Perlembagaan Persekutuan Malaysia/Peruntukan Kewangan

From Wikisource
Jump to navigation Jump to search


Bab 1 – Am[edit]

Perkara 96. Tiada pencukaian melainkan jika dibenarkan oleh undang-undang.

Tiada cukai atau kadar boleh dilevikan oleh atau bagi maksud Persekutuan kecuali melalui atau di bawah kuasa undang-undang persekutuan.

Perkara 97. Kumpulan Wang Disatukan.

(1) Segala hasil dan wang tidak kira bagaimana jua pun diperdapatkan atau diterima oleh Persekutuan, tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan, hendaklah dibayar ke dalam dan menjadi satu kumpulan wang, yang dikenali sebagai Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan.

(2) Segala hasil dan wang tidak kira bagaimana jua pun diperdapatkan atau diterima oleh sesuatu Negeri, tertakluk kepada Fasal (3) dan kepada mana-mana undang-undang, hendaklah dibayar ke dalam dan menjadi satu kumpulan wang, yang dikenali sebagai Kumpulan Wang Disatukan bagi Negeri itu.

(3) Jika mengikut undang-undang Negeri atau, berkenaan dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, mengikut undang-undang persekutuan apa-apa Zakat, Fitrah, Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya diperdapatkan, maka hasil itu hendaklah dibayar ke dalam suatu kumpulan wang yang berasingan dan tidaklah boleh dibayar daripadanya kecuali di bawah kuasa undang-undang Negeri atau undang-undang persekutuan, mengikut mana-mana yang berkenaan.

(4) Melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain, apa-apa sebutan dalam Perlembagaan ini mengenai Kumpulan Wang Disatukan hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan.

Perkara 98. Perbelanjaan yang dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan.

(1) Maka hendaklah dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan sebagai tambahan kepada apa-apa pemberian, saraan atau wang lain yang dipertanggungkan sedemikian melalui mana-mana Perkara lain atau undang-undang persekutuan—

(a) segala pencen, pampasan kerana kehilangan jawatan dan ganjaran yang Persekutuan bertanggungan membayarnya;
(b) segala caj hutang yang Persekutuan bertanggungan membayarnya; dan
(c) apa-apa wang yang dikehendaki untuk menunaikan apa-apa penghakiman, keputusan atau award terhadap Persekutuan oleh mana-mana mahkamah atau tribunal.

(2) Apabila membayar apa-apa pemberian kepada sesuatu Negeri mengikut peruntukan Bahagian ini, Persekutuan boleh memotong amaun apa-apa caj hutang yang kena dibayar oleh Negeri itu kepada Persekutuan dan yang dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan bagi Negeri itu.

(3) Bagi maksud Perkara ini caj hutang termasuklah bunga, caj kumpulan wang penjelas hutang, pembayaran balik atau pelunasan hutang, dan segala perbelanjaan berkaitan dengan pemerdapatan pinjaman atas jaminan Kumpulan Wang Disatukan dan pembayaran bunga atas hutang dan penebusan hutang yang diwujudkan dengan jalan sedemikian.

Perkara 99. Penyata kewangan tahunan.

(1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah, berkenaan dengan tiap-tiap tahun kewangan, menyebabkan dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat suatu penyata terimaan dan perbelanjaan yang dianggarkan bagi Persekutuan untuk tahun itu, dan, melainkan jika diperuntukkan selainnya oleh Parlimen berkenaan dengan mana-mana tahun, penyata itu hendaklah dibentangkan sedemikian sebelum permulaan tahun ini.

Dengan syarat bahawa bolehlah ada penyata yang berasingan bagi terimaan yang dianggarkan dan perbelanjaan yang dianggarkan, dan dalam hal sedemikian tidaklah perlu penyata terimaan itu dibentangkan sedemikian sebelum permulaan tahun yang dimaksudkan oleh penyata itu.

