Perlembagaan Persekutuan Malaysia/Kecualian bagi Kedaulatan, dsb., Raja-Raja

From Wikisource
Jump to: navigation, search

Perkara 181. Kecualian bagi kedaulatan, dsb., Raja-Raja.

(1) Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini, kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja dan prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Pembesar-Pembesar Memerintah Negeri Sembilan di bawah wilayah-wilayah mereka masing-masing sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga kini adalah tetap dan tidak terjejas.

(2) Tiada apa-apa jua prosiding pun boleh dibawa di dalam mana-mana mahkamah terhadap Raja sesuatu Negeri atas sifat peribadinya kecuali di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV.

Perkara 182. Mahkamah Khas.

(1) Maka hendaklah ada suatu mahkamah yang hendaklah dikenali sebagai Mahkamah Khas dan hendaklah terdiri daripada Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, yang hendaklah menjadi Pengerusi, Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi, dan dua orang lain yang memegang atau pernah memegang jawatan sebagai hakim Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Tinggi yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja.

(2) Apa-apa prosiding oleh atau terhadap Yang di-Pertuan Agong atau Raja sesuatu Negeri atas sifat peribadinya hendaklah dibawa di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Fasal (1).

(3) Mahkamah Khas hendaklah mempunyai bidang kuasa khusus untuk membicarakan segala kesalahan yang dilakukan di Persekutuan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Raja sesuatu Negeri dan segala kes sivil oleh atau terhadap Yang di-Pertuan Agong atau Raja sesuatu negeri walau di mana-mana pun kausa tindakan berbangkit.

(4) Mahkamah Khas hendaklah mempunnyai bidang kuasa dan kuasa-kuasa yang sama seperti yang terletak hak pada mahkamah-mahkamah bawahan, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan melalui Perlembagaan ini atau mana-mana undang-undang persekutuan dan hendaklah mempunyai pejabat pendaftarannya di Kuala Lumpur.

(5) Sehingga Parlimen, melalui undang-undang, membuat peruntukan khas yang berlawanan berkenaan dengan tatacara (termasuk pendengaran prosiding secara tertutup) dalam kes-kes sivil atau jenayah undang-undang yang mengawal selia keterangan dan pembuktian dalam prosiding sivil dan jenayah, maka amalan dan tatacara yang terpakai dalam mana-mana Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan hendaklah terpakai dalam mana-mana prosiding di dalam Mahkamah Khas.

(6) Prosiding di dalam Mahkamah Khas hendaklah diputuskan mengikut pendapat majoriti anggota dan keputusannya adalah muktamad dan konklusif dan tidak boleh dicabar atau dipertikaikan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan.

(7) Yang di-Pertuan Agong boleh, atas nasihat Ketua Hakim Negara, membuat apa-apa kaedah yang difikirkannya perlu atau suai manfaat untuk membuat peruntukan bagi penghapusan apa-apa jua pun kesulitan atau anomali dalam mana-mana undang-undang bertulis atau dalam perlaksanaan apa-apa fungsi, perjalanan apa-apa kuasa, penunaian apa-apa kewajipan, atau pembuatan apa-apa perbuatan, di bawah mana-mana undang-undang bertulis, yang mungkin disebabkan oleh Perkara ini; dan bagi maksud itu kaedah-kaedah itu boeh membuat apa-apa jua pun pengubahsuaian, adaptasi, pengubahan, pertukaran atau pindaan kepada mana-mana undang-undang bertulis.