Malam-malam di Peshawar : Sessi 2

From Wikisource
Jump to navigation Jump to search

SESSI 2 (Jumaat malam, 24hb Rejab 1345 H)

Al-Hafiz: Saya sungguh tertarik dengan perbualan yang penuh pengajaran berkenaan dengan keturunan kamu. Saya mengaku bahawa kamu adalah keturunan Nabi, tetapi saya merasa hairan bagaimana seorang yang terpelajar seperti kamu boleh dikuasai pengaruh musuh yang sungguh menghinakan. Setelah kamu tinggalkan laluan keturunan kamu yang gemilang, kini kamu menerima jalan mereka yang kafir dari Iran. Apa yang saya maksudkan adalah ikutan musuh yang bodoh, iaitu bida'ah yang telah masuk ke dalam Islam melalui Israel.

Shirazi: Dengan hormatnya, sila terangkan apa maksud kamu?

PENGERTIAN YANG SALAH MENGENAI ASALNYA GOLONGAN SYIAH

Al-Hafiz: Kesemua sejarah Israel telah dicemari dengan kepalsuan. Abdullah Bin Saba, Ka’abul Ahbar, Wahhab Ibnu Munabba, dan lainnya yang dikatakan telah memeluk Islam dan berpura-pura menerima hadith Nabi dan kemudiannya telah menimbulkan banyak keraguan di antara Muslim.

Khalifah yang ketiga, Uthman Bin Affan, telah memburu mereka, dan mereka lari ke Mesir, di sana mereka menubuhkan satu mazhab yang dipanggil Syiah. Mereka menyebarkan laporan yang salah mengenai Khalifah Uthman dan memalsukan hadith, sehinggakan kepada bahawa Nabi telah melantik Ali sebagai Khalifah dan juga Imam. Dengan tertubuhnya mazhab ini, maka berlakulah kekejaman dengan meluas, yang membawa kepada terbunuhnya Khalifah Uthman dan penerimaan [dengan cara seumpama rampasan] kedudukan Khalifah oleh Ali. Kumpulan yang memusuhi Uthman dipandang tinggi oleh Ali. Semasa Khalifah Bani Umayyah, apabila ahli keluarga Ali dan pengikutnya dibunuh, kumpulan ini telah menyembunyikan diri. Masih ada, sebilangan kecil dari mereka seperti Salman Farisi, Abu Zar Ghifari dan Ammar Bin Yasir, yang menyokong perjuangan dan menyeru manusia kepada Ali Karamallahu wajhah akan tetapi Ali sendiri tidak redha kepada usaha ini. Perjuangan ini berterusan sehinggalah kepada pemerintahan Harun ar-Rashid, dan terutama sekali anaknya, Ma’mun ar-Rashid Abbasi, yang mengalahkan abangnya dengan pertolongan orang Iran, dan kemudiannya mereka menyebarkan pendapat bahawa Ali lah yang lebih utama dari lain-lain Khalifah. Orang-orang Iran bermusuhan dengan orang-orang Arab yang telah menakluki mereka, kini telah mendapat peluang untuk mencabar orang-orang Arab atas dasar agama. Puak Syiah menjadi kuat semasa pemerintahan Dailamit dan akhirnya kesultanan Safavid mendapat restu. Maka dari sinilah mereka secara rasmi dikenali sebagai kumpulan Syiah. Penyembah api Iran juga memanggil diri mereka Syiah.

Secara ringkas, golongan Syiah telah diasaskan oleh Yahudi, Abdullah Bin Saba. Jika tidak, tiada perkataan seperti ‘Syiah’ di dalam Islam. Datuk kamu, Nabi Allah, benci terhadap perkataan itu. Bahkan golongan Syiah adalah sebahagian dari kepercayaan Yahudi.

Saya hairan mengapa kamu meninggalkan jalan yang benar dari keturunan kamu dan mengikuti jalan orang-orang sebelum kamu yang mengamalkan cara Yahudi. Kamu harus mengikuti Al-Quran yang suci dan juga contoh datuk kamu Nabi Allah.

MUSTAHIL MENGAITKAN ABDULLAH BIN SABA’ DENGAN SYIAH

Shirazi: Adalah pelik ulama seperti kamu telah mengasaskan hujahnya di atas landasan yang palsu. Tidak ada makna langsung bagi kamu untuk mengaitkan nama Abdullah Bin Saba dengan Syiah. Abdullah Bin Saba adalah seorang Yahudi, dan menurut dari punca Syiah, dia adalah seorang munafik yang dilaknat dengan kerasnya. Jika terdapat di beberapa ketika dia kelihatan seperti sahabat kepada Ali, jadi apakah hubungan yang dia ada dengan Syiah? Jika seorang pencuri memakai baju seorang ulama, naik ke atas mimbar bersyarah dan merosakkan ajaran Islam, adakah kamu akan meninggalkan untuk belajar dan memanggil semua ulama pencuri?

Yang sebenarnya Islam Syiah bukanlah sekadar sebuah parti politik. Ianya adalah kumpulan agama, yang bukan diasaskan sebagaimana yang kamu kata di masa Khalifah Uthman, tetapi telah disebarkan melalui perkataan dan juga arahan dari Nabi di masa hayatnya. Sedang kamu berhujah dengan mengunakan asas keterangan yang telah dipalsukan oleh pihak musuh, maka saya akan membacakan untuk kamu ayat-ayat dari Al-Quran yang suci dan rekod-rekod dari pengarang-pengarang kamu untuk membuktikan kedudukan Syiah yang sebenar.

PENGERTIAN SYIAH

Syiah sebagaimana yang kamu tahu, bererti ‘pengikut atau penolong.’ Seorang dari ulama kamu yang terulung, Firuzabadi, di dalam kamusnya ‘Qamusul-Lughat’ berkata: ‘Nama ‘Syiah’ umumnya bererti setiap orang yang bersahabat dengan Ali dan Ahlul Baytnya. Nama ini khusus bagi mereka. Maksud yang sama juga telah diberikan oleh Ibnu Athir di dalam ‘Nihayatul-Lughat.’ Menurut dari komentar kamu [Sunni] sendiri, perkataan ‘Syiah’ bererti ‘pengikut Ali Bin Abi Talib’ dan telah digunakan dengan maksud ini semasa hayat Nabi. Malahan Nabi sendiri yang memperkenalkan perkataan Syiah sebagai bermaksud ‘pengikut bagi Ali Bin Abi Talib.’ Dan perkataan ini telah digunakan oleh Nabi yang mana Allah telah mengatakan: ‘Tidaklah dia berbicara dari kehendaknya. Itu tidak lain dari wahyu yang disampaikan.’ [53: 3-4]. Nabi memanggil pengikut Ali, ‘Syiah Ali Yang Berjaya dan Yang Terselamat.’