(2) Anggaran perbelanjaan itu hendaklah menunjukkan—

(a) jumlah wang yang dikehendaki untuk membayar perbelanjaan yang dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan; dan
(b) tertakluk kepada Fasal (3), jumlah wang yang dikehendaki untuk membayar perbelanjaan bagi maksud lain yang dicadangkan dibayar daripada Kumpulan Wang Disatukan.

(3) Jumlah wang yang hendaklah ditunjukkan di bawah perenggan (b) Fasal (2) tidak termasuk—

(a) jumlah wang yang merupakan hasil daripada apa-apa pinjaman yang diperdapatkan oleh Persekutuan bagi maksud tertentu dan yang diuntukkan bagi maksud itu oleh Akta yang membenarkan pinjaman itu diperdapatkan;
(b) jumlah wang yang merupakan apa-apa wang atau bunga atas wang yang diterima oleh Persekutuan yang tertakluk kepada suatu amanah dan yang hendaklah digunakan mengikut terma amanah itu;
(c) jumlah wang yang merupakan apa-apa wang yang dipegang oleh Persekutuan yang telah diterima atau diuntukkan bagi maksud apa-apa kumpulan wang amanah yang ditubuhkan oleh atau mengikut undang-undang persekutuan.

(4) Penyata tersebut hendaklah juga menunjukkan, setakat yang dapat dilaksanakan, aset dan liabiliti Persekutuan pada akhir tahun kewangan yang baru genap, cara aset itu dilaburkan atau dipegang, dan maksud am yang berkenaan dengannya liabiliti itu masih belum selesai.

Perkara 100. Rang Undang-Undang Perbekalan.

Perbelanjaan yang hendaklah dibayar daripada Kumpulan Wang Disatukan tetapi tidak dipertanggungkan padanya, selain perbelanjaan yang hendaklah dibayar dengan jumlah wang yang disebut dalam Fasal (3) Perkara 99, hendaklah dimasukkan ke dalam suatu Rang Undang-Undang, yang hendaklah dikenali sebagai Rang Undang-Undang Perbekalan, yang membuat peruntukan bagi pengeluaran jumlah wang yang perlu daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk membayar perbelanjaan itu dan penguntukan jumlah wang itu bagi maksud yang dinyatakan dalamnya.

Perkara 101. Perbelanjaan tambahan dan perbelanjaan lebih.

Jika berkenaan dengan mana-mana tahun kewangan didapati—

(a) bahawa amaun yang diuntukkan melalui Akta Perbekalan bagi apa-apa maksud tidak mencukupi, atau bahawa telah timbul keperluan perbelanjaan bagi suatu maksud yang baginya tiada amaun diuntukkan melalui Akta Perbekalan; atau
(b) bahawa apa-apa wang telah dibelanjakan bagi apa-apa maksud melebihi amaun yang diuntukkan (jika ada) bagi maksud itu melalui Akta Perbekalan,

maka suatu anggaran tambahan yang menunjukkan jumlah wang yang dikehendaki atau dibelanjakan itu hendaklah dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat dan maksud apa-apa perbelanjaan itu hendaklah dimasukkan ke dalam suatu Rang Undang-Undang Perbekalan.

Perkara 102. Kuasa membenarkan perbelanjaan masuk akaun atau bagi maksud yang tidak dinyatakan.

Parlimen mempunyai kuasa berkenaan dengan mana-mana tahun kewangan—

(a) sebelum lulus Rang Undang-Undang Perbekalan, untuk membenarkan melalui undang-undang perbelanjaan bagi sebahagian tahun itu;
(b) untuk membenarkan melalui undang-undang perbelanjaan bagi seluruh atau sebahagian tahun itu selain mengikut Perkara 99 hingga 101, jika ternyata kepada Parlimen wajar berbuat demikian oleh sebab pentingnya atau umumnya apa-apa perkhidmatan atau oleh sebab hal keadaan yang luar biasa keterdesakannya.

Perkara 103. Kumpulan Wang Luar Jangka.

