Perlembagaan Persekutuan Malaysia/Perhubungan Antara Persekutuan dengan Negeri-Negeri

From Wikisource
Jump to navigation Jump to search

Bab 1 - Pembahagian Pecah Geran[edit]

Perkara 73. Takat undang-undang persekutuan dan Negeri.

Pada menjalankan kuasa perundangan yang diberikan kepadanya oleh Perlembagaan ini—

(a) Parlimen boleh membuat undang-undang bagi keseluruhan atau mana-mana bahagian Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa di luar dan juga di dalam Persekutuan.
(b) Badan Perundangan sesuatu Negeri boleh membuat undang-undang bagi keseluruhan atau mana-mana bahagian Negeri itu.

Perkara 74. Hal perkara undang-undang persekutuan dan Negeri.

(1) Tanpa menjejaskan apa-apa kuasa untuk membuat undang-undang yang diberikan kepadanya oleh mana-mana Perkara lain, Parlimen boleh membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Persekutuan atau Senarai Bersama (iaitu Senarai Pertama atau Ketiga yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan).

(2) Tanpa menjejaskan apa-apa kuasa untuk membuat undang-undang yang diberikan kepadanya oleh mana-mana Perkara lain,Badan Perundangan sesuatu Negeri boleh membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Negeri (iaitu Senarai Kedua yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan) atau Senarai Bersama.

(3) Kuasa untuk membuat undang-undang yang diberikan oleh Perkara ini boleh dijalankan tertakluk kepada apa-apa syarat atau sekatan yang dikenakan oleh Perlembagaan ini mengenai mana-mana perkara tertentu.

(4) Jika ungkapan am dan juga ungkapan khusus digunakan pada memperihalkan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai-Senarai yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan maka keluasan ungkapan am itu tidak boleh dikira sebagai dihadkan oleh ungkapan khusus itu.

Perkara 75. Ketidakselarasan antara undang-undang persekutuan dengan undang-undang Negeri.

Jika mana-mana undang-undang Negeri tidak selaras dengan sesuatu undang-undang persekutuan, maka undang-undang persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang Negeri dan undang-undang Negeri itu adalah tidak sah setakat yang tidak selaras itu.

Perkara 76. Kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang bagi Negeri-Negeri dalam hal-hal tertentu.

(1) Parlimen boleh membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Negeri, tetapi hanya seperti yang berikut sahaja, iaitu:

(a) bagi maksud melaksanakan apa-apa triti, perjanjian atau konvensyen antara Persekutuan dengan mana-mana negara lain, atau apa-apa keputusan sesuatu organisasi antarabangsa yang dianggotai oleh Persekutuan; atau
(b) bagi maksud menggalakkan keseragaman undang-undang antara dua Negeri atau lebih; atau
(c) jika diminta sedemikian oleh Dewan Undangan mana-mana Negeri.

(2) Tiada undang-undang boleh dibuat menurut perenggan (a) Fasal (1) mengenai apa-apa perkara mengenai hukum Syarak atau adat orang Melayu atau mengenai apa-apa perkara tentang undang-undang atau adat anak negeri di Negeri Sabah dan Sarawak dan tiada Rang Undang-Undang bagi suatu undang-undang di bawah perenggan itu boleh dibawa di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen sehingga Kerajaan mana-mana Negeri yang berkenaan telah dirundingi.

(3) Tertakluk kepada Fasal (4), sesuatu undang-undang yang dibuat menurut perenggan (b) atau perenggan (c) Fasal (1) tidak boleh berkuat kuasa di mana-mana Negeri sehingga undang-undang itu telah diterima pakai melalui suatu undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri itu, dan selepas itu hendaklah disifatkan sebagai suatu undang-undang Negeri dan bukan suatu undang-undang persekutuan, dan boleh dipinda atau dimansuhkan sewajarnya melalui suatu undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan itu.

(4) Parlimen boleh, hanya bagi maksud memastikan keseragaman undang-undang dan dasar, membuat undang-undang mengenai pemegangan tanah, perhubungan antara tuan tanah dengan penyewa, pendaftaran hakmilik dan surat ikatan yang berhubungan dengan tanah, pindah hakmilik tanah, gadai janji, pajakan dan gadaian berkenaan dengan tanah, isemen dan hak dan kepentingan lain mengenai tanah, pengambilan tanah dengan paksa, perkadaran dan penilaian tanah, dan kerajaan tempatan; dan Fasal (1)(b) dan (3) tidaklah terpakai bagi mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan mana-mana perkara itu.

Perkara 76A. Kuasa Parlimen untuk memperluas kuasa perundangan Negeri.

(1) Dengan ini ditegaskan bahawa kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang mengenai sesuatu perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Persekutuan termasuklah kuasa untuk membenarkan Badan-Badan Perundangan Negeri-Negeri atau mana-mana daripadanya, tertakluk kepada apa-apa syarat atau sekatan (jika ada) yang dikenakan oleh Parlimen, untuk membuat undang-undang mengenai kesemua atau mana-mana bahagian perkara itu.

(2) Walau apa pun Perkara 75, sesuatu undang-undang Negeri yang dibuat di bawah kuasa yang diberikan oleh Akta Parlimen sebagaimana yang disebut dalam Fasal (1) boleh, jika dan setakat yang diperuntukkan sedemikian oleh Akta itu, meminda atau memansuhkan (berkenaan dengan Negeri yang berkenaan) mana-mana undang-undang persekutuan yang telah diluluskan sebelum Akta itu.

(3) Apa-apa perkara yang mengenainya Badan Perundangan sesuatu Negeri dibenarkan pada masa itu oleh Akta Parlimen untuk membuat undang-undang hendaklah, bagi maksud Perkara 79, 80 dan 82, dikira berkenaan dengan Negeri yang berkenaan seolah-olah perkara itu ialah suatu perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Bersama.

Perkara 77. Kuasa baki perundangan.

Badan Perundangan sesuatu Negeri berkuasa membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang tidak disebut satu persatu dalam mana-mana Senarai yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan, iaitu yang bukan suatu perkara yang berkenaan dengannya Parlimen berkuasa membuat undang-undang.

Perkara 78. Perundangan yang menyekat penggunaan sungai.

Setakat yang mana-mana undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau mana-mana peraturan yang dibuat menurut suatu undang-undang yang sedemikian menyekat hak sesuatu Negeri atau pemastautinnya untuk menggunakan untuk pelayaran atau pengairan mana-mana sungai yang terletak keseluruhannya di dalam Negeri itu, undang-undang atau peraturan itu tidak boleh berkuat kuasa di dalam Negeri itu melainkan jika undang-undang atau peraturan itu telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri itu melalui suatu ketetapan yang disokong oleh majoriti jumlah bilangan ahlinya.

Perkara 79. Penjalanan kuasa perundangan bersama.

