Akta Pelantar Benua 1966

From Wikisource
Jump to navigation Jump to search

Akta 83

AKTA PELANTAR BENUA 1966

Mengandungi segala pindaan hingga 1 Januari 2006

Teks ini HANYA TERJEMAHAN oleh Jabatan Peguam Negara, bagi Continental Shelf Act 1966.Melainkan jika dan sehingga ditetapkan sahih di bawah subseksyen 7(1) Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 [Akta 32], teks ini bukan perundangan.

Pertama kali diperbuat … … … … 1966 (Akta No.57 tahun 1966)

Disemak … … … … … … … 1972 (Akta 83 m.b.p. 1 Ogos 1972)

Suatu Akta yang berhubungan dengan pelantar benua Malaysia,penjelajahannya dan pengeksploitasian sumber alamnya dan bagi perkara yang berkaitan dengannya.

[Semenanjung Malaysia—28 Julai 1966;

Sabah dan Sarawak—8 November 1969,P.U. (A) 467/1969]

Nama

1. (1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Pelantar Benua 1966.

(2) (Ditinggalkan).

Tafsiran

2. Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—

“pelantar benua” ertinya dasar laut dan tanah bawah di kawasan bawah laut yang bersempadanan dengan pantai Malaysia tetapi di luar had perairan wilayah Negeri, yang permukaannya terletak sedalam tidak lebih daripada dua ratus meter di bawah permukaan laut, atau, jika kedalaman air di luar sempadan itu membolehkan pengeksploitasian sumber alam di kawasan tersebut, terletak lebih dalam lagi;

“petroleum” termasuklah apa-apa minyak galian atau hidrokarbon relatif dan gas asli yang wujud dalam keadaan semula jadinya di dalam strata, tetapi tidak termasuk arang batu atau batu syal bitumen atau longgokan berstrata lain yang daripadanya minyak boleh dikeluarkan dengan cara penyulingan membinasa;

“sumber alam” ertinya—

(a) sumber galian dan sumber alam lain yang tidak hidup di dasar laut dan tanah bawah; dan

(b) organisma hidup yang termasuk dalam spesies sedentari,iaitu, organisma yang, pada peringkat boleh pungut hasil,sama ada tidak bergerak di atas atau di bawah dasar laut atau tidak dapat bergerak kecuali dengan sentuhan fizikal malar dengan dasar laut atau tanah bawah.

Hak berkenaan dengan pelantar benua

3. Segala hak berkenaan dengan penjelajahan pelantar benua dan pengeksploitasian sumber alamnya dengan ini terletak hak pada Malaysia dan bolehlah dijalankan oleh Kerajaan Persekutuan.

Pelombongan di dalam pelantar benua

4. (1) Tiada seorang pun boleh menjelajah, mencari gali atau menggerek atau menjalankan apa-apa operasi bagi mendapatkan petroleum di dalam dasar laut atau tanah bawah pelantar benua kecuali di bawah dan mengikut Akta Pelombongan Petroleum 1966[Akta 95].

(2) Bagi maksud subseksyen yang berikut, ungkapan “galian” hendaklah ditafsirkan sebagai bererti galian selain petroleum.

(3) Tiada seorang pun boleh menjelajah, mencari gali atau menggerek atau menjalankan apa-apa operasi bagi mendapatkan galian di dalam dasar laut atau tanah bawah pelantar benua kecuali menurut lesen yang dikeluarkan di bawah subseksyen yang berikut.

(4) Menteri boleh dari semasa ke semasa, apabila permohonan dibuat bagi maksud itu, memberi mana-mana orang lesen yang membenarkan orang itu menjelajah, mencari gali, menggerek dan melombong dan menjalankan operasi bagi mendapatkan galian daripada apa-apa jenis tertentu di dalam mana-mana kawasan tertentu pelantar benua itu.

