Page:Anchaman Komunis kapada Persekutuan Tanah Melayu.djvu/4

From Wikisource
Jump to navigation Jump to search
This page has been validated.

bangsa, dan bagaimana gerakan² Komunis luar negeri boleh mendatangkan kesan ka-atas negeri ini. Yang kedua di-tumpukan kapada pengaroh istimewa dari Parti Komunis Negeri China bagi menggalakkan tujuan² Komunis di-Persekutuan ini dan juga di-lain² tempat. Bahagian yang ketiga mendzahirkan dasar dan tipu muslihat Parti Komunis Malaya yang bertanggong-jawab khas-nya untok mendirikan sa-buah Negara Komunis dalam negeri ini.

FAHAM KOMUNIS ANTARA BANGSA

PERGERAKAN KOMUNIS ANTARA BANGSA

4. Apa pun tujuan yang tertentu bagi Komunis yang di-ikrarkan di-seluroh dunia ini ia-lah hendak membinasakan peratoran² siasah dan ekonomi yang ada sekarang di-negeri² yang bukan Komunis dan menggantikan-nya dengan Kesatuan Republik² Komunis sa-dunia. Ranchangan ini telah di-lahirkan oleh pemimpin Komunis Rusia bernama Lenin hampir empat puloh tahun dahulu, dan ranchangan ini ada-lah di-biakkan sekarang dengan chara samaran theori faham Marx-Lenin—ia-itu kitab panduan bagi Komunis.

5. Daripada mula lagi Parti Komunis Soviet Union telah memegang teraju pimpinan bagi pergerakan Komunis antara bangsa. Sa-hingga baharu² ini, ia-itu dalam bulan November 1957, kedudokan-nya telah di-akui sa-mula dalam suatu persidangan 64 buah Party Komunis kebangsaan yang di-adakan di Moscow. Dalam persidangan yang mustahak ini telah juga di-akui peri mustahak-nya Parti Komunis Negeri China di-kalangan antara bangsa.

6. Kenyataan yang di-terbitkan oleh persidangan ini memberitakan bahawa Parti Komunis Malaya ia-lah satu daripada 64 buah Parti yang telah menghantar wakil-nya, dan ia menyertai perishtiharan² keperchayaan Komunis yang di-buat di-situ. Sa-lain daripada ini, perhubongan yang rapat di-antara Parti Komunis Malaya dengan pergerakan Komunis antara bangsa telah menjadi nyata dan jelas daripada persetujuan dan siaran yang di-beri kapada kenyataan² dasar-nya dari suatu masa ka-suatu masa, sama ada di-siarkan di-dalam penerbitan² Komunis antara bangsa atau di-siarkan menerusi Radio Peking.