(1) Jika didapati oleh pegawai pengerusi mana-mana satu Majlis Parlimen atau pegawai pengerusi Dewan Undangan mana-mana Negeri bahawa sesuatu Rang Undang-Undang atau sesuatu pindaan kepada Rang Undang-Undang mencadangkan suatu perubahan dalam undang-undang yang berhubungan dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Bersama, atau dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Negeri yang mengenainya Persekutuan sedang menjalankan fungsi mengikut Perkara 94, maka dia hendaklah memperakui Rang Undang-Undang atau pindaan itu bagi maksud Perkara ini.

(2) Sesuatu Rang Undang-Undang atau pindaan yang diperakui di bawah Perkara ini tidak boleh diteruskan sehingga empat minggu telah berlalu selepas penyiarannya, melainkan jika pegawai pengerusi itu membenarkan Rang Undang-Undang atau pindaan itu diteruskan atas alasan keterdesakan, setelah berpuas hati bahawa Kerajaan Negeri atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, Kerajaan Persekutuan, telah dirundingi.

Bab 2 - Pembahagian kuasa eksekutif[edit]

Perkara 80. Pembahagian kuasa eksekutif.

(1) Tertakluk kepada peruntukan yang berikut dalam Perkara ini kuasa eksekutif Persekutuan meliputi segala perkara yang mengenainya Parlimen boleh membuat undang-undang, dan kuasa eksekutif sesuatu Negeri meliputi segala perkara yang mengenainya Badan Perundangan Negeri itu boleh membuat undang-undang.

(2) Kuasa eksekutif Persekutuan tidak meliputi apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Negeri, kecuali setakat yang diperuntukkan dalam Perkara 93 hingga 95, dan juga tidak meliputi apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Bersama, kecuali setakat yang diperuntukkan oleh undang-undang persekutuan atau undang-undang Negeri; dan setakat yang undang-undang persekutuan atau undang-undang Negeri memberikan kuasa eksekutif kepada Persekutuan mengenai apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Bersama, undang-undang itu boleh berbuat demikian dengan menyingkirkan kuasa eksekutif Negeri itu.

(3) Setakat yang sesuatu undang-undang yang dibuat di bawah Fasal (4) Perkara 76 membuat peruntukan bagi memberikan kuasa eksekutif kepada Persekutuan, undang-undang itu tidak boleh berkuat kuasa di mana-mana Negeri melainkan jika diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri itu melalui suatu ketetapan.

(4) Undang-undang persekutuan boleh membuat peruntukan supaya kuasa eksekutif sesuatu Negeri hendaklah meliputi pentadbiran mana-mana peruntukan tertentu dalam undang-undang persekutuan dan boleh bagi maksud itu memberikan kuasa kepada dan mengenakan kewajipan pada mana-mana pihak berkuasa Negeri itu.

(5) Tertakluk kepada mana-mana peruntukan undang-undang persekutuan atau undang-undang Negeri, perkiraan boleh dibuat antara Persekutuan dengan sesuatu Negeri bagi pelaksanaan apa-apa fungsi oleh pihak berkuasa pada satu pihak bagi pihak berkuasa pada pihak yang satu lagi dan perkiraan sedemikian boleh membuat peruntukan bagi pembayaran berkenaan dengan apa-apa kos yang dilakukan di bawah perkiraan itu.

(6) Jika, menurut Fasal (4), apa-apa fungsi diberikan oleh undang-undang persekutuan kepada mana-mana pihak berkuasa sesuatu Negeri maka Persekutuan hendaklah membuat apa-apa pembayaran kepada Negeri sebagaimana yang dipersetujui antara Persekutuan dengan Negeri itu atau sebagaimana yang diputuskan oleh suatu tribunal yang dilantik oleh Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan jika tidak ada persetujuan.

Perkara 81. Obligasi Negeri kepada Persekutuan.

Kuasa eksekutif tiap-tiap Negeri hendaklah dijalankan supaya—

(a) dapat dipastikan bahawa apa-apa undang-undang persekutuan yang dipakai bagi Negeri itu dipatuhi; dan
(b) tidak menghalang atau menjejaskan penjalanan kuasa eksekutif Persekutuan.

Bab 3 - Pembahagian beban kewangan[edit]

Perkara 82. Pembiayaan perbelanjaan yang berhubungan dengan perkara dalam Senarai Bersama.

Jika mana-mana undang-undang atau tindakan eksekutif yang berhubungan dengan apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Bersama melibatkan perbelanjaan, maka hendaklah diambil tindakan di bawah Perlembagaan ini yang akan memastikan bahawa, melainkan jika dipersetujui selainnya, beban perbelanjaan itu ditanggung—

(a) oleh Persekutuan, jika perbelanjaan itu berbangkit sama ada daripada komitmen persekutuan atau daripada komitmen Negeri yang diakujanjikan mengikut dasar persekutuan dan dengan kelulusan khusus Kerajaan Persekutuan;
(b) oleh Negeri atau Negeri-Negeri yang berkenaan, jika perbelanjaan itu berbangkit daripada komitmen Negeri yang diakujanjikan oleh Negeri atau Negeri-Negeri itu atau kuasa Negeri atau Negeri-Negeri itu sendiri.

Bab 4 – Tanah[edit]

Perkara 83. Pengambilan tanah bagi maksud persekutuan.

(1) Jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa tanah di sesuatu Negeri, yang bukan tanah beri hakmilik, dikehendaki bagi maksud persekutuan, maka Kerajaan Persekutuan boleh, selepas berunding dengan Kerajaan Negeri itu, menghendaki Kerajaan Negeri itu, dan kemudiannya adalah menjadi kewajipan Kerajaan Negeri itu, untuk menyebabkan mana-mana tanah sebagaimana yang diarahkan oleh Kerajaan Persekutuan diberikan kepada Persekutuan atau kepada mana-mana pihak berkuasa awam sebagaimana yang diarahkan oleh Kerajaan Persekutuan:

Dengan syarat bahawa Kerajaan Persekutuan tidaklah boleh menghendaki supaya diberikan mana-mana tanah yang dirizabkan bagi sesuatu maksud Negeri melainkan jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa adalah bagi kepentingan negara untuk berbuat demikian.

(2) Jika mengikut Fasal (1) Kerajaan Persekutuan menghendaki supaya Kerajaan Negeri itu menyebabkan tanah diberikan untuk selama-lamanya, maka pemberian itu hendaklah dibuat tanpa sekatan tentang kegunaan tanah itu tetapi hendaklah tertakluk kepada pembayaran cukai tanah yang berkenaan pada tiap-tiap tahun dan Persekutuan hendaklah membayar kepada Negeri itu suatu premium yang sama banyak dengan nilai pasaran bagi pemberian itu; dan jika Kerajaan Persekutuan menghendaki supaya Kerajaan Negeri itu menyebabkan apa-apa kepentingan lain mengenai tanah diberikan, maka Persekutuan hendaklah membayar kepada Negeri itu cukai tahunan yang adil bagi kepentingan itu dan apa-apa premium, jika ada yang dikehendaki oleh Kerajaan Negeri itu, sebagaimana yang adil:

Dengan syarat bahawa jika nilai tanah itu telah dinaikkan oleh sebab apa-apa pemajuan yang dibuat (selain atas perbelanjaan Negeri itu) semasa tanah itu dirizabkan bagi maksud persekutuan, maka kenaikan itu tidak boleh diambil kira pada menentukan nilai pasaran, cukai atau premium bagi maksud Fasal ini.

