Al-Aqidah al-Tahawiyah

From Wikisource
Jump to navigation Jump to search
Matn al-Aqidah al-Tahawiyah
by Ahmad ibn Muhammad al-Tahawi

Mukaddimah[edit]

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Sarjana besar Hujjat al-Islam, Abu Ja'far al-Warraq al-Tahawi al-Misri (semoga Allah merahmati beliau) berkata: Ini ialah kenyataan yang menjelaskan kepercayaan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah menurut mazhab fuqaha agama ini iaitu Abu Hanifah al-Nu'man ibn Tsabit al-Kufi, Abu Yusuf Ya'qub ibn Ibrahim al-Ansari dan Abu Abd Allah Muhammad ibn al-Hasan al-Shaibani (semoga Allah merahmati mereka semua), dan apa yang diyakini mereka mengenai usul-usul agama dan keimanan mereka terhadap Tuhan semesta alam.

Tauhid[edit]

Mengenai keesaan Allah, dengan menyakini taufik Allah kami mengatakan bahawa:

  1. Allah adalah tunggal, tanpa sekutu
  2. Tiada sesuatu pun yang menyerupai-Nya
  3. Tiada sesuatu pun yang dapat mengatasi-Nya
  4. Tiada tuhan selain-Nya
  5. Dia kekal abadi tanpa wujud permulaan (kelahiran) dan kesudahan (kematian) bagi-Nya
  6. Dia tidak akan binasa dan tidak akan berakhir
  7. Semua perkara berlaku dengan kehendak-Nya
  8. Tiada khayalan yang dapat memikirkan-Nya dan tiada kefahaman yang dapat memahami-Nya
  9. Dia tidak sama dengan makhluk
  10. Dia sentiasa hidup dan tidak akan mati, kekal berjaga dan tidak akan tidur
  11. Dia mencipta sesuatu tanpa dipaksa berbuat demikian dan menyediakan sesuatu kepada ciptaan-Nya tanpa perlu bergantung kepada sebarang usaha
  12. Dia menyebabkan kematian tanpa rasa takut dan menghidupkan kembali sesuatu tanpa rasa susah
  13. Dia sentiasa wujud bersama dengan sifat-sifat-Nya sejak sebelum penciptaan. Membawa penciptaan kepada kewujudan tidak menambah apa-apa kepada sifat-sifat-Nya yang belum ada di situ. Kerana Dia kekal abadi bersama-sama sifat-Nya, oleh itu Dia kekal sepanjang masa tidak berkesudahan
  14. Bukanlah kerana setelah perbuatan penciptaan yang Dia dinyatakan sebagai "Maha Pencipta" dan tidak pula kerana setelah perbuatan pemulaan yang Dia dinyatakan sebagai "Maha Pemula"
  15. Dia sentiasa menjadi Tuhan sekalipun dengan ketiadaan sesuatu yang bertuhan, dan sentiasa ialah Maha Pencipta sekalipun dengan ketiadaan sesuatu yang dicipta
  16. Dengan hal yang sama, Dia adalah Penghidup sesuatu yang telah mati setelah Dia memberi nyawa kepada mereka pada pertama kalinya, dan layak memiliki nama ini sebelum memberi nyawa kepada mereka, demikian juga Dia layak memiliki nama "Maha Pencipta" sebelum Dia mencipta mereka
  17. Dia mencipta makhluk dengan ilmu-Nya
  18. Dia menetapkan nasib terhadap makhluk yang dicipta-Nya
  19. Dia mengurniakan tempoh hayat yang telah ditetapkan kepada mereka
  20. Ini kerana Dia berkuasa untuk melakukan apa sahaja, semua perkara bergantung pada-Nya, semua perkara adalah mudah bagi-Nya, dan Dia tidak memerlukan apa sahaja. "Tiada yang setara dengan-Nya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat" (Surah al-Shura 42:11)
  21. Dia mencipta makhluk dengan ilmu-Nya
  22. Dia menetapkan nasib terhadap makhluk yang dicipta-Nya
  23. Dia mengurniakan tempoh hayat yang tetap kepada mereka
  24. Tiada satu pun perkara mengenai mereka yang tersembunyi dari pengetahuan-Nya sebelum Dia mencipta mereka, dan Dia mengetahui semua perkara yang mereka akan lakukan sebelum Dia mencipta mereka
  25. Dia memerintahkan mereka supaya mentaati-Nya dan melarang mereka menderhakai-Nya
  26. Semua perkara berlaku menurut ketetapan dan kehendak-Nya, dan kehendak-Nya pasti akan terlaksana. Manusia hanya mampu berkehendak dengan apa yang dikendaki-Nya buat mereka. Perkara yang dikehendaki-Nya buat mereka pasti akan berlaku dan perkara yang tidak dikehendaki-Nya pasti tidak akan berlaku
  27. Dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan melindungi mereka, dan memelihara mereka dari bahaya dengan kemurahan hati-Nya; dan Dia menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan menjatuhkan mereka, dan menyeksa mereka dengan keadilan-Nya
  28. Kesemua mereka tertakluk kepada kehendak-Nya samada melalui kemurahan hati-Nya atau keadilan-Nya
  29. Maha Suci Dia daripada mempunyai saingan atau rakan
  30. Tiada sesiapa pun yang mampu melawan ketetapan-Nya atau menghalang perintah-Nya atau mengganggu urusan-Nya
  31. Kami menyakini semua ini dan kami yakin bahawa segalanya datang dari-Nya

