Malam-malam di Peshawar : Sessi 1

From Wikisource
Jump to navigation Jump to search

SESSI 1 (Khamis malam, 23hb Rejab, 1345 H)

Al-Hafiz Muhammad Rashid, Sheikh Abdus Salam, Syed Abdul Hayy, dan ulama-ulama tempatan lain turut hadir sama. Dialog tersebut diadakan di hadapan khalayak ramai. Di dalam majalah dan surat-surat khabar, mereka menggelar penulis sebagai ‘Qiblat Ka'abah’ tetapi di sini saya menggelar beliau ‘Shirazi’ dan kepada Al-Hafiz Muhammad Rashid sebagai ‘Al-Hafiz.’

Al-Hafiz: Kami merasa amat gembira kerana mendapat peluang ini untuk membincangkan titik-titik asas perbezaan yang ada pada kita. Pertama sekali kita harus menentukan bagaimana kita hendak memulakannya.

Shirazi: Saya bersedia untuk berbincang dengan syarat kita mengenepikan segala prasangka yang ada dan berbincang perkara-perkara tersebut dengan saksama, seperti saudara.

Al-Hafiz: Saya juga dibolehkan untuk membuat satu syarat, iaitu perbincangan ini hendaklah berasaskan dari ayat-ayat Al-Quran yang suci.

Shirazi: Syarat itu tidak boleh diterima, kerana Al-Quran yang suci itu terlalu singkat dan umum yang mana pengertiannya yang mendalam harus dihuraikan melalui rujukan-rujukan dari lain fakta dan juga hadith.

Al-Hafiz: Benar, dan boleh diterima, tetapi adalah perlu bahawa rujukan yang dibuat dari hadith dan peristiwa hendaklah berasaskan pada bukti yang tidak boleh dipertikaikan. Kita hendaklah menjauhkan diri dari merujuk kepada punca yang meragukan.

Shirazi: Setuju, kerana orang seperti saya, yang merasa bangga untuk menyatakan keturunan saya dari Nabi, adalah tidak wajar bagi saya untuk menyalahi contoh-contoh yang telah ditunjukkan oleh keturunan saya, Nabi Islam SAW. Baginda telah dikatakan di dalam Al-Quran sebagai berikut:

‘Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang mulia.’ [68:4]. Adalah tidak patut untuk bertindak menyalahi Nas Al-Quran yang suci yang mengatakan:

‘Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan cara bijaksana dan pengajaran yang baik, dan adakanlah perbincangan dengan mereka dengan cara yang terbaik, Sesungguhnya Tuhanmu mengetahui sesiapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lebih mengetahui akan siapa yang mendapat petunjuk…… [16:125]

PERTALIAN DENGAN NABI YANG SUCI

Al-Hafiz: Maafkan saya, kamu mengatakan bahawa keturunan kamu dari Rasulullah SAW. Ini telah diketahui umum, tetapi bolehkah kamu terangkan kepada saya salasilah kamu supaya saya tahu yang pertalian kekeluargaan kamu itu sampai kepada Nabi yang agung SAW.

Shirazi: Tali kekeluargaan saya sampai kepada Nabi melalui Imam Musa Al-Kazim, ianya seperti berikut: Muhammad, anak kepada Ali Akbar [Ashraful Wa’izin], anak kepada Ismail Mujtahid Al-Waiz, anak kepada Ibrahim, anak kepada Soleh, anak kepada Abi Ali Muhammad, anak kepada Ali [dikenali sebagai Mardan], anak kepada Abil Qassim Muhammad Taqi, anak kepada Maqbuluddin Husain, anak kepada Abi Ali Hasan, anak kepada Muhammad Bin Fathullah, anak kepada Ishaq, anak kepada Hashim, anak kepada Abi Muhammad, anak kepada Ibrahim, anak kepada Abil Fityan, anak kepada Abdullah, anak kepada Hasan, anak kepada Ahmad [Abu Tayyib], anak kepada Abi Ali Hasan, anak kepada Abu Ja'afar Muhammad Al-Hairi [Nazil Kirman], anak kepada Ibrahim Az-Zarir [dikenali sebagai Mujab], anak kepada Amir Muhammad Al-Abid, anak kepada Imam Musa Al-Kazim, anak kepada Imam Ja'afar As-Sodiq, anak kepada Imam Muhammad Al-Baqir, anak kepada Imam Ali Zainul Abidin, anak kepada Imam Husain, anak kepada Amirul Mu'minin Ali Bin Abi Talib.

Al-Hafiz: Pertalian ini hanya sampai kepada Amirul Mu'minin, Ali [ra], sedangkan kamu kata ia berakhir kepada Nabi. Yang nyata dengan salasilah ini, kamu boleh katakan diri kamu di antara kerabat-kerabat Nabi dan bukannya keturunan terus dari Baginda. Keturunan adalah sesuatu yang mempunyai pertalian terus dengan Nabi.

Shirazi: Pertalian keturunan kami sampai kepada Nabi melalui Bibi Fatimah Az-Zahra, ibu kepada Imam Husain. Saya tidak faham mengapa kamu menitikberatkan sangat pada persoalan ini.

Al-Hafiz: Saya fikir saya sudah tersalah faham. Pada pandangan saya bahawa keturunan diakui dari pihak lelaki sahaja. Saya sebutkan dari petikan Arab: ‘Anak-anak lelaki, cucu, dan anak-anak perempuan adalah dari saya, tetapi anak dari anak-anak perempuan saya, bukan dari saya.’ Jika kamu boleh buktikan sebaliknya, silakanlah.