(3) Jika sesuatu kehendak dibuat di bawah Fasal (1) berkenaan dengan mana-mana tanah yang, pada tarikh kehendak itu, telah dicadangkan bagi apa-apa maksud Negeri, maka jika—

(a) tanah lain diambil oleh Negeri itu bagi maksud itu sebagai ganti tanah yang mula-mula disebut itu; dan
(b) kos tanah yang diambil sedemikian melebihi amaun yang dibayar oleh Persekutuan (selain bayaran sebagai cukai) mengikut Fasal (2) berkenaan dengan kepentingan yang diberikan kepada Persekutuan itu,

Persekutuan hendaklah membayar kepada Negeri itu apa-apa jumlah wang yang adil berkenaan dengan lebihan itu.

(4) Jika pemberian selanjutnya dibuat menurut Perkara ini berkenaan dengan tanah yang mengenainya suatu kepentingan terletak hak pada Persekutuan atau mana-mana pihak berkuasa awam, maka apa-apa jumlah wang yang kena dibayar sebagai premium di bawah Fasal (2) berkenaan dengan pemberian selanjutnya itu hendaklah dikurangkan sebanyak amaun yang sama dengan nilai pasaran bagi apa-apa pemajuan yang dibuat (selain atas perbelanjaan Negeri itu) semenjak kepentingan itu menjadi terletak hak seperti yang disebut terdahulu.

(5) Peruntukan yang tersebut di atas dalam Perkara ini (kecuali Fasal (3)) hendaklah terpakai berhubung dengan tanah beri hakmilik sebagaimana peruntukan itu terpakai berhubung dengan tanah yang bukan tanah beri hakmilik, tetapi tertakluk kepada ubah suaian yang berikut:

(a) dalam Fasal (1), perkataan "selepas berunding dengan Kerajaan Negeri itu," hendaklah ditinggalkan;
(b) jika suatu kehendak dibuat di bawah Fasal itu, maka menjadi kewajipan Kerajaan Negeri itu untuk menyebabkan diambil melalui perjanjian atau dengan paksa apa-apa kepentingan mengenai tanah itu sebagaimana yang perlu untuk mematuhi kehendak itu;
(c) apa-apa perbelanjaan yang dilakukan oleh Negeri itu dalam atau berkaitan dengan pengambilan tanah mengikut perenggan (b) hendaklah dibayar balik oleh Persekutuan, kecuali bahawa jika pengambilan itu dilakukan melalui perjanjian, maka Persekutuan tidaklah bertanggungan, melainkan jika Persekutuan merupakan satu pihak kepada perjanjian itu, untuk membayar lebih daripada apa yang akan dibayar olehnya jika tanah itu diambil dengan paksa;
(d) apa-apa jumlah wang yang dibayar oleh Persekutuan kepada Negeri itu mengikut perenggan (c) hendaklah, bagi maksud Fasal (2), diambil kira pada menentukan nilai pasaran, cukai tanah yang berkenaan atau cukai tahunan yang adil, dan hendaklah dipotong daripada apa-apa premium yang kena dibayar oleh Persekutuan di bawah Fasal itu.

(6) Jika pemberian dibuat kepada Persekutuan menurut Fasal (1) berkenaan dengan tanah, atau suatu kepentingan mengenainya, yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri itu atas perbelanjaan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu sebelum Hari Merdeka, maka perenggan (d) dan Fasal (5) hendaklah terpakai bagi jumlah wang yang dibayar berkenaan dengan pengambilan itu oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu seolah-olah jumlah wang itu dibayar oleh Persekutuan mengikut perenggan (c) Fasal (5); dan Fasal (3) tidaklah terpakai bagi mana-mana tanah yang sedemikian.

(7) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh menghalang perizaban tanah di sesuatu Negeri bagi maksud persekutuan atas apa-apa terma dan syarat yang dipersetujui antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri itu, atau boleh menyentuh kuasa pihak berkuasa yang berkenaan di sesuatu Negeri untuk mengambil, mengikut mana-mana undang-undang yang sedang berkuat kuasa, mana-mana tanah beri hakmilik bagi maksud persekutuan tanpa suatu kehendak oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Perkara ini.

(8) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh menghalang pemberian tanah di sesuatu Negeri kepada Persekutuan, atas apa-apa terma dan syarat yang dipersetujui antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri, tanpa suatu kehendak oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Perkara ini.

Perkara 84. (Pengembalian kepada Negeri tanah yang dipegang bagi maksud persekutuan - Dimansuhkan).

(Dimansuhkan).

Perkara 85. Pemberian kepada Persekutuan tanah yang dirizabkan bagi maksud persekutuan.

(1) Jika mana-mana tanah di sesuatu Negeri dirizabkan bagi apa-apa maksud persekutuan, maka Kerajaan Persekutuan boleh menghendaki Kerajaan Negeri, dan kemudiannya menjadi kewajipan Kerajaan itu, untuk menyebabkan tanah itu diberikan kepada Persekutuan untuk selama-lamanya tanpa sekatan tentang kegunaan tanah itu, tetapi tertakluk kepada pembayaran premium yang hendaklah ditentukan mengikut Fasal (2) dan kepada pembayaran cukai tanah yang berkenaan pada tiap-tiap tahun.

(2) Premium yang disebut dalam Fasal (1) hendaklah sama banyak dengan nilai pasaran tanah itu ditolak—

(a) nilai pasaran bagi apa-apa pemajuan yang dibuat (selain atas perbelanjaan Negeri) semasa tanah itu digunakan bagi maksud persekutuan; dan
(b) amaun, jika ada, yang telah dibayar oleh Persekutuan, atau yang telah dibayar sebelum Hari Merdeka oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, berkenaan dengan kos pengambilan apa-apa kepentingan mengenai tanah itu oleh Kerajaan Negeri.

(3) Tanpa menjejaskan Fasal (1), jika mana-mana tanah di sesuatu Negeri dirizabkan bagi apa-apa maksud persekutuan, maka Kerajaan Persekutuan boleh menawarkan untuk melepaskan tanah itu kepada Negeri dengan syarat bahawa Negeri itu membayar kepada Persekutuan nilai pasaran dan amaun yang disebut dalam perenggan (a) dan (b) Fasal (2); dan jika Kerajaan Negeri itu menyetujui terima tawaran itu, maka perizaban itu hendaklah terhenti.