Nabi Muhammad[edit]

  1. Dan kami yakin bahawa Muhammad s.a.w adalah hamba dan nabi pilihan-Nya serta rasul-Nya yang diredhai-Nya
  2. Dan bahawa baginda adalah Penutup segala Nabi dan pemimpin orang-orang yang bertakwa dan seorang yang paling terhormat di kalangan para rasul dan kekasih Tuhan sekelian alam
  3. Setiap dakwaan kenabian selepas baginda adalah palsu dan pembohongan
  4. Baginda adalah seorang yang diutuskan kepada semua jin dan manusia dengan kebenaran dan petunjuk dan dengan cahaya dan sinaran hidayah

Quran[edit]

Quran ialah kata-kata Allah. Ia dari-Nya sebagai ucapan tanpa ia mungkin untuk mengatakan bagaimana. Dia menurunkannya kepada rasul-Nya sebagai wahyu. Orang beriman menerimanya, sebagai kebenaran mutlak. Mereka yakin bahawa ia adalah kata-kata Allah yang sebenar. Ia tidak diciptakan, sebagaimana ucapan manusia, dan sesiapa yang mendengarnya dan mendakwa bahawa ia adalah ucapan manusia dia adalah orang yang tidak beriman. Allah memberi amaran kepadanya dan mencelanya dan mengancamnya dengan api neraka apabila Dia berfirman:

Aku akan membakarnya di dalam api neraka (al-Muddaththir 74:26)

Apabila Allah mengancam dengan api neraka mereka yang mengatakan:

Ini hanyalah ucapan manusia (al-Muddaththir 74:25)

kita tahu dengan pasti bahawa itu adalah ucapan Pencipta manusia dan bahawa itu adalah sama sekali bukan ucapan manusia.

Menyerupakan Sesuatu dengan Allah[edit]

Sesiapa sahaja yang menggambarkan Allah sebagai zat yang sama dengan manusia dalam sebarang cara, dia adalah orang yang tidak beriman. Semua mereka yang memahami perkara ini, dia akan berhati-hati dan menahan diri daripada mengatakan perkara-perkara sebegitu sebagaimana apa yang disebut oleh orang yang tidak beriman, dan mereka akan tahu bahawa Dia, dalam sifat-sifat-Nya, adalah tidak sama dengan manusia

Melihat Allah[edit]

Perihal penghuni syurga melihat Allah adalah benar, tanpa penglihatan mereka terlindung dan tanpa cara penglihatan mereka dapat diketahui. Sebagaimana Kitab Tuhan kita menyatakannya:

Wajah-wajah pada hari tersebut berseri-seri sambil melihat Tuhan mereka (al-Qiyamah 75:22-3)

Penjelasan perkara ini adalah sebagaimana yang diketahui dan dikehendaki Allah. Apa sahaja yang datang kepada kita mengenai perkara ini dari Rasulullah s.a.w., dalam hadith-hadith sahih, adalah sebagaimana yang disabdakan dan bermaksud apa yang dimaksudkan baginda. Kita tidak menyelidiki ke dalamnya, cuba untuk mentafsirkannya menurut pendapat kita sendiri atau membiarkan khayalan kita menerawang bebas. Tiada seorang pun yang selamat dalam agama melainkan dia menyerahkan dirinya sepenuhnya kepada Allah yang Maha Besar dan Suci dan kepada rasul-Nya s.a.w., dan meninggalkan pengetahuan perkara-perkara yang samar kepada mereka yang mempunyai ilmu tentangnya.