(1) Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan bagi mewujudkan suatu Kumpulan Wang Luar Jangka dan memberi kuasa Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi kewangan, jika berpuas hati bahawa telah timbul keperluan perbelanjaan yang mendesak dan di luar jangkaan yang baginya tiada peruntukan lain wujud, untuk membuat pendahuluan daripada Kumpulan Wang Luar Jangka itu untuk memenuhi keperluan itu.

(2) Jika apa-apa pendahuluan dibuat mengikut Fasal (1), suatu anggaran tambahan hendaklah dikemukakan dan suatu Rang Undang-Undang Perbekalan dibawa dengan seberapa segera yang mungkin bagi maksud menggantikan amaun yang didahulukan itu.

Perkara 104. Pengambilan keluar daripada Kumpulan Wang Disatukan.

(1) Tertakluk kepada Fasal (2), tiada wang boleh diambil keluar daripada Kumpulan Wang Disatukan melainkan jika wang itu—

(a) dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan; atau
(b) dibenarkan untuk dikeluarkan melalui Akta Perbekalan;
(c) dibenarkan untuk dikeluarkan di bawah Perkara 102.

(2) Fasal (1) tidak terpakai bagi apa-apa jumlah wang yang disebut dalam Fasal (3) Perkara 99.

(3) Tiada wang boleh diambil keluar daripada Kumpulan Wang Disatukan kecuali mengikut cara yang diperuntukkan oleh undang-undang persekutuan.

Perkara 105. Ketua Audit Negara.

(1) Maka hendaklah ada seorang Ketua Audit Negara, yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

(2) Seseorang yang telah memegang jawatan Ketua Audit Negara layak dilantik semula tetapi tidaklah layak dilantik bagi apa-apa pelantikan lain dalam perkhidmatan Persekutuan atau bagi apa-apa pelantikan dalam perkhidmatan sesuatu Negeri.

(3) Ketua Audit Negara boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya tetapi tidaklah boleh dipecat daripada jawatan kecuali atas alasan dan mengikut cara yang sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan.

(4) Parlimen hendaklah melalui undang-undang membuat peruntukan bagi saraan Ketua Audit Negara, dan saraan yang diperuntukkan sedemikian hendaklah dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan.

(5) Saraan dan terma lain jawatan (termasuk hak pencen) bagi Ketua Audit Negara tidaklah boleh, selepas pelantikannya, diubah menjadi kurang baik baginya.

(6) Tertakluk kepada peruntukan Perkara ini, terma dan syarat perkhidmatan Ketua Audit Negara hendaklah ditentukan melalui undang-undang persekutuan dan, tertakluk kepada peruntukan undang-undang persekutuan, oleh Yang di-Pertuan Agong.

Perkara 106. Kuasa dan tugas Ketua Audit Negara.

(1) Akaun bagi Persekutuan dan bagi Negeri-Negeri hendaklah diaudit dan dibuat laporan mengenainya oleh Ketua Audit Negara.

(2) Ketua Audit Negara hendaklah melaksanakan apa-apa tugas lain dan menjalankan apa-apa kuasa sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang persekutuan berhubung dengan akaun bagi Persekutuan dan akaun bagi Negeri-Negeri dan berhubung dengan akaun bagi pihak-pihak berkuasa awam lain dan akaun bagi badan yang dinyatakan melalui perintah yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

Perkara 107. Laporan Ketua Audit Negara.

(1) Ketua Audit Negara hendaklah mengemukakan laporan-laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong yang hendaklah menyebabkan laporan itu dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat.

(2) Satu naskhah mana-mana laporan itu yang berhubungan dengan akaun bagi sesuatu Negeri, atau berhubungan dengan akaun-akaun bagi mana-mana pihak berkuasa awam yang menjalankan kuasa yang diberikan oleh undang-undang Negeri, hendaklah dikemukakan kepada Raja atau Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri itu yang hendaklah menyebabkan laporan itu dibentangkan di hadapan Dewan Undangan.

Perkara 108. Majlis Kewangan Negara.