Shirazi: Terdapat bukti yang kuat dari Al-Quran dan Hadith yang sahih untuk menunjukkan tuntutan saya.

Al-Hafiz: Sila nyatakan supaya kami boleh faham.

Shirazi: Sedang kamu bercakap tadi saya teringat perbincangan di antara Harun ar-Rashid, Khalifah Abbasiyah, dengan Imam kami Musa Al-Kazim [Imam ketujuh Syiah] pada tajuk ini. Imam memberikan jawapan yang meyakinkan kepada Khalifah, sehingga Baginda sendiri menerimanya.

Al-Hafiz: Saya hendak mendengar mengenai perbincangan itu.

Shirazi: Abu Ja'afar Muhammad Bin Ali, bergelar Sheikh Saduq, di dalam kurun ke empat Hijrah, di dalam kitabnya ‘Uyun Akhbar Ar-Ridha’ [Punca Utama untuk Redha], dan Abu Mansur Bin Ali Tabarsi di dalam kitabnya ‘Ehtijaj’ telah memberikan dengan terperinci mengenai perbualan yang terjadi di antara Khalifah Abbasiyah Harun ar-Rashid dengan Imam Musa Bin Ja'afar di istana Khalifah.

Khalifah bertanya kepada Imam: ‘Bagaimana kamu boleh mengatakan bahawa kamu dari keturunan Nabi? Nabi Muhammad tidak mempunyai keturunan. Telah diperakui bahawa keturunan adalah dari pihak lelaki dan bukan dari pihak perempuan. Kamu tergolong dari pihak generasi anak perempuannya.’ Imam lalu membacakan ayat 84-85 dari surah VI [Al-An’aam] dari Al-Quran yang suci:

‘Dan Kami anugerahkan kepadanya Ishaq dan Ya'aqub, kedua-duanya Kami beri petunjuk, dan Nuh yang Kami berikan petunjuk sebelumnya, dan dari keturunannya Daud dan Sulayman dan Ayub dan Yusuf dan Musa dan Harun; dan begitulah kami balaskan bagi mereka-mereka yang membuat kebaikan. Dan Zakaria dan Yahya dan Isa dan Ilyas; semuanya orang yang soleh.’ [6:84-85] Imam tanya kepada Khalifah: ‘Siapakah bapa Isa?’ Harun menjawab bahawa Isa tidak mempunyai bapa.

Imam berkata: ‘Tiada sesiapa melainkan Allah memasukkan Isa di dalam keturunan para Nabi melalui Maryam. Begitulah juga, Dia telah menjumlahkan kami di dalam keturunan Nabi melalui keturunan Bibi Fatimah.’

Lebih-lebih lagi, Imam Fakhruddin Ar-Razi di dalam kitabnya Tafsir Kabir, Jilid IV, m.s. 124, masalah V, mengatakan mengenai ayat ini, bahawa ayat ini membuktikan yang Hasan dan Husain adalah keturunan dari Nabi Islam. Oleh kerana di dalam ayat ini Tuhan telah mengesahkan Isa adalah keturunan Ibrahim, dan Isa tidak mempunyai bapa, hubungan ini adalah dari pihak sebelah ibu. Di dalam keadaan yang sama, Hasan dan Husain adalah yang sebenarnya dari keturunan Nabi. Imam Musa Al-Kazim bertanya kepada Harun jika dia memerlukan kepada bukti yang lain. Khalifah menyuruh Imam untuk meneruskan. Imam membaca ayat 61 dari surah 3, Ali Imran dari Al-Quran yang suci: ‘Tetapi jika sesiapa membantah dengan kamu di dalam perkara ini setelah sampai kepada kamu pengetahuan maka katakanlah: Marilah kami panggil anak-anak kami dan anak-anak kamu dan perempuan kami dan perempuan kamu dan diri kami dan diri kamu, kemudian kita bersungguh-sungguh berdoa dan meminta laknatan Allah kepada mereka yang dusta.’

Imam menyambung, dengan berkata bahawa tiada siapa pernah berkata bahawa pada peristiwa itu, Mubahalah dengan Kristian Najran, bahwa Nabi membawa sesiapa saja, melainkan Ali Bin Abi Talib, Fatimah, Hasan dan Husain. Ini bermakna bahawa ‘diri’ [anfusana] bererti Ali Bin Abi Talib, ‘Perempuan’ [nisa’ana] bererti Fatimah, dan anak-anak [abna’ana] bererti Hasan dan Husain yang mana Allah telah tunjukan sebagai anak-anak Nabi sendiri. Setelah mendengar hujah-hujah ini, Harun mengatakan: ‘Tahniah, wahai Abul-Hasan.’

Dengan nyata hujah ini telah membuktikan bahawa Hasan dan Husain adalah anak-anak Nabi dan bahawa ‘Sa’adat Fatimah’ keturunan Bibi Fatimah adalah keturunan Nabi yang suci.

TAMBAHAN BUKTI MENUNJUKKAN BAHAWA KETURUNAN SAIYIDAH FATIMAH ADALAH KETURUNAN NABI YANG SUCI

Ibnu Abil Hadid Mu'tazali, seorang ulama yang terkenal, di dalam kitabnya Syarah Nahjul Balaghah tulisan Amirul Mu'minin Ali, dan Abu Bakar Ar-Razi di dalam tafsirnya, telah menyatakan ayat-ayat Mubahalah yang sama, berhujah bahawa Hasan dan Husain adalah dari pihak ibunya, adalah juga anak-anak kepada Nabi, dengan cara yang sama, sebagaimana Allah di dalam Al-Quran yang suci telah memasukkan Isa di dalam keturunan Ibrahim dari sebelah pihak ibunya, Maryam.