Muslim Sebenar[edit]

  1. Keislaman seseorang tidak akan terjamin melainkan ia berasaskan penerimaan dan penyerahan diri [kepada Allah]. Sesiapa yang ingin mengetahui perkara-perkara yang di luar kemampuan pengetahuannya, dan yang daya fikirnya tidak berpuas hati dengan penyerahan diri, akan mendapati keinginannya akan menutupinya daripada pemahaman yang tulen terhadap ketawhidan Allah, ilmu yang jernih dan kepercayaan yang sahih, dan dia akan terumbang-ambing antara kekufuran dan keimanan, pengakuan dan penafian, penerimaan dan penolakan. Dia akan dikuasai bisikan-bisikan / desas-desus dan akan mendapati dirinya keliru dan penuh dengan keraguan, bukan mukmin yang mengakui [Allah] dan bukan pula kafir yang menafikan [Allah]
  2. Keimanan seeorang mengenai perkara 'penghuni syurga melihat Allah' tidak sahih sekiranya dia cuba membayangkan bagaimana rupanya perkara itu, atau cuba mentakwilkannya menurut pemahaman dirinya sendiri kerana takwilan perkara 'melihat' ini atau sudah tentu, makna sebarang fenomena yang samar yang wujud dalam kawasan Yang Maha Berkuasa, ialah dengan menjauhi takwilan itu sendiri dan berpegang teguh pada penyerahan diri [kepada Allah]. Inilah agama orang Islam. Sesiapa sahaja yang tidak memelihara dirinya daripada perbuatan menyangkal sifat-sifat Allah, atau menyamakan Allah dengan benda-benda lain, adalah sesat dan gagal memahami kemuliaan Allah, kerana Allah yang Maha Mulia dan Perkasa, hanya mungkin dapat digambarkan dalam istilah ketawhidan dan kunikan / keluarbiasaan mutlak dan tiada makhluk yang menyerupainya
  3. Dia menjangkaui batasan yang dikenakan terhadap-Nya, tidak dikawal mahupun mempunyai anggota badan. Dia tidak pula tertakluk kepada enam arah [atas dan bawah, depan dan belakang, kanan dan kiri] sebagaimana semua makluk

Israk dan Mikraj[edit]

Al-Mi`raj (Perjalanan naik ke langit) adalah benar. Rasulullah s.a.w telah dibawa pada waktu malam dan naik ke langit secara jasmani, dalam keadaan sedar, melalui lapisan langit-langit sampai setinggi yang dikehendaki Allah untuk baginda.

Kolam[edit]

Al-Hawd, kolam yang dikurniakan Allah kepada Rasulullah sebagai penghormatan untuk menghilangkan rasa dahaga umat baginda pada Hari Pengadilan, adalah benar.

Syafaat[edit]

Al-Shifa'ah, (pengantaraan yang diperuntukkan kepada orang Islam), adalah benar sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadith yang mutawatir dan sahih.

Qadar[edit]

  1. Perjanjian yang dibuat antara Allah dengan Adam dan anak cucunya adalah benar
  2. Allah telah mengetahui, sebelum kewujudan masa, akan jumlah sebenar mereka yang akan memasuki syurga dan mereka yang dicampak ke dalam neraka. Jumlah ini tidak bertambah dan tidak pula berkurang
  3. Dengan hal yang sama Allah mengetahui semua amal perbuatan yang dilakukan manusia pada masa depan. Dan setiap orang akan melakukan amal perbuatan yang dia diciptakan untuknya. Dan amal perbuatan itu adalah dengan kehidupan seseorang ditetapkan yang menentukan nasibnya. Mereka yang beruntung adalah beruntung dengan taqdir Allah dan mereka yang celaka adalah celaka dengan taqdir Allah
  4. Hakikat taqdir adalah rahsia Allah dalam ciptaan-Nya, dan tiada satu malaikat pun yang berdekatan dengan Arasy, mahupun seorang nabi pun yang membawa risalah yang diberi pengetahuan tentangnya. Menyelidikinya dan terlampau membayangkannya hanya membawa kepada kebinasaan dan kesesatan, dan berakhir dengan kekufuran. Maka hindarilah sepenuhnya hal memikir dan membayangkan masalah ini atau berasa ragu-ragu tentang masalah ini, kerana Allah menjaga rahsia taqdir daripada pengetahuan manusia, dan melarang mereka bertanya tentangnya dengan berfirman dalam Kitab Suci-Nya, 'Dia tidak akan disoal mengenai apa yang dilakukan-Nya tetapi merekalah yang akan disoal'. (al-Ambiya' 21:23) Jadi sesiapa yang bertanya: 'Mengapa Allah melakukan yang demikian?' dia menentang ketetapan dalam al-Quran, dan sesiapa yang menentang ketetapan dalam al-Quran dia adalah orang kafir
  5. Oleh kerana itu semua perkara ini adalah apa yang perlu diketahui oleh mereka yang disinari hatinya dari kalangan wali Allah dan mengandungi darjat orang yang mendalam ilmunya. Kerana terdapat dua jenis ilmu: ilmu yang dapat diperoleh makhluk, dan ilmu yang tidak dapat diperoleh makhluk. Menafikan ilmu yang dapat diperoleh makhluk adalah perbuatan kafir, dan mendakwa memiliki ilmu yang tidak dapat diperoleh makhluk adalah perbuatan kafir. Keimanan hanya menjadi teguh apabila ilmu yang dapat diperoleh makhluk diterima dan ilmu yang tidak dapat diperoleh makhluk tidak dikejar'

