Akta Kedah dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) 1985

From Wikisource
Jump to: navigation, search

Akta 325

AKTA KEDAH DAN PULAU PINANG(PENGUBAHAN SEMPADAN) 1985

Suatu Akta di bawah Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan untuk mengubah sebahagian dari sempadan di antara Negeri Kedah dan Pulau Pinang.


BAHAWASANYA telah dipersetujui di antara Negeri Kedah dan Negeri Pulau Pinang bahawa bahagian sempadan yang sedia ada di antara Negeri-Negeri yang tersebut diubah;

BAHAWASANYA Majlis Raja-Raja telah mempersetujui Akta ini;

DAN BAHAWASANYA Negeri Kedah dan Negeri Pulau Pinang telah melahirkan persetujuan mereka akan Akta ini oleh Enakmen Pengubahan Sempadan (Kedah dan Pulau Pinang) No.3 Tahun 1985 bagi Kedah dan Enakmen Pengubahan Sempadan(Negeri Pulau Pinang) No. 1 Tahun 1985 bagi Pulau Pinang;

MAKA INILAH DIPERBUAT UNDANG-UNDANG oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat dan persetujuan Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang bersidang dalam Parlimen, dan dengan kuasa daripadanya, seperti berikut

1. Akta ini bolehlah dinamakan Akta Kedah dan Pulau Pinang(Pengubahan Sempadan) 1985 dan hendaklah mula berkuatkuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong,melalui pemberitahuan dalam Warta.

2. (1) Bahagian sempadan di antara Negeri Kedah dan Negeri Pulau Pinang yang di sepanjang Sungai Muda adalah diubah kepada yang di sepanjang garis tengah alur Sungai Muda sebagaimana Sungai itu mengalir sebelum sahaja berkuatkuasanya Akta ini, pengubahan tersebut kepada sempadan yang ditunjukkan dalam Pelan diserahsimpan yang dikenalpasti mengikut Pelan Warta No. PW 1000 hingga PW 1008 sebagai Pelan-

(a) yang masing-masing diperakui oleh Pengarah Ukur, Kedah/Perlis, dan Pengarah Ukur, Pulau Pinang, sebagai Pelan sempadan yang diluluskan dan yang betul sebagaimana diubah sedemikian dan kawasan sekelilingnya; dan

(b) yang masing-masing bertarikh dan diserahsimpan dalam pejabat Pengarah Ukur,Kedah/ Perlis, dan Pengarah Ukur, Pulau Pinang.

(2) Sekiranya berlaku apa-apa perubahan dalam peraliran Sungai Muda yang disebabkan oleh proses hakisan dan enaptimbus yang semulajadi dan secara perlahan-lahan,sempadan itu hendaklah mengikut peraliran berubah Sungai di sepanjang garis tengah alur Sungai itu.

3. Bahagian Negeri Pulau Pinang yang mengandungi-

(a) Sungai Muda yang bermula dari garis tengah alur Sungai Muda hingga tebing utara Sungai itu; dan

(b) kawasan yang diwarnakan hijau dalam Pelan No. PW 1003 diserahsimpan yang dirujukkan dalam seksyen 2;(kemudian dari ini dalam Akta ini disebut "kawasan yang tersebut") hendaklah, berbangkit daripada pengubahan sempadan yang tersebut di atas (aa) tidak lagi menjadi sebahagian dari Negeri Pulau Pinang dan Pihak Berkuasa Negeri Pulau Pinang hendaklah melepas dan berhenti daripada menjalankan apa-apa kedaulatan terhadap kawasan yang tersebut, dan semua kuasa dan bidang kuasa Pihak Berkuasa Negeri Pulau Pinang dan Badan Perundangan Negeri Pulau Pinang dalam dan berkenaan dengannya hendaklah berakhir; dan

(bb) menjadi sebahagian dari dan terletakhak pada Negeri Kedah, dan Raja Negeri Kedah hendaklah menjalankan kedaulatan, kuasa dan bidang kuasa dalam dan berkenaan dengannya, dan Badan Perundangan Negeri Kedah hendaklah menjalankan kuasa perundangannya dalam dan berkenaan dengannya.

Kategori:Undang-undang Malaysia