(4) Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perkara ini, tanah di sesuatu Negeri yang dirizabkan bagi maksud persekutuan tidaklah terhenti daripada dirizabkan sedemikian, dan segala tanah yang dirizabkan sedemikian hendaklah dikawal dan diuruskan oleh atau bagi pihak Kerajaan Persekutuan, dan Kerajaan Persekutuan boleh memberikan apa-apa hak menduduki, mengawal atau menguruskan, atau suatu penyewaan atau pajakan, keseluruhan atau mana-mana bahagian tanah itu, kepada mana-mana orang—

(a) bagi orang itu menggunakan tanah itu untuk apa-apa jangka masa bagi maksud persekutuan yang baginya tanah itu dirizabkan, atau bagi apa-apa maksud yang berdampingan atau bersampingan dengannya; atau
(b) jika Kerajaan Persekutuan tidak dapat kerana apa-apa sebab menggunakan tanah buat sementara bagi maksud persekutuan yang baginya tanah itu dirizabkan, bagi orang itu menggunakan tanah itu bagi apa-apa maksud selain maksud persekutuan, untuk apa-apa jangka masa dan atas apa-apa terma dan syarat yang ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan.

(5) Dalam Perkara ini sebutan mengenai tanah di sesuatu Negeri yang dirizabkan bagi maksud persekutuan termasuklah—

(a) mana-mana tanah yang telah dirizabkan sebelum Hari Merdeka mengikut peruntukan mana-mana undang-undang yang ketika itu berkuat kuasa di dalam Negeri itu bagi apa-apa maksud yang telah menjadi suatu maksud persekutuan selepas Hari Merdeka;
(b) mana-mana tanah yang dirizabkan bagi apa-apa maksud persekutuan selepas Hari Merdeka mengikut peruntukan mana-mana undang-undang yang sedang berkuat kuasa di dalam sesuatu Negeri;
(c) mana-mana tanah Negeri yang disebut dalam Fasal (4) Perkara 166 yang telah dimansuhkan; dan
(d) mana-mana tanah di sesuatu Negeri yang dirizabkan bagi maksud persekutuan menurut kuasa Fasal (7) Perkara 83.

Perkara 86. Pelupusan tanah yang terletak hak pada Persekutuan.

(1) Jika apa-apa kepentingan mengenai tanah terletak hak pada Persekutuan, atau pada sesuatu pihak berkuasa awam, bagi apa-apa maksud, maka Persekutuan atau pihak berkuasa awam itu boleh melupuskan kepentingan itu atau apa-apa kepentingan yang lebih kecil mengenai tanah itu kepada mana-mana orang yang didapatinya layak.

(2) Jika apa-apa kepentingan mengenai tanah di sesuatu Negeri dilupuskan oleh atau kepada Persekutuan atau mana-mana pihak berkuasa awam menurut Perkara ini atau Perkara 85, maka menjadi kewajipan Kerajaan Negeri itu untuk mendaftarkan pelupusan itu dengan sewajarnya.

Perkara 87. Pemutusan pertikaian tentang nilai tanah.

(1) Jika berbangkit apa-apa pertikaian antara Kerajaan Persekutuan dengan sesuatu Kerajaan Negeri tentang apa-apa pembayaran yang dibuat oleh atau kepada Persekutuan di bawah Perkara-Perkara yang disebut terdahulu dalam Bab ini, atau tentang amaun apa-apa pembayaran itu, maka, sama ada atas permintaan Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri itu, pertikaian itu hendaklah dirujukkan kepada Tribunal Tanah yang dilantik mengikut Perkara ini.

(2) Tribunal Tanah hendaklah terdiri daripada—

(a) seorang pengerusi yang hendaklah dilantik oleh Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan dan yang adalah, atau pernah menjadi, atau layak menjadi, seorang hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi, atau yang pernah menjadi seorang hakim Mahkamah Besar sebelum Hari Malaysia;
(b) seorang anggota yang hendaklah dilantik oleh Kerajaan Persekutuan; dan
(c) seorang anggota yang hendaklah dilantik oleh Kerajaan Negeri itu.

(3) Amalan dan tatacara Tribunal Tanah hendaklah dikawal selia oleh kaedah-kaedah mahkamah yang dirangka oleh Jawatankuasa Kaedah-Kaedah atau pihak berkuasa lain yang berkuasa di bawah undang-undang bertulis untuk membuat kaedah-kaedah atau aturan-aturan yang mengawal selia amalan dan tatacara Mahkamah Persekutuan.

(4) Sesuatu rayuan terhadap keputusan Tribunal Tanah mengenai apa-apa soal undang-undang boleh dibuat kepada Mahkamah Persekutuan.

Perkara 88. Pemakaian Perkara 83 hingga 87 bagi Negeri yang tidak mempunyai Raja.

Dalam pemakaiannya bagi mana-mana Negeri yang tidak mempunyai Raja, Perkara 83 hingga 87 hendaklah berkuat kuasa—

(a) tertakluk kepada apa-apa penyesuaian (jika ada) sebagaimana yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen, iaitu penyesuaian yang dikehendaki untuk memastikan bahawa Perkara-Perkara itu terpakai (dengan seberapa hampir yang dapat dilaksanakan memandangkan perbezaan dalam sistem pemegangan tanah) mengikut cara yang sama sebagaimana Perkara-Perkara itu terpakai bagi Negeri-Negeri lain; dan
(b) dalam hal Negeri Sabah dan Sarawak, dengan meninggalkan perenggan (a) Fasal (5) dalam Perkara 83.

Perkara 89. Tanah simpanan Melayu.

(1) Mana-mana tanah di sesuatu Negeri yang merupakan tanah simpanan Melayu sebaik sebelum Hari Merdeka mengikut undang-undang yang sedia ada boleh terus menjadi tanah simpanan Melayu mengikut undang-undang itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh suatu Enakmen Badan Perundangan Negeri itu, iaitu suatu Enakmen—

(a) yang diluluskan oleh majoriti jumlah bilangan ahli Dewan Undangan dan dengan undi tidak kurang daripada dua pertiga daripada ahli-ahli yang hadir dan pengundi; dan
(b) yang dipersetujui melalui ketetapan setiap Majlis Parlimen yang diluluskan oleh majoriti jumlah bilangan ahli Majlis Parlimen itu dan dengan undi tidak kurang daripada dua pertiga daripada ahli-ahli yang mengundi.