Papan dan Pena[edit]

  1. Kami beriman dengan al-Lawh (Papan atau Batu Bertulis) dan al-Qalam (Pena) serta segala yang tertulis di atasnya. Sekalipun semua makhluk berkumpul untuk membuatkan sesuatu supaya tidak wujud, yang kewujudannya ditulis Allah di atas Papan, mereka tidak akan mampu berbuat demikian. Dan sekiranya semua makhluk berkumpul untuk membuatkan sesuatu supaya wujud, yang kewujudannya tidak ditulis Allah di atasnya, mereka tidak akan mampu berbuat demikian. Pena sudah kering selesai menuliskan semua yang akan terjadi sampai Hari Kiamat. Adalah tidak mungkin bagi seseorang yang melakukan kesilapan untuk melakukan perkara yang betul, dan tidak mungkin pula bagi seseorang yang melakukan perkara yang betul untuk melakukan kesilapan
  2. Adalah perlu bagi hamba untuk mengetahui bahawa Allah telah sedia tahu semua perkara yang akan terjadi dalam ciptaan-Nya dan mengetahui berkenaan iradah Allah dan ketetapan-Nya yang tidak berubah-dan bahawa tiada satu pun daripada makhluk-Nya samada di langit mahupun di bumi yang dapat menghalang ketetapan-Nya, atau menangguhkannya, atau memadamkannya, atau mengubahnya, atau memindahkannya, atau menambahkannya, atau mengurangkannya. Dan tiada makhluk melainkan dengan penciptaan-Nya dan tiada ciptaan melainkan dengan ukuran baik. Ini adalah bahagian asasi keimanan dan unsur penting dalam semua ilmu dan pengiktirafan terhadap ketawhidan dan kekuasaan Allah. Sebagaimana Allah berfirman dalam Kitab-Nya: 'Perintah Allah adalah sentiasa ketetapan yang telah ditentukan'. (al-Ahzab 33:38) Jadi kecelakaan bagi sesiapa yang berhujah dengan Allah berkenaan taqdir dan yang, dengan hati yang sakit, mula menyelidiki masalah ini. Dalam usahanya yang sia-sia untuk menyiasat perkara Ghaib, dia sedang mencari sebuah rahsia yang tidak akan dapat dibongkar, dan dia akan berakhir sebagai pelaku kejahatan yang hanya menceritakan kebohongan semata-mata

Arasy dan Kursi[edit]

  1. Arasy (Takhta) dan Kursi (Kerusi) adalah benar
  2. Dia bebas daripada Arasy dan apa yang ada di bawahnya
  3. Dia menyelubungi semua benda dan berada di atasnya, apa yang diciptakan-Nya tidak mampu menyelubungi-Nya

Para Nabi[edit]

  1. Kami mengatakan dengan keimanan, pengakuan dan ketaatan bahawa Allah menjadikan Ibrahim a.s sebagai kawan yang rapat (khalil Allah) dan bahawa Dia bercakap secara terus dengan Musa a.s
  2. Kami menyakini para malaikat, para nabi dan kitab-kitab yang diwahyukan kepada para rasul dan kami bersaksi bahawa mereka semua mengikuti kebenaran yang nyata

