Perlembagaan Persekutuan Malaysia/Peruntukan Sementara dan Peralihan

From Wikisource
Jump to navigation Jump to search

Perkara 162. Undang-undang yang sedia ada.

(1) Tertakluk kepada peruntukan yang berikut dalam Perkara ini dan Perkara 163, undang-undang yang sedia ada hendaklah, sehingga dimansuhkan oleh pihak berkuasa yang mempunyai kuasa untuk berbuat demikian di bawah Perlembagaan ini, terus berkuat kuasa pada dan selepas Hari Merdeka, dengan apa-apa ubah suaian sebagaimana yang dibuat dalamnya di bawah Perkara ini dan tertakluk kepada apa-apa pindaan yang dibuat oleh undang-undang persekutuan atau undang-undang Negeri.

(2) Jika mana-mana undang-undang Negeri meminda atau memansuhkan sesuatu undang-undang yang sedia ada yang dibuat oleh Badan Perundangan sesuatu Negeri, maka tiada apa-apa jua dalam Perkara 75 boleh menidaksahkan pindaan atau pemansuhan itu sematamata oleh sebab undang-undang yang sedia ada itu, yang berhubungan dengan sesuatu perkara yang berkenaan dengannya Parlimen dan juga Badan Perundangan sesuatu Negeri mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang, ialah undang-undang persekutuan sebagaimana yang ditakrifkan oleh Perkara 160.

(3) Sebutan dalam mana-mana undang-undang yang sedia ada mengenai Persekutuan yang ditubuhkan oleh Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, dan wilayah-wilayahnya, dan mengenai mana-mana pegawai yang memegang jawatan di bawah Persekutuan itu atau mengenai mana-mana pihak berkuasa atau badan yang ditubuhkan di dalam atau bagi Persekutuan itu (termasuklah apa-apa sebutan yang kena ditafsirkan sebagai sebutan sedemikian menurut kuasa Fasal 135 Perjanjian tersebut) hendaklah ditafsirkan, berhubung dengan bila-bila masa pada atau selepas Hari Merdeka, sebagai sebutan mengenai Persekutuan (iaitu, Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957) dan wilayah-wilayahnya dan mengenai masing-masing pegawai, pihak berkuasa atau badan yang bersamaan; dan Yang di-Pertuan Agong boleh melalui perintah mengisytiharkan pegawai, pihak berkuasa atau badan yang manakah yang hendak dikira bagi maksud Fasal ini sebagai persamaan dengan mana-mana pegawai, pihak berkuasa atau badan yang disebut dengan mana-mana undang-undang yang sedia ada.

(4) (Dimansuhkan).

(5) Apa-apa perintah yang dibuat di bawah Fasal (4) boleh dipinda atau dimansuhkan oleh pihak berkuasa yang mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang mengenai perkara yang dimaksudkan oleh perintah itu.

(6) Mana-mana mahkamah atau tribunal yang memakai peruntukan mana-mana undang-undang yang sedia ada yang belum diubahsuaikan pada atau selepas Hari Merdeka di bawah Perkara ini atau selainnya boleh memakainya dengan apa-apa ubah suaian yang perlu untuk menyelaraskan dengan peruntukan Perlembagaan ini.

(7) Dalam Perkara ini "ubah suaian" termasuklah pindaan, penyesuaian dan pemansuhan.

Perkara 163. Penerusan buat sementara Ordinan Peraturan-Peraturan Darurat 1948 - Dimansuhkan.

(Dimansuhkan).

Perkara 164. Fungsi sementara Majlis Perundangan-Dimansuhkan.)

(Dimansuhkan).

Perkara 165. Peruntukan sementara kewangan - Dimansuhkan.

(Dimansuhkan).

Perkara 166. Pewarisan harta.

(1) (Dimansuhkan).

(2) (Dimansuhkan).

