Perlembagaan Persekutuan Malaysia/Perkhidmatan-Perkhidmatan Awam

From Wikisource
Jump to navigation Jump to search

Perkara 132. Perkhidmatan-perkhidmatan awam.

(1) Bagi maksud Perlembagaan ini, perkhidmatan-perkhidmatan awam ialah—

(a) angkatan tentera;
(b) perkhidmatan kehakiman dan perundangan;
(c) perkhidmatan awam am Persekutuan;
(d) pasukan polis;
(e) (Dimansuhkan);
(f) perkhidmatan awam bersama yang disebut dalam Perkara 133;
(g) perkhidmatan awam setiap Negeri; dan
(h) perkhidmatan pendidikan.

(2) Kecuali sebagaimana yang diperuntukan dengan nyata selainnya oleh Perlembagaan ini, kelayakan bagi pelantikan dan syarat perkhidmatan orang dalam perkhidmatan-perkhidmatan awam, selain orang dalam perkhidmatan yang disebut dalam perenggan (g) Fasal (1), boleh dikawal selia melalui undang-undang persekutuan dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang yang sedemikian, oleh Yang di-Pertuan Agong; dan kelayakan bagi pelantikan dan syarat perkhidmatan orang dalam perkhidmatan awam mana-mana Negeri boleh dikawal selia melalui undang-undang Negeri dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang yang sedemikian, oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri itu.

(2A) Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini, tiap-tiap orang yang menjadi anggota mana-mana perkhidmatan yang disebut dalam perenggan (a), (b), (c), (d), (f) dan (h) Fasal (1) memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, dan, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata oleh Perlembagaan Negeri itu, tiap-tiap orang yang menjadi anggota perkhidmatan awam sesuatu Negeri memegang jawatan selama diperkenankan oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri.

(3) Perkhidmatan awam tidaklah dikira sebagai termasuk—

(a) jawatan mana-mana anggota pentadbiran di dalam Persekutuan atau sesuatu Negeri; atau
(b) jawatan Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Yang di-Pertua atau Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri atau ahli mana-mana satu Majlis Parlimen atau ahli Dewan Undangan sesuatu Negeri; atau
(c) jawatan hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi; atau
(d) jawatan anggota mana-mana Suruhanjaya atau Majlis yang ditubuhkan oleh Perlembagaan ini atau mana-mana Suruhanjaya atau Majlis yang bersamaan yang ditubuhkan oleh Perlembagaan sesuatu Negeri; atau
(e) apa-apa jawatan diplomatik yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong melalui perintah, iaitu jawatan yang, jika tidak kerana perintah itu, akan menjadi jawatan dalam perkhidmatan awam am Persekutuan.

(4) Sebutan dalam Bahagian ini, kecuali dalam Perkara 136 dan 147, mengenai orang dalam perkhidmatan awam atau anggota mana-mana perkhidmatan awam tidaklah terpakai bagi—

(a) (Dimansuhkan);
(b) Peguam Negara atau, jika peruntukan bagi cara pelantikan dan pemecatannya daripada jawatan dimasukkan dengan khususnya dalam Perlembagaan Negeri itu, atau jika dia dilantik bukan daripada kalangan anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan atau perkhidmatan awam Negeri, penasihat undang-undang mana-mana Negeri; atau
(c) seseorang anggota kakitangan peribadi Yang di-Pertuan Agong atau Raja atau yang di-Pertua Negeri; atau
(d) dalam hal Melaka dan Pulau Pinang, jika peruntukan dibuat melalui undang-undang Negeri bagi perlantikan mereka—
(i) Yang di-Pertua Jabatan Hal Ehwal Agama;
(ii) Setiausaha Jabatan Hal Ehwal Agama;
(ii) Mufti;
(iv) Kadi Besar; atau
(v) Kadi.

Perkara 133. Perkhidmatan bersama, dsb.

(1) Perkhidmatan bersama, untuk kegunaan bersama Persekutuan dan satu Negeri atau lebih atau, atas permintaan Negeri-Negeri yang berkenaan, untuk dua Negeri atau lebih, boleh ditubuhkan melalui undang-undang persekutuan.

(2) Jika seseorang anggota mana-mana perkhidmatan awam diambil kerja—

(a) sebahagiannya bagi maksud persekutuan dan sebahagiannya bagi maksud Negeri; atau
(b) bagi maksud dua Negeri atau lebih,

maka perkadaran saraannya, jika ada, yang kena dibayar oleh Persekutuan dan Negeri atau Negeri-Negeri yang berkenaan atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, oleh setiap Negeri yang berkenaan, hendaklah, tertakluk kepada undang-undang persekutuan, ditentukan dengan persetujuan atau, jika tidak ada persetujuan, oleh Suruhanjaya yang bidang kuasanya meliputi anggota itu.

Perkara 134. Peminjaman pegawai

(1) Persekutuan boleh, atas permintaan sesuatu Negeri, pihak berkuasa tempatan, atau pihak berkuasa berkanun atau mana-mana organisasi, di dalam atau di luar Malaysia, meminjamkan mana-mana anggota perkhidmatan awamnya kepada perkhidmatan Negeri, pihak berkuasa atau organisasi itu, mengikut mana-mana yang berkenaan; dan sesuatu Negeri boleh, atas permintaan Persekutuan, suatu Negeri lain, suatu pihak berkuasa tempatan atau suatu pihak berkuasa berkanun atau mana-mana organisasi, di dalam atau di luar Malaysia, meminjamkan mana-mana anggota perkhidmatan awamnya sendiri kepada perkhidmatan Persekutuan, Negeri lain, pihak berkuasa atau organisasi itu, mengikut mana-mana yang berkenaan.