(1A) Apa-apa undang-undang yang dibuat di bawah Fasal (1) yang membuat peruntukan bagi pelucuthakan atau pengembalian kepada Pihak Berkuasa Negeri, atau bagi pelucutan, pemunyaan mana-mana tanah simpanan Melayu, atau apa-apa hak atau kepentingan mengenainya, disebabkan mana-mana orang, atau mana-mana perbadanan, syarikat atau badan lain (sama ada diperbadankan atau tidak diperbadankan) yang memegangnya tidak lagi layak atau berwibawa di bawah undang-undang yang berkaitan yang berhubungan dengan tanah simpanan Melayu untuk memegangnya, tidaklah menjadi tidak sah atas alasan ketidakselarasan dengan Perkara 13.

(2) Mana-mana tanah di sesuatu Negeri yang pada masa ini bukan tanah simpanan Melayu mengikut undang-undang yang sedia ada dan yang belum dibangunkan atau dicucuk tanam boleh diisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu mengikut undang-undang itu: Dengan syarat bahawa—

(a) jika mana-mana tanah di sesuatu Negeri diisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu di bawah Fasal ini, suatu keluasan tanah yang sama dengan luas tanah itu di dalam Negeri itu yang belum dibangunkan atau dicucuk tanam hendaklah diadakan bagi pemberian hakmilik umum; dan
(b) jumlah keluasan tanah di sesuatu Negeri yang pada masa ini diisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu di bawah Fasal ini tidak boleh pada bila-bila masa melebihi jumlah keluasan tanah di Negeri itu yang telah diadakan bagi pemberian hakmilik umum menurut perenggan (a).

(3) Tertakluk kepada Fasal (4), Kerajaan mana-mana Negeri boleh, mengikut undang-undang yang sedia ada, mengisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu—

(a) mana-mana tanah yang diambil oleh Kerajaan itu melalui perjanjian bagi maksud itu;
(b) mana-mana tanah lain, apabila permohonan dibuat oleh tuan punya tanah itu, dan dengan persetujuan tiap-tiap orang yang mempunyai hak atau kepentingan mengenainya,

dan hendaklah, mengikut undang-undang yang sedia ada, dengan serta-merta mengisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu, dalam hal jika mana-mana tanah terhenti menjadi tanah simpanan Melayu, mana-mana tanah lain yang sama jenisnya dengan tanah itu dan yang luasnya tidak melebihi keluasan tanah itu.

(4) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh membenarkan diisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu mana-mana tanah yang pada masa perisytiharan itu dipunyai atau diduduki oleh seseorang yang bukan seorang Melayu atau yang mengenainya atau ke atasnya orang itu ketika itu mempunyai apa-apa hak atau kepentingan.

(5) Tanpa menjejaskan Fasal (3), Kerajaan mana-mana Negeri boleh, mengikut undang-undang, mengambil tanah untuk menempatkan orang Melayu atau kaum lain, dan mewujudkan amanah bagi maksud itu.

(6) Dalam Perkara ini "tanah simpanan Melayu" ertinya tanah yang disimpan untuk diberi hakmilik kepada orang Melayu atau kepada anak negeri bagi Negeri tempat terletaknya tanah itu; dan "orang Melayu" termasuklah mana-mana orang yang, di bawah undang-undang Negeri tempat dia bermastautin, dikira sebagai orang Melayu bagi maksud perizaban tanah.

(7) Tertakluk kepada Perkara 161A, Perkara ini hendaklah berkuat kuasa walau apa pun apa-apa peruntukan lain dalam perlembagaan ini; tetapi (tanpa menjejaskan mana-mana peruntukan lain yang sedemikian) tiada tanah boleh dikekalkan atau diisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu kecuali sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perkara ini dan Perkara 90.

(8) Peruntukan Perkara ini hendaklah terpakai bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mengikut cara yang sama sebagaimana peruntukan Perkara ini terpakai bagi sesuatu Negeri, kecuali bahawa Fasal (1) dalam pemakaiannya bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya hendaklah diubahsuaikan supaya dibaca bahawa mana-mana tanah di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang sebaik sebelum Hari Merdeka ialah tanah simpanan Melayu mengikut undang-undang yang sedia ada boleh terus menjadi tanah simpanan Melayu mengikut undang-undang itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Akta Parlimen yang diluluskan oleh majoriti jumlah bilangan ahli setiap Majlis Parlimen dan dengan undi tidak kurang daripada dua pertiga daripada ahli-ahli yang hadir dan mengundi di dalam setiap Majlis Parlimen.

Perkara 90. Peruntukan khas yang berhubungan dengan tanah adat di Negeri Sembilan dan Melaka, dan tanah pegangan Melayu di Terengganu.

(1) Tiada apa-apa jua dalam Perlembagaan ini boleh menyentuh kesahan apa-apa sekatan yang dikenakan oleh undang-undang ke atas pemindahan hakmilik atau pemajakan tanah adat di Negeri Sembilan atau Negeri Melaka, atau pemindahan hakmilik atau pemajakan apa-apa kepentingan mengenai tanah itu.

(1A) Bagi maksud Fasal (1)—

(a) "pemindahan hakmilik" termasuklah apa-apa penggadaian, perpindahan atau peletakhakan, atau pewujudan apa-apa lien atau amanah, atau pemasukan apa-apa kaveat, atau apa-apa bentuk urusan atau pelupusan lain daripada apa-apa jua perihalan atau jenis; dan
(b) "pemajakan" termasuklah apa-apa penyewaan dalam apa-apa jua bentuk atau jangka masa.

(2) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, undang-undang yang sedia ada di Negeri Terengganu mengenai tanah pegangan Melayu hendaklah terus berkuat kuasa sehingga diperuntukkan selainnya oleh suatu Enakmen Badan Perundangan Negeri itu yang diluluskan dan dipersetujui sebagaimana yang diperihalkan dalam Fasal (1) Perkara 89.

(3) Apa-apa Enakmen Badan Perundangan Negeri Terengganu yang sedemikian boleh membuat peruntukan bagi tanah simpanan Melayu yang bersamaan dengan undang-undang yang sedia ada yang berkuat kuasa di mana-mana Negeri lain yang ber-Raja; dan dalam keadaan sedemikian Perkara 89 tersebut hendaklah berkuat kuasa berhubung dengan Terengganu tertakluk kepada ubah suaian yang berikut, iaitu:

(a) dalam Fasal (1), sebutan mengenai tanah yang merupakan tanah simpanan Melayu sebaik sebelum Hari Merdeka mengikut undang-undang yang sedia ada hendaklah digantikan dengan sebutan mengenai tanah yang sebaik sebelum lulusnya Enakmen tersebut itu merupakan tanah pegangan Melayu; dan
(b) tertakluk seperti yang disebut terdahulu, apa-apa sebutan mengenai undang-undang yang sedia ada hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Enakmen tersebut.

Perkara 91. Majlis Tanah Negara.

(1) Maka hendaklah ada suatu Majlis Tanah Negara yang terdiri daripada seorang Menteri sebagai pengerusi, seorang wakil dari setiap Negeri yang hendaklah dilantik oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri, dan apa-apa bilangan wakil Kerajaan Persekutuan yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan tetapi, tertakluk kepada Fasal (5) Perkara 95E, bilangan wakil Kerajaan Persekutuan tidak boleh melebihi sepuluh.

