan.

(3) Tertakluk kepada apa-apa batasan yang dikenakan oleh atau di bawah undang-undang persekutuan, apa-apa perintah, dekri, penghakiman atau proses mahkamah-mahkamah yang disebut dalam Fasal (1) atau mana-mana hakimnya hendaklah (setakat yang dibenarkan oleh keadaannya) berkuat kuasa dan berkesan sepenuhnya mengikut maksudnya di seluruh Persekutuan, dan boleh dilaksanakan atau dikuatkuasakan di mana-mana bahagian Persekutuan dengan sewajarnya; dan undang-undang persekutuan boleh membuat peruntukan supaya mahkamah di satu bahagian Persekutuan atau pegawainya bertindak membantu mahkamah di suatu bahagian lain.

(4) Pada menentukan tempat pejabat pendaftaran utama bagi Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat Perdana Menteri yang hendaklah berunding dengan Ketua-Ketua Menteri bagi Negeri Sabah dan Sarawak dan Hakim Besar Mahkamah Tinggi itu.

Perkara 122. Keanggotaan Mahkamah Persekutuan.

(1) Mahkamah Persekutuan hendaklah terdiri daripada seorang yang dipertua Mahkamah (yang digelar "Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan"), Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi dan, sehingga diperuntukkan selainnya melalui perintah oleh Yang di-Pertuan Agong, empat[1][2] orang hakim lain dan apa-apa bilangan hakim tambahan yang dilantik menurut Fasal (1A).

(1A) Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, boleh melantik mana-mana orang yang telah memegang jawatan kehakiman yang tinggi di Malaysia untuk menjadi hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan bagi apa-apa maksud atau bagi apa-apa tempoh masa yang ditentukan olehnya:

Dengan syarat bahawa tiada hakim tambahan yang sedemikian menjadi tidak layak untuk memegang jawatan oleh sebab dia telah mencapai umur enam puluh enam tahun.

(2) Seseorang hakim Mahkamah Rayuan selain Presiden Mahkamah Rayuan boleh bersidang sebagai hakim mahkamah Persekutuan jika Ketua Hakim Negara berpendapat bahawa kepentingan keadilan menghendaki yang sedemikian, dan hakim itu hendaklah dinamakan bagi maksud itu (mengikut kehendak keadaan) oleh Ketua Hakim Negara.

Perkara 122A. Keanggotaan Mahkamah Rayuan.

(1) Mahkamah Rayuan hendaklah terdiri daripada seorang pengerusi (yang digelar "Presiden Mahkamah Rayuan") dan, sehingga diperuntukkan selainnya melalui perintah oleh Yang di-Pertuan Agong, sepuluh[3] orang hakim lain.

(2) Seseorang hakim Mahkamah Tinggi boleh bersidang sebagai hakim Mahkamah Rayuan jika Presiden Mahkamah Rayuan berpendapat bahawa kepentingan keadilan menghendaki yang sedemikian, dan hakim itu hendaklah dinamakan bagi maksud itu (mengikut kehendak keadaan) oleh Presiden Mahkamah Rayuan selepas berunding dengan Hakim Besar Mahkamah Tinggi itu.

Perkara 122AA. Keanggotaan Mahkamah Tinggi.

(1) Setiap Mahkamah Tinggi hendaklah terdiri daripada seorang Hakim Besar dan tidak kurang daripada empat orang hakim yang lain; tetapi bilangan hakim yang lain itu tidaklah boleh, sehingga diperuntukkan selainnya melalui perintah oleh Yang di-Pertuan Agong, melebihi—

(a) empat puluh tujuh, di Mahkamah Tinggi di Malaya; dan
(b) sepuluh, di Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak.

(2) Mana-mana orang yang layak untuk dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi boleh bersidang sebagai hakim Mahkamah itu jika ditetapkan bagi maksud itu (mengikut kehendak keadaan) mengikut Perkara 122B.

Perkara 122AB. Pelantikan pesuruhjaya kehakiman.