(1) Maka hendaklah ada suatu Majlis Kewangan Negara yang terdiri daripada Perdana Menteri, mana-mana Menteri lain yang ditetapkan oleh Perdana Menteri, dan seorang wakil dari setiap Negeri yang dilantik oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri.

(2) Majlis Kewangan Negara hendaklah dipanggil bermesyuarat oleh Perdana Menteri seberapa kerap yang difikirkannya perlu dan apabila wakil dari tiga Negeri atau lebih menghendaki diadakan mesyuarat, tetapi sekurang-kurangnya satu mesyuarat hendaklah diadakan pada tiap-tiap dua belas bulan.

(3) Dalam mana-mana mesyuarat Majlis Kewangan Negara, Perdana Menteri boleh diwakili oleh seorang Menteri Persekutuan yang lain, dan Perdana Menteri atau, jika Perdana Menteri tidak hadir, Menteri yang mewakilinya itu, hendaklah mempengerusikan mesyuarat itu.

(4) Menjadi kewajipan Kerajaan Persekutuan untuk berunding dengan Majlis Kewangan Negara berkenaan dengan—

(a) pemberian yang dibuat oleh Persekutuan kepada Negeri-Negeri;
(b) penyerahhakan kepada Negeri-Negeri keseluruhan atau apa-apa bahagian hasil daripada apa-apa cukai atau fi persekutuan;
(c) keperluan pinjaman tahunan Persekutuan dan Negeri-Negeri dan penjalanan kuasa meminjam Persekutuan dan Negeri-Negeri itu;
(d) pembuatan pinjaman kepada mana-mana Negeri itu;
(e) pembuatan rancangan pembangunan mengikut Perkara 92;
(f) perkara yang disebut dalam Butiran 7(f) dan (g) Senarai Persekutuan;
(g) apa-apa cadangan untuk membawa Rang Undang-Undang bagi suatu undang-undang yang disebut dalam Fasal (2) Perkara 109 atau Fasal (3) atau (3A) Perkara 110;
(h) apa-apa perkara lain yang berkenaan dengannya Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan membuat peruntukan bagi mengadakan rundingan dengan Majlis Kewangan Negara.

(5) Kerajaan Persekutuan boleh merundingi Majlis Kewangan Negara berkenaan dengan apa-apa perkara lain, sama ada atau tidak perkara itu melibatkan soal kewangan, dan kerajaan sesuatu Negeri boleh merundingi Majlis tersebut berkenaan dengan apa-apa perkara yang menyentuh kedudukan kewangan Negeri itu.

Perkara 109. Pemberian kepada Negeri.

(1) Persekutuan hendaklah membuat kepada setiap Negeri berkenaan dengan setiap tahun kewangan—

(a) pemberian, yang dikenali sebagai pemberian ikut kepala, yang hendaklah dihitung mengikut peruntukan Bahagian I Jadual Kesepuluh;
(b) pemberian bagi penyenggaraan jalan Negeri, yang dikenali sebagai pemberian jalan Negeri, yang hendaklah dihitung mengikut peruntukan Bahagian II Jadual Kesepuluh.

(2) Parlimen boleh dari semasa ke semasa melalui undang-undang mengubah kadar pemberian ikut kepala; tetapi jika kesan mana-mana undang-undang itu akan mengurangkan pemberian itu, peruntukan hendaklah dibuat dalam undang-undang itu bagi memastikan bahawa amaun pemberian yang diterima oleh mana-mana Negeri berkenaan dengan mana-mana tahun kewangan tidak kurang daripada sembilan puluh peratus daripada amaun yang diterima oleh Negeri itu dalam tahun kewangan sebelumnya.

(3) Parlimen boleh melalui undang-undang membuat pemberian bagi maksud tertentu kepada mana-mana Negeri atas apa-apa terma dan syarat yang diperuntukkan oleh mana-mana undang-undang itu.

(4) Amaun yang dikehendaki untuk membuat pemberian yang disebut dalam peruntukan yang terdahulu dalam Perkara ini hendaklah dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan.