(5) Tiap-tiap permohonan untuk mendapatkan lesen dan tiap-tiap lesen yang diberikan di bawah subseksyen (4) hendaklah mengikut apa-apa bentuk dan tertakluk kepada pembayaran apaapa fi dan bayaran lain yang ditetapkan oleh Menteri dan tertakluk kepada apa-apa syarat yang difikirkan oleh Menteri, apabila memberikan lesen itu, patut dikenakan dalam hal keadaan setiap permohonan, termasuklah, tetapi tanpa menghadkan keluasan peruntukan terdahulu seksyen ini, syarat yang menghendaki pemegang lesen itu—

(a) mematuhi apa-apa syarat tentang keselamatan yang dinyatakan dalam lesen itu; dan

(b) membayar kepada Kerajaan Persekutuan apa-apa royalti yang dinyatakan dalam lesen itu berkenaan dengan apaapa galian yang didapati oleh pemegang lesen itu dari pelantar benua.

(6) Pemberian lesen di bawah subseksyen (4) hendaklah dalam tiap-tiap hal mengikut budi bicara mutlak Menteri dan apa-apa bilangan lesen boleh diberikan kepada orang yang sama; dan tiaptiap lesen boleh diberikan supaya hak di bawahnya dinikmati oleh pemegang lesen itu bersama-sama dengan pemegang lesen lain yang kepadanya lesen di bawah subseksyen (4) telah diberikan atau mungkin diberikan kemudiannya.

(7) Mana-mana orang yang menjelajah, mencari gali, menggerek atau melombong, atau menjalankan operasi bagi mendapatkan apaapa galian di dalam dasar laut atau tanah bawah pelantar benua selain menurut lesen di bawah subseksyen (4) dan mengikut syarat lesen itu (yang bukan suatu syarat yang berhubungan dengan pembayaran royalti kepada Kerajaan Persekutuan) adalah melakukan suatu kesalahan, dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya; dan semua jentera, perkakas, loji, bangunan dan harta lain berserta dengan apa-apa galian atau keluaran lain yang mungkin dijumpai di atau yang dibuktikan telah didapati dari kawasan pelantar benua yang dijelajahi, dicari gali atau dilombong dengan menyalahi undang-undang itu boleh dilucuthakkan.

Pemakaian undang-undang jenayah dan sivil

5. (1) Tertakluk kepada Akta ini, bagi maksud Akta ini dan tiaptiap undang-undang bertulis lain (sama ada yang diperbuat sebelum atau selepas Akta ini diluluskan) yang pada masa ini berkuat kuasa di Malaysia—

(a) tiap-tiap perbuatan atau peninggalan yang berlaku di atau di bawah atau di atas, atau di dalam mana-mana perairan di dalam kawasan lima ratus meter dari mana-mana pepasangan atau peranti (sama ada sementara atau tetap) yang dibina, didirikan, ditempatkan atau digunakan di dalam, di, atau di atas pelantar benua berkaitan dengan penjelajahan pelantar benua itu atau pengeksploitasian sumber alamnya hendaklah disifatkan berlaku di Malaysia;

(b) tiap-tiap pepasangan atau peranti dan mana-mana perairan di dalam kawasan lima ratus meter dari sesuatu pepasangan atau peranti yang disebut terdahulu hendaklah disifatkan terletak di Malaysia, dan bagi maksud bidang kuasa hendaklah disifatkan terletak di bahagian Malaysia yang di atas tanda air pasang pada pasang perbani biasa yang paling hampir dengan pepasangan atau peranti itu;

(c) tiap-tiap mahkamah di Malaysia yang mempunyai bidang kuasa (sama ada sivil atau jenayah) berkenaan dengan perbuatan atau peninggalan itu jika ia berlaku di Malaysia hendaklah mempunyai bidang kuasa yang sewajarnya;

(d) tiap-tiap kuasa untuk menangkap atau masuk atau menggeledah atau menyita atau kuasa lain yang boleh dijalankan di bawah mana-mana undang-undang bertulis (sama ada yang diperbuat sebelum atau selepas Akta ini diluluskan) berkenaan dengan apa-apa perbuatan atau peninggalan itu atau perbuatan atau peninggalan yang disyaki itu jika ia telah berlaku atau disyaki telah berlaku di Malaysia boleh dijalankan di atas atau berkenaan dengan mana-mana pepasangan atau peranti sedemikian atau manamana perairan di dalam kawasan lima ratus meter darinya seolah-olah pepasangan atau peranti atau perairan itu berada di Malaysia; dan

(e) tanpa menjejaskan Akta Kastam 1967 [Akta 235],tiap-tiap pepasangan atau peranti, dan apa-apa bahan atau bahagian yang digunakan dalam pembinaan sesuatu pepasangan atau peranti, yang dibawa ke dalam perairan di atas pelantar benua dari bahagian laut yang lebih jauh lagi hendaklah disifatkan telah diimport pada masa pepasangan atau peranti itu dibina, didirikan, atau ditempatkan di dalam, di, atau di atas pelantar benua berkaitan dengan penjelajahan pelantar benua itu atau pengeksploitasian sumber alamnya.