(2) Pengerusi boleh mengundi atas apa-apa soal di hadapan Majlis Tanah Negara tetapi tidaklah mempunyai undi pemutus.

(3) Majlis Tanah Negara hendaklah dipanggil bermesyuarat oleh pengerusi seberapa kerap yang difikirkannya perlu tetapi sekurang-kurangnya satu mesyuarat hendaklah diadakan pada tiap-tiap tahun.

(4) Jika pengerusi atau seseorang wakil sesuatu Negeri atau Kerajaan Persekutuan tidak dapat hadir dalam sesuatu mesyuarat, maka pihak berkuasa yang melantiknya itu boleh melantik seorang lain untuk mengambil tempatnya dalam mesyuarat itu.

(5) Menjadi kewajipan Majlis Tanah Negara untuk membentuk, dari semasa ke semasa, dengan berunding dengan kerajaan Persekutuan, Kerajaan-Kerajaan Negeri dan Majlis Kewangan Negara suatu dasar negara untuk memajukan dan mengawal penggunaan tanah di seluruh Persekutuan bagi perlombongan, pertanian, perhutanan atau apa-apa maksud lain, dan untuk mentadbirkan mana-mana undang-undang yang berhubungan dengannya; dan Kerajaan-Kerajaan Persekutuan dan Negeri hendaklah mengikuti dasar yang dibentuk sedemikian.

(6) Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan mana-mana Negeri boleh merundingi Majlis Tanah Negara berkenaan dengan apa-apa perkara lain yang berhubungan dengan penggunaan tanah atau berkenaan dengan apa-apa perundangan yang dicadangkan mengenai tanah atau pentadbiran mana-mana undang-undang yang sedemikian, dan menjadi kewajipan Majlis Tanah Negara untuk menasihati Kerajaan itu mengenai mana-mana perkara yang sedemikian.

Bab 5 - Pembangunan Negara[edit]

Perkara 92. Rancangan pembangunan negara.

(1) Jika, selepas sesuatu syor diterima daripada suatu jawatankuasa pakar dan selepas berunding dengan Majlis Kewangan Negara, Majlis Tanah Negara dan Kerajaan mana-mana Negeri yang berkenaan, Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa adalah berfaedah bagi kepentingan negara dijalankan sesuatu rancangan pembangunan di mana-mana kawasan atau kawasan-kawasan di dalam satu atau beberapa Negeri, maka Yang di-Pertuan Agong boleh, selepas menyiarkan rancangan itu, mengisytiharkan kawasan atau kawasan-kawasan itu sebagai kawasan pembangunan; dan sesudah itu Parlimen berkuasa melaksanakan rancangan pembangunan itu atau mana-mana bahagiannya, walaupun mana-mana perkara yang dimaksudkan oleh rancangan itu merupakan perkara-perkara yang, jika tidak kerana Perkara ini, hanya Negeri-Negeri sahaja berkuasa membuat undang-undang mengenainya.

(2) Apa-apa Akta yang diluluskan menurut Perkara ini hendaklah menyebut bahawa Akta itu telah diluluskan sedemikian dan bahawa peruntukan Fasal (1) telah dipatuhi; dan Perkara 79 tidaklah terpakai bagi apa-apa Rang Undang-Undang untuk mengadakan suatu Akta yang sedemikian atau apa-apa pindaan kepada suatu Rang Undang-Undang yang sedemikian.

(3) Dalam Perkara ini, "rancangan pembangunan" ertinya suatu rancangan untuk membangunkan, memajukan, atau memelihara sumber-sumber alam di dalam sesuatu kawasan pembangunan, mengeksploitasikan sumber-sumber yang sedemikian, atau menambah peluang-peluang pekerjaan di dalam kawasan itu.

(4) Tanpa menjejaskan kuasanya di bawah mana-mana Perkara lain untuk menghendaki apa-apa kepentingan mengenai tanah diambil atau diberikan bagi maksud persekutuan, Kerajaan Persekutuan boleh dari semasa ke semasa menghendaki dirizabkan bagi maksud sesuatu rancangan pembangunan, setakat yang dinyatakannya, mana-mana tanah di dalam sesuatu kawasan pembangunan yang tidak diduduki oleh orang persendirian; tetapi apa-apa kekurangan hasil tahunan yang diterima oleh sesuatu Negeri disebabkan oleh perizaban itu hendaklah diganti kepada Negeri itu oleh Persekutuan.

(5) Segala pendapatan yang diterima oleh Persekutuan daripada pengendalian sesuatu rancangan pembangunan hendaklah, tertakluk kepada Fasal (6), digunakan—

(a) pertamanya, bagi mengadakan peruntukan modal dan membayar belanja kerja bagi rancangan pembangunan itu;
(b) keduanya, bagi membayar balik kepada Persekutuan apa-apa perbelanjaan, termasuk perbelanjaan di bawah Fasal (4), yang dilakukan oleh Persekutuan dalam mengendalikan rancangan itu; dan
(c) tentang bakinya, bagi membayar kepada Negeri tempat kawasan pembangunan itu terletak atau, jika kawasan pembangunan itu terletak di dalam dua Negeri atau lebih, kepada Negeri-Negeri itu mengikut perkadaran yang ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan.

(6) Jika dipersetujui antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan mana-mana Negeri yang di dalamnya termasuk keseluruhan atau mana-mana bahagian kawasan pembangunan itu bahawa apa-apa perbelanjaan yang dilakukan dalam mengendalikan rancangan pembangunan itu hendaklah dibayar oleh Negeri itu, maka apa-apa perbelanjaaan yang dibayar sedemikian hendaklah dibayar balik kepada Negeri itu dan pembayaran balik itu hendaklah berperingkat pari passu dengan pembayaran balik kepada Persekutuan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan oleh Persekutuan.

(7) Parlimen boleh memansuhkan atau meminda mana-mana Akta yang diluluskan menurut Perkara ini, dan bagi maksud itu boleh membuat apa-apa peruntukan yang bersampingan dan berbangkit sebagaimana yang difikirkannya perlu.

(8) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh menyentuh kuasa Parlimen atau Badan Perundangan mana-mana Negeri—

(a) untuk mengenakan apa-apa cukai atau kadar yang dibenarkan untuk dikenakan olehnya di bawah mana-mana peruntukan lain dalam Perlembagaan ini; atau
(b) untuk membuat daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan atau Kumpulan Wang Disatukan Negeri, mengikut mana-mana yang berkenaan, pemberian yang tidak kena dibayar balik di bawah Fasal (5) atau (6),

kecuali bahawa jika, menurut Fasal (1), suatu kadar dikenakan ke atas apa-apa harta oleh undang-undang persekutuan yang, jika tidak kerana Perkara ini, mungkin dikenakan oleh undang-undang Negeri, maka kadar yang sama jenisnya tidak boleh dikenakan oleh undang-undang Negeri selama apa-apa tempoh kadar yang dikenakan oleh undang-undang persekutuan kena dibayar.