(5) Jika, mengikut Perkara 103, suatu Kumpulan Wang Luar Jangka diwujudkan, maka kuasa untuk membuat pendahuluan daripada Kumpulan Wang itu bagi memenuhi keperluan perbelanjaan yang mendesak dan di luar jangkaan termasuklah kuasa untuk membuat pendahuluan itu kepada sesuatu Negeri bagi memenuhi keperluan yang sedemikian.

(6) Persekutuan hendaklah membayar ke dalam suatu kumpulan wang, yang hendaklah dikenali sebagai Kumpulan Wang Rizab Negeri—

(a) (Dimansuhkan);
(b) berkenaan dengan tiap-tiap tahun kewangan apa-apa jumlah wang yang ditentukan sebagai perlu oleh Kerajaan Persekutuan selepas berunding dengan Majlis Kewangan Negara, dan Persekutuan boleh dari semasa ke semasa, selepas berunding dengan Majlis Kewangan Negara, membuat pemberian daripada Kumpulan Wang Rizab Negeri kepada mana-mana Negeri bagi maksud pembangunan atau pada amnya untuk menambah hasil Negeri itu.

Perkara 110. Penyerahhakan cukai dan fi kepada Negeri.

(1) Tertakluk kepada Fasal (2), setiap Negeri hendaklah menerima segala hasil daripada cukai, fi dan sumber hasil lain yang dinyatakan dalam Bahagian III Jadual Kesepuluh setakat yang dipungut, dilevikan atau diperdapatkan di dalam Negeri itu.

(2) Parlimen boleh dari semasa ke semasa melalui undang-undang menggantikan mana-mana sumber hasil yang dinyatakan dalam seksyen 1, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 12 atau 14 Bahagian III Jadual Kesepuluh atau mana-mana sumber hasil yang digantikan sedemikian dengan suatu sumber hasil lain yang pada hakikatnya sama nilainya.

(3) Setiap Negeri hendaklah menerima, atas apa-apa terma dan syarat yang diperuntukkan melalui atau di bawah undang-undang persekutuan, sepuluh peratus atau apa-apa amaun yang lebih besar yang diperuntukkan sedemikian daripada duti eksport atas timah yang dikeluarkan di dalam Negeri itu.

(3A) Parlimen boleh melalui undang-undang memperuntukkan bahawa setiap Negeri hendaklah menerima, atas apa-apa terma dan syarat yang ditetapkan melalui atau di bawah undang-undang persekutuan, apa-apa perkadaran yang ditetapkan sedemikian daripada duti eksport atas mineral (selain timah) yang dikeluarkan di dalam Negeri itu. Dalam Perkara ini "mineral" ertinya bijih mineral, logam dan minyak mineral.

(3B) Tanpa menjejaskan kuasa untuk mengenakan syarat yang diberikan oleh Fasal (3) atau (3A), Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan bagi melarang atau menyekat dalam apa-apa hal, atau kecuali dalam apa-apa hal, sebagaimana yang diperuntukkan melalui atau di bawah undang-undang itu, pelevian royalti ke atas mineral atau caj yang seumpamanya berkenaan dengan mineral (sama ada di bawah suatu pajakan atau surat cara lain atau di bawah mana-mana enakmen Negeri, dan sama ada surat cara itu telah dibuat atau enakmen itu diluluskan sebelum atau selepas permulaan kuat kuasa Fasal ini).

(4) Tanpa menjejaskan peruntukan Fasal (1) hingga (3A), Parlimen boleh melalui undang-undang—

(a) menyerahhakkan kepada Negeri-Negeri keseluruhan atau apa-apa bahagian daripada hasil apa-apa cukai atau fi yang diperdapatkan atau dilevikan oleh Persekutuan; dan
(b) menyerahhakkan kepada Negeri-Negeri tanggungjawab bagi memungut, bagi maksud Negeri, apa-apa cukai atau fi yang dibenarkan oleh undang-undang persekutuan.

(5) Amaun yang boleh diterima oleh Negeri di bawah Fasal (1), (2) atau (4) tidaklah boleh dibayar ke dalam Kumpulan Wang Disatukan; dan amaun yang boleh diterima oleh Negeri di bawah Fasal (3) dan (3A) hendaklah dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan.

Perkara 111. Sekatan untuk meminjam.

(1) Persekutuan tidak boleh meminjam kecuali di bawah kuasa undang-undang persekutuan.

(2) Sesuatu Negeri tidak boleh meminjam kecuali di bawah kuasa undang-undang Negeri, dan undang-undang Negeri tidak boleh memberi kuasa sesuatu Negeri untuk meminjam kecuali daripada Persekutuan atau, bagi suatu tempoh yang tidak melebihi lima tahun, daripada suatu bank atau sumber kewangan lain yang diluluskan bagi maksud itu oleh Kerajaan Persekutuan, dan tertakluk kepada apa-apa syarat yang ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan.

(3) Sesuatu Negeri tidak boleh memberikan apa-apa jaminan kecuali di bawah kuasa undang-undang Negeri, dan jaminan itu tidak boleh diberikan kecuali dengan kelulusan Kerajaan Persekutuan dan tertakluk kepada apa-apa syarat yang ditentukan olehnya.

Perkara 112. Sekatan ke atas perubahan dalam perjawatan Negeri.

(1) Tertakluk kepada Fasal (2), tiada Negeri boleh, tanpa kelulusan Persekutuan, membuat apa-apa tambahan kepada perjawatannya atau perjawatan bagi mana-mana jabatannya, atau mengubah kadar bagi gaji dan emolumen yang sudah tetap, jika kesan daripada perbuatan sedemikian akan menambah liabiliti Persekutuan berkenaan dengan pencen, ganjaran atau elaun lain yang seumpamanya.

(2) Perkara ini tidak terpakai bagi—

(a) pelantikan tidak berpencen yang gaji maksimumnya tidak melebihi empat ratus ringgit sebulan atau apa-apa amaun lain yang ditetapkan melalui perintah oleh Yang di-Pertuan Agong; atau
(b) pelantikan berpencen yang gaji maksimumnya tidak melebihi seratus ringgit sebulan atau apa-apa amaun lain yang ditetapkan melalui perintah oleh Yang di-Pertuan Agong.

Bab 2 - Pemakaian bagi Negeri Sabah dan Sarawak[edit]

Perkara 112A. Pengauditan Negeri di Negeri Sabah dan Sarawak.

(1) Ketua Audit Negera hendaklah mengemukakan laporannya yang berhubungan dengan akaun bagi tiap-tiap satu daripada Negeri Sabah dan Sarawak, atau yang berhubungan dengan akaun mana-mana pihak berkuasa awam yang menjalankan kuasa yang terletak hak padanya oleh undang-undang Negeri di dalam salah satu Negeri itu, kepada Yang di-Pertuan Agong (yang hendaklah menyebabkan laporan itu dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat) dan kepada Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri itu; dan dengan demikian Fasal (2) Perkara 107 tidaklah terpakai bagi laporan itu.

(2) Yang di-Pertua Negeri hendaklah menyebabkan supaya mana-mana laporan yang dikemukakan kepadanya dibentangkan di hadapan Dewan Undangan.

(3) Kuasa dan tugas Ketua Audit Negara berhubung dengan akaun yang disebut dalam Fasal (1) bagi mana-mana tempoh yang berakhir sebelum tahun 1969 hendaklah, di Negeri Sabah atau Sarawak, dijalankan dan ditunaikan bagi pihaknya oleh pegawai kanan pejabatnya yang pada masa itu ditempatkan di Negeri yang berkenaan:

Dengan syarat bahawa semasa pegawai kanan itu tidak ada atau tidak berupaya, atau semasa jawatannya kosong, kuasa dan tugas itu hendaklah dijalankan dan ditunaikan oleh Ketua Audit Negara atau mana-mana pegawai jabatannya yang ditetapkan olehnya.

Perkara 112B. Kuasa meminjam bagi Negeri Sabah dan Sarawak.

Fasal (2) Perkara 111 tidak boleh menyekat kuasa Negeri Sabah atau Sarawak untuk meminjam di bawah kuasa undang-undang Negeri di dalam Negeri itu, jika peminjaman itu telah mendapat kelulusan Bank Negara yang ada pada masa itu bagi Persekutuan.

Perkara 112C. Pemberian khas dan penyerahhakan hasil kepada Negeri Sabah dan Sarawak.

(1) Tertakluk kepada peruntukan Perkara 112D dan kepada apa-apa batasan yang dinyatakan dalam seksyen yang berkenaan dalam Jadual Kesepuluh—

(a) Persekutuan hendaklah membuat kepada Negeri Sabah dan Sarawak berkenaan dengan setiap tahun kewangan pemberian yang dinyatakan dalam Bahagian IV Jadual itu; dan
(b) setiap Negeri itu hendaklah menerima segala hasil daripada cukai, fi dan dius yang dinyatakan dalam Bahagian V Jadual itu, setakat yang dipungut, dilevikan atau diperdapatkan di dalam Negeri itu, atau apa-apa bahagian daripada hasil itu sebagaimana yang dinyatakan sedemikian.

(2) Amaun yang dikehendaki untuk membuat pemberian yang dinyatakan dalam Bahagian IV tersebut, dan amaun yang boleh diterima oleh Negeri Sabah atau Sarawak di bawah seksyen 3 atau 4 Bahagian V tersebut, hendaklah dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan; dan amaun yang selainnya boleh diterima oleh Negeri Sabah dan Sarawak di bawah Bahagian V tersebut tidaklah boleh dibayar ke dalam Kumpulan Wang Disatukan.

(3) Dalam Perkara 110, Fasal (3A) dan (4) tidaklah terpakai bagi Negeri Sabah atau Sarawak.

(4) Tertakluk kepada Fasal (5) Perkara 112D, berhubung dengan Negeri Sabah dan Sarawak, Fasal (3B) Perkara 110—

(a) hendaklah terpakai berhubung dengan segala mineral, termasuk minyak mineral; tetapi
(b) tidaklah memberi kuasa Parlimen untuk melarang Negeri itu daripada melevikan royalti ke atas apa-apa mineral atau untuk menyekat royalti yang dilevikan dalam apa-apa hal jika dengan yang demikian Negeri itu tidak berhak menerima royalti berjumlah sepuluh peratus ad valorem (yang dihitung sebagaimana bagi duti eksport).

Perkara 112D. Kajian semula pemberian khas kepada Negeri Sabah dan Sarawak.

(1) Pemberian yang dinyatakan dalam seksyen 1 dan subseksyen (1) seksyen 2 Bahagian IV Jadual Kesepuluh, dan apa-apa pemberian gantian atau tambahan yang dibuat menurut kuasa Fasal ini, hendaklah dikaji semula oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri-Negeri atau Negeri yang berkenaan itu mengikut lat tempoh yang disebut dalam Fasal (4), dan jika Kerajaan-Kerajaan itu bersetuju mana-mana pemberian itu diubah atau dihapuskan, atau suatu pemberian yang lain dibuat sebagai menggantikan atau bersekali dengan pemberian itu atau mana-mana daripadanya, maka Bahagian IV dan Fasal (2) Perkara 112C tersebut hendaklah diubahsuaikan melalui perintah Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang perlu untuk melaksanakan persetujuan itu:

Dengan syarat bahawa dalam kajian semula kali pertama pemberian yang dinyatakan dalam subseksyen (2) seksyen 1 Bahagian IV tersebut tidaklah boleh dipersoalkan kecuali bagi maksud menetapkan amaun bagi lima tahun yang berikutnya.