(1) Supaya segera diselesaikan urusan Mahkamah Tinggi di Malaya dan Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan,boleh melalui perintah melantik mana-mana orang yang layak dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi untuk menjadi pesuruhjaya kehakiman bagi apa-apa tempoh atau apa-apa maksud yang dinyatakan dalam perintah itu; dan orang yang dilantik sedemikian hendaklah mempunyai kuasa untuk melaksanakan apa-apa fungsi hakim Mahkamah Tinggi yang ternyata kepadanya dikehendaki dilaksanakan; dan apa-apa jua yang dilakukan olehnya apabila bertindak mengikut pelantikannya hendaklah mempunyai kesahan dan kesan yang sama seolah-olah dilakukan oleh seorang hakim Mahkamah itu, dan berkenaan dengan apa-apa jua yang dilakukan itu dia mempunyai kuasa yang sama dan menikmati kekebalan yang sama seolah-olah dia seorang hakim Mahkamah itu.

(2) Peruntukan Fasal (2) dan (5) Perkara 124 hendaklah terpakai bagi seseorang pesuruhjaya kehakiman sebagaimana peruntukan itu terpakai bagi hakim Mahkamah Tinggi.

Perkara 122B. Pelantikan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

(1) Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi dan (tertakluk kepada Perkara 122C) hakim-hakim yang lain Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

(2) Sebelum memberikan nasihatnya di bawah Fasal (1) tentang pelantikan seseorang hakim, selain Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Perdana Menteri hendaklah berunding dengan Ketua Hakim Negara.

(3) Sebelum memberikan nasihatnya di bawah Fasal (1) tentang pelantikan Hakim Besar Mahkamah Tinggi, Perdana Menteri hendaklah berunding dengan Hakim Besar setiap Mahkamah Tinggi dan, jika pelantikan itu ialah pelantikan ke Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Perdana Menteri hendaklah berunding dengan Ketua Menteri bagi setiap Negeri Sabah dan Sarawak.

(4) Sebelum memberikan nasihatnya di bawah Fasal (1) tentang pelantikan seseorang hakim selain Ketua Hakim Negara, Presiden atau seseorang Hakim Besar, Perdana Menteri hendaklah berunding dengan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, jika pelantikan itu ialah pelantikan ke Mahkamah Persekutuan, dengan Presiden Mahkamah Rayuan, jika pelantikan itu ialah pelantikan ke Mahkamah Rayuan dan, jika pelantikan itu ialah pelantikan ke mana-mana satu Mahkamah Tinggi, dengan Hakim Besar Mahkamah itu.

(5) Perkara ini hendaklah terpakai bagi penetapan seseorang untuk bersidang sebagai hakim Mahkamah Tinggi di bawah Fasal (2) Perkara 122AA sebagaimana Perkara ini terpakai bagi pelantikan seseorang hakim mahkamah itu, selain Hakim Besar.

(6) Walau apa pun tarikh pelantikan mereka masing-masing sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi, Yang di-Pertuan Agong, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri yang diberikan selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara, boleh menentukan susunan keutamaan hakim-hakim sesama mereka sendiri.

Perkara 122C. Pertukaran hakim dari suatu Mahkamah Tinggi ke suatu Mahkamah Tinggi lain.

Perkara 122B tidaklah terpakai bagi pertukaran seseorang hakim dari suatu Mahkamah Tinggi ke suatu Mahkamah Tinggi yang lain, melainkan jika pertukaran itu adalah sebagai Hakim Besar atau pertukaran Hakim Besar; dan pertukaran yang sedemikian boleh dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, atas syor Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, selepas berunding dengan Hakim-Hakim Besar bagi kedua-dua Mahkamah Tinggi itu.

Perkara 123. Kelayakan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Seseorang layak dilantik di bawah Perkara 122B sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, sebagai hakim Mahkamah Rayuan atau sebagai hakim mana-mana Mahkamah Tinggi jika—

(a) dia seorang warganegara; dan
(b) bagi tempoh sepuluh tahun sebelum pelantikannya dia telah menjadi peguam bela bagi mahkamah itu atau mana-mana satu daripada mahkamah itu atau menjadi anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan Persekutuan atau perkhidmatan perundangan sesuatu Negeri, atau pada suatu masa menjadi peguam bela dan pada suatu masa lain berkhidmat sebagai anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan Persekutuan atau perkhidmatan perundangan sesuatu Negeri.

