Perlembagaan Persekutuan Malaysia/Perlindungan Tambahan bagi Negeri Sabah dan Sarawak

From Wikisource
Jump to: navigation, search

Perkara 161. Penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa ibunda di Negeri Sabah dan Sarawak.

(1) Tiada Akta Parlimen yang menamatkan atau menyekat penggunaan bahasa Inggeris bagi apa-apa maksud yang disebut dalam Fasal (2) hingga (5) Perkara 152 boleh mula berkuat kuasa berkenaan dengan penggunaan bahasa Inggeris dalam apa-apa hal yang disebut dalam Fasal (2) Perkara ini sehingga sepuluh tahun selepas Hari Malaysia.

(2) Fasal (1) terpakai—

(a) bagi penggunaan bahasa Inggeris di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen oleh seseorang ahli bagi atau dari Negeri Sabah atau Sarawak; dan
(b) bagi penggunaan bahasa Inggeris bagi prosiding di dalam Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak atau di dalam suatu mahkamah rendah di Negeri Sabah atau Sarawak, atau bagi apa-apa prosiding di dalam Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Rayuan sebagaimana yang disebut dalam Fasal (4); dan
(c) bagi penggunaan bahasa Inggeris di Negeri Sabah atau Sarawak di dalam Dewan Undangan atau bagi maksud rasmi yang lain (termasuk maksud rasmi Kerajaan Persekutuan).

(3) Tanpa menjejaskan Fasal (1), tiada Akta Parlimen sebagaimana yang disebut dalam Fasal itu boleh mula berkuat kuasa berkenaan dengan penggunaan bahasa Inggeris bagi prosiding di dalam Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak atau bagi apa-apa prosiding di dalam Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Rayuan sebagaimana yang disebut dalam Fasal (4), sehingga Akta itu atau peruntukannya yang berkaitan telah diluluskan melalui enakmen Badan-Badan Perundangan Negeri Sabah dan Sarawak; dan tiada Akta sedemikian boleh mula berkuat kuasa berkenaan dengan penggunaan bahasa Inggeris di Negeri Sabah atau Sarawak dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam perenggan (b) atau (c) Fasal (2), sehingga Akta itu atau peruntukannya yang berkaitan telah diluluskan melalui suatu enakmen Badan Perundangan Negeri itu.

(4) Prosiding di dalam Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Rayuan yang disebut dalam Fasal (2 dan (3) ialah apa-apa prosiding atas rayuan daripada Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak atau seseorang hakimnya, dan apa-apa prosiding di bawah Fasal (2) Perkara 128 bagi memutuskan sesuatu soal yang telah berbangkit dalam prosiding di hadapan Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak atau suatu mahkamah rendah di Negeri Sabah atau Sarawak.

(5) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perkara 152, di dalam Negeri Sabah dan Sarawak sesuatu bahasa ibunda yang pada masa ini digunakan di Negeri itu boleh digunakan di dalam mahkamah anak negeri atau bagi apa-apa kanun undang-undang dan adat anak negeri, dan dalam hal Sarawak, sehingga diperuntukkan selainnya melalui enakmen Badan Perundangan, bahasa ibunda itu boleh digunakan oleh ahli apabila berucap di dalam Dewan Undangan atau mana-mana jawatankuasanya.

Perkara 161A. Kedudukan istemewa anak negeri Negeri Sabah dan Sarawak.

(1) (Dimansuhkan).

(2) (Dimansuhkan).

(3) (Dimansuhkan).

(4) Perlembagaan-Perlembagaan Negeri Sabah dan Sarawak boleh membuat peruntukan yang bersamaan (dengan ubah suaian yang perlu) dengan Perkara 153.

(5) Perkara 89 tidaklah terpakai bagi Negeri Sabah atau Sarawak, dan Perkara 8 tidaklah menidaksahkan atau melarang apa-apa peruntukan undang-undang Negeri di Negeri Sabah atau Sarawak bagi merizabkan tanah bagi anak negeri Negeri itu atau bagi memberikan hakmilik kepada mereka, atau bagi memberikan layanan keutamaan kepada mereka berkenaan dengan pemberian hakmilik tanah oleh Negeri itu.

(6) Dalam Perkara ini "anak negeri" ertinya—

(a) berhubung dengan Sarawak, seseorang yang merupakan warganegara dan sama ada yang tergolong dalam salah satu daripada ras yang dinyatakan dalam Fasal (7) sebagai ras asli bagi Negeri itu atau yang berketurunan campuran yang berasal semata-mata daripada ras-ras itu; dan
(b) berhubung dengan Sabah, seseorang yang merupakan warganegara, ialah anak atau cucu kepada seorang daripada suatu ras asli bagi Sabah, dan telah lahir (sama ada atau tidak pada atau selepas Hari Malaysia) sama ada di Sabah atau dengan bapanya berdomisil di Sabah pada masa kelahiran itu.

(7) Ras-ras yang dikira sebagai ras asli bagi Sarawak bagi maksud takrif "anak negeri" dalam Fasal (6) ialah Bukitan, Bisayah, Dusun, Dayak, Dayak Laut, Dayak Darat, Kadayan, Kalabit, Kayan, Kenyah (termasuk Sabup dan Sipeng), Kajang (termasuk Sekapan, Kejaman, Lahanan, Punan, Tanjong dan Kanowit), Lugat, Lisum, Melayu, Melano, Murut, Penan, Sian, Tagal, Tabun dan Ukit.

Perkara 161B. Sekatan ke atas perluasan kepada bukan pemastautin hak untuk menjalankan amalan di hadapan mahkamah di dalam Negeri Sabah dan Sarawak.

(1) Setakat yang mana-mana peruntukan yang dibuat melalui atau di bawah sesuatu Akta Parlimen memberikan hak, dengan menghapuskan atau mengubah kelayakan kemastautinan untuk menjalankan amalan di hadapan mahkamah di dalam Negeri Sabah dan Sarawak atau di dalam mana-mana satu Negeri itu kepada orang yang dahulunya tidak mempunyai hak itu, maka peruntukan itu tidak boleh mula berkuat kuasa sehingga diterima pakai di dalam Negeri-Negeri itu atau Negeri yang berkenaan itu melalui suatu enakmen badan perundangannya.

(2) Perkara ini hendaklah terpakai bagi hak untuk menjalankan amalan di hadapan Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Rayuan apabila bersidang di Negeri Sabah dan Sarawak dan melayani prosiding atau rayuan daripada Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak atau seseorang hakimnya atau prosiding di bawah Fasal (2) Perkara 128 bagi memutuskan sesuatu soal yang telah berbangkit dalam prosiding di hadapan Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak atau sesuatu mahkamah rendah di Negeri Sabah atau Sarawak.

Perkara 161C. Pendidikan agama Islam di Negeri-Negeri Borneo- Dimansuhkan.

(Dimansuhkan).

Perkara 161D. Kebebasan beragama - Dimansuhkan.

(Dimansuhkan).

Perkara 161E. Perlindungan kedudukan dari segi perlembagaan mengenai Negeri Sabah dan Sarawak.

(1) Mulai dari lulusnya Akta Malaysia, tiada pindaan kepada Perlembagaan ini yang dibuat berkaitan dengan penerimaan masuk Negeri Sabah atau Sarawak ke dalam Persekutuan boleh dikecualikan daripada Fasal (3) Perkara 159 disebabkan Fasal (4)(bb) Perkara itu; dan juga tiada apa-apa ubah suaian yang dibuat tentang pemakaian Perlembagaan ini bagi Negeri Sabah atau Sarawak boleh dikecualikan sedemikian melainkan jika ubah suaian itu ialah ubah suaian yang akan menyamakan atau mengasimilasikan kedudukan Negeri itu di bawah Perlembagaan ini dengan kedudukan Negeri-Negeri Tanah Melayu.

(2) Tiada pindaan boleh dibuat kepada Perlembagaan ini tanpa persetujuan Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri Sabah atau Sarawak atau tiap-tiap satu daripada Negeri Sabah dan Sarawak yang berkenaan itu, jika pindaan itu ialah yang akan menyentuh perjalanan kuat kuasa Perlembagaan ini berkenaan dengan mana-mana perkara yang berikut:

(a) hak orang yang lahir sebelum Hari Malaysia untuk menjadi warganegara oleh sebab perhubungan mereka dengan Negeri itu, dan (kecuali setakat yang peruntukan yang berlainan dibuat oleh Perlembagaan ini sebagaimana yang berkuat kuasa pada Hari Malaysia) layanan sama rata, berkenaan dengan kewarganegaraan orang lain, bagi orang yang lahir atau bermastautin di Negeri itu dan bagi orang yang lahir atau bermastatutin di Negeri-Negeri Tanah Melayu;
(b) keanggotaan dan bidang kuasa Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak dan pelantikan, pemecatan dan penggantungan hakim-hakim mahkamah itu;
(c) perkara yang mengenainya Badan Perundangan Negeri boleh (atau Parlimen tidak boleh) membuat undang-undang, dan kuasa eksekutif Negeri itu dalam perkara itu, dan (setakat yang berhubungan dengan perkara itu) perkiraan kewangan antara Persekutuan dengan Negeri itu;
(d) agama di dalam negeri itu, penggunaan apa-apa bahasa di dalam Negeri itu atau di dalam Parlimen dan layanan istemewa bagi anak-anak negeri Negeri itu;
(e) pengutukan bagi Negeri itu, di dalam mana-mana Parlimen yang dipanggil bermesyuarat sebelum akhir bulan Ogos 1970, suatu kuota ahli-ahli Dewan Rakyat yang tidak kurang, mengikut perkadaran jumlah yang diuntukkan bagi Negeri-Negeri lain yang menjadi anggota Persekutuan pada Hari Malaysia, daripada kuota yang diuntukkan bagi Negeri itu pada Hari Malaysia.

(3) Tiada pindaan kepada Perlembagaan ini yang menyentuh perjalanan kuat kuasanya berkenaan dengan kuota ahli Dewan Rakyat yang diuntukkan bagi Negeri Sabah atau Sarawak boleh dikira bagi maksud Fasal (1) sebagai menyamakan atau mengasimilasikan kedudukan Negeri itu dengan kedudukan Negeri-Negeri Tanah Melayu.

(4) Berhubung dengan apa-apa hak dan kuasa yang diberikan oleh undang-undang persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sabah atau Sarawak berkenaan dengan kemasukan ke dalam Negeri itu dan kemastautinan di dalam Negeri itu dan perkara yang berkaitan dengannya (sama ada atau tidak undang-undang itu diluluskan sebelum Hari Malaysia), Fasal (2) hendaklah terpakai, kecuali setakat yang diperuntukkan sebaliknya oleh undang-undang itu, seolah-olah undang-undang itu telah termaktub dalam Perlembagaan ini dan hak dan kuasa itu telah dimasukkan antara perkara yang disebut dalam perenggan (a) hingga (e) Fasal itu.

(5) Dalam Perkara ini "pindaan" termasuklah tambahan dan pemansuhan.

Perkara 161F. Penggunaan bahasa tidak rasmi di Dewan Undangan Negeri Singapura - Dimansuhkan.

(Dimansuhkan).

Perkara 161G. Kedudukan istemewa orang Melayu di Singapura - Dimansuhkan.

(Dimansuhkan).

Perkara 161H. Pemeliharaan kedudukan Singapura dari segi perlembagaan - Dimansuhkan.

(Dimansuhkan).