Piagam Hak Kebebasan

From Wikisource
Jump to navigation Jump to search

Piagam ini kononnya dianugerahkan Nabi Muhammad kepada Biara St. Catherine di Sinai, Mesir.

Ini ialah surat daripada Muhammad ibn Abdullah sebagai perjanjian kepada mereka yang beragama Kristian, dekat mahupun jauh, kami bersama mereka.
Sesungguhnya saya, para hamba dan penolong Allah dan para pengikut saya akan mempertahankan mereka kerana penganut Kristian adalah warganegaraku; dan demi Allah! Saya akan menentang apa sahaja yang tidak menyenangkan hati mereka.
Tiada paksaan dikenakan terhadap mereka.
Para hakim mereka tidak akan disingkirkan daripada jawatan mereka dan para rahib mereka tidak akan dihalau daripada biara-biara mereka.
Tiada seorang pun dibenarkan memusnahkan, merosakkan atau memindah apa sahaja daripada rumah ibadat mereka ke rumah orang Islam.
Sesiapa yang mengambil apa sahaja daripada barang-barang ini, dia telah merosakkan perjanjian Allah dan menderhakai Rasul-Nya. Sesungguhnya mereka adalah sekutuku dan mempunyai piagam jaminan keamanan daripadaku terhadap semua yang dibenci mereka.
Tiada seorang pun dibenarkan memaksa mereka untuk bermusafir atau mewajibkan mereka keluar berperang.
Orang Islam keluar berjuang untuk mereka.
Sekiranya seorang wanita Kristian dikahwinkan dengan seorang lelaki Islam, ia tidak boleh dilaksanakan tanpa persetujuannya. Dia tidak boleh dihalang daripada mengunjungi gereja untuk bersembahyang.
Gereja-gereja mereka haruslah dihormati. Mereka tidak boleh dihalang daripada membaikpulih gereja-gereja itu mahupun kesucian perjanjian-perjanjian mereka.
Tiada seorang pun dari kalangan Ummah dibenarkan mengingkari perjanjian tersebut sehingga Hari Kiamat.