Perkara 124. Sumpah jawatan hakim.

(1) Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, sebelum menjalankan fungsi jawatannya, hendaklah mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia yang dinyatakan dalam Jadual Keenam, dan hendaklah berbuat demikian di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

(2) Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi, selain Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, sebelum menjalankan fungsi seorang hakim hendaklah mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia yang dinyatakan dalam Jadual Keenam berhubung dengan kewajipan kehakimannya dalam apa-apa jua jawatan. (2A) Seseorang yang mengangkat sumpah apabila menjadi Presiden Mahkamah Rayuan hendaklah berbuat demikian di hadapan hakim kanan yang ada bagi Mahkamah Rayuan.

(3) Seseorang yang mengangkat sumpah apabila menjadi Hakim Besar Mahkamah Tinggi hendaklah berbuat demikian di hadapan hakim kanan yang ada bagi Mahkamah Tinggi itu.

(4) Seseorang yang mengangkat sumpah apabila menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah berbuat demikian di hadapan Ketua Hakim Negara atau, jika Ketua Hakim Negara tidak ada, di hadapan hakim yang kanan selepasnya yang ada bagi Mahkamah Persekutuan.

(4A) Seseorang yang mengangkat sumpah apabila menjadi hakim Mahkamah Rayuan hendaklah berbuat demikian di hadapan Presiden Mahkamah Rayuan atau, jika Presiden Mahkamah Rayuan tidak ada, di hadapan hakim yang kanan selepasnya yang ada bagi Mahkamah Rayuan.

(5) Seseorang yang mengangkat sumpah apabila menjadi hakim Mahkamah Tinggi (tetapi bukan Hakim Besar) hendaklah berbuat demikian di hadapan Hakim Besar Mahkamah itu atau, jika Hakim Besar tidak ada, di hadapan hakim yang kanan selepasnya yang ada bagi Mahkamah itu.

Perkara 125. Tempoh jawatan dan saraan hakim Mahkamah Persekutuan.

(1) Tertakluk kepada peruntukan Fasal (2) hingga (5), seseorang hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah memegang jawatan sehingga dia mencapai umur enam puluh enam tahun atau sehingga suatu masa kemudiannya yang diluluskan oleh Yang di-Pertuan Agong, tetapi masa itu tidak boleh kemudian daripada enam bulan selepas dia mencapai umur enam puluh enam tahun.

(2) Seseorang hakim Mahkamah Persekutuan boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan kepada Yang di-Pertuan Agong tetapi tidak boleh dipecat daripada jawatan kecuali mengikut peruntukan yang berikut dalam Perkara ini.

(3) Jika Perdana Menteri, atau Ketua Hakim Negara selepas berunding dengan Perdana Menteri, membuat representasi kepada Yang di-Pertuan Agong dengan menyatakan bahawa seseorang hakim Mahkamah Persekutuan patut dipecat atas alasan apa-apa pelanggaran mana-mana peruntukan kod etika yang ditetapkan di bawah Fasal (3B) atau atas alasan tidak berdaya, oleh sebab kelemahan tubuh atau akal atau apa-apa sebab lain, untuk menunaikan fungsi jawatannya dengan sepatutnya, maka Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu tribunal mengikut Fasal (4) dan merujukkan representasi itu kepadanya; dan boleh atas syor tribunal itu memecat hakim itu daripada jawatan.

(3A) Jika seseorang hakim telah melakukan pelanggaran mana-mana peruntukan kod etika yang ditetapkan di bawah Fasal (3B) tetapi Ketua Hakim Negara berpendapat bahawa pelanggaran itu tidak mewajarkan hakim itu dirujukkan kepada tribunal yang dilantik di bawah Fasal (4), Ketua Hakim Negara boleh merujukkan hakim itu kepada suatu badan yang ditubuhkan di bawah undang-undang persekutuan untuk mengendalikan pelanggaran itu.

(3B) Yang di-Pertuan Agong atas syor Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi boleh, selepas berunding dengan Perdana Menteri, menetapkan secara bertulis suatu kod etika yang hendaklah juga mengandungi peruntukan tentang tatacara yang hendaklah diikuti dan sanksi yang boleh dikenakan selain pemecatan seseorang hakim daripada jawatannya di bawah Fasal (3), berhubung dengan pelanggaran mana-mana peruntukan kod etika itu.

