Page:Akta Hak Cipta 1987.pdf/43

From Wikisource
Jump to navigation Jump to search
This page has been validated.
43
Hak Cipta
(a) telah ditempah oleh seseorang yang bukannya majikan pencipta karya itu di bawah suatu kontrak perkhidmatan atau perantisan; atau
(b) yang tidak ditempah sedemikian, dibuat dalam masa bekerjanya pencipta karya itu, maka hak cipta itu hendaklah disifatkan sebagai dipindah milik kepada orang yang telah menempah karya itu atau kepada majikan pencipta itu, tertakluk kepada apa-apa perjanjian di antara pihak yang berkenaan yang menolak atau mengehadkan pindah milik tersebut.

(3) Hak cipta yang diberikan oleh seksyen 11 hendaklah terletak hak mula-mulanya pada Kerajaan, pertubuhan Kerajaan atau badan antarabangsa dan bukannya pada pencipta karya itu.

(4) Tertakluk kepada subseksyen (3)—

(a) nama yang terdapat pada sesuatu karya yang berupa nama pencipta karya itu hendaklah dianggap sebagai demikian melainkan jika dibuktikan sebaliknya;
(b) dalam hal sesuatu karya tanpa nama atau yang bernama samaran, penerbit yang namanya dinyatakan dalam karya itu sebagai demikian hendaklah, melainkan jika dibuktikan sebaliknya, disifatkan sebagai wakil di sisi undang-undang pencipta tanpa nama atau bernama samaran itu dan adalah berhak untuk menggunakan dan memelihara hak yang dimiliki oleh pencipta itu di bawah Akta ini;
(c) dalam hal sesuatu karya yang belum diterbitkan, jika identiti pencipta karya itu tidak diketahui, tetapi jika ada sebab-sebab bagi menganggap bahawa dia adalah warganegara Malaysia, hak cipta yang diberi menurut Akta ini hendaklah disifatkan sebagai terletak hak pada Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi kebudayaan.

(5) Perenggan 4(b) dan (c) tidak boleh dipakai lagi apabila identiti pencipta itu telah diketahui.