Muhammad Bin Yusuf Ganji Safie, di dalam kitabnya ‘Kifayatut Talib, dan Ibnu Hajar Makki pada muka surat 74 dan 93 dari ‘Sowaiq Muhriqah dari Tabari dan Jabir Bin Abdullah Ansari, dan Khatib Khawarizmi di dalam Manaqib dari Ibnu Abbas – semua menyatakan bahawa Nabi bersabda: "إن الله (عز وجل) جعل ذرية كل نبي في صلبه, و إنّ الله (عز وجل) جعل ذريتي في صلب عليّ بن أبي طالب." ‘Allah menjadikan keturunan setiap Nabi dari sulbi mereka, tetapi keturunan daku dijadikan dari sulbi Ali Bin Abi Talib.’

Demikian juga Khatib Khawarizmi di dalam Manaqib, Mir Syed Ali Hamadani Safie di dalam Mawaddatul Qurba, Imam Ahmad Ibnu Hanbal di dalam Musnad, dan Sulayman Hanafi Balkhi di dalam Yanabiul Mawaddah menyatakan, di dalam perkataan yang lebih kurang berbunyi bahawa Nabi bersabda: "ابناي هذان ريحانتان من الدنيا, ابناي هذان إمامان قاما أو قعدا" ‘Ini adalah kedua anak-anakku, adalah bunga bagi dunia ini, dan keduanya adalah Imam [ketua], sama ada mereka adalah Imam secara terang-terangan atau secara tersendiri tinggal di rumah.’

Dan Sheikh Sulayman Hanafi, di dalam kitabnya Yanabiul Mawaddah, memperuntukkan Bab 57 untuk tajuk ini sahaja, dan menyebutkan banyak hadith dari ulama-ulamanya, seperti Tabrani, Al-Hafiz Abdul Aziz Ibnu Abi Shaiba, Khatib Baghdadi Hakim, Baihaqi, Baghawi dan Tabari – semua menyatakan dengan versi yang sedikit berlainan bahawa Hasan dan Husain adalah anak-anak kepada Nabi. Pada penghujung Bab yang sama, Abu Soleh menulis: Al-Hafiz Abdul Aziz Bin Al-Akhzar, Abu Nu’aim, Tabari, Ibnu Hajar Makki pada muka surat 112 dari Sowaiq Muhriqah, dari Muhammad Bin Yusuf Ganji Safie pada penghujung bahagian 1 selepas 100 Bab dari Kifayatut Talib, dan Tabari di dalam menyampaikan riwayat hidup Imam Hasan menyatakan bahawa Khalifah kedua, Umar Bin Khattab, berkata: ‘Daku mendengar Nabi berkata bahawa 'Pada hari pembalasan setiap pertalian keluarga akan diputuskan melainkan generasiku. Setiap generasi anak perempuan adalah dari pihak bapa melainkan generasi Fatimah, yang berhubung kepadaku. Daku adalah bapa dan keturunan mereka.’ Sheikh Abdullah Bin Muhammad Bin Amir Shabrawi Safie, di dalam kitabnya Kitabul-ittihaf bi Hubbil-Ashraf, menyebutkan hadith ini dari Baihaqi dan Darqutni dari Abdullah Bin Umar, dan dia dari bapanya, pada ketika perkahwinan Ummu Kulthum. Dan Jalaluddin Suyuti menyebut dari Tabari di dalam kitabnya ‘Ausat’, telah dikatakan dari Khalifah Umar dan Syed Abu Bakar Bin Shahabud-din Alawi pada muka surat 39 – 42 pada Bab III dari Rishfatus-sadi min Bahra Fazail Bani Nabiul-Hadi [dicetak di Maktabi Alamiyya, Egypt pada tahun 1303 H], membuktikan bahawa keturunan Fatimah adalah keturunan Nabi Islam.

Makanya, petikan yang kamu sebutkan itu tidak mempunya apa-apa erti jika dibandingkan dengan semua keterangan-keterangan tadi. Muhammad Bin Yusuf Ganji Safie, di dalam ‘Kifayatut Talib’nya, membuktikan bahawa anak-anak dari anak perempuan Nabi adalah anak kepada Nabi. Salasilah keturunan kami sampai kepada Imam Husain; maka kami adalah keturunan Nabi.

Al-Hafiz: Hujah kamu munasabah dan meyakinkan.

Orang ramai bersurai untuk solat Isyak. Semasa rehat, Nawab Abdul Qayum Khan, dari golongan Sunni yang ternama, meminta izin untuk bertanya ‘Shirazi’ beberapa soalan.


MENGAPA SYIAH MENYATUKAN SOLAT MEREKA

Nawab: Mengapa Syiah menyatukan solat Zohor dengan Asar dan Maghrib dengan Isyak? Ini tidak mengikuti dengan apa yang telah menjadi amalan Rasul SAW.

Shirazi: Yang pertama sekali, di antara para ulama kamu, terdapat perbezaan pendapat mengenai isu ini. Yang keduanya, kamu katakan bahawa ianya menyalahi amalan Nabi. Di sini kamu telah tersalah, kerana Nabi biasa melaksanakannya dengan kedua-dua cara, ada kalanya diasingkan dan ada kalanya disatukan. (Nawab Sahib, berpaling kepada ulama mereka, bertanya kepada mereka sama ada benar Nabi mengerjakan solat dengan kedua-dua cara).