(3C) Kod etika yang ditetapkan di bawah Fasal (3B) hendaklah dipatuhi oleh tiap-tiap hakim Mahkamah Persekutuan dan tiap-tiap pesuruhjaya kehakiman.

(4) Tribunal yang dilantik di bawah Fasal (3) hendaklah terdiri daripada tidak kurang daripada lima orang yang memegang atau pernah memegang jawatan sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi, atau, jika ternyata kepada Yang di-Pertuan Agong suai manfaat pelantikan sedemikian dibuat, orang yang memegang atau pernah memegang jawatan yang setaraf dengannya di mana-mana bahagian lain di dalam Komanwel, dan tribunal itu hendaklah diketuai oleh anggota yang terkanan mengikut susunan yang berikut, iaitu, Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden dan Hakim-Hakim Besar mengikut keutamaan mereka sesama mereka sendiri, dan anggota lain mengikut tarikh pelantikan mereka memegang jawatan yang melayakkan mereka menjadi anggota (antara dua orang anggota, dengan yang lebih tua mendahului yang lebih muda jika tarikh pelantikan mereka itu sama).

(5) Sementara menanti apa-apa rujukan dan laporan di bawah Fasal (3) Yang di-Pertuan Agong boleh atas syor Perdana Menteri dan, dalam hal mana-mana hakim lain selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara, menggantung seseorang hakim Mahkamah Persekutuan daripada menjalankan fungsinya.

(6) Parlimen hendaklah melalui undang-undang membuat peruntukan bagi saraan hakim Mahkamah Persekutuan, dan saraan yang diperuntukkan sedemikian hendaklah dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan.

(6A) Tertakluk kepada peruntukan Perkara ini, Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan bagi terma jawatan hakim Mahkamah Persekutuan selain saraan mereka.

(7) Saraan dan terma lain jawatan (termasuk hak pencen) bagi seseorang hakim Mahkamah Persekutuan tidak boleh, selepas pelantikannya, diubah menjadi kurang baik baginya.

(8) Walau apa pun Fasal (1), kesahan apa-apa jua yang dilakukan oleh seseorang hakim Mahkamah Persekutuan tidak boleh dipersoalkan atas alasan bahawa dia telah mencapai umur yang dia dikehendaki bersara.

(9) Perkara ini hendaklah terpakai bagi seseorang hakim Mahkamah Rayuan dan bagi seseorang hakim Mahkamah Tinggi sebagaimana Perkara ini terpakai bagi seseorang hakim Mahkamah Persekutuan, kecuali bahawa sebelum menggantung seseorang hakim Mahkamah Rayuan atau hakim Mahkamah Tinggi selain Presiden Mahkamah Rayuan atau Hakim Besar Mahkamah Tinggi di bawah Fasal (5), Yang di-Pertuan Agong hendaklah berunding dengan Presiden Mahkamah Rayuan atau Hakim Besar Mahkamah Tinggi itu dan bukan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan.

(10) Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi bertanggungjawab kepada Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan.

Perkara 125A. Penjalanan kuasa oleh hakim-hakim.

(1) Walau apa-pun apa-apa jua yang terkandung dalam Perlembagaan ini, dengan ini ditegaskan bahawa—

(a) Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan dan seseorang hakim Mahkamah Persekutuan boleh menjalankan semua atau mana-mana kuasa hakim Mahkamah Rayuan dan hakim Mahkamah Tinggi;
(aa) Presiden Mahkamah Rayuan dan seseorang hakim Mahkamah Rayuan boleh menjalankan semua atau mana-mana kuasa hakim Mahkamah Tinggi; dan
(b) seseorang hakim Mahkamah Tinggi di Malaya boleh menjalankan semua atau mana-mana kuasa hakim Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, dan sebaliknya.

(2) Peruntukan Perkara ini hendaklah disifatkan telah menjadi suatu bahagian perlu Perlembagaan ini mulai dari Hari Malaysia.

Perkara 126. Kuasa menghukum kerana penghinaan.

Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi berkuasa menghukum apa-apa penghinaan terhadapnya.

