Page:Akta Hak Cipta 1987.pdf/92

From Wikisource
Jump to navigation Jump to search
This page has been validated.
92
AKTA 332
Undang-Undang Malaysia
perkhidmatan boleh dijumpai, dan bahawa pelanggan akan menerima penyampaian proses daripada orang yang memberikan pemberitahuan di bawah subseksyen (1) atau ejen orang itu.


Pembuat notis palsu melakukan kesalahan dan bertanggungan bagi ganti rugi


43I. (1) Jika seseorang yang membuat pemberitahuan menurut seksyen 43H membuat apa-apa pernyataan yang palsu, yang diketahuinya adalah palsu atau yang tidak dipercayainya adalah benar, dan yang menyentuh apa-apa perkara yang penting bagi matlamat pemberitahuan itu—

(a) dia telah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan bagi suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya; dan
(b) dia bertanggungan untuk membayar pampasan kepada mana-mana orang yang mengalami apa-apa kehilangan atau kerugian akibat daripada pembuatan pemberitahuan itu.

(2) Subseksyen (1) hendaklah terpakai sama ada pernyataan itu dibuat di Malaysia atau tidak, dan jika seseorang membuat pernyataan di luar Malaysia, dia boleh dikendalikan di bawah perenggan (1)(a) seolah-olah kesalahan itu dilakukan di Malaysia.


BAHAGIAN VII

PENGUATKUASAAN


Kemasukan dengan waran atau sebaliknya


44. (1) Dalam tiap-tiap kes di mana maklumat diberi atas sumpah kepada mana-mana majistret bahawa ada sebab yang munasabah untuk mengesyaki bahawa di dalam mana-mana rumah atau premis ada apa-apa salinan langgaran atau apa-apa perekaan yang digunakan atau dicadangkan untuk digunakan bagi membuat salinan langgaran, atau yang boleh digunakan bagi maksud membuat salinan langgaran, atau apa-apa artikel, kenderaan, buku atau dokumen lain yang dengannya atau berhubungan dengannya apa-apa kesalahan telah