Al-Hafiz: Ya, Baginda melaksakannya, tetapi hanya apabila Baginda bermusafir atau apabila terdapat suatu bentuk halangan, seumpama hujan. Sebaliknya, apabila Baginda di rumah, Baginda selalu melaksanakannya berasingan.

Shirazi: Telah dirakamkan di dalam hadith kamu bahawa Nabi biasa melaksanakan solat berasingan dan disatukan di rumah dan tanpa sebarang halangan. Banyak hadith yang mengesahkan fakta ini. Muslim Bin Hajjaj di dalam sahihnya, di dalam Bab ‘Jama’a Bainas-solatain fil-Hazar,’ mengatakan bahawa Ibnu Abbas berkata: "صلّى رسول الله صلى الله عليه وسلم الظهر والعصر جمعاً, والمغرب والعشاء جمعاً, في غير خوف ولا سفر." ‘Rasulullah SAW biasa mengerjakan solat Zohor dengan Asar dan begitu juga Maghrib dengan Isyak bersambungan tanpa ada halangan pada melakukannya, tanpa ketakutan dan tanpa bermusafir.’

Ibnu Abbas menyebutkannya lagi: "صليتُ مع النبي الله صلى الله عليه وسلم ثمانيا جمعاً, وسبعا جمعاً." ‘Daku melakukan lapan rakaat (Zohor dan Asar) dan tujuh rakaat (Maghrib dan Isyak) bersambungan, bersama dengan Nabi.’

Hadith yang sama juga telah disampaikan oleh Imam Ahmad Bin Hanbal di dalam Musnadnya, Bahagian 1, muka surat 221. Begitu juga Imam Muslim menyebutkan beberapa hadith mengenai isu ini. Dia menyebutkan dari Abdullah Bin Shaqiq sebagai telah berkata bahawa suatu hari Abdullah Bin Abbas sedang berucap pada suatu kumpulan selepas solat Asar hinggalah matahari terbenam dan bintang telah mula kelihatan. Orang ramai berteriak, solat, solat’ tetapi Ibnu Abbas tidak memperdulikan mereka. Kemudian seorang dari Bani Tamimi melaungkan ‘solat, solat.’ Ibnu Abbas kemudian berkata: ‘Kamu mengingatkan aku pada Sunnah tetapi daku sendiri telah melihat Nabi menyatukan Solat Zohor dengan Asar dan Maghrib dengan Isyak.’ Abdullah Bin Shaqiq berkata bahawa dia tidak begitu yakin dengan kata-kata itu, lalu pergi menemui Abu Hurairah untuk bertanyakan mengenainya. Abu Hurairah mengesahkan apa yang telah dikatakan oleh Ibnu Abbas. Melalui penyampai yang lain pula, Abdullah Bin Shaqiq telah menyebutkan dari Aqil bahawa suatu ketika Abdullah Bin Abbas berkata-kata kepada orang ramai dari atas mimbar. Dia berada di situ sangat lama sehingga hari menjadi gelap. Apabila seseorang melaungkan sebanyak tiga kali, ‘solat, solat, solat,’ Abdullah Bin Abbas menjadi tersinggung dan berkata: ‘Malanglah bagi kamu. Kamu yang berani mengingatkan aku tentang solat, walaupun di masa hari-hari Nabi kami biasa menyatukan solat Zohor dengan Asar dan Maghrib dengan Isyak.’ Zarqani di dalam Syarah Muwatta' oleh Imam Malik, Bahagian 1, di dalam Bab ‘Jama’a Bainas-Salatain’ muka surat 263, menyatakan, ‘Nisa’i mengatakan melalui Amru Bin Haram dari Abi Shaatha bahawa Ibnu Abbas mengerjakan solat Zohor dengan Asar begitu juga solat Maghrib dengan Isyak bersambung di Basrah tanpa ada masa pemisah atau apa-apa yang dilakukan di antaranya. Dia mengatakan bahawa Nabi mengerjakan solat-solatnya dengan cara yang sama.’ Juga di dalam Sahih Muslim dan di Muwatta Malik, Bab ‘Jama’a Bainas Solatain,’ dan Hanbal di dalam Musnad menyebutkan, Ibnu Abbas melalui Sa’id Bin Jabir bahawa Rasul mengerjakan solat Zohor dengan Asar bersambung di Madinah tanpa ada sebarang halangan, sama ada dari ketakutan ataupun cuaca yang buruk. Abu Zubair berkata, dia bertanya kepada Abu Sa’id mengapa Nabi menyatukan kedua-dua solat tersebut. Sa’id berkata, dia juga bertanyakan kepada Ibnu Abbas soalan yang sama. Ibnu Abbas menjawab bahawa Baginda menyambungkan kedua solat tersebut supaya ummahnya tidak dibebani dengan kesusahan dan penderitaan yang tidak diperlukan. Juga, di dalam banyak hadith-hadith yang lain, Ibnu Abbas telah dikatakan sebagai berkata bahawa Nabi, telah menyatukan solat Zohor dengan Asar begitu juga solat Maghrib dengan Isyak tanpa terdapat sebarang halangan untuk melakukannya. Hadith-hadith ini di dalam sahih kamu, dan juga di dalam kitab-kitab sahih yang lain telah membuktikan ‘BOLEHNYA’ disatukan kedua-dua solat, sama ada di rumah dan juga bermusafir.

Al-Hafiz: Tidak terdapat sebutan hadith sebegitu di dalam Sahih Bukhari.