Bab 6 - Tinjauan Persekutuan, nasihat Persekutuan kepada Negeri dan pemeriksaan Persekutuan mengenai kegiatan Negeri[edit]

Perkara 93. Siasatan, tinjauan dan perangkaan.

(1) Kerajaan Persekutuan boleh menjalankan apa-apa siasatan (sama ada oleh Suruhanjaya atau selainnya), membenarkan apa-apa tinjauan dan mengumpulkan dan menyiarkan apa-apa perangkaan yang difikirkannya patut, walaupun siasatan, tinjauan dan pengumpulan dan penyiaran perangkaan sedemikian adalah berhubungan dengan sesuatu perkara yang berkenaan dengannya Badan Perundangan sesuatu Negeri boleh membuat undang-undang.

(2) Menjadi kewajipan Kerajaan sesuatu Negeri, dan kewajipan semua pegawai dan pihak berkuasa Negeri itu, untuk membantu Kerajaan Persekutuan pada melaksanakan kuasanya di bawah Perkara ini; dan bagi maksud ini Kerajaan Persekutuan boleh memberikan apa-apa arahan yang difikirkannya perlu.

Perkara 94. Kuasa Persekutuan berkenaan dengan rakyat Negeri.

(1) Kuasa eksekutif Persekutuan meliputi kuasa menjalankan penyelidikan, mengadakan dan menyenggarakan stesen percubaan dan stesen tunjuk cara, memberikan nasihat dan bantuan teknikal kepada Kerajaan mana-mana Negeri, dan mengadakan pendidikan, publisiti dan tunjuk cara bagi penduduk mana-mana Negeri, berkenaan dengan mana-mana perkara yang mengenainya Badan Perundangan sesuatu Negeri boleh membuat undang-undang; dan pegawai pertanian dan pegawai perhutanan mana-mana Negeri hendaklah menerima apa-apa nasihat profesional yang diberikan kepada Kerajaan Negeri itu di bawah Fasal ini.

(2) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Jabatan Pertanian, Jabatan Pesuruhjaya Tanah, Jabatan Hutan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang sedia ada boleh terus menjalankan fungsi yang dijalankan olehnya sebaik sebelum Hari Merdeka.

(3) Tiada apa-apa jua dalam Perlembangan ini boleh menghalang Kerajaan Persekutuan daripada menubuhkan Kementerian atau Jabatan Kerajaan untuk menjalankan fungsi Kerajaan Persekutuan di bawah Perkara 93 dan Perkara ini berhubung dengan perkara yang termasuk dalam kuasa perundangan sesuatu Negeri, dan perkara yang sedemikian bolehlah termasuk pemuliharaan tanah, kerajaan tempatan dan perancangan bandar dan desa.

Perkara 95. Pemeriksaan aktiviti Negeri.

(1) Tertakluk kepada Fasal (3), pada menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan mana-mana pegawai yang diberi kuasa oleh Kerajaan Persekutuan boleh memeriksa mana-mana jabatan atau apa-apa kerja Kerajaan Negeri dengan tujuan untuk membuat suatu laporan mengenainya kepada Kerajaan Persekutuan.

(2) Sesuatu laporan yang dibuat di bawah Perkara ini, jika diarahkan sedemikian oleh Kerajaan Persekutuan, hendaklah disampaikan kepada Kerajaan Negeri dan dibentangkan di hadapan Dewan Undangan Negeri.

(3) Perkara ini tidak memberi kuasa pemeriksaan mana-mana jabatan atau apa-apa kerja yang menguruskan hanya atau yang dijalankan hanya mengenai perkara yang termasuk dalam kuasa perundangan khusus sesuatu Negeri.

Bab 7 - Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan[edit]

Perkara 95A. Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan.

(1) Maka hendaklah ada suatu Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan yang terdiri daripada seorang Menteri sebagai Pengerusi, seorang wakil dari setiap Negeri yang hendaklah dilantik oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri, dan apa-apa bilangan wakil Kerajaan Persekutuan yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan tetapi, tertakluk kepada Fasal (5) Perkara 95E, bilangan wakil Kerajaan Persekutuan tidak boleh melebihi sepuluh.

(2) Pengerusi boleh mengundi atas apa-apa soal di hadapan Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan dan mempunyai undi pemutus.

(3) Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan hendaklah dipanggil bermesyuarat oleh Pengerusi seberapa kerap yang difikirkannya perlu tetapi sekurang-kurangnya satu mesyuarat hendaklah diadakan pada tiap-tiap tahun.

(4) Jika Pengerusi atau seseorang wakil sesuatu Negeri atau seseorang wakil Kerajaan Persekutuan tidak dapat hadir dalam sesuatu mesyuarat, maka pihak berkuasa yang melantiknya itu boleh melantik seorang lain untuk mengambil tempatnya dalam mesyuarat itu.

(5) Menjadi kewajipan Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan untuk membentuk, dari semasa ke semasa, dengan berunding dengan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri, suatu dasar negara untuk memajukan, membangunkan dan mengawal kerajaan tempatan di seluruh Persekutuan dan untuk mentadbirkan mana-mana undang-undang yang berhubungan dengannya; dan Kerajaan Persekutuan dan Negeri hendaklah mengikuti dasar yang dibentuk sedemikian.

(6) Menjadi kewajipan juga bagi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan mana-mana Negeri untuk berunding dengan Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan berkenaan dengan apa-apa perundangan yang dicadangkan mengenai kerajaan tempatan dan menjadi kewajipan Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan untuk menasihati Kerajaan-Kerajaan itu mengenai mana-mana perkara yang sedemikian...

(7) Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan mana-mana Negeri boleh merundingi Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan berkenaan dengan apa-apa perkara lain yang berhubungan dengan kerajaan tempatan, dan menjadi kewajipan Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan untuk menasihati Kerajaan itu mengenai mana-mana perkara yang sedemikian...

Bab 8 - Pemakaian bagi Negeri Sabah dan Sarawak[edit]

Perkara 95B. Ubah suaian bagi Negeri Sabah dan Sarawak mengenai pembahagian kuasa perundangan.

(1) Dalam hal Negeri Sabah dan Sarawak—

(a) tambahan kepada Senarai II yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan hendaklah disifatkan menjadi sebahagian daripada Senarai Negeri, dan perkara yang disebut satu persatu dalamnya hendaklah disifatkan tidak termasuk dalam Senarai Persekutuan atau Senarai Bersama; dan
(b) tambahan kepada Senarai III yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan, tertakluk kepada Senarai Negeri, hendaklah disifatkan menjadi sebahagian daripada Senarai Bersama, dan perkara yang disebut satu persatu dalamnya hendaklah disifatkan tidak termasuk dalam Senarai Persekutuan (tetapi tidaklah sehingga menyentuh pentafsiran Senarai Negeri, jika ia merujuk kepada Senarai Persekutuan).

