Surat Sultan Selangor kepada Gabenor Jeneral di Bengal

From Wikisource
Jump to navigation Jump to search

Bahawa ini surat tulus serta ikhlas iaitu daripada hadhrat Mawlana Paduka Seri Sultan Ibrahim Khalifatul mu'minin yang semayam di atas takhta singgahsana kerajaan di dalam daerah bandar Negeri Selangor Darul Khusus barang disampaikan Tuhan seru sekelian alam apalah kiranya datang kepada sahabat kita Jendral yang memerintahkan di dalam bandar Negeri Benggala serta dengan teluk rantaunya. Ialah yang setiawan bijaksana lagi murah kepada segala fakir miskin dan memeliharakan segala dagang yang pergi datang. Adalah seumpama sepohon kayu yang besar di tengah padang lagi rendang dahannya lagi harum bau bunganya dengan lazat rasa buahnya. Itulah tempat pernaungan segala hamba Allah menghilangkan lapar dahaganya.

Wa ba'dahu.

Daripada itu maka adalah kita melayangkan sekeping kertas kepada sahabat kita menyatakan hal seperti surat kita dahulu suatu khabar pun tiadalah kita dapat.

Syahadan.

Barang tahu kiranya sahabat kita jikalau ada kasih sayang kepada Negeri Selangor melainkan kita pintalah seboleh-bolehnya kepada sahabat kita bendera Kompeni Inggeris serta dengan pasan. Itulah akan tanda kita bersahabat dan lagi seperti mana yang keluar dari dalam Negeri Selangor ini seperti timah dan lada dan lilin dan rotan sekeliannya itu kita berikan kepada sahabat kita dengan sesuci-suci hati. Sebab itulah maka kita perbuatkan surat perjanjian ini bahawa sungguh dengan nyatanya. Maka adalah cap kita di atas kertas ini.

Tersurat di atas Bukit Selangor kepada empat hari bulan Safar kepada hari Arba' waktu jam pukul tiga tarikh sanah 1200(H/1785M).