Al-Fiqh al-Akbar
From Wikisource
| Al-Aqidah al-Tahawiyah | Al-Fiqh al-Akbar by Abu Hanifah al-Nu'man ibn Thabit |
Qawaid al-Aqa'id |
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Dasar ketauhidan dan apa yang menjadikan iman sahih, adalah dengan mengatakan bahawa:
- Saya percaya kepada Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para rasul-Nya, kebangkitan sesudah mati, qadar - yang baik dan buruknya - hitungan amal perbuatan, neraca timbangan, syurga dan neraka; semuanya benar belaka
- Allah adalah satu, bukan dalam jalan angka, tetapi dalam cara bahawa Dia tiada sekutu - Katakanlah: Dia adalah Allah yang Maha Esa; Allah yang menjadi tempat bergantungan; Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan; tiada satu pun yang setara dengan-Nya. Dia tidak menyerupai sesuatu pun di kalangan makhluk-Nya, tidak pula sesuatu pun di kalangan makhluk-Nya yang menyerupai-Nya. Dia telah sentiasa kekal dan akan sentiasa kekal dengan nama-nama dan sifat-sifat-Nya, nama dan sifat-Nya itu berkait dengan zat-Nya dan perbuatan-Nya. Perkara yang berkait dengan zat-Nya ialah hayat, kuasa, pengetahuan, kata-kata, pendengaran, penglihatan dan kehendak. Perkara yang berkaitan dengan perbuatan-Nya ialah penciptaan, pemberian rezeki, pemulaan, pembuatan, pembentukan dan segala sifat perbuatan yang lain. Dia telah kekal dan akan kekal dengan sifat-sifat dan nama-nama-Nya; kedua-duanya bukan makhluk. Dia sentiasa mengetahui sejak azali dengan ilmu-Nya, dan ilmu-Nya adalah sifat azali. Dia sentiasa berkata-kata sejak azali dengan perkataan-Nya, dan perkataan-Nya adalah sifat azali. Dia sentiasa mencipta sejak azali dengan kuasa cipta-Nya, dan kuasa cipta-Nya adalah sifat azali. Dia sentiasa berbuat sejak azali dengan perbuatan-Nya, dan perbuatan-Nya adalah sifat azali; benda perbuatan-Nya adalah makhluk, dan perbuatan-Nya adalah bukan makhluk. Sifat-sifat-Nya wujud sejak azali, tidak dicipta atau diwujudkan pada saat tertentu. Sesiapa yang mengatakan bahawa semua sifat itu diciptakan atau diwujudkan pada saat tertentu, atau tidak yakin tentang sifat-sifat tersebut dan meraguinya, adalah seorang yang kafir terhadap Allah s.w.t
- Al-Quran adalah Kata-kata Allah yang ditulis di atas mushaf, terpelihara dalam dada manusia, dibaca oleh lisan manusia dan diturunkan kepada Rasul Allah s.a.w. Perbuatan melafazkan al-Quran adalah makhluk dan perbuatan membaca al-Quran adalah makhluk tetapi al-Quran itu sendiri bukanlah makhluk. Iaitu yang Allah sebut dalam al-Quran sebagai cerita daripada Nabi Musa dan nabi-nabi yang lain a.h dan juga daripada Firaun dan Iblis, semuanya adalah kata-kata Allah, dan mengandungi kisah berkenaan mereka. Kata-kata Allah bukan makhluk. Al-Quranlah sebagai kata-kata Allah yang bukan makhluk, bukannnya kata-kata mereka. Nabi Musa a.h mendengar kata-kata Allah sebagaimana Allah berfirman: "Allah bertutur kepada Musa". Oleh itu, Allah adalah penutur dan Nabi Musa tidak bertutur. Allah adalah pencipta sejak sebelum azali, sekalipun tanpa membawa makhluk kepada kewujudan: "tiada satu pun yang serupa dengan-Nya; Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat". Apabila Allah bertutur kepada Nabi Musa, Dia bertutur dengan kata-kata-Nya yang merupakan sifat yang wujud sejak sebelum azali seperti mana semua sifat-Nya, tidak seperti sifat-sifat makhluk.
- Allah mengetahui, tetapi bukan dengan cara yang kita mengetahui; Dia berkuasa, tetapi bukan dengan cara yang kita berkuasa; Dia melihat, tetapi bukan dengan cara yang kita melihat; Dia mendengar, tetapi bukan dengan cara yang kita mendengar; dan Dia berkata-kata, tetapi bukan dengan cara yang kita berkata-kata. Kita berkata-kata dengan cara anggota dan bunyi sebutan, manakala Allah a.z.w tidak berkata-kata dengan anggota atau bunyi. Bunyi adalah makhluk, dan kata-kata Allah a.z.w adalah bukan makhluk. Dia adalah satu zat, tetapi tidak serupa dengan zat yang lain; dengan mengatakan "zat", kita hanya bermaksud untuk mengesahkan hakikat-Nya. Dia tidak berjasad atau berjirim, tidak bersifat secara kebetulan, tidak mempunyai kesudahan, tiada sekutu mahupun bandingan atau saingan. Dia memiliki tangan, wajah dan jiwa (nafs); sebagaimana yang disebutkan Allah s.w.t. dalam al-Quran. Oleh itu, apa yang Allah sebutkan mengenai tangan, wajah dan diri-Nya adalah bermakna sifat-sifat-Nya tanpa perlu dipersoalkan kan "bagaimana" (bila kaifa). Tidak boleh mengatakan bahawa tangan-Nya mewakili kuasa (kudrat)-Nya atau nikmat-Nya kerana tafsiran sebegitu akan merosakkan sifat-Nya. Kenyataan sebegini adalah pendapat golongan Qadariyah dan Muktazilah. Akan tetapi, tangan-Nya adalah sifat-Nya, tanpa perlu dipersoalkan "bagaimana", begitu juga dengan kemurkaan dan keredhaan-Nya yang merupakan sifat-sifat-Nya tanpa perlu dipersoalkan "bagaimana". Allah tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia. Dia mempunyai ilmu mengenai sesuatu itu sejak azali sebelum penciptaan mereka.
- Dialah yang menentukan dan mentaqdirkan segalanya. Tiada satu pun yang akan wujud di dunia ini atau di akhirat melainkan dengan iradat-Nya, ilmu-Nya, qada' dan qadar-Nya, serta melainkan ia tertulis di atas Lauh al-Mahfuz. Dia mencatatkan segalanya di situ secara pensifatan dan bukannya taqdir...