Titah Hari Raya Aidilfitri Yang di-Pertuan Agong 2021

From Wikisource
Jump to navigation Jump to search
Titah Hari Raya Aidilfitri Yang di-Pertuan Agong 2021  (2021) 
by Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah
Dititahkan pada 12 Mei 2021

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar. Lailahailallah. Wallahuakbar, Allahuakbar. Wa Lillahil Hamd.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Rakyat Malaysia yang beta kasihi sekalian,

Alhamdulillah, beta dan Raja Permaisuri Agong merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan inayah-Nya, beta dapat menyampaikan sepatah dua kata bersempena kehadiran bulan Syawal yang sentiasa dinantikan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Pada saban tahun, Aidilfitri disambut dengan penuh kegembiraan. Merentasi agama dan bangsa. Anak rantau akan pulang ke kampung halaman. Ziarah-menziarahi menjadi amalan di samping menikmati juadah tradisi yang disajikan. Sesungguhnya, manusia hanya mampu merancang. Allah SWT menentukan segalanya.

Dalam ikhtiar untuk memerangi pandemik COVID-19, Aidilfitri pada tahun ini disambut dalam suasana yang berbeza dari kelazimannya. Beta menyedari rakyat terpaksa akur dengan pelbagai peraturan yang dikuatkuasakan demi untuk membendung penularan pandemik COVID-19.

Beta juga melihat dan mendengar keluh-kesah sebilangan rakyat yang terkesan dengan pelbagai dugaan yang melanda. Sedarlah, pelaksanaan norma baru ini adalah untuk kebaikan dan masa depan kita bersama. Ianya menuntut semangat ukhuwah serta kesabaran dari seluruh rakyat Malaysia. Janganlah pula kita melupakan kerukunan hidup bermasyarakat menerusi tutur kata yang menanam benih-benih perbalahan sesama kita. Sebaliknya, marilah kita bersyukur kerana masih lagi dapat melaksanakan ibadah di bulan Ramadan dan dikurniakan pula dengan kesihatan untuk menyambut kedatangan Syawal.

Rakyat Malaysia yang beta sayangi dan sanjungi sekalian,

Pada hari penuh keberkatan ini, marilah kita menghargai pengorbanan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa ataupun agama yang telah turut bersama memerangi pandemik COVID-19 ini. Penghargaan juga kepada petugas barisan hadapan negara, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, petugas perkhidmatan kesihatan serta semua agensi kerajaan yang diamanah menjaga kesejahteraan, keamanan dan kedaulatan negara.

Kepada seluruh rakyat Malaysia,

Marilah kita menyambut Hari Raya Aidilfitri ini sebagai satu bangsa Malaysia yang bersatu padu dan dengan penuh rasa kesyukuran. Teruskan dan melangkah ke hadapan dengan menjaga kesihatan diri dan mematuhi semua peraturan yang digariskan. Insya-Allah berkat kesatuan seluruh rakyat Malaysia, beta yakin negara akan berupaya untuk membendung penularan pandemik COVID-19.

Mengakhiri titah, beta dan Raja Permaisuri Agong mendoakan agar rakyat Malaysia dan negara sentiasa berada di bawah perlindungan Allah SWT serta dijauhi dari segala musibah dan bencana.

Sekian, Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia yang dikasihi. Maaf zahir dan batin.

Wabillahi taufik wal hidayah. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sumber[edit]