Page:Akta Hak Cipta 1987.pdf/44

From Wikisource
Jump to navigation Jump to search
This page has been validated.
44
AKTA 332
Undang-Undang Malaysia


Pemberitahuan sukarela hak cipta

26A. (1) Suatu pemberitahuan hak cipta dalam apa-apa karya boleh dibuat kepada Pengawal oleh atau bagi pihak pencipta karya, pemunya hak cipta karya, pemegang serah hak hak cipta, atau seseorang yang telah diberi kepentingan dalam hak cipta melalui lesen.

(2) Suatu pemberitahuan hak cipta tidak boleh dilayan melainkan jika fi yang ditetapkan telah dibayar kepada Pengawal.

(3) Suatu pemberitahuan hak cipta hendaklah mengandungi butiran yang berikut:

(a) nama, alamat dan kewarganegaraan pemunya hak cipta;
(b) suatu akuan berkanun bahawa pemohon ialah pencipta karya, atau pemunya hak cipta karya, atau pemegang serah hak hak cipta, atau seseorang yang telah diberi kepentingan dalam hak cipta melalui lesen;
(c) kategori karya;
(d) tajuk karya;
(e) nama pencipta dan, jika pencipta telah meninggal dunia, tarikh kematian pencipta itu, jika diketahui;
(f) dalam hal karya yang telah diterbitkan, tarikh dan tempat penerbitan yang pertama; dan
(g) apa-apa maklumat lain yang ditentukan oleh Menteri.


Daftar Hak Cipta

26B. (1) Pengawal hendaklah menyimpan dan menyenggara suatu daftar yang dinamakan Daftar Hak Cipta.

(2) Daftar Hak Cipta hendaklah mengandungi semua butiran berhubungan dengan hak cipta dalam sesuatu karya sebagaimana yang diberitahu kepada Pengawal di bawah seksyen 26A.

(3) Daftar Hak Cipta hendaklah disimpan mengikut apa-apa bentuk dan pada apa-apa bahantara yang ditentukan oleh Menteri.