Gurindam 12

From Wikisource
Jump to: navigation, search

Gurindam Dua Belas

Oleh Raja Ali Haji

Fasal 1

barang siapa tiada memegang agama sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama

barang siapa mengenal yang empat maka yaitulah orang yang makrifat

barang siapa mengenal Allah suruh dan tegahnya tiada ia menyalah

barang siapa mengenal diri maka telah mengenal akan tuhan yang bahri

barang siapa mengenal dunia tahulah ia barang yang terperdaya

barang siapa mengenal akhirat tahulah ia dunia mudharat


Fasal 2

barang siapa mengenal yang tersebut tahulah ia makna takut

barang siapa meninggalkan sembahyang seperti rumah tiada bertiang

barang siapa meninggalkan puasa tidaklah mendapat dua termasa

barang siapa meninggalkan zakat tiada hartanya beroleh berkat

barang siapa meninggalkan haji tiadalah ia menyempurnakan janji


Fasal 3

apabila terpelihara mata sedikitlah cita-cita

apabila terpelihara kuping khabar yang jahat tiadalah damping

apabila terpelihara lidah niscaya dapat daripadanya faedah

bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan daripada segala berat dan ringan

apabila perut terlalu penuh keluarlah fi’il yang tiada senonoh

anggota tengah hendaklah ingat di situlah banyak orang yang hilang semangat

hendaklah peliharakan kaki daripada berjalan yang membawa rugi


Fasal 4

hati itu kerajaan di dalam tubuh jikalau zalim segala anggota pun rubuh

apabila dengki sudah bertanah datang daripadanya beberapa anak panah

mengumpat dan memuji hendaklah pikir di situlah banyak orang yang tergelincir

pekerjaan marah jangan dibela nanti hilang akal di kepala

jika sedikit pun berbuat bohong boleh diumpamakan mulutnya itu pekung

tanda orang yang amat celaka aib dirinya tiada ia sangka

bakhil jangan diberi singgah itulah perompak yang amat gagah

barang siapa yang sudah besar janganlah kelakuannya membuat kasar

barang siapa perkataan kotor mulutnya itu umpama ketor

di manatah tahu salah diri jika tiada orang lain yang berperi

pekerjaan takbur jangan direpih sebelum mati didapat juga sepih


Fasal 5

jika hendak mengenal orang berbangsa lihat kepada budi dan bahasa

jika hendak mengenal orang yang berbahagia sangat memeliharakan yang sia-sia

jika hendak mengenal orang mulia lihatlah kepada kelakuan dia

jika hendak mengenal orang yang berilmu bertanya dan belajar tiadalah jemu

jika hendak mengenal orang yang berakal di dalam dunia mengambil bekal

jika hendak mengenal orang yang baik perangai lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai


Fasal 6

cahari olehmu akan sahabat yang boleh dijadikan obat

cahari olehmu akan guru yang boleh tahukan tiap seteru

cahari olehmu akan isteri yang boleh menyerahkan diri

cahari olehmu akan kawan pilih segala orang yang setiawan

cahari olehmu akan abdi yang ada baik sedikit budi


Fasal 7

apabila banyak berkata-kata di situlah jalan masuk dusta

apabila banyak berlebih-lebihan suka itulah tanda hampirkan duka

apabila kita kurang siasat itulah tanda pekerjaan hendak sesat

apabila anak tidak dilatih jika besar bapanya letih

apabila banyak mencacat orang itulah tanda dirinya kurang

apabila orang yang banyak tidur sia-sia sahajalah umur

apabila mendengar akan khabar menerimanya itu hendaklah sabar

apabila mendengar akan aduan membicarakannya itu hendaklah cemburuan

apabila perkataan yang lemah lembut lekaslah segala orang mengikut

apabila perkataan yang amat kasar lekaslah orang sekalian gusar

apabila pekerjaan yang amat benar tiada boleh orang berbuat honar


Fasal 8

barang siapa khianat akan dirinya apalagi kepada lainnya

kepada dirinya ia aniaya orang itu jangan engkau percaya

lidah suka membenarkan dirinya daripada yang lain dapat kesalahannya

daripada memuji diri hendaklah sabar biar daripada orang datangnya khabar

orang yang suka menampakkan jasa setengah daripada syirik mengaku kuasa

kejahatan diri sembunyikan kebajikan diri diamkan

keaiban orang jangan dibuka keaiban diri hendaklah sangka


Fasal 9

tahu pekerjaan tak baik tapi dikerjakan bukannya manusia ia itulah syaitan

kejahatan seorang perempaun tua itulah iblis punya penggawa

kepada segala hamba-hamba raja di situlah syaitan tempatnya manja

kebanyakan orang yang muda-muda di situlah syaitan tempat bergoda

perkumpulan laki-laki dengan perempuan di situlah syaitan punya jamuan

adapun orang tua yang hemat syaitan tak suka membuat sahabat

jika orang muda kuat berguru dengan syaitan jadi berseteru


Fasal 10

dengan bapa jangan durhaka supaya Allah tidak murka

dengan ibu hendaklah hormat supaya badan dapat selamat

dengan anak janganlah lalai supaya boleh naik ke tengah balai

dengan isteri dan gundik janganlah alpa supaya kemaluan jangan menerpa

dengan kawan hendaklah adil supaya tangannya jadi kapil


Fasal 11

hendaklah berjasa kepada yang sebangsa

hendaklah jadi kepala buang perangai yang cela

hendak memegang amanat buanglah khianat

hendak marah dahulukan hujjah

hendak dimalui jangan memalui

hendak ramai murahkan perangai


Fasal 12

raja mufakat dengan menteri seperti kebun berpagar duri

betul hati kepada raja tanda jadi sebarang kerja

hukum adil atas rakyat tanda raja beroleh inayat

kasihkan orang yang berilmu tanda rahmat atas dirimu

hormat akan orang yang pandai tanda mengenal kasa dan cindai

ingatkan dirinya mati itulah asal berbuat bakti

akhirat itu terlalu nyata kepada hati yang tidak buta

sumber