Umat Muhammad[edit]

  1. Kami menggelar ahli kiblat kami sebagai orang Islam dan mukmin selama mana mereka mengakui bahawa apa yang dibawa oleh Rasul Allah s.a.w dan menerima apa sahaja yang disabdakan dan dikhabarkan baginda kepada kita sebagai perkara benar
  2. Kami tidak berkata yang sia-sia mengenai Allah dan tidak pula mempertikaikan agama Allah
  3. Kami tidak berdebat mengenai al-Quran dan kami menyaksikan bahawa ia adalah kata-kata Tuhan sekelian alam (kalam Allah) yang dibawa oleh Ruh al-Amin (Jibril) dan diajarkan kepada Sayyid al-Anbiya wa al-Mursalin, Muhammad s.a.w. Ia adalah kata-kata Allah dan tiada kata-kata makhluk yang setanding dengannya. Kami tidak mengatakan bahawa ia adalah makhluk dan kami tidak bertentangan dengan jama'ah orang Islam berkenaannya
  4. Kami tidak menganggap sesiapa sahaja daripada ahli kiblat kami sebagai kafir hanya kerana dosa yang dilakukan mereka selama mana mereka tidak menganggap dosa itu sebagai halal
  5. Kami tidak pula mengatakan bahawa dosa seorang manusia yang beriman tidak akan memberi kemudaratan ke atasnya
  6. Kami berharap agar Allah akan mengampuni orang yang berbuat kebaikan dan memasukkan mereka ke dalam syurga dengan rahmat-Nya, tetapi kami tidak berani menjamin perkara ini dan kami tidak dapat menyaksikan bahawa perkara itu pasti akan berlaku dan bahawa mereka akan berada di dalam syurga. Kami memohon keampunan bagi orang yang berdosa dan walaupun kami khuatir tentang mereka, kami tidak berputus harapan mengenai mereka
  7. Keberanian (ketiadaan rasa khuatir) dan putus harapan menyingkirkan seseorang daripada Islam, jalan kebenaran bagi ahli kiblat terletak di antara kedua-duanya (yakni seseorang mesti takut dan menyedari pembalasan Allah sebagaimana mengharapkan rahmat Allah)
  8. Seseorang tidak terkeluar dari iman kecuali dengan penafian apa yang dibawa kepadanya
  9. Iman ialah ikrar dengan lisan dan pengakuan dengan hati
  10. Dan semua perkara yang terbukti datang daripada Rasul Allah s.a.w berkenaan Shariah dan penjelasan (tentang al-Quran dan sebagainya) adalah benar
  11. Iman pada dasarnya adalah sama bagi setiap orang, tetapi kelebihan sebahagian terhadap sebahagian yang lainnya bergantung pada ketakwaan mereka pada Allah, tentangan terhadap hawa nafsu mereka dan pilihan apa yang diredhai Allah.
  12. Semua orang yang beriman adalah 'kawan-kawan' (wali) Allah dan yang paling mulia di kalangan mereka di sisi Allah adalah mereka yang paling taat dan mereka yang paling mengikuti al-Quran
  13. Iman ialah perkara mempercayai (kewujudan, keesaan dan kekuasaan) Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab suci, para rasul-Nya, Hari Kiamat, kebangkitan semula sesudah mati, taqdir - samada baik atau buruk, manis atau pahit, semuanya datang daripada Allah
  14. Kami percaya semua ini. Kami tidak membeza-bezakan antara seorang rasul dengan rasul yang lain, kami menerima apa yang dibawa mereka adalah benar belaka