(2) Seseorang yang dipinjamkan di bawah Perkara ini hendaklah tetap menjadi anggota perkhidmatan yang dianggotainya, tetapi saraannya hendaklah dibayar oleh Persekutuan, Negeri, pihak berkuasa atau organisasi, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang kepada perkhidmatannya dia dipinjamkan.

Perkara 135. Sekatan mengenai pembuangan kerja dan penurunan pangkat.

(1) Tiada seorang pun anggota mana-mana perkhidmatan yang disebut dalam perenggan (b) hingga (h) Fasal (1) Perkara 132 boleh dibuang kerja atau diturunkan pangkat oleh sesuatu pihak berkuasa yang rendah daripada pihak berkuasa yang, pada masa pembuangan kerja atau penurunan pangkat itu, mempunyai kuasa untuk melantik seseorang anggota perkhidmatan itu yang sama pangkatnya:

Dengan syarat bahawa dalam pemakaiannya bagi anggota perkhidmatan yang disebut dalam perenggan (g) Fasal (1) Perkara 132, Fasal ini tidaklah terpakai bagi apa-apa undang-undang yang mungkin dibuat oleh badan perundangan mana-mana Negeri, selain Pulau Pinang dan Melaka, yang memperuntukkan bahawa segala kuasa dan fungsi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri itu, selain kuasa untuk membuat pelantikan pertama ke perjawatan tetap atau perjawatan berpencen hendaklah dijalankan oleh suatu Lembaga yang dilantik oleh Raja Negeri itu:

Dan dengan syarat selanjutnya bahawa Fasal ini tidaklah terpakai bagi hal jika seseorang anggota mana-mana perkhidmatan yang disebut dalam Fasal ini dibuang kerja atau diturunkan pangkat oleh sesuatu pihak berkuasa menurut sesuatu kuasa yang diwakilkan kepadanya oleh suatu Suruhanjaya yang baginya Bahagian ini terpakai, dan proviso ini hendaklah disifatkan telah menjadi suatu bahagian perlu Fasal ini mulai dari Hari Merdeka.

(2) Tiada seorang pun anggota sesuatu perkhidmatan yang disebut terdahulu boleh dibuang kerja atau diturunkan pangkat tanpa diberi peluang yang munasabah untuk didengar:

Dengan syarat bahawa Fasal ini tidaklah terpakai bagi hal yang berikut:

(a) jika seseorang anggota sesuatu perkhidmatan itu dibuang kerja atau diturunkan pangkat atas alasan kelakuan yang berkenaan dengannya suatu pertuduhan jenayah telah dibuktikan terhadap anggota itu; atau
(b) jika pihak berkuasa yang diberi kuasa untuk membuang kerja atau menurunkan pangkat seseorang anggota sesuatu perkhidmatan itu berpuas hati bahawa kerana sesuatu sebab, yang hendaklah direkodkan oleh pihak berkuasa itu secara bertulis, kehendak Fasal ini tidaklah semunasabahnya dapat dilaksanakan; atau
(c) jika Yang di-Pertuan Agong, atau, dalam hal seseorang anggota perkhidmatan awam sesuatu Negeri, Raja atau Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri itu, berpuas hati bahawa demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya tidaklah suai manfaat kehendak Fasal ini dijalankan; atau
(d) jika apa-apa perintah tahanan, pengawasan, kediaman terhad, buang negeri atau pengusiran telah dibuat terhadap seseorang anggota sesuatu perkhidmatan itu, atau jika apa-apa bentuk sekatan atau pengawasan dengan bon atau selainnya telah dikenakan ke atas seseorang anggota yang sedemikian, di bawah mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, pencegahan jenayah, tahanan pencegahan, kediaman terhad, buang negeri, imigresen, atau perlindungan wanita dan gadis:
Dengan syarat selanjutnya bahawa bagi maksud Perkara ini, jika perkhidmatan seseorang anggota sesuatu perkhidmatan itu ditamatkan demi kepentingan awam di bawah mana-mana undang-undang yang sedang berkuat kuasa atau di bawah mana-mana peraturan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (2) Perkara 132, penamatan perkhidmatan itu tidaklah merupakan pembuangan kerja sama ada atau tidak keputusan untuk menamatkan perkhidmatan itu dikaitkan dengan salah laku atau pelaksanaan kewajipan dengan tidak memuaskan oleh anggota itu berhubung dengan jawatannya, atau akibat penamatan itu melibatkan unsur hukuman; dan proviso ini hendaklah disifatkan telah menjadi suatu bahagian perlu Perkara ini mulai dari Hari Merdeka.

(3) Tanpa persetujuan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, tiada seorang pun anggota mana-mana perkhidmatan yang disebut dalam perenggan (c), (f) atau (g) Fasal (1) Perkara 132 boleh dibuang kerja atau diturunkan pangkat atau menanggung apa-apa langkah tatatertib yang lain kerana apa-apa jua yang dilakukan atau ditinggalkan daripada dilakukan olehnya pada menjalankan sesuatu fungsi kehakiman yang diberikan kepadanya oleh undang-undang.