(2) Jika menurut kuasa Fasal (1) sesuatu butiran dimasukkan ke dalam Senarai Bersama bagi sesuatu Negeri selama sesuatu tempoh sahaja, maka habisnya atau tamatnya tempoh itu tidaklah menyentuh kuat kuasa seterusnya mana-mana undang-undang Negeri yang diluluskan menurut kuasa butiran itu, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang persekutuan atau Negeri.

(3) Badan Perundangan Negeri Sabah atau Sarawak boleh juga membuat undang-undang bagi mengenakan cukai jualan, dan apa-apa cukai jualan yang dikenakan oleh undang-undang Negeri di Negeri Sabah atau Sarawak hendaklah disifatkan termasuk dalam perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Negeri dan tidak dalam Senarai Persekutuan; tetapi—

(a) pada mengenakan atau mentadbirkan sesuatu cukai jualan Negeri, tidaklah boleh ada apa-apa diskriminasi antara barang yang sama perihalannya mengikut tempat asal barang itu; dan
(b) caj bagi apa-apa cukai jualan persekutuan hendaklah dibayar daripada jumlah wang yang dipungut daripada orang yang bertanggungan membayar cukai itu terlebih dahulu sebelum caj bagi sesuatu cukai jualan Negeri.

Perkara 95C. Kuasa untuk memperluas kuasa perundangan atau eksekutif Negeri melalui perintah.

(1) Tertakluk kepada peruntukan mana-mana Akta Parlimen yang diluluskan selepas Hari Malaysia, Yang di-Pertuan Agong boleh, melalui perintah, membuat berkenaan dengan mana-mana Negeri, apa-apa peruntukan yang boleh dibuat melalui Akta Parlimen—

(a) bagi memberi kuasa Badan Perundangan Negeri itu membuat undang-undang sebagaimana yang disebut dalam Perkara 76A; atau
(b) bagi memperluas kuasa eksekutif Negeri itu, dan kuasa atau kewajipan mana-mana pihak berkuasa Negeri itu sebagaimana yang disebut dalam Fasal (4) Perkara 80.

(2) Sesuatu perintah yang dibuat menurut kuasa perenggan (a) Fasal (1) tidaklah boleh memberi kuasa Badan Perundangan sesuatu Negeri meminda atau memansuhkan sesuatu Akta Parlimen yang diluluskan selepas Hari Malaysia, melainkan jika Akta itu memperuntukkan sedemikian.

(3) Fasal (3) Perkara 76A dan Fasal (6) Perkara 80 hendaklah terpakai berhubung dengan sesuatu perintah masing-masing di bawah perenggan (a) dan perenggan (b) Fasal (1) Perkara ini sebagaimana Fasal-Fasal itu terpakai berhubung dengan sesuatu Akta Parlimen.

(4) Jika sesuatu perintah di bawah Perkara ini dibatalkan oleh suatu perintah yang kemudian, maka perintah yang kemudian itu boleh mengandungi peruntukan bagi meneruskan kuat kuasa (pada amnya atau setakat atau bagi apa-apa maksud yang dinyatakan dalam perintah itu) mana-mana undang-undang Negeri yang diluluskan menurut kuasa perintah yang dahulu itu atau mana-mana perundangan subsidiari yang dibuat atau perkara yang dilakukan di bawah mana-mana undang-undang Negeri itu, dan mana-mana undang-undang Negeri yang diteruskan kuat kuasanya dengan demikian itu hendaklah berkuat kuasa sebagai undang-undang persekutuan mulai dari permulaan kuat kuasa perintah yang kemudian itu:

Dengan syarat bahawa tiada peruntukan boleh diteruskan kuat kuasanya menurut kuasa Fasal ini jika atau setakat yang peruntukan itu tidak boleh dibuat melalui Akta Parlimen.

(5) Apa-apa perintah Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara ini hendaklah dibentangkan di hadapan setiap majlis Parlimen.

Perkara 95D. Negeri Sabah dan Sarawak terkeluar daripada kuasa Parlimen untuk meluluskan undang-undang seragam mengenai tanah atau kerajaan tempatan.

Berhubung dengan Negeri Sabah dan Sarawak, Fasal (4) Perkara 76 tidaklah terpakai, dan juga perenggan (b) Fasal (1) Perkara itu tidak membolehkan Parlimen membuat undang-undang mengenai mana-mana perkara yang disebut dalam Fasal (4) Perkara itu.

Perkara 95E. Negeri Sabah dan Sarawak terkeluar daripada rancangan negara bagi penggunaan tanah, kerajaan tempatan, pembangunan, dsb.

(1) Berhubung dengan Negeri Sabah atau Sarawak, Perkara 91, 92, 94 dan 95A hendaklah berkuat kuasa tertakluk kepada Fasal-Fasal yang berikut.

(2) Tertakluk kepada Fasal (5), Kerajaan Negeri tidaklah dikehendaki di bawah Perkara 91 dan di bawah Perkara 95A supaya mengikuti dasar yang dibentuk oleh Majlis Tanah Negara atau oleh Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan, mengikut mana-mana yang berkenaan, tetapi wakil Negeri tidaklah berhak mengundi atas soal di hadapan Majlis itu.

(3) Di bawah Perkara 92 tiada kawasan di dalam Negeri itu boleh diisytiharkan sebagai suatu kawasan pembangunan bagi maksud apa-apa rancangan pembangunan tanpa persetujuan Yang di-Pertua Negeri.

(4) Di bawah Fasal (1) Perkara 94 (yang di bawahnya Persekutuan boleh menjalankan penyelidikan, memberikan nasihat dan bantuan teknikal, dsb., berkenaan dengan perkara dalam Senarai Negeri) pegawai pertanian dan pegawai perhutanan Negeri Sabah dan Sarawak hendaklah menimbangkan, tetapi tidaklah dikehendaki menerima, nasihat profesional yang diberikan kepada Kerajaan Negeri itu.

(5) Fasal (2) hendaklah terhenti terpakai bagi sesuatu Negeri—

(a) berkenaan dengan Perkara 91, jika Parlimen memperuntukkan sedemikian dengan persetujuan Yang di-Pertua Negeri; dan
(b) berkenaan dengan perkara 95A, jika Parlimen memperuntukkan sedemikian dengan persetujuan Dewan Undangan,

tetapi bagi setiap wakil Negeri Sabah atau Sarawak yang menjadi berhak, menurut kuasa Fasal ini, untuk mengundi atas soal di hadapan Majlis Tanah Negara atau Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan, maka seorang wakil hendaklah ditambahkan kepada bilangan maksimum wakil Kerajaan Persekutuan dalam Majlis itu.