Al-Hafiz: Mana ada ini semua? Kami tidak pernah melihatnya.

Shirazi: Kami ada melihatnya, dan kami fikir adalah tidak wajar untuk menyembunyikan fakta. Allah melaknat mereka yang menyembunyikan, dan memanggil mereka ahli neraka. Allah berkata: ‘Sesungguhnya mereka yang menyembunyikan bukti yang nyata, dan petunjuk yang Kami wahyukan, dan Kami telah menjelaskannya di dalam kitab untuk manusia, itulah mereka yang Allah laknat, dan yang melaknat akan melaknat mereka [juga].’ [2:159]

‘Sesungguhnya mereka yang menyembunyikan mana-mana bahagian dari kitab yang Allah telah wahyukan dan mengambil untuk itu harga yang sedikit, mereka tidak memakan apa-apa melainkan api ke dalam perut mereka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Pembalasan, tidak juga mensucikan mereka, dan mereka akan mendapat azab yang pedih.’ [2:174]

Al-Hafiz: Jika kami tahu dan menyembunyikannya, saya setuju kami berhak dilaknat sebagaimana yang diwahyukan oleh ayat-ayat yang suci itu.

Shirazi: Saya harap kamu simpankan kedua-dua ayat ini di dalam ingatan kamu supaya ianya tidak akan membiarkan tabiat sebegitu menguasai kamu.

Al-Hafiz Abu Nu’aim Isfahani seorang penyampai hadith yang sangat terkenal dari golongan kamu. Ibnu Khallikan telah memujinya di dalam ‘Wafayatu A’ayan’ sebagai ilmuan yang ulung, dan penyampai hadith yang paling arif. Dia juga mengatakan bahawa 10 Jilid dari ‘Hilyatul Auliya’’ nya adalah di antara yang penuh pengajaran. Salahud-din Khalil Bin Aibak Safdi menulis di dalam ‘Wafiy bil-Wafiyat’ mengenainya, ‘Raja bagi penyampai-penyampai hadith, Al-Hafiz Abu Nu’aim, adalah yang paling berilmu, wara’ dan jujur. Dia mendapat kedudukan yang tinggi di dalam menyampai dan memahami hadith. Kerja-kerjanya yang terulung adalah ‘Hilyatul Auliya’’ di dalam 10 Jilid, mengandungi terbitan yang asal dari dua sahih.’ Muhammad Bin Abdullah Al-Khatib memujinya di dalam ‘Rijalil-Mishkatil-Masabih, dengan mengatakan bahawa dia adalah di antara penyampai hadith yang terulung dan apa yang disampaikan boleh dipercayai.

Secara ringkas, ulama dan penyampai hadith yang terkenal ini, yang menjadi kebanggaan ulama-ulama kamu; telah menyatakan dari Abdullah Bin Abbas melalui rangkaian penyampai-penyampainya di dalam kitab ‘Hilyatul Auliya’’ telah berkata: ‘Apabila ayat Al-Quran yang berikut ini diwahyukan:

‘Bagi mereka yang beriman dan beramal soleh, pastinya mereka adalah makhluk yang terbaik [Khairul-bariyyah]. Balasan mereka di sisi Allah adalah taman-taman yang mengalir air sungai di bawahnya, tinggal di sana selama-lamanya. Allah redha kepada mereka, dan mereka redha kepadaNya, itu adalah untuk mereka yang takut kepada TuhanNya.’ [98:7 – 8], Nabi, telah berkata kepada Ali: "يا علي! هو أنت و شيعتك, تأتي أنت و شيعتك يوم القيامة راضين مرضيين" ‘Wahai Ali, makhluk yang terbaik [Khairul-bariyyah] di dalam ayat yang suci ini merujuk kepada kamu dan pengikut-pengikut kamu [Syiah]. Pada hari dibangkitkan semula, kamu dan Syiah kamu akan diberikan suatu kedudukan yang mana Allah redha dengan kamu, dan kamu akan redha denganNya.’

KEMULIAAN-KEMULIAAN SYIAH

Begitu juga, Abul Muayyid Muwafiq Bin Ahmad Khawarizmi di dalam Bab 17 di ‘Manaqib’nya; Hakim Abul Qasim Abdullah Bin Abdullahil-Haskani di ‘Shawahidut-tanzil’; Muhammad Bin Yusuf Ganji Safie di ‘Kifayatut Talib’ muka surat 119, Sibt Ibnu Jauzi di ‘Tazkirah’ muka surat 31, Munzir Bin Muhammad Bin Munzir dan khususnya Hakim, telah menyatakan bahawa Hakim Abu Abdullah Al-Hafiz [seorang ulama kamu yang termasyhur] berkata: Berdasarkan pada pengakuan dari penyampai yang sampaikan kepada Yazid Bin Sharafil Ansari, penulis bagi Amirul Mu'minin, Ali Bin Abi Talib, bahawa Ali berkata pada saat Nabi akan wafat, Nabi menyandarkan kepalanya ke dada Ali dan bersabda: "ألم تسمع قول الله تعالى }: { ؟ هم أنت و شيعتك, وموعدي وموعدكم الحوض, إذا جثت الأمم للحساب, تدعون غرا محجلين".

‘Adakah tidak kamu dengar ayat suci: ‘Sesungguhnya bagi mereka yang beriman dan beramal soleh, pastinya mereka adalah makhluk yang terbaik.’ [98:7]? Mereka adalah Syiah kamu. Tempat perjumpaanku dan juga kamu adalah di pancutan Kauthar. Apabila semua makhluk berkumpul untuk diadili, wajah kamu akan bercahaya, dan kamu akan dikenali sebagai ketua bagi orang-orang yang wajahnya bercahaya.’

Jalaluddin Suyuti di dalam kitabnya ‘Durrul Manthur menyebutkan Abul Qasim Ali Bin Hasan [yang dikenal umum sebagai Ibnu Asakir Damishqi] yang menyebutkan Jabir Bin Abdullah, seorang sahabat Nabi sebagai berkata bahawa beliau dan yang lainnya duduk bersama Nabi apabila Ali Bin Abi Talib masuk. Nabi bersabda: "والذي نفسي بيده, إن هذا وشيعته لهم الفائزون يوم القيامة". ‘Daku bersumpah denganNya yang menguasai jiwaku bahawa orang ini [Ali] dan Syiahnya akan selamat pada hari yang dibangkitkan.’ Pada masa itulah ayat yang di atas diwahyukan.