Perkara 136. Layanan saksama bagi pekerja Persekutuan.

Tertakluk kepada terma dan syarat pekerjaan mereka, semua orang, walau apa pun rasnya, dalam gred yang sama dalam perkhidmatan Persekutuan hendaklah diberi layanan yang saksama.

Perkara 137. Majlis Angkatan Tentera.

(1) Maka hendaklah ada suatu Majlis Angkatan Tentera yang hendaklah bertanggungjawab di bawah kuasa am Yang di-Pertuan Agong bagi pemerintahan, tatatertib dan pentadbiran angkatan tentera, dan segala perkara lain yang berhubungan dengannya selain perkara yang berhubungan dengan penggunaan angkatan tentera bagi maksud operasi.

(2) Fasal (1) berkuat kuasa tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan, dan mana-mana undang-undang itu boleh membuat peruntukan bagi peletakhakan apa-apa fungsi mengenai angkatan tentera pada Majlis Angkatan Tentera.

(3) Majlis Angkatan Tentera hendaklah terdiri daripada anggota yang berikut, iaitu:

(a) Menteri yang pada masa ini dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pertahanan, yang hendaklah menjadi Pengerusi;
(b) seorang anggota yang mewakili Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, yang hendaklah dilantik oleh Majlis Raja-Raja;
(c) Panglima Angkatan Tentera yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong;
(d) seorang anggota preman, iaitu orang yang melaksanakan tugas jawatan Ketua Setiausaha Pertahanan, yang hendaklah bertindak sebagai Setiausaha Majlis Angkatan Tentera;
(e) dua orang pegawai turus kanan Angkatan Tentera Persekutuan yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong;
(f) seorang pegawai kanan Tentera Laut Persekutuan yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong;
(g) seorang pegawai kanan Tentera Udara Persekutuan yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong;
(h) dua orang anggota tambahan, jika ada, sama ada anggota tentera atau preman, yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

(4) Majlis Angkatan Tentera boleh bertindak walaupun ada kekosongan dalam keanggotaannya dan, tertakluk kepada Perlembagaan ini dan kepada undang-undang persekutuan, boleh membuat peruntukan bagi semua atau mana-mana perkara yang berikut:

(a) penyusunan kerjanya dan cara bagaimana fungsinya akan dilaksanakan, dan penyimpanan rekod dan minit;
(b) tugas dan tanggungjawab anggota Majlis itu masing-masing, termasuk pewakilan mana-mana kuasa atau tugasnya kepada mana-mana anggota Majlis itu;
(c) rundingan yang diadakan oleh Majlis itu dengan orang selain anggotanya;
(d) tatacara yang akan diikuti oleh Majlis itu pada menjalankan urusannya (termasuk menetapkan kuorum), melantik, mengikut pilihannya, seorang naib pengerusi daripada kalangan anggotanya, dan fungsi naib pengerusi;
(e) apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh Majlis itu perlu atau suai manfaat dibuat peruntukan mengenainya untuk melaksanakan fungsinya dengan lebih baik.

Perkara 138. Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

(1) Maka hendaklah ada suatu Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan yang bidang kuasanya hendaklah meliputi semua anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan.

(2) Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan hendaklah terdiri daripada—

(a) Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, yang hendaklah menjadi Pengerusi;
(b) Peguam Negara atau, jika Peguam Negara ialah seorang ahli Parlimen atau dilantik tidak daripada kalangan anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, Peguam Cara Negara; dan
(c) seorang anggota lain atau lebih yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, daripada kalangan orang yang menjadi atau pernah menjadi, atau yang layak menjadi, hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi atau yang pernah menjadi hakim Mahkamah Besar sebelum Hari Malaysia.

(3) Orang yang menjadi setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam hendaklah juga menjadi setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

Perkara 139. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

(1) Maka hendaklah ada suatu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang bidang kuasanya hendaklah, tertakluk kepada Perkara 144, meliputi semua orang yang menjadi anggota perkhidmatan-perkhidmatan yang disebut dalam perenggan (c) dan (f) Fasal (1) Perkara 132, selain Ketua Audit Negara, meliputi anggota perkhidmatan-perkhidmatan awam Negeri Melaka dan Negeri Pulau Pinang, dan, setakat yang diperuntukkan oleh Fasal (2), meliputi anggota perkhidmatan awam mana-mana Negeri lain.

(1A) Bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam hendaklah meliputi—

(a) anggota perkhidmatan awam am Persekutuan yang diambil kerja dalam sesuatu jabatan persekutuan di Negeri Sabah atau Sarawak;
(b) anggota perkhidmatan awam Negeri Sabah atau Sarawak yang dipinjamkan kepada perkhidmatan awam am Persekutuan; dan
(c) anggota perkhidmatan awam Negeri Sabah atau Sarawak yang berkhidmat dalam jawatan persekutuan atau dalam mana-mana jawatan yang dijadikan jawatan persekutuan di Negeri itu dan yang telah membuat pilihan untuk menjadi anggota perkhidmatan awam am Persekutuan.

(2) Badan Perundangan mana-mana Negeri, selain Melaka dan Pulau Pinang, boleh melalui undang-undang memperluas bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam supaya meliputi semua atau mana-mana orang dalam perkhidmatan awam Negeri itu, tetapi tiada undang-undang yang sedemikian boleh berkuat kuasa lebih awal daripada dua belas bulan dari tarikh undang-undang itu diluluskan; dan jika suatu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri tidak ada ditubuhkan dan menjalankan fungsinya pada bila-bila masa di mana-mana Negeri yang di dalamnya tiada undang-undang sedemikian berkuat kuasa, maka bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam itu hendaklah, jika undang-undang persekutuan memperuntukkan sedemikian, meliputi semua anggota perkhidmatan awam Negeri itu.

(3) Apa-apa peluasan bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang dibuat oleh Badan Perundangan mana-mana Negeri menurut Fasal (2) boleh dibatalkan atau diubahsuaikan melalui suatu undang-undang yang diluluskan oleh Badan Perundangan Negeri itu.

(4) Suruhanjaya Perkhidmatan Awam hendaklah terdiri daripada anggota yang berikut yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menurut budi bicaranya tetapi selepas menimbangkan nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, iaitu, seorang pengerusi, seorang timbalan pengerusi dan tidak kurang daripada empat orang anggota lain; tetapi bilangan anggota lain itu tidak boleh, sehingga diperuntukkan selainnya melalui perintah oleh Yang di-Pertuan Agong, melebihi tiga puluh.

(5) Sama ada pengerusi atau timbalan pengerusi hendaklah, dan kedua-duanya boleh, dilantik daripada kalangan orang yang menjadi anggota mana-mana perkhidmatan awam, atau yang pernah menjadi anggota mana-mana perkhidmatan awam pada bila-bila masa dalam tempoh lima tahun sebaik sebelum tarikh pelantikan pertama mereka.

(6) Seseorang anggota mana-mana perkhidmatan awam yang dilantik menjadi pengerusi atau timbalan pengerusi tidaklah layak memegang apa-apa jawatan selanjutnya dalam perkhidmatan Persekutuan selain sebagai anggota sesuatu Suruhanjaya yang baginya Bahagian ini terpakai.

Perkara 140. Suruhanjaya Pasukan Polis.

(1) Maka hendaklah ada suatu Suruhanjaya Pasukan Polis yang bidang kuasanya hendaklah meliputi semua orang yang menjadi anggota pasukan polis dan yang, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang yang sedia ada, hendaklah bertanggungjawab bagi pelantikan, pengesahan, kemasukan ke dalam perjawatan tetap atau perjawatan berpencen, kenaikan pangkat, pertukaran dan penjalanan kawalan tatatertib ke atas anggota pasukan polis:

Dengan syarat bahawa Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan bagi penjalanan apa-apa kawalan tatatertib ke atas semua atau mana-mana anggota pasukan polis mengikut apa-apa cara dan oleh mana-mana pihak berkuasa yang diperuntukkan dalam undang-undang itu, dan dalam keadaan yang sedemikian, jika pihak berkuasa itu bukan Suruhanjaya itu, kawalan tatatertib yang boleh dijalankan oleh pihak berkuasa itu tidak boleh dijalankan oleh Suruhanjaya itu; dan tiada peruntukan undang-undang itu boleh menjadi tidak sah atas alasan ketidakselarasan dengan mana-mana peruntukan Bahagian ini.

(2) Undang-undang persekutuan boleh membuat peruntukan bagi Suruhanjaya Pasukan Polis menjalankan fungsi lain.

(3) Suruhanjaya Pasukan Polis hendaklah terdiri daripada anggota yang berikut, iaitu:

(a) Menteri yang pada masa ini dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi polis, yang hendaklah menjadi Pengerusi;
(b) pegawai polis yang memerintah secara menyeluruh pasukan polis;
(c) orang yang melaksanakan tugas jawatan Ketua Setiausaha Kementerian di bawah Menteri yang pada masa ini dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi polis;
(d) seorang anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong;
(e) tidak kurang daripada dua tetapi tidak lebih daripada enam orang anggota lain, yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

(4) Yang di-Pertuan Agong boleh menetapkan sebagai jawatan khas jawatan Ketua Polis Negara, Timbalan Ketua Polis Negara dan apa-apa jawatan lain dalam pasukan polis yang pada pendapatnya adalah serupa atau lebih tinggi tarafnya; dan pelantikan bagi menyandang mana-mana jawatan yang ditetapkan sedemikian tidaklah boleh dibuat mengikut Fasal (1) tetapi hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas syor Suruhanjaya Pasukan Polis.

(5) Sebelum bertindak mengikut Fasal (4) atas syor Suruhanjaya Pasukan Polis, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menimbangkan nasihat Perdana Menteri, dan boleh merujukkan syor itu balik satu kali kepada Suruhanjaya itu untuk ditimbangkan semula.

(6) Suruhanjaya Pasukan Polis boleh membuat peruntukan bagi semua atau mana-mana perkara yang berikut:

(a) penyusunan kerjanya dan cara bagaimana fungsinya akan dilaksanakan, dan penyimpanan rekod dan minit;
(b) tugas dan tanggungjawab anggota Suruhanjaya itu masing-masing, termasuk pewakilan kuasa atau tugasnya kepada mana-mana anggota Suruhanjaya itu atau pasukan polis atau lembaga pegawai pasukan polis atau suatu jawatankuasa yang terdiri daripada anggota Suruhanjaya dan juga pasukan itu;
(c) rundingan yang diadakan oleh Suruhanjaya itu dengan orang selain anggotanya;
(d) tatacara yang akan diikuti oleh Suruhanjaya itu pada menjalankan urusannya (termasuk menetapkan kuorum), melantik, mengikut pilihannya, seorang naib pengerusi daripada kalangan anggotanya, dan fungsi naib pengerusi;
(e) apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh Suruhanjaya itu perlu atau suai manfaat peruntukan mengenainya untuk melaksanakan fungsinya dengan lebih baik.

(7) Dalam Perkara ini "pertukaran" tidak termasuk pertukaran tanpa perubahan pangkat dalam pasukan polis.

Perkara 141. (Suruhanjaya Perkhidmatan Kereta Api - Dimansuhkan).

(Dimansuhkan).

Perkara 141A. Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan.

(1) Maka hendaklah ada suatu Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan yang bidang kuasanya hendaklah, tertakluk kepada Perkara 144, meliputi semua orang yang mejadi anggota perkhidmatan yang disebut dalam perenggan (h) Fasal (1) Perkara 132.

(2) Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan hendaklah terdiri daripada anggota yang berikut yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menurut budi bicaranya tetapi selepas menimbangkan nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, iaitu, seorang Pengerusi, seorang Timbalan Pengerusi dan tidak kurang daripada empat orang anggota lain; tetapi bilangan anggota lain itu tidak boleh, sehingga diperuntukkan selainnya melalui perintah oleh Yang di-Pertuan Agong, melebihi lapan[1] orang.

(3) Seseorang anggota mana-mana perkhidmatan awam yang dilantik menjadi Pengerusi atau Timbalan Pengerusi tidaklah layak memegang apa-apa jawatan selanjutnya dalam perkhidmatan Persekutuan selain sebagai anggota sesuatu Suruhanjaya yang baginya Bahagian ini terpakai.

Perkara 142. Peruntukan am yang berhubungan dengan Suruhanjaya.

(1) Tertakluk kepada perenggan (a) Fasal (3) Perkara 140, seseorang ahli mana-mana satu Majlis Parlimen atau Dewan Undangan sesuatu Negeri tidak boleh menjadi atau dilantik menjadi anggota sesuatu Suruhanjaya yang baginya Bahagian ini terpakai.

(2) Tertakluk kepada Fasal (3), seseorang tidaklah boleh dilantik menjadi anggota mana-mana Suruhanjaya yang baginya Bahagian ini terpakai jika dia ialah, dan hendaklah dipecat melalui perintah Yang di-Pertuan Agong jika dia menjadi—

(a) anggota mana-mana perkhidmatan awam;
(b) pegawai atau pekerja mana-mana pihak berkuasa tempatan, atau mana-mana badan, sama ada diperbadankan atau selainnya, atau mana-mana badan atau pihak berkuasa yang ditubuhkan oleh undang-undang bagi maksud awam;
(c) anggota sesuatu kesatuan sekerja atau sesuatu badan atau persatuan yang bergabung dengan sesuatu kesatuan sekerja.

(2A) Sebagai tambahan kepada apa-apa kehilangan kelayakan yang diperuntukkan di bawah Fasal (2), Pengerusi atau Timbalan Pengerusi mana-mana Suruhanjaya yang baginya Bahagian ini terpakai hilang kelayakan untuk memegang jawatan itu jika selepas tiga bulan dari pelantikannya ke jawatan itu atau pada bila-bila masa selepas itu dia ialah atau menjadi anggota mana-mana lembaga pengarah atau lembaga pengurusan, atau pegawai atau pekerja, atau melibatkan diri dalam hal ehwal atau urusan, mana-mana organisasi atau badan, sama ada diperbadankan atau selainnya, atau mana-mana pengusahaan komersil, perindustrian atau pengusahaan lain, sama ada atau tidak dia menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya:

Dengan syarat bahawa kehilangan kelayakan itu tidaklah terpakai jika organisasi atau badan itu menjalankan apa-apa kerja kebajikan atau sukarela atau tujuan yang berfaedah kepada masyarakat atau mana-mana bahagiannya, atau apa-apa kerja atau tujuan lain yang bersifat khairat atau sosial, dan anggota itu tidak menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya.

(3) Fasal (2) tidak terpakai bagi anggota ex officio; dan seorang anggota mana-mana perkhidmatan awam boleh dilantik untuk menjadi dan boleh terus menjadi Pengerusi atau Timbalan Pengerusi bagi mana-mana Suruhanjaya tersebut dan jika dia bercuti sebelum bersara, dia boleh dilantik menjadi anggota lain bagi mana-mana Suruhanjaya tersebut. (3A) Jika, dalam apa-apa tempoh, Pengerusi mana-mana Suruhanjaya tersebut telah diberi kebenaran bercuti oleh Yang di-Pertuan Agong atau tidak dapat menunaikan fungsinya kerana dia tidak ada di dalam Persekutuan, sakit atau apa-apa sebab lain, maka Timbalan Pengerusi Suruhanjaya itu hendaklah menunaikan fungsi Pengerusi selama tempoh itu, dan jika Timbalan Pengerusi juga tidak ada atau tidak dapat menunaikan fungsi itu, maka seorang anggota Suruhanjaya itu boleh dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong untuk menunaikan fungsi Pengerusi selama tempoh itu.