(2) Yang di-Pertuan Agong boleh, dari semasa ke semasa, melalui perintah—

(a) mengubahsuaikan atau mengecualikan mana-mana peruntukan mana-mana undang-undang bertulis (sama ada yang diperbuat sebelum atau selepas Akta ini diluluskan)sehingga apa-apa takat sebagaimana yang perlu bagi maksud memberikan kuat kuasa penuh kepada subseksyen (1);

(b) mengisytiharkan bahawa peruntukan mana-mana undangundang bertulis (sama ada yang diperbuat sebelum atau selepas Akta ini diluluskan), dengan apa-apa ubah suaian atau kecualian yang difikirkannya patut, hendaklah terpakai berkenaan dengan pelantar benua atau mana-mana bahagiannya yang tertentu, atau bagi perbuatan atau peninggalan yang berlaku di dalam, di, atau di atas pelantar benua atau mana-mana bahagiannya yang tertentu, berkaitan dengan penjelajahan pelantar benua atau bahagian itu atau pengeksploitasian sumber alamnya, dan sesudah itu peruntukan undang-undang bertulis itu, dengan ubah suaian dan kecualian itu, hendaklah terpakai seolah-olah pelantar benua atau bahagiannya itu berada di Malaysia.

(3) Tiada apa-apa jua dalam seksyen ini boleh menghadkan mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan liabiliti orang berkenaan dengan perbuatan yang dilakukan atau ditinggalkan di luar Malaysia atau bidang kuasa mana-mana mahkamah di Malaysia di bawah mana-mana undang-undang bertulis itu.

(4) Walau apa pun apa-apa jua dalam mana-mana undang-undang bertulis lain, prosiding bagi perbicaraan dan penghukuman manamana orang yang dipertuduh kerana telah melakukan sesuatu kesalahan yang berkenaan dengannya mahkamah di Malaysia mempunyai bidang kuasa hanya menurut kuasa seksyen ini sahaja tidak boleh dimulakan di mana-mana mahkamah kecuali dengan keizinan Pendakwa Raya:

Dengan syarat bahawa seseorang yang dipertuduh sedemikian boleh ditangkap atau suatu waran bagi menangkapnya boleh dikeluarkan dan dilaksanakan, dan mana-mana orang sedemikian boleh ditahan dalam jagaan atau dilepaskan atas jaminan, walaupun keizinan Pendakwa Raya bagi memulakan pendakwaan bagi kesalahan itu belum diperoleh, tetapi kes itu tidak boleh didakwa selanjutnya sehingga keizinan itu telah diperoleh.

(5) Dalam seksyen ini istilah “peranti” termasuklah mana-mana kapal, platform terapung, atau pesawat udara yang digunakan berkaitan dengan mana-mana pepasangan atau peranti.

Peraturan-peraturan

6. (1) Yang di-Pertuan Agong boleh membuat peraturan-peraturan bagi—

(a) mengawal selia pembinaan, pendirian, atau penggunaan pepasangan atau peranti di dalam, di, atau di atas pelantar benua, atau mana-mana bahagiannya yang tertentu,berkaitan dengan penjelajahan pelantar benua atau bahagiannya itu atau pengeksploitasian sumber alamnya;

(b) melarang pembinaan, pendirian, penempatan, atau penggunaan pepasangan atau peranti di dalam, di, atau di atas pelantar benua di tempat ia boleh menyebabkan gangguan terhadap penggunaan alur laut yang diiktiraf yang perlu bagi pelayaran sepanjang pantai atau pelayaran antarabangsa;

