Amanat Tahun Baru 2008

From Wikisource
Jump to: navigation, search
Amanat Tahun Baru 2008 oleh Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia, di Putrajaya bertarikh 1 Januari 2008.

Bismillahir rahmanir rahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera

Saudara dan saudari sekalian

1. Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t., kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, kita telah berjaya menempuh tahun 2007 dengan jayanya.

2. Terlebih dahulu, saya ingin melahirkan rasa simpati saya terhadap puluhan ribu rakyat negara kita yang menjadi mangsa banjir.

3. Sesungguhnya, bencana ini merupakan satu ujian daripada Allah s.w.t., bukan sahaja terhadap mereka yang dilanda banjir, tetapi juga kepada rakyat lain yang terselamat darinya, dan juga kepada kerajaan. Saya bersyukur kepada Allah kerana pada masa dan dalam keadaan seperti ini, kita memperlihatkan perasaan simpati dan kasih sayang serta semangat ingin menolong yang tinggi, yang diberikan kepada mangsa tanpa mengira kaum, agama dan kedudukan dalam masyarakat. begitulah juga halnya, setiap kali berlaku bala bencana, baik di mana sahaja, di bandar atau di desa. Kerana itulah, saya amat berbangga dengan rakyat Malaysia.

4. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat; polis, tentera, anggota kerajaan dan orang awam yang terlibat dalam usaha menyelamat dan membantu para mangsa.

Saudara dan saudari sekalian,

5. Tahun 2007 merupakan ulangtahun kemerdekaan yang ke-50 buat negara kita. Detik keramat tersebut telah kita sambut dengan penuh meriah dan penuh warna-warni. Kita bersyukur kerana setelah 50 tahun merdeka, Jalur Gemilang terus berkibar megah di bumi Malaysia yang merdeka dan berdaulat.

6. Pada masa yang sama, tahun 2007 juga menandakan tahun pertama dalam fasa 15 tahun yang kedua, dalam perjalanan kita menuju ke arah sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

7. Cabaran besar ini telah kita sambut dengan penuh keazaman. Kerajaan telah melancarkan 'misi nasional', yang kini menjadi perjuangan kita ke arah aspirasi yang sama-sama kita idamkan. Alhamdulillah, pelaksanaan misi nasional setakat ini berjalan lancar dan sudahpun mula membuahkan hasil.

8. Dalam usaha kita untuk meningkatkan nilai tambah kepada pembangunan ekonomi, tahun 2007 merakamkan pelbagai kejayaan yang memberangsangkan. Ekonomi negara dijangka akan berkembang pada kadar 6 peratus bagi tahun 2007: satu angka yang harus dibanggakan. Tahap perdagangan serta pasaran saham negara yang cergas turut mencerminkan pertumbuhan ekonomi yang mantap, sementara kadar inflasi dan pengangguran berada pada tahap yang rendah dan terkawal.

9. Pembangunan pelbagai sektor pertumbuhan baru–termasuklah industri bioteknologi, pertanian dan industri asas tani, perbankan Islam, industri halal, dan sebagainya–terus berkembang dengan pesat. Seperti lazimnya, sektor swasta menjadi enjin utama dalam memacu peningkatan nilai tambah dan menggerakkan ekonomi negara.

10. Dalam usaha kita membangunkan modal insan, tahun 2007 menjadi titik permulaan yang menjanjikan pencapaian yang gemilang. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan telah dilancarkan pada Januari 2007, diikuti dengan pelan strategik serta pelan tindakan pengajian tinggi negara. Kesemua pelan ini sedang menjana satu pembaharuan ketara bagi menyediakan sistem pembelajaran dan pengajian tinggi kelas pertama untuk anak-anak kita, bagi menghasilkan modal insan yang berilmu, berdaya saing, dan berintegriti.

11. Dalam usaha kita untuk memastikan bahawa faedah pembangunan negara terus dinikmati secara saksama, tahun 2007 telah menyaksikan pelaksanaan koridor pembangunan ekonomi secara besar-besaran; di selatan Johor, di wilayah utara dan di wilayah pantai timur. Pembangunan koridor-koridor wilayah ini akan membawa perubahan besar kepada ekonomi dan pembangunan negeri-negeri yang terbabit.

12. Dalam usaha kita untuk terus meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia, tahun 2007 membuktikan bahawa kerajaan tetap prihatin terhadap nasib rakyat. Sungguhpun harga minyak melambung naik di pasaran dunia, kerajaan telah mengekalkan harga minyak dalam negara untuk sepanjang tahun. Di samping itu, harga barang-barang keperluan asas turut dipantau bagi memastikan kenaikan kos sara hidup dapat dikawal.

13. Keselamatan awam turut diberi perhatian dalam menambahbaik kualiti hidup rakyat. Untuk itu, Polis Di-Raja Malaysia terus meningkatkan operasinya mencegah jenayah dan kini sedang giat menambah bilangan anggota polis; disasarkan seramai 60 ribu anggota baru akan menyertai P.D.R.M. dalam jangka masa 5 tahun akan datang ini.

14. Dalam usaha untuk memperkukuh institusi dan meningkatkan keupayaan pelaksanaan pula, tahun 2007 telah membuktikan kesungguhan serta keazaman kita. Penubuhan jawatankuasa "PEMUDAH" misalnya, telah merancakkan lagi usaha melancarkan proses kerja dan urusan kerajaan. Sebagai tanda penghargaan serta untuk memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan awam, kerajaan telah mengumumkan kenaikan gaji antara 7.5 sehingga 42 peratus untuk kakitangan awam pada bulan julai yang lalu.