Shirazi: Kerana semua penulis Sahih, seperti Muslim, Nisa’i, Ahmad Bin Hanbal, dan pensyarah-pensyarah hadith bagi Muslim dan Bukhari serta ulama-ulama Sunni yang terkenal telah menyebutkan perkara ini, maka mencukupilah bagi kami untuk mengatasi akan maksud tujuan ini. Tetapi yang sebenarnya, Bukhari juga ada merakamkan hadith ini di dalam sahihnya, tetapi dia dengan sengaja telah meletakkannya di tempat yang lain, tidak di tempat yang sepatutnya iaitu pada Bab mengenai penyatuan dua solat. Jika kamu membaca pada Bab ‘Bab Taakhiruz-zuhr lil-Asr Min Kitabi Mawaqitus-salat’ dan ‘Bab Dhikrul-Isha wal-Atma’ dan ‘Bab Waqtul-Maghrib,’ kamu akan dapati kesemua hadith itu di sana. Merakamkan hadith-hadith itu di bawah tajuk, ‘Membenar dan membolehkan untuk menyatukan dua solat’ telah membuktikan bahawa ini telah menjadi kepercayaan umum bagi ulama-ulama dari kedua-dua golongan. Kesahihan hadith-hadith ini telah pun diperakui di dalam kitab-kitab hadith tersebut. Menurut Allamah Nuri di dalam Syarah Sahih Muslim, Asqalani, Qastalani, Zakariyya Ar-Razi, di dalam ulasannya bahawa mereka telah menulis di dalam sahih Bukhari, Zarqani di dalam komentarinya pada Muwatta' Malik, dan yang lainnya ada menyebut hadith ini. Setelah menyebutkan hadith dari Ibnu Abbas, mereka memperakui akan kesahihan dan menerima hadith ini sebagai bukti pada penerimaan menyatukan dua solat.

Nawab: Bagaimana mungkin yang hadith ini telah diamalkan semenjak dari masa Rasul SAW, tetapi para ulama telah mengambil laluan yang berlainan?

Shirazi: Situasi begini tidak tertakluk pada perkara ini sahaja. Kamu akan lihat banyak lagi contoh-contoh yang lain kemudian. Di dalam perkara ini, ulama fiqh Sunni, tanpa berfikir dengan mendalam, atau sebab-sebab lain yang saya tidak dapat fahami, telah memberikan jawapan [penerangan] yang tidak bijaksana yang bertentangan dengan hadith. Sebagai contoh, mereka mengatakan bahawa mungkin hadith ini merujuk kepada situasi yang bersangkutan dengan ketakutan, bahaya, hujan atau angin. Sebahagian dari ulama yang terdahulu, seperti Imam Malik, Imam Safie, dan sebahagian ahli fiqh dari Madinah telah memberikan keterangan yang sama. Ini semua, walau pun terdapat fakta bahawa hadith Ibnu Abbas dengan nyata mengatakan kedua-dua solat boleh dikerjakan tanpa ada sebarang halangan dari takut, atau kemungkin hujan.

Yang lainnya ada mengutarakan mungkin langit mendung, dan mereka yang mengerjakan solat tidak tahu akan waktunya. Mungkin setelah selesai solat Zohor, awan berlalu, dan mereka lihat telah masuk waktu solat Asar. Maka mereka terpaksa melakukan solat Zohor dan Asar bersambung. Saya tidak fikir akan adanya penerangan yang lebih munasabah. Mungkin penafsir-penafsir ini tidak mengambil endah untuk memikirkan bahawa manusia yang melakukan solat ini adalah Nabi Allah. Awan tidak membawa erti apa-apa bagi diri Nabi sebagaimana ianya kepada diri manusia lain. Nabi tahu segala sebab-sebab dan kesannya. Selain dari kenapa keterangan ini tidak meyakinkan, adalah menyambungkan solat Maghrib dengan Isyak dengan terangnya telah menolak hujah tersebut. Pada ketika itu awan tidak ada kena mengena langsung dengan persoalan ini.

Sebagaimana yang kami katakan: Hadith Ibnu Abbas dengan jelas telah mengatakan beliau berucap kepada khalayak ramai di dalam masa yang panjang sehinggakan mereka melaungkan, ‘solat, solat, solat.’ Mereka mengingatkan beliau bahawa bintang telah terbit dan telah masuk waktu untuk solat. Tetapi beliau dengan sengaja melambatkan solat Maghrib supaya beliau dapat melakukan kedua-duanya iaitu Maghrib dan Isyak. Abu Hurairah juga mengesahkan tindakan ini, dengan mengatakan bahawa Nabi Allah juga melakukan yang sedemikian rupa. Penerangan yang diada-adakan [bida'ah], sedangkan terdapat petunjuk yang terang jelas, ini amatlah dikesali. Ulama kamu sendiri yang menolaknya. Sheikhul-Islam Ansari di dalam ‘Tuhfatul-Bari fi Syarah Sahihul-Bukhari’ di dalam Bab ‘Salatuz-zuhr mAl-Asr wal-Maghrib ma’al Isha,’ muka surat 292, bahagian II, dan begitu juga Allamah Qastalani, pada muka surat 293, bahagian II dari ‘Irshadus-Sari fi Syarah Sahihul-Bukhari’, dan begitu jugalah penyampai hadith untuk Sahih Bukhari yang lainnya menerima bahawa keterangan yang sedemikian adalah bertentangan dengan maksud hadith yang sebenar, yang mana mereka telah menekankan bahawa solat hendaklah dilakukan dengan cara yang berasingan sahaja, ini adalah suatu tuntutan yang tidak berasas.

Nawab: Jadi bagaimanakah kontrovesi ini boleh berlaku sehingga kedua golongan Muslim ini telah hauskan darah sesama mereka dan saling melaknat tindakan mereka?

