Surat Saudagar Nasruddin kepada Kapten Francis Light

From Wikisource
Jump to navigation Jump to search

Bahawa ini surat daripada hamba, Datu (Dato') Saudagar Nasruddin di Negeri Terengganu barang diwasalkan Tuhan Khaliqul alam kepada hadrat Datu Gabenor yang memegang perintah dalam daerah Pulau Pinang serta beroleh kebesaran dan kesenangan selagi ada hayat zamannya.

Wa ba'du

Barang maklum kiranya hadrat Datu jikalau jadi benar kepada Datu maka adalah hamba Datu pinta belikan kapal sebuah yang baharu yang umurnya dua tahun atau tiga tahun kapal yang baik yang boleh muat tengah empat ribu pikul tetapi Datu sebahagi Mistar (Mr.) Ferli sebahagi hamba Datu sebahagi dan lagi jika boleh Mistar Ferli bubuh orang laut yang baik serta dengan alatnya seperti kapal perang sebab pun maka hamba Datu kehendaki yang demikian itu kerana pada zaman ini lautan sebelah Timur ini sangatlah cemarnya, sebab itulah hamba Datu kehendaki alat yang baik karena adat orang Melayu Datu pun lebih maklum, maka daripada hal kapal itu jika sampai ke Terengganu insha Allah Ta'la hamba Datu sendiri hendak berlayar pergi ke sebelah Tanah Brunai maka hendak Mistar Ferli muatkan dagangan kain barang empat lima puluh ribu rupiah barang empat ratus peti opin (opium) Patna maka akan hal dagangan itu boleh hamba Datu bayar dalam seratus tiga puluh dengan harga tiga ratus tiga puluh lima ril sepeti maka apabila sampai kapal itu ke Terengganu mana dagangan yang boleh jual di Terengganu hamba Datu ambil dan mana yang tiada boleh jual dibawa berlayar dan lagi mana ada dagangan yang kepada hamba Datu boleh hamba muatkan di kapal itu maka daripada hal dagangan itu pun dibawa jual ke sebelah Tanah Brunai juga maka akan hal labanya itu pun dibahagi tiga maka pada fikiran hamba Datu terlebih untung daripada pergi ke Negeri China daripada harga lada dan timah lebih jualan di Terengganu dari Pulau Pinang, jika jadi bicara ini pinta Datu beri pergi surat akan Mistar Ferli pinta Mistar Ferli jadikan kapitan dalam kapal itu akan Kapitan Carnegie karena ia boleh jadi berbicara dengan hamba Datu dan segala khabar perniagaan segala negeri itu yang hendak pergi itu sudahlah hamba Datu khabarkan kepada Kapitan Carnegie dan lagi seperti opin jika hamba Datu bawa ke sebelah Tanah Brunai itu pada kira-kira hamba Datu boleh jual dengan harga empat ratus ril maka apabila sudah berniaga sebelah Tanah Brunai pulang ke Terengganu maka apabila sudah berlayar segala kapal pergi ke China maka mana dagangan yang tinggal seperti lada dan timah boleh muat bawa ke Benggal jadi dua tiga kali untung di dalam satu musim di dalam itu pun lebih maklum Datu jikalau sudah jadi benar kepada Datu maka hendaklah Datu beri pergi surat akan Mistar Ferli boleh dengan segeranya sediakan sementara sampai Kapitan Carnegie.

Tammatul kalam

Diperbuat surat pada enam likur hari bulan Muharram pada sanat 1206 (H/24 September 1791M).