  15. Orang berdosa besar di kalangan umat Muhammad s.a.w akan dicampakkan ke dalam neraka tetapi bukan untuk selama-lamanya, sekiranya ketika mereka mati mereka mentawhidkan Allah sekalipun mereka tidak sempat bertaubat. Mereka tertakluk pada kehendak dan kehakiman-Nya. Jika Dia kehendaki, Dia akan mengampunkan mereka dengan kemurahan hati-Nya sebagaimana yang tersebut dalam al-Quran apabila Dia berfirman: Dan Dia mengampuni kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya apa sahaja selain syirik (al-Nisa 4:116); dan jika Dia kehendaki, Dia akan menghukum mereka di dalam neraka dengan keadilan-Nya dan kemudian membawa mereka keluar daripada neraka dengan rahmat-Nya, dan kerana syafa'at mereka yang taat pada-Nya, dan memasukkan mereka ke dalam syurga. Ini kerana Allah adalah Pelindung bagi mereka yang mengakui-Nya dan di alam akhirat tidak akan memberi layanan yang sama dengan layanan yang diberikan-Nya kepada mereka yang mengingkari-Nya dan mereka yang jauh daripada hidayah-Nya dan gagal mendapat perlindungan-Nya. Wahai Allah, Engkau adalah Pelindung Islam dan penganutnya; jadikanlah kami teguh dalam Islam sehingga ke hari kami bertemu dengan-Mu
  16. Kami bersetuju dengan pelaksanaan solat di belakang sesiapa sahaja dari kalangan ahli kiblat samada yang berbuat baik mahupun yang berdosa dan pelaksanaan solat jenazah terhadap sesiapa sahaja daripada mereka apabila mereka meninggal dunia
  17. Kami tidak mengatakan bahawa sesiapa sahaja daripada mereka akan masuk ke dalam syurga atau neraka secara mutlak, dan kami tidak menuduh sesiapa sahaja daripada mereka dengan tuduhan kafir, syirik atau nifaq selama mana mereka tidak mendedahkan perkara-perkara itu secara terang-terangan. Kami serah rahsia mereka kepada Allah
  18. Kami tidak bersetuju dengan pembunuhan sesiapa sahaja dari kalangan umat Muhammad, melainkan ia menjadi kewajipan dalam Syariah untuk berbuat demikian
  19. Kami tidak mengiktiraf pemberontakan terhadap Imam (pemimpin) kami atau mereka yang bertanggungjawab mengenai urusan kami sekali pun mereka adalah tidak bersikap adil, dan tidak pula kami menghendaki kejahatan terhadap mereka, dan tidak pula kami beralih daripada mengikuti mereka. Kami percaya bahawa kepatuhan terhadap mereka adalah sebahagian daripada ketaatan pada Allah s.w.t dan oleh sebab itu menjadi kewajipan selama mana mereka tidak mengarahkan kami agar berbuat dosa. Kami berdoa untuk mereka pentunjuk yang betul dan keampunan bagi kesilapan mereka
  20. Kami mengikuti sunnah Rasul Allah dan jama'ah orang Islam, dan menjauhi penyelewengan, percanggahan dan perpecahan
  21. Kami menyintai orang yang adil dan amanah, dan membenci orang yang zalim dan khianat
  22. Apabila kami kurang jelas mengenai sesuatu, kami akan mengatakan: Allah lebih mengetahui
  23. Kami bersetuju dengan penyapuan kasut bulu (semasa mengambil wuduk) samada ketika musafir atau tidak, tepat sebagaimana yang terdapat dalam hadith mutawatir dan sahih
  24. Haji dan jihad di bawah pimpinan mereka yang bertanggungjawab terhadap orang Islam, samada mereka berbuat kebaikan atau dosa, adalah kewajipan yang berterusan sehingga hari Kiamat. Tiada sesuatu pun yang dapat memansuh atau menyangkal kedua-duanya