Shirazi: Kamu katakan kedua golongan Muslim ini saling bermusuhan, saya tidak setuju. Kami Syiah tidak memandang rendah terhadap mana-mana ulama mahupun orang awam dari saudara-saudara kami, ahli Sunnah. Kami menyesali bahawa propaganda puak Khawarij, Nasibi, dan juga Bani Umayyah telah memberi kesan kepada hati sebahagian manusia. Malangnya, sebahagian Sunni menganggap saudara mereka Syiah, yang sama seperti mereka, mempunyai Qiblat, Al-Quran dan juga Rasul yang sama, sebagai Rafidhi [yang menyeleweng], kafir dan musyrik.

Kepada soalan kamu mengenai bagaimana perbezaan ini bermula, mungkin kita dapat membincangkannya di pertemuan yang lain. Mengenai mengerjakan solat berasingan atau disambungkan, ulama fiqh Sunni telah merakamkan hadith yang telah membenarkan mengerjakan solat Zohor dengan Asar, dan Maghrib bersama Isyak bagi tujuan keselesaan, kesenangan dan keselamatan. Saya tidak tahu mengapa, sebahagian daripada mereka tidak membolehkan ianya dilakukan bersama, jika tidak terdapat sebarang halangan.

Sebahagian mazhab agama seperti Abu Hanifah dan pengikutnya [Hanafi] melarangnya dalam segala bentuk keadaan, sama ada halangan atau tidak atau semasa di rumah atau bermusafir. Safie, Maliki dan Hanbali, dengan segala perbezaan mereka di dalam perkara perlu [rukun] dan juga lainnya; telah membolehkan penyatuan solat di dalam bermusafir syarak. Tetapi ulama Syiah, dengan mematuhi kepada Nabi dan juga keturunan Nabi, dengan tanpa syarat telah membolehkan mengerjakan solat yang disatukan.

Sudah pasti mengerjakan solat pada waktu yang ditetapkan adalah lebih afdhal dari yang disatukan, sebagaimana yang telah dinyatakan dengan terang di dalam kitab-kitab syariah [perundangan agama] yang dituliskan oleh ulama Syiah. Oleh kerana manusia selalunya sibuk dengan urusan masing-masing dan mereka khuatir yang mereka akan tertinggal mengerjakan solat. Makanya untuk kemudahan dan menjauhkan diri dari kesusahan, Syiah telah mengerjakannya pada satu masa, sama ada di awal atau di akhir waktu pada masa yang ditetapkan. Sekarang saya rasa sebanyak ini telah mencukupi untuk menerangkan kepada saudara kami ahli Sunnah yang telah memandang hina kepada kami. Mungkin kita boleh kembali kepada perbincangan kita mengenai yang asas, di mana dengannya persoalan berkaitan amalan akan dapat diselesaikan.

BAGAIMANA KETURUNAN ALLAMAH SHIRAZI BERHIJRAH DARI HIJAZ KE IRAN

Tuan Al-Hafiz bertanya kepada Allamah Sultanul Wa’izin bagaimana keturunan beliau berhijrah dari Hijaz ke Iran. Beliau menceritakan sejarahnya dan juga bagaimana keturunan beliau telah dibunuh di Shiraz di atas perintah Khalifah Abbasiyah. Pusara peringatan mereka masih mendapat kunjungan orang ramai dari tempat jauh yang datang berziarah. Yang termasyhur di antara mereka adalah Syed Amir Muhammad Abid, Syed Amir Ahmad [Shah Charagh] dan Syed Alauddin Husain, kesemuanya adalah anak-anak Imam Musa Al-Kazim. Terperinci mengenai keluarga beliau tidak dituliskan.

BAGAIMANA PUSARA AMIRUL MU'MININ ALI (AS) DITEMUI

Penemuan pusara Amirul Mu'minin Ali [as] yang suci juga disebut.

Al-Hafiz: Tetapi di dalam negara mana pusara Amirul Mu'minin Imam Ali [as] ditemui setelah 150 tahun berlalu setelah kematian beliau?

Shirazi: Kerana penindasan dan serangan yang kejam dari Bani Umayyah di masa yang akhir pada kehidupan Imam Ali, beliau mengarahkan di dalam wasiatnya bahawa jasad beliau hendaklah dikebumikan secara rahsia di malam hari, dan jangan meninggalkan sebarang tanda yang kuburan ada di situ. Hanya beberapa orang sahabat yang rapat bersama anak-anak beliau yang hadir dalam pengebumian tersebut. Pada keesokan harinya 21 Ramadhan apabila jasadnya hendak dikebumikan, dua perarakan jenazah disediakan. Satu diarahkan untuk pergi ke Makkah, yang satu lagi ke Madinah. Itulah sebabnya mengapa bertahun-tahun lamanya pusara beliau tinggal rahsia, melainkan kepada beberapa orang sahabat dan anak-anak beliau.

Al-Hafiz: Mengapa tempat pusara beliau dirahsiakan?

Shirazi: Mungkin kerana takut pada Umayyah yang tidak beragama. Mereka khususnya amat benci pada ahli keturunan Nabi. Mereka mungkin akan membongkar pusara tersebut.

Al-Hafiz: Tetapi adakah mungkin bagi seorang Muslim, walaupun bermusuhan, akan membongkar kuburan saudara Muslim yang lain?