(4) Jika, dalam apa-apa tempoh, seseorang anggota mana-mana Suruhanjaya tersebut telah diberi kebenaran bercuti oleh Yang di-Pertuan Agong atau tidak dapat menunaikan fungsinya sebagai seorang anggota kerana dia tidak ada di dalam Persekutuan, sakit atau apa-apa sebab lain, maka—

(a) sekiranya dia seorang anggota dilantik, Yang di-Pertuan Agong boleh melantik mana-mana orang yang layak dilantik untuk mengambil tempatnya bagi menjalankan fungsinya selama tempoh itu, dan pelantikan orang itu hendaklah dibuat mengikut cara yang sama sebagaimana pelantikan anggota yang fungsinya hendaklah dijalankan olehnya itu;
(b) sekiranya dia seorang anggota ex officio, mana-mana orang yang diberi kuasa di bawah undang-undang persekutuan untuk melaksanakan fungsi jawatannya boleh selama tempoh itu melaksanakan juga fungsinya sebagai seorang anggota Suruhanjaya itu.

(5) Sesuatu Suruhanjaya yang baginya Bahagian ini terpakai boleh bertindak walaupun ada sesuatu kekosongan dalam keanggotaannya, dan tiada prosiding sesuatu Suruhanjaya itu boleh menjadi tidak sah semata-mata oleh sebab seseorang yang tidak berhak hadir telah mengambil bahagian dalam prosiding itu.

(6) Sebelum menjalankan fungsinya sebagai seorang anggota mana-mana Suruhanjaya tersebut atau di bawah Fasal (4) mana-mana orang selain seorang anggota ex officio hendaklah mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia yang dinyatakan dalam Jadual Keenam di hadapan seorang hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi.

Perkara 143. Syarat-syarat perkhidmatan anggota Suruhanjaya.

(1) Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Fasal (2) Perkara 142, seseorang anggota sesuatu Suruhanjaya yang baginya Bahagian ini terpakai, selain anggota ex officio—

(a) hendaklah dilantik bagi tempoh lima tahun atau, jika Yang di-Pertuan Agong yang bertindak menurut budi bicaranya tetapi selepas menimbangkan nasihat Perdana Menteri dalam sesuatu hal tertentu menentukan sedemikian, bagi apa-apa tempoh yang lebih singkat yang ditentukan sedemikian olehnya;
(b) boleh, melainkan jika hilang kelayakan, dilantik semula dari semasa ke semasa; dan
(c) boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya tetapi tidak boleh dipecat daripada jawatan kecuali atas alasan dan mengikut cara yang sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan.

(2) Parlimen hendaklah melalui undang-undang membuat peruntukan bagi saraan mana-mana anggota Suruhanjaya tersebut selain seseorang anggota yang peruntukan bagi saraannya sebagai pemegang apa-apa jawatan lain ada dibuat melalui undang-undang persekutuan; dan saraan yang diperuntukkan sedemikian hendaklah dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan.

(3) Saraan dan terma lain jawatan bagi seseorang anggota sesuatu Suruhanjaya yang baginya Bahagian ini terpakai tidak boleh, selepas pelantikannya, diubah menjadi kurang baik baginya.

Perkara 144. Fungsi Suruhanjaya Perkhidmatan.

(1) Tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang yang sedia ada dan kepada peruntukan Perlembagaan ini, menjadi tugas sesuatu Suruhanjaya yang baginya Bahagian ini terpakai untuk melantik, mengesahkan, memasukkan ke dalam perjawatan tetap atau perjawatan berpencen, menaikkan pangkat, menukarkan dan menjalankan kawalan tatatertib ke atas anggota-anggota perkhidmatan atau perkhidmatan-perkhidmatan yang diliputi oleh bidang kuasanya.

(2) Undang-undang persekutuan boleh membuat peruntukan bagi mana-mana Suruhanjaya itu menjalankan fungsi lain.

(3) Yang di-Pertuan Agong boleh menetapkan sebagai jawatan khas apa-apa jawatan yang dipegang oleh ketua atau timbalan ketua sesuatu jabatan atau oleh seseorang pegawai yang pada pendapatnya adalah serupa tarafnya; dan pelantikan bagi menyandang mana-mana jawatan yang ditetapkan sedemikian tidak boleh dibuat mengikut Fasal (1) tetapi hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas syor Suruhanjaya yang bidang kuasanya meliputi perkhidmatan yang dalamnya jawatan itu dipegang.

(4) Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri boleh menetapkan sebagai jawatan khas apa-apa jawatan dalam perkhidmatan awam Negerinya yang dipegang oleh ketua atau timbalan ketua sesuatu jabatan atau oleh seseorang pegawai yang pada pendapatnya adalah serupa tarafnya; dan pelantikan bagi menyandang mana-mana jawatan yang ditetapkan sedemikian tidak boleh dibuat mengikut Fasal (1) tetapi hendaklah dibuat oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri atas syor Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (atau, jika di dalam Negeri itu ada suatu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri, atas syor Suruhanjaya itu).

(5) Sebelum bertindak, mengikut Fasal (3) atau (4), atas syor Suruhanjaya yang disebut dalam Fasal itu—

(a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah menimbangkan nasihat Perdana Menteri; dan
(b) Raja atau Yang di-Pertua Negeri hendaklah menimbangkan nasihat Ketua Menteri Negerinya,

dan boleh merujukkan syor itu balik satu kali kepada Suruhanjaya itu untuk ditimbangkan semula.

(5A) Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam Fasal (5B), undang-undang persekutuan dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang itu, peraturan-peraturan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong boleh, walau apa pun peruntukan Fasal (1) Perkara 135, membuat peruntukan bagi mana-mana pegawai dalam sesuatu perkhidmatan yang diliputi oleh bidang kuasa Suruhanjaya yang baginya Bahagian ini terpakai, atau bagi mana-mana lembaga pegawai itu, menjalankan mana-mana fungsi Suruhanjaya itu di bawah Fasal (1):

Dengan syarat bahawa—

(a) tiada undang-undang atau peraturan sedemikian boleh membuat peruntukan bagi mana-mana pegawai atau lembaga pegawai itu menjalankan apa-apa kuasa membuat pelantikan pertama kepada perjawatan tetap atau perjawatan berpencen, atau apa-apa kuasa kenaikan pangkat (selain kenaikan pangkat bagi menyandang jawatan memangku); dan
(b) mana-mana orang yang terkilan dengan penjalanan mana-mana kuasa kawalan tatatertib oleh mana-mana pegawai atau lembaga pegawai itu boleh merayu kepada Suruhanjaya dalam masa dan mengikut cara yang ditetapkan oleh mana-mana undang-undang atau peraturan-peraturan, dan Suruhanjaya boleh membuat apa-apa perintah yang difikirkannya adil mengenainya.

(5B) (i) Walau apa pun peruntukan Fasal (1) Perkara 135 dan Perkara 139 dan Perkara 141A, semua kuasa dan fungsi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam atau Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan yang ditubuhkan di bawah Perkara 139 dan Perkara 141A, selain kuasa membuat pelantikan pertama kepada perjawatan tetap atau perjawatan berpencen, boleh dijalankan oleh suatu lembaga yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

(ii) Mana-mana orang yang terkilan dengan penjalanan mana-mana kuasa atau fungsi yang disebut terdahulu itu oleh lembaga itu boleh merayu kepada suatu Lembaga Rayuan yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
(iii) Yang di-Pertuan Agong boleh melalui peraturan-peraturan membuat peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengan pelantikan anggota lembaga atau Lembaga Rayuan itu, dan tatacara yang hendaklah diikuti olehnya di bawah Fasal ini.
(iv) Jika Yang di-Pertuan Agong telah melantik lembaga di bawah perenggan (i) Fasal ini bagi maksud menjalankan mana-mana kuasa atau fungsi yang disebut di bawah perenggan itu, maka kuasa atau fungsi itu hendaklah terhenti daripada dijalankan oleh Suruhanjaya tersebut selagi kuasa atau fungsi itu masih menjadi kuasa atau fungsi yang hendaklah dijalankan oleh lembaga itu.

(6) Sesuatu Suruhanjaya yang baginya Bahagian ini terpakai boleh mewakilkan mana-mana fungsinya di bawah Fasal (1) berkenaan dengan apa-apa gred perkhidmatan kepada mana-mana pegawai dalam sesuatu perkhidmatan yang diliputi oleh bidang kuasanya, atau kepada mana-mana lembaga pegawai itu yang dilantik olehnya, dan pegawai atau lembaga itu hendaklah menjalankan fungsi itu di bawah arahan dan kawalan Suruhanjaya itu.

(6A) Berkenaan dengan anggota perkhidmatan awam am Persekutuan yang diambil kerja dalam jawatan tambahan kepada angkatan tentera atau mana-mana daripadanya atau jawatan tambahan kepada pasukan polis, atau berkenaan dengan mana-mana gred anggota perkhidmatan itu yang diambil kerja sedemikian, fungsi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam boleh, di bawah Fasal (5A) atau (6), dijadikan boleh dijalankan oleh seorang pegawai atau suatu lembaga pegawai daripada angkatan tentera atau pasukan polis, mengikut mana-mana yang berkenaan, seolah-olah pegawai atau lembaga pegawai itu ialah anggota pekhidmatan awam am Persekutuan.

(7) Dalam Perkara ini "pertukaran" tidak termasuk pertukaran tanpa perubahan pangkat dalam sesuatu jabatan Kerajaan.

(8) Sesuatu Suruhjaya yang baginya Bahagian ini terpakai boleh, tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan, membuat kaedah-kaedah mengawal selia tatacaranya dan menentukan bilangan anggotanya untuk membentuk kuorom.

Perkara 145. Peguam Negara.

(1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat Perdana Menteri, melantik seorang yang layak menjadi hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara bagi Persekutuan.

(2) Menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang, dan melaksanakan apa-apa tugas lain yang bersifat undang-undang, yang dari semasa ke semasa dirujukkan atau ditugaskan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri, dan menunaikan fungsi yang diberikan kepadanya oleh atau di bawah Perlembagaan ini atau mana-mana undang-undang bertulis yang lain.

(3) Peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.

(3A) Undang-undang persekutuan boleh memberi Peguam Negara kuasa untuk menentukan mahkamah yang di dalamnya atau tempat apa-apa prosiding yang dia mempunyai kuasa untuk memulakannya di bawah Fasal (3) itu hendaklah dimulakan atau mahkamah yang kepadanya prosiding itu hendaklah dipindahkan.