Alam Akhirat[edit]

  1. Kami percaya kepada Kiraman Katibin (malaikat mulia yang menjadi pencatat amalan manusia) dan bahawasanya Allah melantik mereka sebagai penjaga kita
  2. Kami percaya kepada malaikat maut yang ditugaskan untuk mencabut nyawa di dunia ini
  3. Kami percaya kepada seksaan dalam kubur bagi mereka yang patut menerimanya, dan soalan dalam kubur oleh Munkar dan Nakir mengenai Tuhan, agama dan nabi seseorang sebagaimana disebutkan dalam hadith Rasul Allah s.a.w dan dalam athar para Sahabat r.a
  4. Kuburan itu boleh jadi samada salah satu daripada taman-taman syurga atau salah satu daripada lubang-lubang neraka
  5. Kami percaya kepada kebangkitan semula sesudah mati dan pembalasan terhadap amal perbuatan kita pada hari Kiamat, dan al-'Ard (amal perbuatan dipertontonkan) dan al-Hisab (amal perbuatan dihitung). Dan Qira'at al-Kitab (pembacaan buku catatan amal perbuatan) dan ganjaran dan seksaan dan al-Sirat (Titian) dan al-Mizan (Neraca)
  6. Syurga dan neraka adalah makhluk yang tidak akan berakhir dan kami percaya bahawa Allah telah mencipta kedua-duanya sebelum makhluk lain diciptakan dan kemudian mencipta manusia untuk menghuni salah satu daripadanya. Sesiapa yang dikehendaki-Nya akan memasuki syurga dengan kemurahan hati-Nya dan sesiapa yang dikehendaki-Nya akan dicampakkan ke dalam neraka dengan keadilan-Nya. Setiap orang bertindak menurut apa yang telah ditakdirkan baginya dan akan menuju ke arah yang dia diciptakan
  7. Baik dan buruk telah ditetapkan bagi manusia
  8. Kemampuan dari segi tawfiq (limpah kurnia Ilahi) yang membuatkan satu-satu perbuatan tertentu berlaku tidak dapat dianggap sebagai ciptaan makhluk. Kemampuan ini perlu dengan perbuatan, sementara kemampuan bagi satu-satu perbuatan dari segi keberadaan dalam kesihatan yang diperlukan, dan kemampuan, yang berada dalam kedudukan untuk bertindak dan mempunyai cara yang diperlukan, wujud dalam seseorang sebelum berlakunya perbuatan itu. Inilah jenis kemampuan yang dimaksudkan oleh imlak Syariah. Allah s.w.t berfirman: Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang sekadar kemampuannya (al-Baqarah 2:286)
  9. Perbuatan manusia diciptakan oleh Allah tetapi diusahakan oleh manusia
  10. Allah hanya membebankan manusia sekadar apa yang mampu bagi mreka dan manusia hanya mampu berbuat apa yang dipilih Allah untuk mereka. Inilah penjelasan bagi ucapan: Tiada kuasa dan kekuatan melainkan dengan Allah. Kami menambah kepada perkara ini bahawa tiada muslihat atau jalan yang seseorang dapat mengelak atau melepaskan diri daripada kederhakaan terhadap Allah kecuali dengan pertolongan Allah; tidak pula seseorang mempunyai kekuatan untuk taat pada Allah dengan sebenarnya dan kekal teguh dalamnya melainkan sekiranya Allah membuatkan mereka mampu berbuat demikian
  11. Setiap perkara berlaku menurut kehendak, ilmu, takdir dan dekri Allah. Kehendak-Nya mengatasi kehendak-kehendak yang lain dan dekri-Nya mengatasi semua perencanaan. Dia berbuat apa yang dikehendaki-Nya dan Dia tidak akan berlaku tidak adil. Dia Maha Tinggi dalam kesucian-Nya mengatasi sebarang kejahatan atau kecelakaan dan Dia Maha Sempurna daripada mempunyai kesilapan atau kecacatan. Dia tidak akan disoal mengenai apa yang dilakukan-Nya sebaliknya mereka yang akan disoal (al-Anbiya 21: 23)
  12. Doa dan sedekah orang yang hidup dapat menolong orang yang telah mati
  13. Allah menjawab doa manusia dan memberi kepada mereka apa yang diminta mereka
  14. Allah mempunyai kuasa kawalan yang mutlak ke atas semua benda dan tiada sesuatu pun yang dapat mengawal-Nya. Tiada sesuatu pun yang tidak bergantung pada Allah sekali pun untuk seketika, dan barang siapa yang menyangka dirinya tidak bergantung pada Allah walaupun untuk seketika adalah dosa kafir dan menjadi penghuni neraka jahannam
  15. Allah dapat marah dan redha tetapi bukan dengan cara yang sama dengan makhluk

Para Sahabat Nabi[edit]

  1. Kami mencintai para sahabah Rasul Allah tetapi kami tidak berlebih-lebihan dalam cinta kami setiap seorang di kalangan mereka dan tidak pula kami menolak seorang pun daripada mereka. Kami membenci sesiapa yang membenci mereka atau bercakap sesuatu yang tidak baik tentang mereka dan kami hanya bercakap sesuatu yang baik tentang mereka. Mencintai mereka adalah sebahagian daripada Islam, iman dan kemulian pekerti, manakala membenci mereka adalah kekafiran, kemunafikan dan penderhakaan
  2. Kami berpegang teguh bahawa selepas kewafatan Rasul Allah s.a.w, khilafah dipegang oleh Abu Bakr al-Siddiq r.a, dengan itu membuktikan kecemerlengan dan kelebihan beliau terhadap seluruh umat; kemudian oleh Umar ibn al-Khattab r.a; kemudian oleh Uthman ibn al-Affan r.a; dan kemudian oleh Ali ibn Abi Talib r.a. Mereka ini adalah Khalifah yang Terpimpin (al-Khulafa al-Rasyidin) dan pemimpin yang lurus
  3. Kami bersaksi bahawa 10 orang sahabah yang dinamakan oleh Rasul Allah s.a.w dan yang dijanjikan syurga oleh baginda adalah penghuni syurga sebagaimana yang diberi kesaksian oleh Rasul Allah yang kata-kata baginda adalah benar. Mereka ialah: Abu Bakr, Umar, Uthman, Ali, Talhah, Zubair, Sa'd, Sa'id, Abd al-Rahman ibn Auf dan Abu Ubaidah ibn al-Jarrah yang mereka semua digelar sebagai orang kepercayaan umat ini
  4. Sesiapa sahaja yang bercakap sesuatu yang baik mengenai para sahabah Rasul Allah s.a.w dan isteri-isteri serta keturunan baginda akan terlepas daripada kemunafikan