(3) Mana-mana tanah yang terletak pada hak Negeri Melaka atau Negeri Pulau Pinang yang sebaik sebelum Hari Merdeka telah diduduki atau digunakan oleh Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Baginda Ratu atau oleh mana-mana pihak berkuasa awam bagi maksud yang mengikut peruntukan Perlembagaan ini menjadi maksud persekutuan hendaklah pada dan selepas Hari Merdeka diduduki, digunakan, dikawal dan diuruskan oleh Kerajaan Persekutuan atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, oleh pihak berkuasa awam yang tersebut, selagi tanah itu dikehendaki bagi maksud persekutuan, dan—

(a) tidaklah boleh dilupuskan atau digunakan bagi apa-apa maksud selain maksud persekutuan tanpa persetujuan Kerajaaan Persekutuan; dan
(b) tidaklah boleh digunakan bagi maksud persektuan yang berlainan daripada maksud yang baginya tanah itu telah digunakan sebaik sebelum Hari Merdeka tanpa persetujuan Kerajaan Negeri itu.

(4) (Dimansuhkan).

(5) (Dimansuhkan).

(6) (Dimansuhkan).

(7) (Dimansuhkan).

(8) Mana-mana harta yang, sebaik sebelum Hari Merdeka, kena rad kepada Baginda Ratu berkenaan dengan Kerajaan Melaka atau Kerajaan Pulau Pinang hendaklah pada Hari Merdeka kena rad kepada Negeri Melaka atau Negeri Pulau Pinang, mengikut mana-mana yang berkenaan.

Perkara 167. Hak, liabiliti dan obligasi.

(1) (Dimansuhkan).

(2) (Dimansuhkan).

(3) (Dimansuhkan).

(4) (Dimansuhkan).

(5) (Dimansuhkan).

(6) Peguam Negara hendaklah, atas permohonan mana-mana pihak yang berkepentingan dalam apa-apa prodising undang-undang selain prosiding antara Persekutuan dengan sesuatu Negeri, memperakui sama ada apa-apa hak, liabiliti atau obligasi adalah menurut kuasa Perkara ini suatu hak, laibiliti atau obligasi Persekutuan atau sesuatu hak, liabiliti atau obligasi sesuatu Negeri yang dinamakan dalam perakuan itu, dan mana-mana perakuan sedemikian hendaklah bagi maksud prosiding itu menjadi muktamad dan mengikat semua mahkamah, tetapi tidaklah berkuat kuasa untuk menjejaskan hak dan obligasi Persekutuan dan mana-mana Negeri antara sesama mereka sendiri.

(7) Persekutuan hendaklah membuat pembayaran tahunan yang sama sebagaimana yang kena dibuat sebelum Hari Merdeka di bawah Perkara II Triti yang dibuat pada enam hari bulan Mei tahun seribu lapan ratus enam puluh sembilan antara Baginda Ratu pada satu pihak dengan Raja Siam pada pihak yang satu lagi berkenaan dengan Negeri Kedah.

Perkara 168. Prosiding undang-undang-Dimansuhkan.

(Dimansuhkan).

Perkara 169. Perjanjian, dsb., antarabangsa yang dibuat sebelum Hari Merdeka.

Bagi maksud Fasal (1) Perkara 76—

(a) apa-apa triti, perjanjian dan konvensyen yang dibuat sebelum Hari Merdeka antara Baginda Ratu atau pendulu-pendulunya atau Kerajaan United Kingdom bagi pihak Persekutuan atau mana-mana bahagiannya dengan suatu negara lain hendaklah disifatkan sebagai suatu triti, perjanjian atau konvensyen antara Persekutuan dengan negara yang lain itu;
(b) apa-apa keputusan yang diambil oleh sesuatu organisasi antarabangsa dan diterima sebelum Hari Merdeka oleh Kerajaan United Kingdom bagi pihak Persekutuan atau mana-mana bahagiannya hendaklah disifatkan sebagai keputusan suatu organisasi antarabangsa yang dianggotai oleh Persekutuan;
(c) berhubung dengan Negeri Sabah dan Sarawak, perenggan (a) dan (b) hendaklah terpakai dengan menggantikan sebutan mengenai Hari Merdeka dengan sebutan mengenai Hari Malaysia dan menggantikan sebutan mengenai Persekutuan atau mana-mana bahagiannya dengan sebutan mengenai wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri-Negeri itu atau mana-mana bahagiannya.

Perkara 170. Peruntukan sementara bagi orang yang layak mendaftar sebagai warganegara di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, Fasal 126 - Dimansuhkan.

(Dimansuhkan).

Perkara 171. Bahagian pilihan raya bagi pilihan raya pertama - Dimansuhkan.

(Dimansuhkan).

Perkara 172. Mahkamah yang sedia ada-Dimansuhkan.

(Dimansuhkan).

Perkara 173. Sementara menanti rayuan ke Majlis Privy - Dimansuhkan.

(Dimansuhkan).

Perkara 174. Jawatan kehakiman dan Peguam Negara-Dimansuhkan.

(Dimansuhkan).

Perkara 175. Pengarah Audit hendaklah menjadi Ketua Audit Negara yang pertama.

Orang yang memegang jawatan sebagai Pengarah Audit sebaik sebelum Hari Merdeka hendaklah, mulai dari hari itu, memegang jawatan sebagai Ketua Audit Negara atas terma-terma dan syarat-syarat yang tidak kurang baiknya daripada terma-terma dan syarat-syarat yang terpakai baginya sebaik sebelum Hari Merdeka.

Perkara 176. Pertukaran pegawai.

(1) Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini dan mana-mana undang-undang yang sedia ada, semua orang yang berkhidmat berkaitan dengan hal ehwal Persekutuan sebaik sebelum Hari Merdeka hendaklah terus mempunayi kuasa yang sama dan menjalankan fungsi yang sama pada Hari Merdeka atas terma-terma dan syarat-syarat yang sama seperti yang terpakai bagi mereka sebaik sebelum Hari Merdeka.

(2) Perkara ini tidak terpakai bagi Persuruhjaya Tinggi atau Ketua Setiausaha.

Perkara 177. Mengetepikan atau menagguhkan sumpah jawatan jika pelantikan diteruskan di bawah Bahagian ini.

Seseorang yang, dibawah mana-mana peruntukan Bahagian ini, memegang jawatan di bawah Persekutuan oleh sebab orang itu telah menjadi pemegang suatu jawatan yang bersamaan sebaik sebelum Hari Merdeka boleh, sehingga diperuntukan selainnya oleh Parlimen, melaksanakan fungsinya tanpa mengangkat sumpah yang dikehendaki dalam hal pemegang lain jawatan itu.

Perkara 178. Saraan selepas Hari Merdeka.

Sehingga diperuntukan selainnya oleh Parlimen, saraan yang kena dibayar kepada orang yang memegang jawatan Perdana Menteri dan jawatan Menteri-Menteri yang lain hendaklah masing-masingnya sama seperti yang kena dibayar, sebaik sebelum Hari Merdeka, kepada Ketua Menteri dan Menteri-Menteri lain Persekutuan.

Perkara 179. Sumbangan berkenaan dengan perkhidmatan bersama.

Apa-apa perjanjian yang berkuat kuasa sebaik sebelum Hari Merdeka yang berhubungan dengan perkadaran saraan yang kena di bayar oleh Persekutuan dan mana-mana Negeri berkenaan dengan apa-apa pekerjaan yang disebut dalam Fasal (2) Perkara 133 hendaklah terus berkuat kuasa sehingga digantikan dengan suatu perjanjian atau undang-undang persekutuan yang baru.

Perkara 180. Pemeliharaan pencen, dsb.

(1) Jadual Kesepuluh kepada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, hendaklah terus berkuat kuasa pada dan selepas Hari Merdeka, tetapi dengan ubah suaian bahawa apa-apa sebutan dalamnya mengenai Persuruhjaya Tinggi hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Yang di-Pertuan Agong.

(2) Jadual tersebut hendaklah bagi maksud Perlembagaan ini disifatkan sebagai undang-undang persekutuan dan boleh, tertakluk kepada peruntukan Perkara 147, dipinda dan dimansuhkan dengan sewajarnya.

(3) Dalam pemakaiannya bagi mana-mana undang-undang yang dibuat di bawah Fasal (2), Perkara 147 hendaklah mempunyai kuat kuasa seolah-olah sebutan dalamnya mengenai sesuatu imbuhan termasuk pampasan.