(c) mengadakan zon keselamatan, sehingga ke suatu jarak yang tidak melebihi lima ratus meter yang diukur dari setiap hujung pinggir luar pepasangan atau peranti, di sekeliling mana-mana pepasangan atau peranti itu di dalam,di, atau di atas pelantar benua itu;

(d) menetapkan apa-apa langkah yang difikirkannya perlu di dalam mana-mana zon keselamatan itu bagi melindungi pepasangan atau peranti yang berkenaan dengannya zon keselamatan itu diadakan;

(e) mengawal selia atau melarang kemasukan kapal ke dalam mana-mana zon keselamatan itu;

(f) menetapkan langkah-langkah yang akan diambil di dalam mana-mana zon keselamatan itu bagi melindungi sumber hidupan laut dan sumber alam pelantar benua daripada agen yang merosakkan;

(g) menetapkan notis yang akan diberikan mengenai pembinaan, pendirian, atau penempatan pepasangan atau peranti di dalam, di, atau di atas pelantar benua;

(h) menetapkan alat yang tetap yang akan dipasang bagi maksud memberikan amaran kepada kapal dan pesawat udara mengenai adanya pepasangan atau peranti di dalam, di,atau di atas pelantar benua;

(i) mengadakan peruntukan bagi pemindahan pepasangan atau peranti yang dibina, didirikan, atau ditempatkan di dalam, di, atau di atas pelantar benua yang telah ditinggalkan atau tidak lagi digunakan;

(j) melarang atau menyekat apa-apa penjelajahan pelantar benua atau mana-mana bahagiannya yang tertentu atau apa-apa pengeksploitasian sumber alamnya yang pada pendapat Yang di-Pertuan Agong boleh mengakibatkan apa-apa gangguan yang tidak wajar terhadap pelayaran,penangkapan ikan, atau pemuliharaan sumber hidupan laut, atau yang boleh mengganggu pertahanan negara atau penyelidikan oseanografi atau penyelidikan sains lain atau kabel atau saluran paip bawah laut;

(k) mengadakan peruntukan bagi apa-apa perkara sebagaimana yang perlu untuk memberikan kuat kuasa sepenuhnya kepada Akta ini dan bagi pentadbiran wajarnya; dan

(l) menetapkan penalti yang tidak melebihi lima ribu ringgit kerana melanggar peraturan-peraturan.

(2) Dalam seksyen ini istilah “pelantar benua” termasuklah dasar laut dan tanah bawah bagi kawasan bawah laut di dalam had perairan wilayah bagi Negeri-Negeri:

Dengan syarat bahawa tiada apa-apa jua dalam seksyen ini boleh menyentuh hak dan kuasa Pihak Berkuasa Negeri di bawah undangundang tanah yang berkenaan atau mana-mana undang-undang bertulis yang lain berkenaan dengan kawasan di dalam had perairan wilayah Negeri itu.

Kecualian

7. (1) Mana-mana lesen mencari gali, pajakan pelombongan atau perjanjian yang dikeluarkan atau dibuat di bawah mana-mana undangundang bertulis yang berkuat kuasa di Sabah dan Sarawak sebaik sebelum 8 November 1969, bagi menjelajah, mencari gali atau melombong galian selain petroleum di pelantar benua hendaklah terus berkuat kuasa tertakluk kepada subseksyen (2), (3) dan (4).

(2) Segala hak yang terakru atau kena diberikan kepada dan segala liabiliti dan obligasi yang dikenakan ke atas atau ditanggung oleh Kerajaan Sabah dan Sarawak di bawah atau menurut kuasa mana-mana lesen pencarigalian, pajakan pelombongan atau perjanjian yang disebut dalam subseksyen (1) hendaklah terakru dan kena diberi kepada dan hendaklah dikenakan ke atas dan ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan.

(3) Lesen mencari gali, pajakan pelombongan atau perjanjian yang disebut dalam subseksyen (1) hendaklah ditafsirkan tertakluk kepada Akta ini.

(4) Yang di-Pertuan Agong boleh pada bila-bila masa sebelum 31 Disember 1972, dengan perintah membuat apa-apa peruntukan peralihan atau kecualian yang selanjutnya yang difikirkannya perlu atau suai manfaat.


Category:Undang-undang Malaysia