Di dalam komentar yang sama, Ibnu Adi menyebut Ibnu Abbas sebagai berkata bahawa apabila ayat yang di atas diwahyukan, Nabi Berkata kepada Amirul Mu'minin, Ali: ", تأتي أنت و شيعتك يوم القيامة راضين مرضيين" ‘Kamu dan pengikutmu [Syiah] akan datang pada hari dibangkitkan dalam keadaan di mana kesemua kamu akan merasa redha dengan Allah, dan Allah akan redha dengan kamu.’

Di dalam Manaqib oleh Khawarizmi, yang berikut ini dinyatakan dari Jabir Bin Abdullah Ansari: ‘Daku ada bersama Nabi apabila Ali masuk untuk bersama kami, di ketika itu Nabi berkata: ‘Saudara daku telah datang kepada kamu.’ Kemudian Baginda berpaling ke Qiblat, Nabi mengambil tangan Ali dan berkata: ‘Demi Dia yang menguasai nykamuu, Ali ini dan Syiahnya akan terselamat pada Hari Pengadilan.’ Kemudian Baginda berkata lagi: ‘Ali adalah yang mula-mula di antara kamu di dalam beriman, yang amat berhati-hati terhadap sumpah Allah, yang paling adil di antara kamu semua ketika membuat keputusan di dalam perkara manusia, yang paling saksama di dalam pengagihan bantuan di antara sesama kamu, dan berkedudukan yang tertinggi di antara kamu di sisi Allah.’ Pada peristiwa itu ayat yang di atas diwahyukan.

Allamah Samhudi di dalam ‘Jawahirul-Iqdain, dengan pengesahan Al-Hafiz JamaluddinZarandi Madani dan Nuruddin Ali Bin Muhammad Bin Ahmad Maliki Makki, dikenali sebagai Ibnu Sabbagh, yang dikatakan sebagai ulama yang terulung dan teologi yang terkenal, di dalam kitabnya Fusulul Muhimmah menyatakan dari Abdullah Bin Abbas bahawa apabila ayat yang di atas diwahyukan, Nabi berkata kepada Ali: "هو أنت و شيعتك, تأتي يوم القيامة أنت وهم راضين مرضيين, ويأتي أعداؤك غضابا مقمحين" ‘Wahai Ali, kamu dan Syiahmulah ‘makhluk terbaik yang dijadikan’ itu. Kamu dan Syiah mu akan datang pada Hari Pembalasan dalam keadaan kesemuanya redha kepada Allah, dan Allah redha dengan kamu. Musuh kamu akan marah, dan tangan mereka akan terikat di leher.’

Di dalam Bab II, ‘Sowaiq’ nya, Ibnu Hajar menyebutkan Al-Hafiz JamaluddinMuhammad Bin Yusuf Zarandi Madani [seorang ulama agung Sunni] sebagai berkata bahawa apabila ayat di atas diwahyukan, Nabi berkata: "هو أنت و شيعتك, تأتي يوم القيامة أنت وهم راضين مرضيين, ويأتي أعداؤك غضابا مقمحين, فقال علي : من عدوي؟ قال النبي : من تبرأ منك ولعنك" ‘Ianya adalah kamu dan Syiahmu. Kamu dan mereka akan datang pada Hari Pembalasan benar-benar bahagia dan redha, sedangkan musuh kamu akan datang dengan kecewa dan tangan terikat.’ Kemudian Ali bertanya, siapakah musuhku? Rasul SAW menjawab, ‘Mereka yang berlepas diri darimu dan melaknatmu.’

Mir Syed Ali Hamadani Safie, seorang ulama kamu, di dalam kitabnya Mawaddatul Qurba, dan ulama terkenal yang anti Syiah, Ibnu Hajar di dalam kitabnya Sowaiq Muhriqah menyatakan dari Ummul Mu’minin Ummu Salamah, isteri Nabi, bahawa Nabi telah berkata: " يا علي, انت وأصحابك في الجنة, أنت وشيعتك في الجنة " ‘Wahai Ali, kamu dan sahabat-sahabatmu akan tinggal di syurga, kamu dan Syiahmu akan tinggal di syurga.’

Ulama yang terkenal dari Khawarizm, Muwaffaq Bin Ahmad, di dalam ‘Manaqib’ nya, Bab 19, menyatakan dari pihak yang boleh dipercayai bahawa Nabi berkata kepada Ali: ‘Di dalam ummah daku kamu adalah seperti Masehi, Isa anak Maryam.’ Kenyataan ini menunjukkan bahawa sebagai pengikut Nabi Isa, ianya terbahagi kepada tiga kumpulan: Yang benar-benar beriman, digelar sebagai Hawariyin, Yang Yahudi, dan yang berlebih-lebihan, yang menyamakannya dengan Allah. Dengan cara yang sama, Muslim akan terbahagi kepada tiga kumpulan. Satu darinya adalah Syiah, yang benar-benar beriman. Kumpulan kedua adalah musuh Ali, dan kumpulan ketiga adalah yang melampaui terhadap kedudukannya.

KEMULIAAN SYIAH DIBUKTIKAN DARI KITAB-KITAB SUNNI

Manusia kemudian bersurai kerana menyahut panggilan azan Isyak. Setelah solat, Mulla Abdul Hayy kembali dengan kitab-kitab dan komentar oleh Suyuti, Mawaddatul Qurba, Musnad Imam Ahmad Bin Hanbal, dan Manaqib oleh Khawarizmi. Dia membaca darinya hadith-hadith yang telah disebutkan oleh Shirazi dalam perbincangan, sekadar untuk mengesahkan. Oleh kerana rujukan beliau tepat, ekspresi [gambaran] wajah mereka-mereka yang di kem bertentangan berubah. Dalam pada itu, di dalam Mawaddatul Qurba, mereka temui sebuah hadith lagi. Nabi bersabda: "يا علي, ستقدم على الله انت و شيعتك راضين مرضيين, ويقدم عليه عدوك غضابا مقمحين" ‘Wahai Ali, pada Hari Pengadilan, kamu dan Syiah mu akan datang kepada Allah benar-benar puas dan bergembira, sedangkan musuh kamu di dalam kemarahan dan tangan terikat.

Shirazi: Ini adalah hujah-hujah yang terang, disokong oleh Kitab Allah, oleh hadith-hadith yang sahih dan juga oleh sejarah. Sokongan dari hujah saya datang dari kitab-kitab ulama kamu yang terkenal. Ini adalah sebagai tambahan kepada penyampaian yang banyak terdapat di dalam kitab-kitab komentari Syiah. Menggunakan kitab-kitab yang ada di hadapan kamu saya boleh membentang terus hujah-hujah yang dapat menyokong pada tajuk yang sedang diperbincangkan sehingga pagi esok, Insyallah; tetapi saya fikir apa yang telah dinyatakan sudah memadai untuk menghapuskan sebarang keraguan terhadap Syiah.

