Pemasyhuran Malaysia

From Wikisource
Jump to: navigation, search

Pemasyhuran Malaysia


Dengan nama Allah yang Murah lagi Maha Mengasihani, segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan seru sekelian alam dan selawat dan salam bagi junjungan kita Nabi Muhammad dan bagi sekelian keluarga serta sahabat-sahabatnya.

Bahawasanya oleh kerana suatu perjanjian yang diperbuat pada sembilan haribulan Julai tahun seribu sembilan ratus enam puluh tiga antara Persekutuan Tanah Melayu, United Kingdom, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura maka telah dipersetujui bahawa hendaklah disekutukan Negeri Sabah, Negeri Sarawak dan Negeri Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi Negeri Pahang, Negeri Terengganu, Negeri Kedah, Negeri Johor, Negeri Sembilan, Negeri Kelantan, Negeri Selangor, Negeri Perak, Negeri Perlis, Negeri Pulau Pinang dan Negeri Melaka dan bahawa Persekutuan itu hendaklah dinamakan "Malaysia".

Dan bahawasanya oleh kerana pihak-pihak dalam perjanjian yang tersebut telah bersetuju bahawa mulai daripada penubuhan Malaysia maka Negeri Sabah, Negeri Sarawak dan Negeri Singapura hendaklah tamat daripada menjadi jajahan takluk Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen tiada lagi mempunyai kedaulatan dan kuasa dalam ketiga-tiga buah negeri itu:

Dan bahawasanya oleh kerana telah dimasyhurkan suatu perlembagaan bagi Malaysia yang akan menjadi kanun yang muktamad di dalamnya:

Dan bahawasanya oleh kerana perlembagaan yang tersebut itu telah diadakan syarat bagi menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan-keutamaan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekelian rakyat dan bagi menggalakkan keamanan dan kemesraan di dalam Malaysia sebagai kerajaan yang mempunyai raja berperlembagaan dan yang berdasarkan demokrasi berparlimen:

Dan bahawasanya oleh kerana perlembagaan yang tersebut itu telah disahkan oleh suatu undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen Persekutuan Tanah Melayu dan Parlimen United Kingdom maka telah berjalanlah kuatkuasa perlembagaan itu pada enam belas haribulan September tahun seribu sembilan ratus enam puluh tiga.

Maka dengan nama Allah Yang Maha Murah lagi Maha Mengasihani, saya, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj ibni al-Marhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri Malaysia dengan persetujuan dan perkenan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Yang Terutama Yang Dipertuan Negara Singapura, Yang Terutama Yang Dipertuan Negara Sabah dan Yang Terutama Gabenor Negeri Sarawak dengan ini mengisytihar dan memasyhurkan bagi pihak umat Malaysia bahawa mulai daripada enam belas haribulan September tahun seribu sembilan ratus enam puluh tiga bersamaan dengan dua puluh lapan haribulan Rabi'ul Akhir tahun hijriah seribu tiga ratus lapan puluh tiga, Malaysia yang mengandungi Negeri Pahang, Negeri Terengganu, Negeri Kedah, Negeri Johor, Negeri Sembilan, Negeri Kelantan, Negeri Selangor, Negeri Perak, Negeri Perlis, Negeri Pulau Pinang, Negeri Melaka, Negeri Singapura, Negeri Sabah dan Negeri Sarawak dengan izin dan kehendak Allah Rabbul Alamin akan kekal menjadi sebuah negara demokrasi yang merdeka lagi berdaulat serta berasaskan kebebasan dan keadilan dan sentiasa mempertahankan serta memelihara keamanan dan kemesraan umatnya dan mengekalkan keamanan di antara segala bangsa di dunia ini.

Tandatangan Tunku

Perdana Menteri

Kuala Lumpur

Enam belas haribulan September 1963


Sumber