Page:Akta Hak Cipta 1987.pdf/33

From Wikisource
Jump to navigation Jump to search
This page has been validated.
33
Hak Cipta


13C. (Dipotong oleh Akta A1420).


Kuasa hak cipta mengenai karya seni bina

14. (1) Hak cipta mengenai sesuatu karya seni bina adalah juga termasuk hak eksklusif untuk mengawal pembinaan apa-apa bangunan yang mengeluarkan semula keseluruhan atau sebahagian besar karya itu sama ada dalam bentuk asalnya atau dalam apa-apa bentuk yang boleh dikenal sebagai diambil daripada yang asalnya:

Dengan syarat bahawa hak cipta dalam mana-mana karya itu tidaklah termasuk hak untuk mengawal pembinaan semula atau pemulihan sesuatu bangunan yang berkenaan dengan hak cipta itu mengikut stailnya yang asal.


Kuasa hak cipta mengenai siaran

15. (1) Hak cipta mengenai sesuatu siaran adalah hak eksklusif untuk mengawal di Malaysia rakaman, pengeluaran semula, dan penyiaran semula, keseluruhan atau sebahagian besar siaran itu, dan pertunjukan, tayangan atau permainan kepada awam di tempat yang mengenakan bayaran masuk bagi keseluruhan atau sebahagian besar sesuatu siaran televisyen sama ada dalam bentuk asalnya atau dalam apa-apa bentuk yang boleh dikenal sebagai diambil daripada yang asalnya.

(2) Walau apa pun subseksyen (1), perenggan 13(2)(a), (g), (gg), (ggg), (gggg), (h) dan (o) hendaklah juga terpakai bagi hak cipta mengenai siaran.

(3) Hak cipta mengenai sesuatu siaran televisyen adalah termasuk hak untuk mengawal pengambilan gambar pegun dari siaran tersebut.


Penyiaran karya yang dimuatkan dalam filem

16. (1) Jika pemunya hak cipta mana-mana karya sastera, muzik atau seni membenarkan seseorang untuk memuatkan karya itu dalam sesuatu filem dan sesuatu perkhidmatan penyiaran menyiarkan filem itu, kiranya tidak ada apa-apa persetujuan sebaliknya yang nyata di antara pemunya hak cipta dan orang itu, maka hendaklah disifatkan bahawa pemunya hak cipta itu telah membenarkan siaran itu.