Hadirin yang dihormati, kami Syiah Muhammadi bukanlah Yahudi. Kami adalah pengikut Nabi Muhammad SAW. Permulaan perkataan ‘Syiah’ sebagai bermaksud ‘pengikut Ali’, bukanlah dari yang terlaknat Abdullah Bin Saba, tetapi dari Nabi sendiri. Kami tidak pernah mengikut mana-mana individu tanpa hujah-hujah pengesahan yang amat meyakinkan bagi diri mereka. Kamu katakan bahawa selepas Uthman yang perkataan ‘Syiah’ mula digunakan untuk menunjukkan pengikut Ali. Bahkan, yang sebenarnya, di masa hayat Nabi, sebahagian para sahabat yang terkemuka telah dipanggil Syiah. Al-Hafiz Abu Hatim Ar-Razi di dalam kitabnya Az-Zainat, yang dia kumpulkan untuk menjelaskan maksud perkataan yang tertentu dan rangkap-rangkap yang biasa di kalangan ulama, berkata bahawa perkataan baru yang pertama datang dan diterima umum di dalam Islam di masa hayat Nabi adalah ‘Syiah’. Perkataan ini digunakan ke atas empat sahabat yang terkenal: Abu Zar Ghifari, Salman Farisi, Miqdad Bin Aswad Kindi dan Ammar Bin Yasir. Banyak hadith lagi yang disebutkan menyokong pandangan ini. Sekarang terpulanglah kepada kamu untuk memikirkan bagaimana, pada masa hayat Nabi, empat dari sahabatnya telah digelar Syiah. Jika Nabi tahu ianya adalah suatu bida'ah mengapa Baginda tidak melarang manusia dari menggunakannya? Yang sebenarnya manusia telah mendengar dari Nabi sendiri bahawa pengikut [Syiah] Ali adalah penghuni syurga. Mereka berbangga dengannya dan dengan terang-terangan mengatakan diri mereka Syiah.

DARJAT SALMAN, ABU ZAR, MIQDAD DAN AMMAR

Kamu mengatakan satu hadith dari kata-kata Nabi: "أصحابي كالنجوم بأيهم اقتديتم اهتديهم" ‘Sesungguhnya, para sahabat ku adalah umpama bintang; siapa saja dari mereka yang kamu ikuti, kamu akan dipandu dengan betul.’

Abul Fida menulis di dalam sejarahnya bahawa keempat-empat lelaki ini, iaitu para sahabat Nabi, menahan diri dan bersama dengan Ali dari memberikan bai’ah [taat setia] kepada Abu Bakar, pada hari Saqifah. Mengapa kamu tidak menganggap keengganan mereka untuk bai’ah sebagai yang perlu dicontohi? Ulama kamu sendiri telah menulis bahawa mereka dicintai oleh Allah dan Rasulnya. Kami mengikuti mereka, sebagaimana mereka mengikuti Ali. Makanya mengikut dari hadith kamu, kami adalah di jalan yang benar.

Dengan keizinan kamu, dan memandangkan kesuntukan masa, saya berikan kamu beberapa penyampaian di dalam menyokong apa yang saya katakan terhadap mereka ini yang dicintai oleh Allah dan NabiNya. Kedua mereka Abu Nu’aim Isfahani di dalam ‘Hilyatul Auliya’, Jilid 1 muka surat 172, dan Ibnu Hajar Makki di dalam hadith kelima dari empat puluh hadith yang disampaikan di dalam ‘Sowaiq Muhriqah di dalam memuji Ali yang disampaikan dari Tirmizi, dan Hakim dari Buraidah, bahawa Rasul SAW bersabda: "إن الله أمرني بحب أربعة, وأخبرني أنه يحبهم, فقيل : من هم؟ قال صل الله عليه وسلم : علي بن أبي طالب, وأبو ذر والمقداد, وسلمان". ‘Sesungguhnya Allah telah memerintahkan daku untuk mencintai empat orang, dan telah memberitahuku yang Dia juga mencintai mereka.’ Apabila ditanya siapakah mereka, Baginda SAW berkata: ‘Ali Bin Abi Talib, Abu Zar, Miqdad dan Salman.’ Lagi, Ibnu Hajar di dalam hadith no. 39 telah menyatakan dari Tirmizi dan Hakim dari Anas Bin Malik bahawa Nabi berkata: "الجنة تشتاق إلى ثلاثة : علي وعمار وسلمان". ‘Syurga sedang rindu menanti tiga individu ini iaitu Ali, Ammar dan Salman,’.

Tidakkah tindakan sahabat Nabi yang terkenal ini merupakan model [contoh] bagi Muslim lainnya. Tidakkah ianya memalukan pada pandangan kamu, bahawa para sahabat hanya terhad pada mereka yang memegang peranan permainan jahiliah di fitnah Saqifah sahaja, atau yang bersubahat dengannya, sedangkan yang lain, yang menentang strategi di belakang Saqifah telah dilihat sebagai yang tidak boleh dipercayai? Dan jika ianya begitu, maka hadith yang baru kamu sebutkan harus berbunyi: ‘Sesungguhnya, sebahagian dari sahabat daku adalah seumpama bintang……..’

SEBAB-SEBAB IRAN MENERIMA SYIAH

Tidak sepatutnya kamu mengatakan Syiah adalah mazhab politik, dan bahawa penyembah api Iran menerimanya supaya dapat menyelamatkan diri mereka dari penguasaan pemerintah Arab. Kamu telah mengatakannya kerana ikutan secara membuta tuli terhadap orang-orang yang sebelum kamu. Saya telah pun membuktikan bahawa ianya adalah agama Islam, satu-satunya yang telah diperintahkan oleh Nabi terhadap ummahnya, bahkan, mereka, tanpa arahan dari Nabi, telah mendirikan asas bagi Saqifah, mereka inilah ahli politik dan bukannya pengikut keluarga suci Rasulullah SAW.