Shirazi: Pernahkah kamu mempelajari sejarah Umayyah? Semenjak dari mulanya dinasti terlaknat ini berkuasa pintu penindasan telah terbuka di antara Muslim. Astarfirrullah!! Kekejaman apa yang mereka lakukan, darah apa yang mereka tumpahkan, dan kehormatan apa yang mereka cabuli. Dengan malu yang amat sangat, ulama ulung kamu telah merakamkan jenayah-jenayah mereka yang banyak. Allamah Maqrizi Abul-Abbas Ahmad Bin Ali Safie merakamkan kekejaman yang menyayat hati Umayyah di dalam kitabnya ‘Annaza Wat-takhasum fima baina Bani Hashim wa Bani Umayyah.’

PEMBONGKARAN KUBURAN OLEH BANI UMAYYAH

Sebagai contoh terhadap apa yang sanggup mereka lakukan, saya akan nyatakan dua peristiwa: Syahidnya Zaid Bin Ali Bin Husain, yang dikenali sebagai Zaid Al-Syahid, dan syahidnya anak beliau, Yahya. Ahli sejarah dari kedua-dua golongan Sunni dan Syiah merakamkan bahawa apabila Hisham Bin Abdul Malik menjadi Khalifah, dia telah melakukan banyak kezaliman. Khusus terhadap Bani Hashim, terlalu amat dibencinya. Akhirnya Zaid Bin Ali, anak kepada Imam Ali Zainul Abidin dan terkenal sebagai seorang ulama yang wara’ pergi bertemu Khalifah untuk menyampaikan penderitaan Bani Hashim. Tetapi apabila sahaja Zaid sampai, Khalifah, yang seharusnya menyambut kedatangan keturunan Rasul, telah memaki hamun beliau dengan bahasa yang kesat, yang mana saya tidak dapat menyebutkannya di sini. Disebabkan oleh layanan yang sebegitu buruk, Zaid meninggalkan Syria menuju Kufah, di mana dia membentuk satu pasukan tentera menentang Bani Umayyah. Gabernor Kufah, Yusuf Bin Umar Thaqafi keluar dengan angkatan tentera yang besar untuk berdepan dengan beliau. Zaid membaca syair yang berikut: ‘Kehidupan yang hina dan kematian yang terhormat : Kedua-duanya adalah pahit, tetapi jika satu darinya perlu dipilih, pilihan daku adalah kematian yang terhormat.’

Walaupun beliau berjuang dengan berani, akhirnya Zaid terbunuh di peperangan tersebut. Anak beliau, Yahya mengambil jasad beliau dari medan pertempuran dan mengembumikannya jauh dari kota di tebing sungai, kemudian mengalirkan air sungai itu di atas pusara beliau. Bagaimana pun pusara beliau telah dijumpai dan Yusuf memerintahkan jasad beliau dikeluarkan. Kepala Zaid dipotong kemudian dihantar kepada Hisham di Syria pada bulan Safar 121 H. Hisham menggantungkan jasad yang suci dari keturunan Rasul itu di tempat pergantungan dengan tidak berpakaian. Untuk selama empat tahun jasad tersebut berada di tempat pergantungan. Kemudiannya apabila Walid Bin Yazid Bin Abdul Malik Bin Marwan menjadi Khalifah pada tahun 126 H, dia memerintahkan rangka itu diturunkan, dibakar, dan debunya ditaburkan di udara.

Manusia yang terlaknat ini juga melakukan perkara yang sama terhadap jasad Yahya Bin Zaid dari Gurgan. Orang yang mulia ini juga menentang kezaliman Bani Umayyah. Beliau juga gugur di medan pertempuran. Kepalanya dipotong kemudian dihantar ke Syria, dan sama seperti bapanya juga, jasadnya digantung di tempat pergantungan – selama enam tahun. Rakan dan musuh sama menangis melihatkan ini. Waliuddin Abu Muslim Khorasani, yang telah bangun menentang Bani Umayyah bagi pihak Bani Abbas, mengambil jasadnya dan dikebumikan di Gurgan, di mana ianya kini menjadi tempat ziarah.

KEKEJAMAN DINASTI UMAYYAH

Memandangkan dari kekejaman dinasti yang terlaknat ini, jasad Amirul Mu'minin Ali, telah dikebumikan pada malam hari, dan dengan tidak meninggalkan sebarang bekas. Pusara beliau telah tinggal tidak diketahui sehinggalah pada masa Khalifah Harun ar-Rashid. Satu hari Harun berburu di satu kawasan di Najaf, di mana rusa hidup dengan banyaknya. Apabila anjing-anjing mengejar rusa tersebut, ianya lari berlindung di satu tanah tinggi Najaf. Di bukit kecil ini anjing-anjing itu tidak akan menaikinya. Beberapa kali berulang, apabila anjing-anjing itu berundur rusa akan turun, tetapi apabila dikejar ia akan naik semula ke bukit kecil itu. Memahami bahawa ada sesuatu sebab yang membuatkan anjing-anjingnya bertindak sedemikian, maka Harun telah mengerahkan orang-orangnya untuk merisik di Najaf. Mereka membawa seorang lelaki tua kepadanya, dan Khalifah pun bertanya apakah rahsianya yang membuat anjing-anjingnya tidak akan naik ke bukit kecil tersebut.