Perkara 127. Sekatan mengenai perbincangan di dalam Parlimen tentang kelakuan hakim

Kelakuan seseorang hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi tidaklah boleh dibincangkan di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen kecuali atas suatu usul khusus yang notis mengenainya telah diberikan oleh tidak kurang daripada satu perempat daripada jumlah bilangan ahli Majlis Parlimen itu, dan tidaklah boleh dibincangkan di dalam Dewan Undangan mana-mana Negeri.

Perkara 128. Bidang kuasa Mahkamah Persekutuan.

(1) Hanya Mahkamah Persekutuan sahaja, dan tidak mana-mana mahkamah lain, mempunyai bidang kuasa bagi memutuskan mengikut mana-mana kaedah mahkamah yang mengawal selia penjalanan bidang kuasa sedemikian—

(a) apa-apa soal sama ada sesuatu undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau Badan Perundangan sesuatu Negeri adalah tidak sah atas alasan bahawa undang-undang itu membuat peruntukan mengenai sesuatu perkara yang mengenainya Parlimen atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, Badan Perundangan Negeri itu tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang; dan
(b) pertikaian atas apa-apa soal lain antara Negeri dengan Negeri atau antara Persekutuan dengan mana-mana Negeri.

(2) Tanpa menjelaskan apa-apa bidang kuasa rayuan Mahkamah Persekutuan, jika dalam mana-mana prosiding di hadapan suatu mahkamah lain suatu soal berbangkit tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan ini, Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa (tertakluk kepada mana-mana kaedah mahkamah yang mengawal selia perjalanan bidang kuasa itu) untuk memutuskan soal itu dan menghantar balik kes itu kepada mahkamah yang satu lagi untuk dibereskan mengikut keputusan itu.

(3) Bidang kuasa Mahkamah Persekutuan untuk memutuskan rayuan dari Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi atau seorang hakim Mahkamah itu hendaklah sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undag persekutuan.

Perkara 129. (Bidang kuasa khas Mahkamah Agung tentang tafsiran Perlembagaan-Dimansuhkan).

(Dimansuhkan).

Perkara 130. Bidang kuasa nasihat Mahkamah Persekutuan.

Yang di-Pertuan Agong boleh merujukkan kepada Mahkamah Persekutuan untuk pendapatnya apa-apa soal tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan ini yang telah berbangkit atau yang tampak padanya mungkin berbangkit, dan Mahkamah Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapatnya tentang apa-apa soal yang dirujukkan sedemikian kepadanya itu di dalam mahkamah terbuka.

Perkara 131. (Rayuan daripada Mahkamah Persekutan - Dimansuhkan).

(Dimansuhkan).

Perkara 131A. Peruntukan berkenaan dengan ketidakupayaan, dsb. Ketua Hakim Negara, Presiden atau Hakim Besar.

(1) Apa-apa peruntukan yang dibuat oleh undang-undang persekutuan supaya fungsi Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan atau Presiden Mahkamah Rayuan atau Hakim Besar Mahkamah Tinggi dilaksanakan oleh seorang hakim lain Mahkamah Persekutuan sekiranya berlaku kekosongan dalam jawatan itu atau sekiranya Ketua Hakim Negara, Presiden atau Hakim Besar itu tidak berdaya menjalankan fungsinya, bolehlah meliputi fungsinya di bawah Perlembagaan ini.

(2) Apa-apa peruntukan yang dibuat oleh undang-undang persekutuan supaya fungsi Presiden Mahkamah Rayuan atau Hakim Besar Mahkamah Tinggi dilaksanakan oleh seorang hakim lain Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi, mengikut mana-mana yang berkenaan, sekiranya berlaku kekosongan dalam jawatan itu atau sekiranya Presiden atau Hakim Besar itu tidak berdaya menjalankan fungsinya, bolehlah meliputi fungsi Presiden atau Hakim Besar di bawah Perlembagaan ini selain fungsi sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.

  1. Dahulu "tujuh"–lihat P.U. (A) 114/1982.
  2. Sekarang "lapan"–lihat P.U. (A) 229/2005.
  3. Dahulu "dua belas"–lihat P.U. (A) 150/1990.