Telah menjadi sifat terhadap Iran untuk meneliti sesuatu perkara. Apabila mereka telah yakin kebenarannya, mereka menerimanya, sebagaimana mereka menerima Islam ketika mereka ditakluki Arab. Mereka tidak dipaksa untuk melakukannya. Mereka melepaskan sembahan api dan memeluk Islam dengan ikhlas. Begitu juga, apabila mereka diyakinkan dengan logik dan dengan khidmat-khidmat Ali yang berharga, mereka menerima Syiah. Berlawanan dengan apa yang disampaikan oleh ramai penulis-penulis kamu, Iran tidak menerima Ali pada pemerintahan Harun ar-Rashid. Mereka menerima Ali pada masa hayat Nabi lagi. Salman Farisi adalah seorang dari pengikut Ali yang ikhlas. Dia sampai ke darjah Iman yang tertinggi. Ulama dari kedua golongan semuanya telah menulis bahawa Nabi telah berkata: "سلمان منا أهل البيت". ‘Salman adalah dari Ahlul Bayt kami.’ Atas sebab ini dia dipanggil; Salman Muhammadi’ dan dia adalah pengikut Ali yang taat, dan musuh ketat Saqifah. Jika, menurut dari kitab kamu, kita mencontohi beliau, kita akan berada di jalan yang lurus. Beliau mendengar ayat-ayat Al-Quran dan kata-kata Nabi mengenai Ali dan memahaminya dengan jelas bahawa taat kepada Ali adalah taat kepada Nabi dan kepada Allah. Beliau berulang kali mendengar Nabi berkata: "من أطاع عليا فقد أطاعني, ومن أطاعني فقد أطاع الله ومن خالف عليا فقد خالفني, ومن خالفني فقد خالف الله". ‘Sesiapa patuh kepada Ali, patuh kepada daku, dan yang patuh kepadaku patuh kepada Allah, sesiapa yang bermusuh dengan Ali bermusuh denganku, dan yang bermusuh denganku bermusuh dengan Allah.’

Setiap orang Iran, yang pergi ke Madinah dan memeluk Islam sama ada di masa hayat Nabi atau selepasnya, patuh kepada perintah Nabi. Kerana sebab ini, Khalifah kedua [Umar Bin Khattab] menjadi tidak tahan dengan tindakan mereka, dan mengenakan beberapa sekatan terhadap orang Iran. Kesusahan dan penderitaan inilah yang membibitkan kebencian di dalam hati mereka. Mereka mempersoalkan mengapa Khalifah menafikan kepada mereka hak-hak sebagai seorang Islam terhadap perintah yang telah ditetapkan oleh Nabi.

ORANG IRAN BERTERIMA KASIH TERHADAP SIMPATI ALI

Selain dari keadaan ini, orang Iran berterima kasih kepada Ali terhadap simpatinya mengenai layanan terhadap puteri-puteri Iran yang ditawan Arab. Apabila orang tawanan Mada’in [Taisfun] dibawa ke Madinah, Khalifah kedua memerintahkan kesemua tawanan wanita dijadikan hamba Muslim. Ali melarangnya dan berkata bahawa puteri-puteri dikecualikan dan perlu dihormati. Dua dari tawanan tersebut adalah anak perempuan Raja Yazdigerd Iran dan tidak boleh dijadikan hamba. Khalifah bertanya apa yang perlu dilakukan. Ali berkata setiap mereka diperbolehkan memilih suami dari orang Islam. Dari itu, Shahzanan memilih Muhammad Bin Abu Bakar [yang telah dibesar oleh Ali], dan puteri yang seorang lagi, Shaharbahu, memilih Imam Husain, cucu Nabi. Keduanya pergi ke rumah suami mereka setelah dinikahi dengan sah. Shahzanan melahirkan seorang anak lelaki, Qasim Faqih, bapa kepada Ummu Farwa, ibu kepada Imam keenam Imam Ja'afar As-Sodiq. Imam Zainul Abidin, Imam kami keempat, adalah anak Shaharbanu. Maka wujudnya Syiah tiada ada kena mengena dengan masa Harun dan Ma’mun atau dengan pemerintahan Dinasti Safavid di Iran sebagaimana kamu katakan terdahulu. Ianya secara terbuka telah disebarkan pada kurun ke 7 sebelum kerajaan Safavid [ iaitu di kurun ke 4 H] apabila Dalamites [Buwayyid] memerintah. Dalam tahun 694 H kerajaan Iran diperintah oleh Ghazan Khan Mughul [yang nama Islamnya adalah Muhammad]. Semenjak masa itu, kepercayaan Ahlul Bayt Nabi diucapkan secara bebas, Syiah mula berkembang. Setelah kematian Ghazan Khan Mughul di tahun 707 H, saudaranya Muhammad Shah Khuda Bandeh menjadi pemerintah Iran. Dia mengadakan perbincangan di antara Allamah Hilli seorang ulama Syiah, dengan Khwaja Nizamuddin Abdul Malik Maraghe’i, ketua mufti Safie dan ulama Sunni yang terulung di ketika itu. PERBINCANGAN ANTARA ALLAMAH HILLI DENGAN KETUA MUFTI MENGENAI IMAMAH

Tajuk perbincangan adalah Imamah. Allamah telah mengenengahkan hujah yang bernas bahawa Ali adalah pengganti selepas Nabi, dan dengan meyakinkan telah mematahkan tuntutan pihak lawan, sehinggakan semua yang hadir benar-benar berpuas hati dengan penjelasan Allamah. Khwaja Nizamuddin mengakui bahawa hujah Allamah tidak dapat dibantah. Tetapi dia mengatakan bahawa, oleh kerana dia telah mengikuti langkah-langkah mereka yang terdahulu, adalah tidak wajar untuk dia meninggalkannya sekarang. Dia rasakan adalah mustahak untuk mengekalkan perpaduan di antara Muslimin.

RAJA IRAN MENERIMA KEPERCAYAAN SYIAH

Raja mendengarkan kesemua hujah-hujah dengan penuh minat, menerima kedudukan Syiah itu sendiri, dan mengisytiharkan Syiah di Iran. Dia kemudiannya mengarahkan kepada gabernor daerah bahawa pada setiap khutbah mingguan [syarahan di masjid-masjid] hendaklah menyatakan hak Ali sebagai pengganti Nabi. Dia juga mengarah supaya kalimah dicetak pada dinar [wang emas] dengan cara sebegini: ‘Lailahaillallah; Muhammadan Rasulullah; Aliyyan Waliullah,’ bermaksud, ‘Tidak ada Tuhan melainkan Allah, Muhammad Rasulullah SAW dan Ali adalah Wali Allah’. Dengan cara ini akar Syiah telah berdiri dengan kukuhnya. Tujuh abad kemudian, apabila Raja Safavid berkuasa, awan-awan kekeliruan dan keta’asuban terus dibasmikan. Syiah berkembang di mana-mana sahaja di Iran. Ya, masih terdapat penyembah api di Iran, dan juga, mereka yang memperbesarkan kedudukan Ali, dan menganggapnya Tuhan. Tetapi mereka tidak boleh disamakan dengan kebanyakan orang-orang Iran, yang beriman dengan Allah dan Nabi Muhammad adalah Rasul yang terakhir. Mereka ini yang mengikut Ali dan sebelas dari keturunannya sebagaimana yang diperintah oleh Nabi.