(4) Pada melaksanakan tugasnya Peguam Negara berhak untuk didengar di dalam mana-mana mahkamah atau tribunal di Persekutuan dan hendaklah diberi keutamaan daripada mana-mana orang lain yang hadir di hadapan mahkamah atau tribunal itu.

(5) Tertakluk kepada Fasal (6), Peguam Negara hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya dan, melainkan jika dia ialah anggota Jemaah Menteri, hendaklah menerima apa-apa saraan yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong.

(6) Orang yang memegang jawatan Peguam Negara sebaik sebelum permulaan kuat kuasa Perkara ini hendaklah terus memegang jawatan itu atas terma dan syarat yang tidak kurang baiknya daripada terma dan syarat yang terpakai baginya sebaik sebelum permulaan kuat kuasa Perkara ini dan tidaklah boleh dipecat daripada jawatan kecuali atas alasan dan mengikut cara yang sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan.

Perkara 146. Laporan Suruhanjaya.

Setiap Suruhanjaya yang baginya Bahagian ini terpakai hendaklah membuat suatu laporan tahunan mengenai kegiatannya kepada Yang di-Pertuan Agong dan salinan laporan itu hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen.

(2) Suruhanjaya Perkhidmatan Awam hendaklah menghantar satu salinan tiap-tiap laporan yang dibuat di bawah Perkara ini kepada Raja atau Yang di-Pertua Negeri setiap Negeri yang anggota perkhidmatan awamnya diliputi oleh bidang kuasa Suruhanjaya itu, dan Raja atau Yang di-Pertua Negeri itu hendaklah membentangkan laporan itu di hadapan Dewan Undangan.

Perkara 146A. (Cawangan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan di Negeri-Negeri Borneo - Dimansuhkan).

(Dimansuhkan).

Perkara 146B. (Cawangan-cawangan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam setiap Negeri Sabah atau Sarawak - Dimansuhkan).

(Dimansuhkan).

Perkara 146C. (Peruntukan tambahan tentang cawangan-cawangan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam-Dimansuhkan).

(Dimansuhkan).

Perkara 146D. Bidang kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis ke atas anggota yang dipinjamkan daripada perkhidmatan Negeri di Negeri Sabah dan Sarawak.

Walau apa pun Fasal (2) Perkara 134, bidang kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis hendaklah meliputi anggota perkhidmatan awam Negeri Sabah atau Sarawak yang dipinjamkan kepada pasukan polis; dan bagi maksud Suruhanjaya Pasukan Polis mereka adalah disifatkan sebagai anggota pasukan polis.

(2) (Dimansuhkan).

(3) (Dimansuhkan).

Perkara 147. Perlindungan hak pencen.

(1) Undang-undang yang terpakai bagi apa-apa pencen, ganjaran atau elaun lain yang sepertinya (dalam Perkara ini disebut "imbuhan") yang diberikan kepada seseorang anggota mana-mana perkhidmatan awam, atau kepada balunya, anaknya, orang tanggungannya atau wakil dirinya, hendaklah undang-undang yang berkuat kuasa pada hari yang berkaitan atau apa-apa undang-undang kemudiannya yang tidak kurang baiknya kepada orang yang diberi imbuhan itu.

(2) Bagi maksud Perkara ini hari yang berkaitan—

(a) berhubung dengan sesuatu imbuhan yang diberikan sebelum Hari Merdeka, ialah tarikh imbuhan itu diberikan;
(b) berhubung dengan sesuatu imbuhan yang diberikan selepas Hari Merdeka kepada atau berkenaan dengan mana-mana orang yang menjadi anggota mana-mana perkhidmatan awam sebelum Hari Merdeka, ialah tiga puluh hari bulan Ogos tahun seribu sembilan ratus lima puluh tujuh;
(c) berhubung dengan sesuatu imbuhan yang diberikan kepada atau berkenaan dengan mana-mana orang yang menjadi anggota mana-mana perkhidmatan awam bagi pertama kali pada atau selepas Hari Merdeka, ialah tarikh dia pertama kali menjadi anggota sedemikian.

(3) Bagi maksud Perkara ini, jika undang-undang yang terpakai bagi sesuatu imbuhan bergantung pada pilihan orang yang diberi imbuhan itu, undang-undang yang dipilih olehnya itu hendaklah dikira lebih baik bagi dirinya daripada mana-mana undang-undang lain yang mungkin dipilih olehnya.

Perkara 148. Tafsiran Bahagian X.

(1) Sebutan dalam Perlembagaan ini mengenai sesuatu Suruhanjaya yang baginya Bahagian ini terpakai ialah sebutan mengenai mana-mana Suruhanjaya yang ditubuhkan di bawah Perkara 138 hingga 141A, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain.

(2) Dalam Bahagian ini "anggota ex officio" termasuklah Menteri dan hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi dan "Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri", berhubung dengan mana-mana Negeri, ertinya sesuatu Suruhanjaya yang menjalankan fungsi berkenaan dengan anggota-anggota perkhidmatan awam Negeri itu dan yang bersamaan taraf dan bidang kuasanya dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

  1. Sekarang "enam belas"–lihat P.U. (A) 169/2001.