Orang tua itu mengatakan bahawa dia tahu akan rahsianya, tetapi dia takut untuk mendedahkan. Khalifah lalu memberikan jaminan terhadap keselamatannya, maka orang tua itu memberitahunya: ‘Suatu ketika daku sampai ke tempat ini bersama bapaku, kami pergi ke bukit kecil itu dan bersolat di sana. Apabila daku bertanya bapa, apakah yang ada di sana, bapa berkata bahawa mereka telah pergi ke sana dengan Imam Ja'afar As-Sodiq untuk berziarah. Imam telah berkata bahawa itu adalah pusara datuknya yang suci, Amirul Mu'minin Ali, dan bahawa tidak lama lagi ianya akan diketahui manusia.’ Di atas perintah Khalifah tempat itu digali, dan petanda bahawa itu adalah pusara jelas kelihatan bersamanya ada batu tanda yang di atasnya bertulis dengan huruf ‘Syriac’ yang bermaksud: ‘Dengan nama Allah yang amat Pemurah lagi amat Pengasih. Pusara ini telah disediakan oleh Nabi Nuh untuk Ali, pengganti Muhammad, 700 tahun sebelum banjir besar berlaku.’

Khalifah Harun memberi penghormatan kepada tempat itu dan mengarahkannya dipelihara. Dia kemudian bersolat dua rakaat. Dia menangis teresak-esak di pusara tersebut. Kemudian dengan arahan Khalifah semua perkara ini dibentangkan kepada Imam Musa Al-Kazim di Madinah. Imam mengesahkan bahawa pusara itu adalah tempat semadi datuknya, Amirul Mu'minin Ali. Harun kemudian memerintahkan bangunan batu didirikan menaungi pusara tersebut, yang kemudian dinamakan sebagai Hajar Haruni, ‘struktur batu yang didirikan oleh Harun’. Tidak lama kemudian berita tersebut tersebar, dan kaum Muslimin datang beramai-ramai menziarahi tempat tersebut. Ibrahim Munjab, datuk, datuk, datuk kepada Sultanul Wa’izin juga meninggalkan Shiraz untuk berziarah ke tempat itu, dan setelah menunaikan ziarah, beliau meninggal dunia di Karbala. Beliau telah disemadikan berhampiran dengan pusara datuk, datuk, datuknya Imam Husain. Pusaranya terletak di bahagian penjuru Timur barat kawasan perkuburan suci tersebut yang kini diziarahi oleh yang menyanjungnya.

PERBEZAAN MENGENAI TEMPAT PERSEMADIAN AMIRUL MU'MININ

Al-Hafiz: Walaupun dengan ulasan yang cukup mantap, saya fikir bahawa pusara Ali [ra] tidak terletak di Najaf. Para ulama mempunyai pandangan yang berbeza. Sebahagian mengatakan di dalam rumah kerajaan di Kufah; sebahagian mengatakan di bahagian Qiblat di Masjid Pusat di Kufah; sebahagian mengatakan di bahagian pintu yang bernama Bab Kinda di Masjid Kufah; sebahagian percaya di Rahba di Kufah; dan ada yang percaya bersebelahan pusara Fatimah di Baqi. Di Afghanistan, juga terdapat satu tempat berhampiran Kabul yang diketahui sebagai pusara Ali. Menurut dari satu peristiwa, jasad Ali yang suci telah dimuatkan ke dalam satu kotak dan diletakkan di atas unta yang akan dikirimkan ke Madinah. Segolongan perompak telah merompak kotak tersebut yang disangkakan mengandungi harta. Setelah dibuka, mereka dapati jasad yang suci, dibawanya ke Kabul dan terus di semadikan di tempat tersebut. Itu makanya manusia berkunjung ke tempat itu.

Shirazi: Timbulnya perbezaan ini adalah disebabkan wasiat yang ditetapkan, yang mengarahkan bahawa persiapan untuk pengkebumian hendaklah yang mengelirukan. Telah dikatakan dari Imam Ja'afar As-Sodiq bahawa pada saat kematiannya, Amirul Mu'minin memberitahu anaknya Imam Husain, bahawa setelah menyemadikannya di Najaf, dia harus menyediakan empat kuburan untuknya di empat tempat yang berlainan, di Masjid di Kufah, di Rahba, di rumah di Juda Hira dan di Ghira. Para Syiah bersetuju yang pusara beliau di Najaf. Apa saja yang mereka dapati dari Ahlul Bayt adalah sahih. Ahli rumah tersebut lebih mengetahui apa yang bersangkutan dengan rumah mereka.

Saya benar-benar hairan terhadap ulama kamu, yang telah mengabaikan kata-kata keturunan Rasul, dalam semua perkara. Mereka tidak bertanyakan anaknya di mana tempat letak pusara bapa mereka, supaya dapat mengetahui yang sebenar. Pastinya si anak lebih mengetahui kedudukan pusara bapa mereka dari yang lain. Jika terdapat mana-mana teori yang baru ini ada yang betul, sudah pasti Imam telah memberitahu kepada pengikutnya. Tetapi mereka telah mengesahkan bahawa kedudukannya di Najaf, dan dengan sendiri telah menziarah ke tempat itu, dan menyuruh pengikutnya untuk berbuat yang sedemikian. Sibt Ibnu Jauzi ada di dalam Tazkirahnya menyebutkan perbezaan ini. Dia berkata: ‘Pandangan yang keenam adalah yang di Najaf, di tempat yang telah diketahui umum, yang kerap diziarahi manusia. Dari semua pandangan inilah yang kelihatan paling benar.’ Begitu juga ulama kamu yang lain lagi seperti Khatib Khawarizmi di dalam ‘Manaqib’nya, Muhammad Bin Safie di dalam ‘Matalibus Suul’nya, Ibnu Abil Hadid di dalam kitab Syarah Nahjul Balaghah, Firuzabadi di dalam kitab Qamus, di bawah perkataan Najaf, dan yang lainnya telah mengatakan pusara Amirul Mu'minin Ali [as] terletak di Najaf.