Al-Hafiz: Pelik sungguh walaupun kamu asalnya datang dari Hijaz, dan telah tinggal di Iran dalam waktu yang pendek, kamu masih menyokong Iran, dan mengatakan mereka pengikut Ali, seorang yang amat patuh kepada Allah. Tetapi Syiah Iran, setiap orang, menganggap Ali sebagai Tuhan. Nah ini ada beberapa baris ayat dari hasil kerja penyair Iran yang menunjukkan pandangan mereka, sedang Ali sendiri melaknat kepercayaan sebegitu. Di akhir ayat ini menunjukkan kata-kata Ali: ‘Siapa yang menolong di masa kesusahan? Itu adalah daku, yang juga Allah! Itu adalah daku.’ Kata-kata seorang lagi penyair: ‘Menurut dari kepercayaan mereka yang berpengetahuan dan mengenali Allah, Allah adalah Ali, dan Ali adalah Allah.’

Shirazi: Mengapa sampai begini jadinya, dengan tidak membuat sebarang siasatan, kamu telah menuduh kesemua Iran menganggap Ali sebagai Tuhan. Ulama kamu yang mengatakan keta’asuban yang sedemikian rupa. Mereka yang mengatakan bahawa Syiah adalah penyembah Ali dan dengan demikian mereka adalah kafir. Maka membunuh mereka adalah wajib. Akhirnya Muslim di Uzbekistan dan Turkistan dengan sewenang-wenangnya telah membunuh Muslim di Iran. Orang awam Sunni kerap diseleweng oleh sebahagian dari ulama kamu, dan mereka menganggap orang-orang Iran kafir. Sejarah yang lalu, orang-orang kamu, Turkoman, telah menyerang kafilah Iran berdekatan Khurasan, merampas dan membunuh orangnya, dan mereka telah mengatakan bahawa sesiapa membunuh tujuh Rafidhi [Syiah], mereka akan masuk syurga. Kamu harus ingat bahawa tanggungan di atas setiap pembunuhan terletak juga di atas bahu setiap pemimpin kamu, yang memberitahu orang-orang Sunni yang jahil bahawa Syiah menyembah Ali.

ISLAM MELARANG KESOMBONGAN MENGENAI KETURUNAN

Merujuk kepada perkara yang pertama, asal saya mempunyai pertalian dengan Arab, Makkah dan Madinah, mengapa saya perlu menyokong Iran, saya katakan kepada kamu bahawa saya tidak punya perasaan berpihak. Nabi kita ada berkata: ‘Arab tidak harus berbangga bahawa mereka lebih utama dari yang bukan Arab dan begitu juga sebaliknya, dan yang putih tidak harus berbangga terhadap keutamaan mereka di atas yang hitam, dan begitu juga yang sebaliknya. Keutamaan letaknya pada pengetahuan dan ketaqwaan'.

Di dalam Al-Quran Allah berfirman: ‘Wahai Manusia! Sesungguhnya Kami telah jadikan kamu lelaki dan perempuan, dan menjadikan kamu berpuak-puak dan berkeluarga supaya kamu dapat mengenali di antara satu dengan lain, sesungguhnya yang paling utama daripada kamu di sisi Allah adalah mereka yang di antara kamu yang paling bertaqwa [berhati-hati terhadap tugasnya].’ [49:13]

Juga pada Bab yang sama di dalam Al-Quran, Dia berfirman: ‘Sesungguhnya orang beriman adalah bersaudara, maka berdamailah di antara saudara-saudara kamu dan berhati-hatilah [di dalam melaksakan tugasmu] pada Allah semoga Rahmatnya di atas kamu.’ [49:10]

Makanya semua bangsa Asia, Afrika, Eropah, Amerika, yang putih, hitam, merah, kuning jika mereka Muslim maka mereka adalah bersaudara, dan tiada siapa yang boleh mengatakan dia lebih utama dari yang lain. Pemimpin Islam yang teragung, Rasul yang akhir telah bertindak di atas prinsip ini. Baginda telah menunjukkan kasih sayangnya kepada Salman Farisi dari Iran, Suhaib dari benua Asia kecil, Bilal dari Habsyah. Sebaliknya Baginda telah menolak Abu Lahab bapa saudaranya sendiri yang telah dilaknat oleh surah Al-Quran [111:1]

ISLAM JUGA MELARANG PERKAUMAN

Dunia telah melihat kekacauan yang paling dahsyat di negara barat, yang mana telah disebabkan oleh penindasan kaum. Di negara tersebut orang berkulit hitam tidak dibenarkan di hotel, restoran, gereja, dan di tempat perjumpaan orang kulit putih. Islam telah menghapuskan amalan tersebut 1300 tahun dahulu, dan menyatakan bahawa semua Muslim tidak kira apa bangsanya, warna kulitnya, dan warganegara mana sekalipun ianya adalah bersaudara. Maka jika Arab telah menyeleweng, saya akan laknat mereka, dan saya bersaudara dengan Syiah Iran yang lurus jalannya.

Kedua, kamu telah menyamakan pelampau Iran dengan Syiah, yang berpegang kepada Tuhan yang Esa, dan telah mengikut Ali menurut yang diperintahkan oleh Nabi. Kami menganggap Ali sebagai seorang hamba Allah yang taat, dan yang telah dilantik oleh Allah sebagai pengganti Nabi.

LAKNATAN TERHADAP PELAMPAU

Lebih-lebih lagi kami menolak mereka yang berkepercayaan yang bertentangan dengan kami, seperti Sabaiyya, Khitabiyya, Gharabiyya, Alawiyya, Mukhammasa, Bazighiyya, Nussairiyya, yang bertaburan di dalam Iran, Mosul dan Syria. Kami Syiah berbeza dengan mereka, dan kami menganggap mereka kafir. Di dalam semua kitab-kitab yang ditulis oleh ulama Syiah dan juga ulama fiqh, puak Ghulat [pelampau] termasuk di antara mereka yang kafir, oleh kerana kepercayaan mereka bertentangan dengan Syiah. Sebagai contoh, mereka mengatakan bahawa penyerapan roh ke dalam jasad seseorang adalah berkemungkinan [sebagaimana Jibril berada di hadapan Nabi dalam bentuk Dahiyya kalbi], dan adalah kehendak Allah yang dia menjelma dalam bentuk manusia di dalam badan Ali. Atas sebab ini, mereka menganggap kedudukan Ali lebih tinggi dari Rasul. Khayalan yang sedemikian telah belaku di masa hayat Ali. Sebahagian penduduk India dan Sudan datang kepada beliau dan mengatakan bahawa beliau adalah Allah.

Ali berulangkali melarang mereka dari pandangan tersebut, tetapi tidak berkesan. Akhirnya, sebagaimana telah tercatit di dalam sejarah, Ali telah mengarahkan mereka dibunuh di dalam perigi yang penuh dengan asap. Peristiwa ini secara terperinci telah dinyatakan di dalam Biharul-Anwar, Jilid VII, oleh seorang alim yang ulung, Agha Muhammad Al-Baqir Majlisi. Amirul Mu'minin dan Imam-Imam yang lain melaknat keras manusia yang sedemikian. Ali berkata: ‘Ya Allah, daku amat membenci puak Ghullat [pelampau], sebagaimana Isa amat benci kepada Kristian. Semoga Engkau mengabaikan mereka selamanya.’

Di lain ketika beliau berkata: ‘Terdapat dua golongan yang akan menderita kematian yang memalukan, dan daku tidak bertanggung jawab ke atas mereka [kerana daku benci perbuatan mereka]; mereka yang melampaui batasan cintanya kepadaku, dan mereka adalah Ghullat [pelampau], dan mereka yang tanpa sebab apa juga telah bermusuhan dengan daku. Daku amat benci mereka yang telah melebih-lebihkan kedudukanku dengan melampaui segala batasan, sebagaimana Isa membenci Kristian.’

Beliau juga berkata: ‘Terdapat dua kumpulan berkaitan dengan daku yang akan menderitai kematian yang hina, satu terdiri dari mereka yang mengatakan sahabat tetapi telah memuji daku melampaui dari batasan yang diperbolehkan; dan yang satu lagi terdiri dari musuh-musuh yang menghina dan merendahkan kedudukan daku.

Syiah melaknat mereka yang memuji Ali dan Ahlul Bayt melampaui dari apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasulnya. Ulama kami sebulat suara mengatakan mereka semuanya kafir. Tidak dibenarkan untuk mengurus kematian mereka atau mengahwini mereka. Mereka juga dihalang dari mewarisi harta Muslim; sedekah, zakat tidak akan diberikan kepada mereka. Al-Quran melaknat mereka dengan ayat ini: ‘Katakan, wahai ahli kitab, janganlah melampau di dalam beragama, dan janganlah mengikuti kemahuan yang rendah dari orang dahulu yang telah menyimpang dan menyesatkan orang ramai dan kini terus menyimpang dari jalan yang lurus.’ [5:77]

Allamah Majlisi, di dalam Biharul-Anwar, Jilid III, iaitu Ensiklopedia bagi kepercayaan Syiah, telah merakamkan banyak hadith melaknat Ghullat [pelampau], Imam Ja'afar As-Sodiq disebutkan sebagai berkata:

‘Kami adalah hamba Allah, yang telah menjadikan kami dan meninggikan kami lebih dari makhluk-makhluk lain yang dijadikanNya. Pasti kami akan mati, dan akan mengadap kepada Allah untuk di adili. Sesiapa yang menjadi sahabat kepada Ghulat adalah musuh kami, dan sesiapa yang memusuhi mereka adalah sahabat kami. Ghulat adalah kafir dan musyrik, laknatan ke atas mereka.’

Seorang ketua agama Syiah telah juga menyebutkan bahawa Imam yang sama telah berkata: ‘Laknatan Allah ke atas mereka yang mengatakan KeEsaan dan KeTuhanan untuk Ali. Demi Allah, Ali adalah seorang hamba Allah yang taat. Laknatan ke atas mereka yang telah menghina kami; sebahagian manusia mengatakan sesuatu mengenai kami yang kami sendiri tidak ada menyebutnya. Kami mengisytiharkan bahawa kami tidak punya hubungan dengan mereka'.

Sheikh Saduq [Abu Ja'afar Muhammad Bin Ali] seorang ahli fiqh Syiah yang dihormati, menyebut dari Zarara Bin A’yun, seorang penulis Syiah yang dipercayai, juga seorang Al-Hafiz dan sahabat Imam Muhammad Al-Baqir dan Imam Ja'afar As-Sodiq, sebagai berkata: ‘Daku memberitahu Imam Ja'afar As-Sodiq bahawa seorang dari mereka yang beliau kenali mempercayai dalam Tufwiz [delegasi bagi penguasaan Ilahi]. Imam berkata: ‘Apa yang dimaksudkan dengan Tufwiz?’ Daku menjawab: ‘Orang itu berkata bahawa Allah menjadikan Muhammad dan Ali dan kemudian memberikan kepada mereka kuasaNya di atas segala urusan manusia. Maka mereka adalah yang menjadikan, yang memberi makanan, mereka yang mengerakkan dan mereka yang mematikan.’ Imam yang suci berkata: ‘Musuh Allah itu berdusta. Apabila kamu pergi semula kepadanya, bacakan kepadanya ayat ini dari Al-Quran yang suci: ‘……atau adakah mereka telah adakan bagi Allah sekutu yang telah menjadikan kejadian ini sebagaimana Dia [telah jadikan], supaya apa yang telah dijadikan menjadi kekeliruan kepada mereka? Katakanlah: ‘Allah lah yang menjadikan segala sesuatu, dan Dia yang Esa, yang Agung.’ [13:16]

SYIAH TERPISAH DARI GHULAT

Kami Syiah terpisah dari Ghulat. Biarlah mereka mengatakan diri mereka Syiah. Allah, Nabi yang suci, Ali dan keturunan beliau bencikan mereka. Ali telah memenjarakan ketua kumpulan Ghullat selama tiga hari, dan memerintahkannya supaya bertaubat dari kezalimannya. Apabila dia menolak, Ali telah menyuruhnya dibakar sampai mati. Jika kamu tidak dapat mengadakan sebuah kitab pun yang menyanjung Ghulat, maka kamu paling tidaknya melaknat ulama yang tidak bertanggungjawab pada memesongkan tanggapan Sunni mengenai Syiah.

PENJELASAN MENGENAI SANJUNGAN TERHADAP IMAM-IMAM

Al-Hafiz: Nasihat dari saudara berhak dipertimbangkan. Tetapi bolehkah kamu jelaskan beberapa perkara yang lain? Kamu selama ini telah mengatakan bahawa kamu tidak menyanjung sangat Imam-Imam kamu. Kamu menganggap Ghullat sebagai hina dan hanya layak untuk neraka, tetapi kamu menggunakan ekspresi [ucapan] yang tidak bersesuaian mengenai Imam kamu. Kamu telah mengatakan: ‘Rahmat Allah ke atas mereka (Alaihi Salam),’ walaupun kamu mengetahui bahawa menurut Al-Quran, ekspresi [sebutan] ini hanya diperuntukkan pada Nabi. Al-Quran berkata: ‘Sesungguhnya Allah dan para Malaikat berselawat ke atas Nabi, wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu ke atasnya dengan selawat yang sempurna.’ [33:56] Amalan kamu dengan jelas menyalahi perintah Al-Quran. Ucapan kamu adalah suatu bida'ah.

Shirazi: Ayat ini tidak menghalang kita dari mensejahterakan mana-mana orang. Kita disuruh berselawat kepada Nabi. Di dalam ayat Al-Quran yang lain Allah berkata:

‘Kesejahteraan ke atas orang-orang Yasin [ahli Yasin],’[37:130] rujukan kepada keturunan Muhammad SAW. Kepada Nabi-nabi yang lain, kesejahteraan tidak diberikan kepada keturunan mereka di mana-mana ayat di dalam Al-Quran. Kesejahteraan hanya diberikan kepada Nabi-nabi Allah, ‘Keamanan dan kesejahteraan kepada Nuh di antara ummah-ummahnya.’ [37:79]; ‘Keamanan dan kesejahteraan kepada Ibrahim.’ [37:109]; ‘Keamanan dan kesejahteraan kepada Musa dan Harun.’ [37:120]

AALI (KELUARGA) YASIN MERUJUK KEPADA AALI (KELUARGA) MUHAMMAD

Kesemua pentafsir dan ulama dari golongan kamu mengaku bahawa Allah telah memanggil Nabi sebagai Yasin. Maka, ahli Yasin bererti ahli Muhammad. Di antara mereka yang menyebutnya, Ibnu Hajar Makki ulama Sunni yang membenci Syiah, berkata di dalam kitab Sowaiq Muhriqah, di bawah ayat-ayat yang menyebutkan tentang kepujian terhadap Ahlul Bayt, kumpulan pentafsir itu menyebutkan dari Ibnu Abbas sebagai berkata ahli Yasin bererti ahli Muhammad. Makanya salam, dan ucapan keamanan untuk ahli Yasin bererti salam untuk ahli Muhammad. Imam Fakhruddin Ar-Razi menulis: ‘Ahlul Bayt Nabi adalah sama setaraf dengan Baginda pada lima perkara: 1)Salam; salam untuk Nabi dan salam untuk ahli Yasin [ahli Muhammad] adalah perkara yang sama. 2)Selawat di dalam Tasyahhud solat fardu untuk Nabi dan Ahlul Baytnya adalah wajib. 3)Kesucian; Allah berkata di dalam surah ‘Ta Ha’ [20:1] bermakna Ya Tahir iaitu ‘[Wahai Nabi] Bersih dan suci,’ ayat kesucian telah diwahyukan di dalam meninggikan Ahlul Bayt. 4)Diharamkan sedekah; Sedekah tidak boleh diterima samada oleh Nabi atau Ahlul Baytnya. 5)Kecintaan; Kecintaan kepada Nabi bererti kecintaan kepada Ahlul Baytnya. Allah yang Maha berkuasa telah berfirman: ‘Katakan: jika kamu mencintai Allah, maka ikutlah aku, Allah akan mencintai kamu….’ [3:31] dan mengenai Ahlul Bayt Allah berkata: ‘..Katakan: daku tidak meminta sebarang ganjaran untuknya melainkan kecintaan terhadap kerabatku yang terdekat…’ [42:23]

SELAWAT KEPADA MUHAMMAD DAN AHLI MUHAMMAD ADALAH SUNAT TETAPI IANYA WAJIB DI DALAM SOLAT

Ramai mereka yang menyampaikan Hadith, terutama Bukhari di dalam sahihnya, Jilid III, dan Muslim di dalam sahihnya, Jilid I, Sulayman Balkhi di dalam kitab ‘Yanabiul Mawaddah, dan bahkan Hajar di dalam Sowaiq menyebutkan dari Ka’ab Bin Ajrah sebagai berkata: "لما نزلت هذه الآية, قلنا: يا رسول الله, قد علمنا كيف نسلم عليك, فكيف نصلي عليك؟ فقال: قولوا : اللهم صلى على محمد وآل محمد...إلى آخره". ‘Apabila ayat: Sesungguhnya Allah dan para Malaikat berselawat ke atas Nabi…. [33:56] diwahyukan, kami bertanya kepada Nabi, ‘Bagaimana kami mendoakan kesejahteraan kami untuk kamu, ya Rasulullah SAW? Nabi menjawab, ‘Doakanlah kesejahteraan kamu begini: ‘Ya Allah, sejahterakan Muhammad dan keluarga Muhammad.’

Imam Fakhruddin Ar-Razi, di dalam Jilid VI dari Tafsir Kabirnya, juga telah menyebutkan hadith yang sama. Ibnu Hajar, mengulas dari hadith itu, menunjukkan bahawa adalah jelas yang ucapan selawat untuk Nabi adalah sama dengan ucapan selawat kepada keturunannya juga. Dia juga menyebutkan yang Nabi sebagai berkata: " لا تصلوا علي الصلاة البتراء, فقالوا : و ما الصلاة البتراء؟ قال : تقولون : اللهم صلى على محمد وتمسكون, بل قولوا : اللهم صلى على محمد وعلى آل محمد". ‘Janganlah selawat untukku dengan selawat yang tidak sempurna,’ Apabila ditanya apa yang dimaksudkan dengan selawat yang ‘tidak sempurna’, Baginda berkata: ‘Janganlah katakan, Wahai Allah sejahterakan Muhammad,' ’tetapi katakan: ‘Ya Allah, sejahterakan Muhammad dan keluarga Muhammad.’

Dailami menulis bahawa Nabi berkata: "الدعاء محجوب حتى يصلي على محمد وأهل بيته , اللهم صلى على محمد وآله". ‘Doa kamu tinggal terhalang sehingga kita doakan kesejahteraan kepada Nabi dan ahlinya, Ya Allah, sejahterakan Muhammad dan keluarganya.’ Imam Safie berkata: يا أهل بيت رسول الله حبكم فرض من الله في القرآن أنزله كفاكم من عظيم القدر أنكم من لم يصلي عليكم لا صلاة له

‘Wahai Ahlul Bayt Rasulullah! Di dalam Al-Quran Allah telah menjadikan kecintaan kepada kamu sebagai wajib. Mengenai kemuliaan dan ketinggian kedudukan kamu, adalah memadai untuk mengetahui bahawa jika seseorang tidak berselawat [mendoakan kepada Ilahi untuk kesejahteraan] kamu, solatnya tidak akan diterima.’

Jika doa untuk mensejahterakan Nabi dan keturunannya dengan sengaja ditinggalkan di dalam solat, maka solat itu ditolak. Dan Nabi telah berkata: ‘Solat itu adalah tiang bagi keimanan; jika solat itu diterima, kesemua amalan lain akan diterima, jika ianya ditolak, maka semua amalan lain akan ditolak.

Untuk mendoakan kepada Allah akan kesejahteraan Ahlul Bayt adalah Sunnah dan adalah bentuk doa yang dilaksanakan oleh Nabi sendiri. Kami merasa bangga untuk melakukan apa yang disuruh oleh Al-Quran dan juga Nabi.