Page:Akta Hak Cipta 1987.pdf/52

From Wikisource
Jump to navigation Jump to search
This page has been validated.
52
AKTA 332
Undang-Undang Malaysia


Permohonan bagi pemberian lesen berkaitan dengan skim pelesenan


27E. (1) Seseorang yang mendakwa, dalam suatu hal yang dirangkumi oleh suatu skim pelesenan, bahawa pengendali skim pelesenan itu—

(a) enggan memberi lesen kepadanya atau memperoleh pemberian lesen kepadanya mengikut skim pelesenan itu; atau
(b) tidak memberi lesen kepadanya atau memperoleh pemberian lesen kepadanya mengikut skim pelesenan itu dalam tempoh masa yang munasabah setelah diminta,

boleh memohon kepada Tribunal untuk suatu perintah di bawah subseksyen (4).

(2) Seseorang yang mendakwa, dalam suatu hal yang tidak termasuk dalam suatu skim pelesenan, bahawa pengendali skim pelesenan itu sama ada—

(a) enggan memberi lesen kepadanya atau memperoleh pemberian lesen kepadanya, atau tidak berbuat demikian dalam tempoh masa yang munasabah setelah diminta, dan bahawa dalam hal keadaan itu adalah tidak munasabah yang lesen tidak boleh diberi; atau
(b) mencadangkan terma bagi mendapatkan lesen yang tidak munasabah,

boleh memohon kepada Tribunal untuk suatu perintah di bawah subseksyen (4).

(3) Sesuatu hal hendaklah dianggap tidak termasuk dalam suatu skim pelesenan bagi maksud subseksyen (2) jika—

(a) skim pelesenan itu membuat peruntukan bagi pemberian lesen tertakluk kepada terma yang mengecualikan perkara daripada lesen itu dan hal itu termasuk dalam pengecualian sedemikian; atau
(b) hal itu sebegitu seumpama hal yang dalamnya lesen diberi di bawah skim pelesenan itu yang adalah tidak munasabah yang ia tidak diuruskan dengan cara yang sama.