Page:Akta Hak Cipta 1987.pdf/18

From Wikisource
Jump to navigation Jump to search
This page has been validated.
18
AKTA 332
Undang-Undang Malaysia

(b) berhubungan dengan hak pelaku, ertinya apa-apa pengeluaran semula apa-apa rakaman sesuatu persembahan, yang pembuatannya menjadi suatu pelanggaran hak pelaku atau, dalam hal apa-apa rakaman yang diimport ke dalam Malaysia tanpa persetujuan pelakunya, yang pembuatannya dijalankan tanpa persetujuan pelaku itu;

"seni ukir" termasuklah suatu acuan atau model yang dibuat bagi maksud sesuatu seni ukir;

"siaran" ertinya pemancaran, melalui cara wayar atau wayarles, akan imej tampak, bunyi atau maklumat yang lain yang—

(a) boleh diterima dengan sahnya oleh orang awam; atau

(b) dipancarkan bagi persembahan kepada orang awam,

dan termasuklah pemancaran isyarat penyulitan jika cara untuk penyahsulitan disediakan kepada orang awam oleh perkhidmatan penyiaran atau dengan persetujuannya;

"siaran semula" ertinya siaran serentak atau siaran kemudian oleh satu perkhidmatan penyiaran akan siaran suatu perkhidmatan penyiaran lain, sama ada terletak dalam Malaysia atau di luar negeri, dan termasuklah penyebaran siaran itu melalui wayar, dan "penyiaran semula" hendaklah ditafsirkan sewajarnya;

"skim pelesenan" ertinya suatu skim (termasuk apa-apa jua yang bersifat seperti suatu skim, sama ada diperihalkan sebagai suatu skim atau sebagai suatu tarif atau dengan apa-apa nama lain) yang menyatakan—

(a) kelas hal yang dalamnya pengendali skim itu, atau orang yang bagi pihaknya pengendali itu bertindak, bersedia memberi lesen hak cipta; dan

(b) terma yang atasnya lesen akan diberi dalam kelas kes itu;

"tarikh yang ditetapkan" mempunyai erti yang sama sebagaimana yang diberikan kepada ungkapan itu dalam Akta Perbadanan Harta Intelek Malaysia 2002;