Saudara dan saudari sekalian

15. Tahun 2007 juga turut menyerlahkan kejayaan negara dalam pelbagai arena di dalam dan di luar negara.

16. Kempen Tahun Melawat Malaysia 2007 telah berjaya menarik kira-kira 20.7 juta pelancong, yang telah menghasilkan pendapatan pelancongan sebanyak 45.7 bilion ringgit. Dalam arena sukan antarabangsa, kejayaan atlet negara meraih 68 pingat emas di sukan S.E.A. di Korat merupakan kebanggaan kita bersama. Begitu juga, kejayaan Malaysia sebagai tuan rumah kepada World Islamic Economic Forum (W.I.E.F.) pada tahun 2007, menyerlahkan kepimpinan negara dalam menterjemahkan potensi ekonomi dunia Islam. Kemuncak kebanggaan kita rakyat Malaysia untuk tahun 2007 ini pastinya apabila buat pertama kalinya, Malaysia memiliki dua orang angkasawan dengan seorang darinya telah ke Atesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 10 oktober yang lalu, dan seorang lagi insya'Allah, akan ke sana pada tahun 2010 atau 2011 nanti.

17. Di sebalik pelbagai kejayaan ini, kita harus insaf bahawa ianya berjaya kita kecapi hasil daripada perpaduan dan kebersatuan yang telah kita pupuk untuk sekian lama. perasaan muhibah, sikap toleran serta cara bersederhana yang wujud di kalangan kita selama ini, telah berjaya merobohkan benteng pemisah yang wujud oleh kerana perbezaan kaum, agama, pangkat, mahupun darjat.

18. Buat sekian lama, kita meningkat dewasa dan matang bersama dengan aman dan harmoni. Ini kerana adanya perasaan muhibah, sikap toleran dan cara bersederhana, yang mengupayakan kita untuk mengerti dan memahami akan orang lain. Dan kita tidak hanya melihat dengan mata kepala kita sendiri tetapi juga dari pandangan dan perspektif orang lain. Ini kita lakukan kerana kita arif dan akur bahawa bumi Malaysia ini bukan milik mana-mana individu atau kaum, tetapi adalah milik kita bersama, setiap rakyat Malaysia. Di negara ini, tidak ada warga yang diiktiraf lebih tinggi kerakyatannya dari warga yang lain.

19. Sesungguhnya saya amat berbangga dengan semangat ini, semangat yang meletakkan kita di mana kita berada hari ini; Malaysia yang pesat membangun, Malaysia yang aman dan makmur. Saya percaya, semangat ini jugalah yang akan menolak sebarang bentuk tindakan melampau atau ekstrim yang hanya akan menggugat perpaduan kita, mengancam keamanan dan kesejahteraan negara dan rakyatnya.

20. Kita tidak harus memberi sedikitpun ruang atau peluang kepada golongan pelampau untuk mempengaruhi, jauh sekali menentukan, agenda negara. Segala usaha yang dilakukan mestilah dengan matlamat untuk membawa manfaat dan faedah kepada semua rakyat dan bukan kerana menyahut desakan daripada pemikiran sempit golongan ini.

21. Kebebasan bersuara tiada ertinya jika tidak digunapakai dengan bertanggungjawab. Kita sendiri telah menyaksikan pelbagai musibah dan bencana yang menimpa negara-negara lain akibat daripada amalan kebebasan bersuara yang tiada had, yang kononnya dianggap mutlak. Setiap dari kita bertanggungjawab untuk memelihara negara ini dari terjebak ke kancah huru-hara akibat dari apa yang dimomokkan sebagai kebebasan bersuara yang tidak mempedulikan perasaan atau sensitiviti orang lain.

22. dalam beberapa minggu kebelakangan ini, isu kebebasan beragama telah timbul sebagai masalah. kita perlu menghadapinya dengan sabar dan berhati-hati serta menjauhkan diri dari dipengaruhi. kita harus mengambil pendirian untuk menolak cara penyelesaian yang ekstrim. isu ini tidak akan boleh diselesaikan melalui demonstrasi jalanan.

23. Saya percaya rakyat Malaysia mampu berfikir dan menilai dengan bijak. Saya yakin, setiap dari kita rakyat Malaysia cintakan negaranya; Malaysia yang aman, damai dan harmoni. Dan kita tidak akan sekali-kali membenarkan dan merelakan sebarang anasir untuk merosak atau mencemarkan keharmonian yang telah kita bina buat sekian lama.

24. Dengan itu, marilah kita bersama-sama berganding bahu untuk mempertahankan keamanan dan kemakmuran yang kita nikmati ini. Sekiranya ada kekurangan dalam pelaksanaan, marilah kita bersama memperkukuhkannya, dengan jujur dan dengan ikhlas, demi Malaysia yang tercinta.

Saudara dan saudari sekalian

25. Tahun 2008 yang bakal kita hadapi ini, menjanjikan seribu satu rahmat buat kita semua. saya percaya kita akan terus bekerja bersama, untuk membawa keamanan, perpaduan dan kemajuan bagi negara yang kita cintai ini.

26. Mana yang keruh, sama-sama kita buangkan, supaya yang jernih dapat kita nikmati. Mana yang berat, kita pikul; mana yang ringan, kita jinjing. Semuanya kita lakukan bersama. Kepada Tuhan kita pohon petunjuk dan rahmat serta berkat.

27. Selamat tahun baru saya ucapkan kepada semua rakyat Malaysia, di mana jua anda berada.

Sekian.