(2) Apa-apa kajian semula di bawah Perkara ini hendaklah mengambil kira kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan, serta juga keperluan bagi Negeri-Negeri atau Negeri yang berkenaan itu, tetapi (tertakluk kepada itu) hendaklah berusaha memastikan bahawa hasil Negeri cukup untuk membayar kos perkhidmatan Negeri yang ada pada masa kajian semula itu, dengan apa-apa peruntukan yang ternyata munasabah bagi pembesaran perkhidmatan itu.

(3) Tempoh yang baginya peruntukan dikehendaki dibuat dalam sesuatu kajian semula ialah suatu tempoh lima tahun atau (kecuali dalam hal kajian semula kali pertama) suatu tempoh yang lebih lama yang dipersetujui antara Persekutuan dengan Negeri-Negeri atau Negeri yang berkenaan itu; tetapi apa-apa perintah di bawah Fasal (1) yang melaksanakan keputusan sesuatu kajian semula hendaklah terus berkuat kuasa selepas berakhirnya tempoh itu, kecuali setakat yang perintah itu digantikan dengan suatu perintah selanjutnya di bawah Fasal itu.

(4) Suatu kajian semula di bawah Perkara ini tidaklah boleh dijalankan lebih awal daripada yang semunasabahnya perlu untuk memastikan bahawa keputusan kajian semula itu dapat dilaksanakan mulai dari akhir tahun 1968 atau, dalam hal kajian semula kali kedua atau kali kemudiannya, mulai dari akhir tempoh yang diperuntukkan oleh kajian semula yang sebelum itu; tetapi, tertakluk kepada itu, kajian semula hendaklah diadakan berkenaan dengan Negeri Sabah dan Sarawak kedua-duanya bagi tempoh yang bermula dengan tahun 1969 dan dengan tahun 1974, dan selepas itu berkenaan dengan mana-mana satu Negeri itu pada bilbila masa (dalam masa atau selepas tempoh yang diperuntukkan dalam kajian semula yang sebelum itu) sebagaimana yang dikehendaki oleh Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri itu.

(5) Jika dalam apa-apa kajian semula di bawah Perkara ini Kerajaan Persekutuan memberikan notis kepada Negeri-Negeri atau Negeri yang berkenaan mengenai niatnya hendak mengubah mana-mana penyerahhakan hasil di bawah Bahagian V Jadual Kesepuluh (termasuk apa-apa penyerahhakan gantian atau tambahan yang dibuat menurut kuasa Fasal ini), atau hendak mengubah Fasal (4) Perkara 112C, maka kajian semula itu hendaklah mengambil kira perubahan itu, dan peruntukan hendaklah dibuat melalui perintah Yang di-Pertuan Agong supaya perubahan itu dilaksanakan mulai dari permulaan tempoh yang diperuntukkan dalam kajian semula itu:

Dengan syarat bahawa Fasal ini tidaklah terpakai bagi penyerahhakan di bawah seksyen 4, 7 dan 8, dan tidaklah terpakai bagi penyerahhakan di bawah seksyen 5 atau 6 sehingga kajian semula kali kedua.

(6) Jika dalam apa-apa kajian semula Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan sesuatu Negeri tidak dapat mencapai persetujuan atas apa-apa perkara, maka perkara itu hendaklah dirujukkan kepada penaksir bebas, dan syor penaksir bebas mengenai perkara itu hendaklah mengikat kerajaan yang berkenaan itu dan hendaklah dilaksanakan seolah-olah syor itu ialah persetujuan antara kerajaan itu.

(7) Fasal (4) Perkara 108 tidaklah terpakai bagi menghendaki Kerajaan Persekutuan berunding dengan Majlis Kewangan Negara berkenaan dengan perkara yang berbangkit di bawah Perkara ini.

(8) Apa-apa perintah Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara ini hendaklah dibentangkan di hadapan setiap Majlis Parlimen.

Perkara 112E. (Perkiraan kewangan dengan Singapura - Dimansuhkan).

(Dimansuhkan).