Ulama dan Wali[edit]

  1. Ulama salaf dan sesiapa yang mengikuti jejak langkah mereka - orang yang salih, periwayat hadith, fuqaha dan mufassirun - mereka hanya bercakap sesuatu dengan cara terbaik dan sesiapa yang berkata sesuatu yang buruk tentang mereka adalah orang yang tidak berada di jalan yang benar
  2. Kami tidak mengutamakan sebarang wali di kalangan umat berbanding para nabi tetapi kami lebih kepada mengatakan bahawa setiap seorang nabi adalah lebih baik daripada semua wali keseluruhannya
  3. Kami percaya kepada apa yang kami kenali sebagai keramat, keajaiban para wali dan juga kepada cerita-cerita sahih mengenai mereka yang datang daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai
  4. Kami percaya kepada tanda-tanda hari Kiamat seperti kemuculan Dajjal dan turunnya Isa putera Maryam a.h dari langit dan kami percaya akan kenaikan matahari dari tempat ia terbenam dan akan kemunculan Dhabbat al-Ardh (Binatang dari bumi)
  5. Kami tidak menerima apa yang diperkatakan oleh tukang tilik dah ahli nujum sebagai benar, tidak pula kami dakwaan-dakwaan mereka yang menyatakan sesuatu yang bertentangan dengan al-Quran, al-Sunnah dan ijma umat

Kesatuan Umat Islam[edit]

  1. Kami bersetuju bahawa jama'ah adalah benar dan kebaikan dan bahawa perpecahan adalah penyelewangan dan kecelakaan
  2. Agama Allah di langit dan bumi adalah satu iaitulah agama Islam. Allah berfirman: Sesungguhnya agama yang benar di sisi Allah adalah Islam (Ali Imran 3:19). dan Dia juga berfirman: Aku redha dengan Islam sebagai agama kamu (al-Maidah 5:3)
  3. Islam berada antara kelampauan dan kekurangan, antara tasybih (menyamakan sifat-sifat Allah dengan sesuatu yang lain) dan ta'til (menafikan sifat-sifat Allah), antara jabariyah (fahaman yang menyatakan bahawa semua perkara tertakluk pada nasib) dan qadariyah (fahaman yang menyatakan bahawa semua perkara tidak tertakluk pada nasib) dan antara kepastian/keberanian (tanpa ada kesedaran terhadap pembalasan) dan rasa putus harapan (terhadap rahmat Allah)
  4. Inilah agama kami dan i'tiqad kami secara zahir dan batin. Kami berlepas tangan dengan Allah daripada sesiapa yang bertentangan dengan apa yang kami telah sebut dan jelaskan.

Doa Penutup[edit]

Kami memohon pada Allah supaya Dia mengukuhkan kami dalam iman dan mengakhiri hidup kami dengannya dan melindungi kami daripada hawa nafsu yang menyimpang, fikiran yang berpecah-belah dan mazhab-mazhab fahaman jahat seperti golongan musyabbihah, mu'tazilah, jahmiyah jabariyah, qadariyah dan lain-lain yang seumpama mereka dari kalangan mereka yang menentang Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah dan mereka yang bersekutu dalam kesesatan. Kami berlepas diri daripada mereka dan pada kami mereka adalah sesat dan berada dalam jalan kebinasaan.

Kami memohon pada Allah supaya Dia melindungi kami daripada semua kepalsuan dan kami memohon limpah kurnia-Nya untuk berbuat kebaikan.

Selawat dan salam Allah bagi Penghulu kita, Muhammad dan bagi ahli keluarga serta para sahabah baginda. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam.